SHAHNON AHMAD

Shahnon Ahmad: Kesasterawanan dan Kemanusiaan (Bahagian 2)

Kesusasteraan yang besar perlu setia kepada falsafahnya iaitu merakamkan realiti dalam masyarakat kerana realiti itulah sumbernya yang sahih pun. Dia memperalatkan kisah, bahasa dan teknik-teknik yang lain supaya realiti itu terpapar dalam bentuk keindahan yang bakal meninggalkan kesan pada akal dan juga pada jiwa. Oleh sebab komunikasi manusia aspek luaran sudah dinyahkan oleh manusia sendiri, maka proses kreaviti pun dengan sendirinya menyahkan teknik- teknik luaran kerana teknik luaran amat sukar untuk memperjelaskan permasalahan dalaman yang menjadi dominan dalam kehidupan kini. Pada setengah-setengah penilai, perakam kesasterawanan tentang permasalahan dalaman manusia ini adalah suatu perkembangan yang amat baik dan jelas menuju ke arah kecemerlangan nilai seni. Disimpulkan bahawa keindahan sesebuah karya sastera itu adalah keindahannya merakamkan kebobrokan dalaman manusia dengan segala keunikan dan kepelikannya, memperlihatkan individu-individu yang penuh dengan konflik dalaman di luar batasan manusia normal. Dan konflik-konflik itu pula memperlihatkan lagi kewujudan pelbagai wajah ‘orang asing dalam diri yang sering pula memberontak antara satu sama lain kerana masing-masing watak individu dalam diri dan yang asing itu cuba menonjolkan keakuan dan keegoannya. Ciri-ciri ketetapan, tipikal dan juga universal dalam perwatakan dipinggirkan kerana ciri-ciri itu tidak lagi mewakili permasalahan kemanusiaan yang sebenar. Ciri-ciri itu terlalu konvensional tanpa keunikan dan keakuannya seperti yang ditemui dalam permasalahan dalaman manusia. Ciri- ciri konvensional itu diganti dengan ciri-ciri keunikan, ketidaklogikan. Menidakkan konsep-konsep sebab akibat, menkompleks dan menso fistikasikan fitrah manusia dan memasalahkan segala aspek kemanusia- an demi untuk memperolehi kesan individuality, originality dan kepelikan-kepelikan kerana itulah realiti kemanusiaan di mana-mana sekarang ini.

Karya-karya yang masih cuba patuh merakamkan permasalahan kemanusiaan dalam situasi luaran yang penuh dengan drama, aksi luaran, penuh dengan kebiasaan dan kemunasabahan logika sudah tidak dianggap patuh kepada realiti kemasyarakatan lagi kerana realiti kemasyarakatan sekarang adalah permasalahan dalaman. Dalam zaman pancaroba ini permasalahan dalaman yang lebih unik perlu diterapkan melalui perwatakan dalaman cereka-cereka dan juga melalui simbol- simbol yang berlapisan makna dalam puisi. Kesasterawanan kini perlu meneroka jauh ke dalam permasalahan dalaman kemanusiaan itų, perlu mengenalpastikan punca-punca kekronikan kemanusiaan yang mencetuskan neurosis dan psikosis. Kesasterawanan juga perlu mengenal pelbagai akunya dalam individu yang sering bertelagah kerana aku-aku dalam diri itu sudah menjadi orang asing kepada individu itu sendiri sehingga watak-watak asing dalam diri itu menimbulkan pelbagai konflik.

Permasalahan-permasalahan ini jelas benarlah terarah kepada penciptaan manusia-manusia baru yang lain daripada manusia-manusia larna yang teguh pada sandaran tradisi dan warisan. Manusia-manusia yang bermasalahan dalaman ini akan berakhir dalam komposisi- komposisi objek yang kaku beku atau pepejal seperti daging-daging mentah. Yang berada dalam kewujudan hanya jasadiah tanpa rohaniah. Manusia bermasalahan dalaman yang kronik ini tidak lagi mengambil sebarang kisah kemanusiaannya kerana dia sendiri adalah kosong, vakum, tidak ada apa-apa lagi. Sensitivitinya, kepekaannya sudah lama luput, tidak bermaya lagi. Manusia kaya dengan permasalahan dalaman ini adalah manusia-manusia baru, manusia yang sanggup membuat apa saja termasuk mengambil nyawa orang lain, menodai orang lain yang bukan dirinya. Dan kadang-kadang pula sehingga sanggup menodai ibu sendiri. Dia sanggup menjadi seorang yang mabuk kuasa dan mabuk segala. Komunikasinya dengan dirinya, alamnya, manusia di luar dirinya dan Tuhannya sudah lama putus diputuskan oleh dirinya sendiri yang kehilangan akar tunjang tradisi dan agama.

