Esei Kiriman: Mustaqim Badrul Hisham
Dalam kerangka pentadbiran universiti moden, semakin banyak institusi pengajian tinggi bergantung kepada sistem pendigitalan yang merekod, mengukur dan menilai keterlibatan mahasiswa dalam pelbagai aspek kehidupan kampus. Salah satu manifestasinya ialah sistem e-Profiling yang mengumpulkan rekod penglibatan kokurikulum pelajar dan digunakan sebagai sebahagian daripada penilaian pembangunan mahasiswa. Di atas kertas, e-Profiling kelihatan seperti sebuah sistem yang kemas, moden dan teratur. Ia mengumpul rekod penglibatan pelajar, menyusun pencapaian kokurikulum, dan menilai pembangunan holistik mahasiswa. Tetapi di sebalik bahasa pentadbiran yang nampak neutral itu, sistem seperti ini sebenarnya menilai siapa yang paling aktif, atau siapa yang paling mampu bertahan dalam ketidaksamaan kelas?
Kerana realitinya, tidak semua pelajar datang ke universiti dengan beban yang sama. Ada mahasiswa yang boleh sertai program demi program, pegang jawatan sana sini, kumpul sijil, dan bina profil yang nampak cemerlang. Ada pula mahasiswa yang terpaksa kira duit tambang, fikir sewa bilik, tahan lapar, kerja sambilan, jaga keluarga, dan dalam masa yang sama masih cuba kekal dalam pengajian. Dalam keadaan sebegini, e-Profiling bukan sekadar sistem rekod. Ia boleh menjadi cermin kepada jurang kelas yang sudah pun wujud sebelum pelajar melangkah masuk ke kampus. Masalahnya bukan pada idea merekod aktiviti. Masalahnya ialah apabila rekod itu kemudian digunakan seolah-olah semua pelajar bermula dari garis permulaan yang sama. Sedangkan tidak.
Mahasiswa yang lebih berada ada lebih ruang, lebih masa, lebih akses, dan lebih tenaga untuk “nampak aktif.” Mahasiswa miskin pula sering terperangkap dalam mod survival. Mereka mungkin bijak, mungkin berpotensi, tetapi tidak semestinya punya masa untuk mengejar semua ruang merit yang disediakan universiti. Di sinilah ketidakadilan kelas menjadi nyata. Sistem seperti e-Profiling mudah berubah daripada alat pemetaan pencapaian kepada alat penyaringan sosial. Ia menghukum mereka yang tidak sempat mengumpul “bukti keterlibatan,” walaupun sebab sebenar mereka tidak aktif ialah tekanan kos sara hidup, bukannya kurang kemampuan.
Lebih membimbangkan, universiti dan pembuat dasar sering menggunakan bahasa “pembangunan holistik” untuk menutup masalah yang lebih asas: kos pengajian semakin menekan, kolej tidak cukup, sewa tidak terkawal, dan pinjaman/bantuan pula tidak menampung keperluan sebenar. Mahasiswa diminta jadi aktif, produktif, berdisiplin, dan kompetitif, tetapi pada masa yang sama mereka dipaksa hidup dengan sumber yang sangat terhad. Itu bukan pembangunan. Itu pemaksaan. Jika universiti benar-benar mahu menilai potensi pelajar secara adil, maka mereka perlu mula dengan pengakuan bahawa ketidaksamaan ekonomi memberi kesan langsung kepada penglibatan pelajar. Jangan hanya tanya siapa yang banyak sertai program. Tanya juga siapa yang terpaksa bekerja untuk hidup. Usah sekadar kira sijil. Kira juga beban hidup yang tidak pernah masuk dalam transkrip.
Sebab itu reformasi tidak boleh berhenti pada sistem pengisian digital. Ia mesti melangkaui itu. Apabila krisis kos sara hidup mahasiswa tidak ditangani, apabila yuran tidak dikurangkan, apabila sewa tidak dikawal, apabila bekerja sambilan sudah menjadi keperluan, maka sistem seperti e-Profiling hanya akan mengukuhkan jurang yang sedia ada. Pelajar kaya akan terus kelihatan “cemerlang,” manakala pelajar miskin akan terus kelihatan “kurang aktif” dalam laporan yang kononnya objektif. Keadilan pendidikan tidak boleh diukur melalui pengumpulan data semata-mata. Keadilan bermula apabila universiti mengiktiraf bahawa kesamarataan formal bukan sama dengan keadilan sebenar. Pelajar tidak patut dinilai hanya pada sejauh mana mereka mampu menyertai aktiviti, tetapi pada sejauh mana sistem memberi mereka peluang yang adil untuk bertahan dan berkembang.
e-Profiling, dalam bentuk asalnya, mungkin dibina untuk kebaikan. Tetapi tanpa pembetulan terhadap ketidaksamaan kelas, ia berisiko menjadi satu lagi mekanisme yang membezakan mahasiswa yang punya banyak ruang daripada mereka yang hidup dalam kesempitan. Dan itu bukan pembangunan pelajar. Itu ketidakadilan yang didigitalkan. Sekiranya universiti serius mahu membina mahasiswa yang holistik, maka mereka mesti berhenti menghukum kemiskinan sebagai kelemahan karakter. Yang perlu diperbetulkan bukan hanya sistem rekodnya. Yang perlu diperbetulkan ialah struktur yang membuatkan tidak semua pelajar mampu hidup, apatah lagi cemerlang, dengan cara yang sama.
Jika e-Profiling ingin dikekalkan, ia perlu direka semula supaya tidak semata-mata bergantung kepada kuantiti penglibatan, tetapi mengambil kira konteks kehidupan pelajar. Contohnya, sistem boleh memberi pengiktirafan kepada pelajar yang bekerja sambilan atau mempunyai tanggungjawab keluarga sebagai bentuk “penglibatan sosial” yang sah dalam pembangunan kemahasiswaan. Selain itu, universiti juga hendaklah memastikan bahawa semua kos berkaitan aktiviti kokurikulum ditanggung sepenuhnya oleh universiti. Yuran penyertaan, pengangkutan, dan kos logistik mestilah percuma untuk semua pelajar supaya penyertaan tidak lagi dipengaruhi oleh kemampuan kewangan. Akhirnya, sistem penilaian pelajar perlu bergerak ke arah yang lebih egaliter, bukan hanya mengukur “keterlibatan yang kelihatan,” tetapi juga mengiktiraf realiti tidak kelihatan yang membentuk pengalaman mahasiswa.
Mustaqim Badrul Hisham ialah graduan pentadbiran awam dan seorang advokat hak mahasiswa yang aktif dalam Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis (AKSI) dan Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM). Penulisannya banyak menumpukan kepada kritikan terhadap dasar-dasar yang meminggirkan rakyat marhaen, khususnya dalam bidang pendidikan. Beliau konsisten memperjuangkan keadilan sosial dan menuntut agar negara meletakkan kepentingan rakyat — bukan elit politik atau kelas pemodal — sebagai pusat dalam segala proses pembuatan dasar.




