Belum habis kita berduka atas kematian anak gajah yang dilanggar lori di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, kita sekali lagi dikejutkan dengan kematian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam kemalangan dilanggar oleh lori membawa muatan batu di Teluk Intan pada bulan Mei lalu. Sebulan selepas itu, seluruh negara terkejut dengan kematian 15 pelajar UPSI setelah bas yang dinaiki mereka untuk pulang ke UPSI gagal dikawal dan kemalangan di Jalan Raya Timut-Barat Gerik-Jeli.
Kemalangan melibatkan kenderaan berat di negara ini bukanlah kes terpencil, hampir setiap hari kita melihat di media sosial rakaman-rakaman dari dashcam kenderaan yang menjadi saksi akan pengendalian kenderaan berat yang melulu. Kenderaan berat semisal lori pula banyak yang sudah uzur dan tidak menepati ciri-ciri keselamatan tapi masih digunakan oleh majikan.
Tingkah laku melulu pemandu bas dan kenderaan berat adalah simptom kepada masalah sistemik yang lebih besar, dan ia merupakan isu kelas yang tidak dapat kita abaikan. Menyalahkan dan menghukum mereka adalah mudah, tetapi ia sama sekali tidak akan menyelesaikan masalah.
Mengubah cara sistem berfungsi, memberikan gaji yang cukup untuk sara hidup dan memenuhi hak-hak buruh pemandu, mengutamakan keselamatan dalam setiap bahagian sistem (kenderaan, infrastruktur dan manusia), serta pemantauan ketat terhadap majikan dan syarikat; barulah tragedi akan kekal sebagai kenangan dan bukan lagi kejadian harian.
Penguatkuasaan Undang-Undang dan Piawaian Keselamatan Kenderaan yang Lebih Ketat
Pihak berkuasa perlu menguatkuasakan secara lebih tegas undang-undang sedia ada berkaitan had muatan, kelajuan, dan keadaan fizikal kenderaan berat. Pemeriksaan berkala dan mengejut terhadap kenderaan komersial, termasuk bas dan lori, perlu dipertingkatkan bagi memberi tekanan kepada majikan untuk menyeleggara kenderaan-kenderaan syarikat dengan baik. Selain itu, teknologi pemantauan seperti GPS dan dashcam wajib dipasang pada semua kenderaan berat dan data tersebut perlu dipantau secara berkala oleh pihak berkuasa dan majikan.
Pelaburan dalam Infrastruktur Jalan Raya yang Selamat
Banyak kemalangan berlaku di laluan yang sempit, berliku, atau kurang pencahayaan. Kerajaan perlu melabur lebih banyak dalam peningkatan infrastruktur jalan raya, terutamanya di laluan kritikal yang sering berlaku kemalangan. Ini termasuk pembinaan lorong kecemasan, jambatan haiwan, pemasangan lampu jalan yang mencukupi, dan penyelenggaraan berkala untuk memastikan keadaan jalan sentiasa baik. Papan tanda amaran dan had laju yang jelas juga perlu dipasang di kawasan berisiko tinggi, terutamanya di selekoh tajam atau kawasan cerun.
Hak Pekerja dan Keadaan Kerja yang Saksama
Gaji yang tidak mencukupi, waktu kerja yang panjang, dan tekanan untuk mencapai sasaran penghantaran seringkali menyebabkan pemandu memandu secara melulu. Oleh itu, kerajaan perlu campur tangan untuk memastikan majikan membayar gaji yang setimpal dan memenuhi hak-hak buruh pemandu, termasuk had waktu kerja yang munasabah, cuti rehat yang mencukupi, dan akses kepada latihan keselamatan berterusan. Penubuhan kesatuan sekerja yang kuat bagi pemandu juga dapat memberi mereka suara dan kuasa untuk menuntut keadaan kerja yang lebih baik dan selamat tanpa rasa takut diberhentikan.
Selain memastikan keadaan kenderaan dan infrastruktur dalam keadaan baik, gaji yang cukup untuk sara hidup kepada pemandu kenderaan berat sangat penting. Apabila pemandu dibayar gaji yang rendah, mereka terpaksa bekerja lebih masa dengan mengambil lebih banyak perjalanan. Mereka memandu dalam keadaan keletihan untuk memenuhi keperluan asas hidup dan ini menambah risiko kemalangan. Tekanan kewangan ini boleh mendorong mereka untuk melanggar had laju atau memandu secara melulu untuk menyiapkan penghantaran dengan cepat dan mengambil trip seterusnya.
Pemandu seringkali berdepan tekanan daripada majikan untuk meneruskan perjalanan walaupun kenderaan tidak selamat, atau jika mereka terlalu letih. Polisi buruh perlu melindungi hak pemandu untuk menolak tugas yang membahayakan keselamatan mereka atau orang awam tanpa takut dikenakan tindakan disiplin atau kehilangan pekerjaan. Perlindungan ini memberi kuasa kepada pemandu untuk mengutamakan keselamatan, dan bukannya keungtungan atau tekanan majikan.
Antara masalah besar yang dihadapi oleh pekerja di Malaysia adalah kesatuan sekerja yang sengaja dilemahkan atau terus dihapuskan demi kepentingan pemodal, oleh sebab itulah masalah kemalangan melibatkan kenderaan berat ini adalah masalah kelas pekerja melawan kelas pemodal yang kaya-raya, ia adalah masalah sistemik yang tidak selesai hanya dengan menghukum individu tertentu. Tenaga kerja pemandu-pemandu ini terus dikerah, tanpa menghirau penat lelah mereka. Begitu juga kenderaan berat yang dipandu, selagi tayarnya bergerak, majikan tidak berusaha untuk memperbaikinya. Pemandu kenderaan berat memerlukan kesatuan sekerja yang kuat. Apabila pemandu mempunyai kesatuan sekerja yang kuat, mereka mempunyai suara yang lebih besar dalam perundingan berkaitan gaji, waktu kerja, faedah, dan isu keselamatan. Kuasa tawar-menawar kolektif ini penting untuk memastikan kebajikan pemandu terjaga, yang secara langsung menyumbang kepada pemanduan yang lebih selamat.
Melindungi nyawa di jalan raya adalah keutamaan, tetapi ia tidak boleh dilakukan dengan mengorbankan mata pencarian golongan yang paling rentan seperti pemandu lori mahupun pemilik perniagaan kecil. Untuk pemilik perniagaan kecil yang bergantung kepada kenderaan berat yang selalunya sudah lama dan uzur, penggubal polisi boleh menggunakan pendekatan yang lebih strategik misalnya Program Pembiayaan Kenderaan. kita harus mencapai keseimbangan antara keselamatan jalan raya dan kelangsungan hidup perniagaan kecil.
Kitaran duka dan tragedi boleh dihentikan jika ada kesedaran dan political will untuk mengubah keadaan. Salam takziah buat semua keluarga mangsa atas kehilangan yang besar dan duka yang mendalam. Al Fatihah
Jalan Raya dan Keterasingan adalah sebuah siri penulisan bagi memikir-kembali reka bentuk bandar (dan luar bandar) yang berpusat kepada kereta dan mengetepikan keperluan manusia. Penulisan dalam siri ini bertujuan untuk membincangkan impak dari pembangunan berpusatkan kereta ini dari segi politik, sosial dan budaya. Termasuk dalam siri ini adalah perihal ruang ketiga, feminisme ‘politic of care’ atau politik keprihatinan, kelestarian warisan budaya dan seni, serta pembangunan lestari.