Di dunia Barat, permasalahan dalaman kemanusiaan yang berpunca daripada kehilangan komunikasi yang sahih yang boleh menentukan arah perjalanan manusia amat banyak terakam dalam karya karya seni. Umpamanya watak Meursault yang diperlihatkan oleh Albert Camus dalam novelnya yang terkenal The Outsider, jelas memperlihatkan kepelikan-kepelikan yang berpunca daripada permasalahan dalaman ini. Perwatakan Krebs yang diwujudkan oleh Ernest Hemingway melalui cerpen terkenalnya Soldier’s Home menonjolkan aspek neurosis yang dialami oleh manusia ini. Begitu juga dalam banyak karya Franz Kafka, kita dapati aspek permasalahan dalaman kemanusiaan yang serba tuntas dan canggih itu telah lama dirakamkan dalam karya sastera, sesuai dengan masyarakat Barat yang penuh dengan permasalahan dalaman ini.

Watak-watak yang memperlihat dan membayangkan realiti permasalahan kemanusiaan ini melalui karya-karya sastera ternyata bukan lagi manusia yang berdarah daging dan berperasaan. Permasalahan dalaman mereka memuncak kerana, antara lain, terputusnya hubungan mesra dengan penciptanya sendiri. Dan mereka hidup dalam kewujudan watak-watak baru yang asing daripada keinsanan yang sebenar. Dewasa ini permasalahan dalaman kemanusiaan mulai kita temui dalam karya-karya sastera kita juga. Kesasterawanan memang taat dan patuh kepada realiti masyarakatnya dan ingin memancarkan wajah masyarakat yang menjadi sumber utamanya. Permasalahan ini kini sudah berhijrah ke daerah-daerah kita sendiri di sebelah sini dan akan terus menetap dan bermukim dalam diri kita sendiri. Kita kehilangan tapak untuk berpijak dan kita menjadi bingung bilamana kita diserang oleh modenisme yang banyak merenggut tradisi dan nilai peradaban kita. Kita menjadi serba salah dan watak-watak dari luar ini dengan mudah memasuki diri kita dan menetap di dalamnya. Masyarakat kita yang kaya dengan rasa mesra antara manusia dengan manusia, manusia dengan alam dan manusia dengan Penciptanya itu sudah menjadi miskin dengan nilai-nilai komunikasi. Watak-watak kita bukan lagi watak yang teguh pada tradisi, pada warisan dan pada agama yang tinggi nilainya. Kita sudah rebah dan jatuh tersungkur bersama lumpur di bumi yang serba kaya dengan najis najis. Kita menjadi hina tanpa disedari pun sedangkan kita masih menjerit meraung menampankan suara kita pada gunung dan bukit menyatakan kita kini sudah jauh maju dan progresif. Kesasterawanan kita terlibat secara langsung dengan kecanggihan permasalahan kemanusiaan ini. Dan penglibatan itu bukan saja diperlihatkan dalam karya-karya sastera yang dianggap besar juga, tetapi juga terakam dalam keperibadian para sasterawan sendiri yang kehakisan kedirian dan keluputan diri. Kita menjadi kagum dengan permasalahan kemanusiaan itu dan kita rasa itulah keunggulan nya kemanusiaan kerana sudah tiba pada tahap di mana manusia mem- berontak terhadap manusia, terhadap alam dan juga terhadap Tuhannya

Di negara jiran kita, Indonesia, kita tersua dengan tokoh-tokoh canggih seperti Rintrik, Rutras, Perempuan Bunting. Abimanyu dan sebagainya melalui Godlob ciptaan Danarto. Kesasterawanan Danarto memperlihatkan jaringan-jaringan permasalahan dalaman manusia dalam hubungannya dengan diri dan tuhan. Dan rakaman itu diolah dengan non-urutan tunggang terbalik, bersongsang tanpa sebarang logika sehingga amat sulit untuk kita hayati kecanggihan dalamannya. Ini lebih menyukarkan kita untuk merenungi permasalahan manusia itu kerana kejungkirbalikan tersebut bukan saja pada isi karya tetapi juga pada teknik persembahannya. Kita melihat sesebuah karya itu sebagai suatu kekosongan yang besar yang hanya kosong tanpa manusia yang sebenar, tanpa perasaan dan logika lagi untuk mengenal manusia itu.

Dan kalau karya yang mengisi permasalahan dalaman manusia itu kita bandingkan dengan rimba raya, kita sebenarnya berada dalam rimba raya itu yang tidak menampakkan cahayanya, yang terasa benar kepelikan perasaannya dan kita sesat di tengah-tengahnya. Kita mulai terasa kejutan-kejutan di luar impian kita dan cuba mentafsirkan kejutan-kejutan itu tetapi kejutan yang lain melanda lagi sehingga kita ditenggelami oleh rimba raya yang kacau-bilau itu. Kita sendiri kehilangan kedirian. Kita sendiri keluputan rasa kemanusiaan lantas membuat kesimpulan bahawa kemanusiaan barulah itu: baru dalam isinya dan baru dalam tekniknya.

Manusia yang bukan manusia seumpama inilah yang dimaksud- kan oleh seorang pengarang muda Indonesia yang sedang naik. Korrie Layun Rampan, sebagai manusia yang serba hidup dalam fantası, manusia serba mungkin, manusia tangguh, tahan terhadap benturan waktu, keadaan dan situasi. Manusia bernyawa yang tidak bernyawa, berbadan tidak berbadan, manusia berotak yang tidak berotak, manusia yang serba berhadap-hadap, berkonfrontasi dengan diri sendiri. Manusia ada dalam tiada, hadir dalam ketidakhadiran dan hidup dalam ketidakhidupan. Plot yang tidak lagi mengikut alur konvensional, karya-karya penuh dadakan, serba kadang-kadang, serba penuh kejut an, tidak ada awal akhir atau semuanya berawal pada akhir atau ber- akhir pada awal atau pada tengahnya. (Korrie Layun Rampan dalam Pamusuk Aneste, Cerpen Indonesia Mutakhir, (1983).

Jelas di sini bahawa permasalahan dalaman kemanusiaan itu merebak begitu pantas hingga menjijak kakinya di bumi kita yang kaya dengan tradisi dan teguh pada nilai-nilai agama langit yang telah memperjelaskan status manusia dalam kemanusiaannya sejelas mung- kin. Manusia diberinya ilmu untuk mengenali dirinya dan diri situ ia pun boleh mengenal Penciptanya. Diberitahu pula tentang ciri-ciri kejadiannya yang berasal daripada tanah yang kotor dan juga daripada roh yang suci. Tetapi permasalahan dalaman terus menjamah kehidup an kemanusiaan dan kini memuncak dalam kehidupannya.

Permasalahan dalaman yang berpunca, antara lain daripada keretakan komunikasi itu, amatlah serius kerana ianya akan berakhir ke tahap kevakuman visi, kevakuman nilai yang sekaligus mewujudkan kevakuman manusiawinya. Segala-galanya yang menyiratkan makna- makna penuh kebijaksanaan sesuai dengan kefitrahan keinsanan itu akan berubah menjadi kekosongan tanpa makna apa-apa lagi. Dan realiti permasalahan dalaman kemanusiaan itu dibiar terpuing dan terapung-apung begitu hingga tidak berkesudahan tanpa sebarang peleraian yang hak untuk mengembalikan manusia ke tarafnya yang sebenar, ke true-selfnya. Berdasarkan pada kisah-kisah dalam Godlob, karangan Danarto itu ternyata Danarto dan manusia-manusia Danarto terjebak dalam permasalahan dalaman dan visinya memperlihatkan kesesatan perjalanan dan kesesatan matlamat. Segala-galanya sekadar wujud saja untuk dipermain-mainkan. Manusia hanya objek-objek mainan yang tidak berkesudahan dan lebih merupakan bahan-bahan lelucon kehidupan sedangkan manusia yang sebenar yang mengenali dirinya, tahu dari mana dia datang, tahu ke mana arah tujunya dan tahu lagi bagaimana akhirnya manusia itu dan di mana kesementaraan dan keabadian manusia itu. Pendek kata kesasterawanan kini menampilkan permasalahan dalaman manusia yang berpunca daripada gejala-gejala neurosis dan psychosis ini. Dirinya menjadi tebat atau arena untuk bergelut pelbagai peribadi yang datang menetap di situ dan semua peribadi asing itu sering berkonflik dan bertentangan antara satu sama lain. Tidak ada yang memperlihatkan keakuran dalam sebarang wajah pun Segala-galanya harus tunggang-langgang. Songsang-menyongsang ataupun sebagai alam yang non-harmonis dan jungkir-balik.

Budi Darma, seorang pengarang Indonesia yang besar, juga menonjolkan aspek permasalahan dalaman ini melalui banyak karyanya. Salah satu daripada karyanya itu ialah cerpennya yang istimewa panjangnya berjudul “Kritikus Adenan”. Penyajian Budi penuh dengan kusut rumit tanpa setitik logika dan setitik urutan lagi. Seperti yang pernah dilafazkan oleh Hafiz Arif: Dunia dalam karya-karya Budi Darma adalah dunia yang garai, sangat kejam tanpa kemanusiaan dan sama sekali tidak mementingkan logika (Horison, April, 1974).

Kesasterawanan di tanahair kita juga tidak ketinggalan dengan landasan permasalahan dalaman kemanusiaan ini meskipun tidaklah begitu canggih dan tuntas seperti di Barat atau di Indonesia. Tetapi perjalanannya pasti saja menuju ke arah itu. Sekurang-kurangnya permasalahan dalaman itu terpancar dalam beberapa kesasterawanan kita. Manusia Lazri Meon dalam Daerah Zeni, karya A. Samad Said ternyata wujud dalam kancah yang mewabakkan hal ini. Lazri wujud sebagai outsider daripada realiti kehidupannya bagaikan kehidupan- nya tidak bertunjang dan tidak berwarisan. Manusia itu bagaikan berada di luar persekitaran tamadun kita. Dia menyendiri. Dia menyepi. Dia gmnar tinggal seorang diri dan hanya asyik menyesali diri, sering merintih, duka lara, pilu tidak bermaya dan kerap sangat berada dalam keraguan tanpa sebab yang jelas. Dia luput daripada realiti kewujudannya kerana tidak ada landasan yang meyakinkannya lagi, baik landasan tradisi atau landasan agama mahupun sebarang landasan yang lain. Landasan akaliah yang cuba disandarkan pun telah tumbang dan rebah menyembah bumi. Landasan rohaniah juga telah lama terhakis kerana dianggapnya landasan itu masih kabur dan tidak berpijak di bumi nyata.

Yang ada padanya cuma landasan rasa yang berbaur, landasan imaginasi yang sukar dikawal kerana ianya sudah terpisah daripada landasan akaliah dan terpisah lebih jauh daripada landasan rohaniah. Keadaan limbo dan terapung menjadi landasannya kini dan ini menyebabkan dia berada dalam ruang yang kabur, dalam ruang keluputan kedirian, bersuasana resah-gelisah, sepi duka nestapa dan tidak habis-habis merintih hiba. Kesasterawanan tidak lagi menemui pintu untuk mencari jalan keluar kerana semua pintu sudah ditutup dan dia terjebak dalam permasalahan dalaman itu. Peleraiannya sudah tidak wujud lagi kerana yang wujud hanya permasalahan demi permasalahan dalaman. Proses untuk merenungi diri dan cuba kembali kepada diri yang sebenar sudah tidak ada. Kesasterawanan juga terperangkap dalam permasalahan manusia itu. Segala pintu tertutup dan kita berada dalam kesesatan yang gelap-gelita. Permasalahan dalaman kemanusiaan sebenarnya adalah trend kesasterawanan sekarang ini. Kesasterawanan memang patuh kepada realiti masyarakat. Dan realiti masyarakat di mana-mana sekarang ini ialah permasalahan dalaman itulah yang berpunca daripada pelbagai faktor yang menyimpangkan kemanusiaan kepada kebinatangan atau yang membayangkan kebinatangan itu.

Esei ini dimuatkan dalam Kesasterawanan, Kepolitikan, Kealaman, Kedirian, Kemanusiaan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1992.