Bakau: Penyerap Karbon 10 Kali Ganda Lebih Banyak

Memetik Sakinah Rosli bahawasanya kita semua “Bangsa Bakau”, sesungguhnya masyarakat bergantung penuh terhadap paya bakau. Dalam catatan peradaban, masyarakat mencari paya bakau sebagai “mercu tanda” bagi membina petempatan, sebagai tempat perlindungan sementara serta sebagai kawasan pencarian sumber makanan. Namun, tidak dapat tidak, faktor kolonialisme mesti diambil kira apabila membahaskan kepentingan bakau yang kurang diambil peduli oleh autoriti serta golongan pemikir khususnya. Apa lagi, penjajahan dipacu oleh semangat kapitalisme. Dalam catatan kolonial, kawasan paya bakau ialah kawasan yang “tidak berguna” dan “tidak mendatangkan hasil”. 

“In 1798, British geographer named Francis Buchanan stated that “the woods, however, are not considered as property; for every [peasant] may go into them and cut whatever timber he wants.” At this time, the British government did not intervene in the Sundarbans and, for the most part, allowed the inhabitants to use the land in any way they deemed fit. The British viewed the Sundarbans as a “jungle” infested with deadly diseases and man-eating animals. They also associated the area with the “barbaric” customs and traditions of the local people.”

Terjemahan kasar : 

“Pada tahun 1798, ahli geografi British bernama Francis Buchanan menyatakan bahawa “hutan, tidak dianggap sebagai harta; maka setiap [petani] boleh masuk ke dalamnya, menebang pokok atau apa sahaja yang mereka kehendaki.” Pada masa ini, kerajaan British tidak campur tangan dalam Sundarbans (kawasan paya bakau) dan, sebahagian besarnya, membenarkan penduduk menggunakan tanah itu mengikut kehendak mereka. British melihat paya bakau sebagai “hutan” yang dipenuhi penyakit berbahaya dan haiwan pemakan manusia. Mereka juga mengaitkan kawasan itu dengan adat dan tradisi “tidak bertamadun” penduduk tempatan.”

Baca : https://uddin.digital.conncoll.edu/sundarbans/national/sundarbans-in-india/british-colonization/

Oleh hal yang demikian, kajian serta perhatian tidak diberikan kepada paya bakau oleh sebab kerangka pemikiran masyarakat tanah jajahan yang malangnya masih tercorak oleh adat dan tradisi kolonial. Maka, maklumat serta kajian tentang paya bakau ini masih kurang serta tidak dianggap penting. Dalam masa yang sama, budaya kapitalisme yang lebih mementingkan keuntungan menyebabkan paya bakau masih ditinggalkan. 

Poster Program Penanaman Bakau (Gambar: KUASA)

Program Penanaman Bakau yang dianjurkan oleh Persatuan Aktivis Sahabat Alam Perak (KUASA) adalah satu acara memperingati Peristiwa Tsunami 2004. Bersempena dengan ulang tahun ke-20 peristiwa itu, KUASA dengan kerjasama komuniti Changkat Kruing, Manjung, Perak mengambil inisiatif untuk mengajak masyarakat membangun alam sekali gus menyampaikan maklumat tentang kepentingan bakau. Hawa, pengerusi KUASA berkongsi bahawa, paya bakau berfungsi sebagai benteng bencana (tsunami). Meskipun peristiwa hitam itu sudah pun 20 tahun berlalu, namun, langkah proaktif tetap perlu diambil bukan untuk memastikan tsunami tidak berlaku lagi namun untuk mengurangkan dampak bencana kepada kita semua. 

Sukarelawan Program (Gambar: KUASA)
Sukarelawan Program (Gambar: KUASA)

Hawa dalam ucapannya juga berkongsi bahawa, paya bakau turut berfungsi bagi memastikan keterjaminan makanan. Harus diingatkan, sumber makanan masyarakat Malaysia khususnya juga datang dari laut. Selain pertanian, sumber laut adalah tidak kurang pentingnya. 

“Bakau menyerap karbon 10 kali ganda lebih banyak berbanding tumbuhan yang lain dan dalam masa yang sama, menghasilkan oksigen empat kali ganda banyaknya” 

Hawa, tidak ketinggalan berkongsi tentang kepentingan bakau sebagai carbon sink atau penyerap karbon. Sukarelawan program ini berjaya menanam 645 anak pokok bakau dalam masa lebih kurang dua jam. 

Sukarelawan Jurnal Sang Pemula (Gambar : Shakila Zen)
Jurnal Sang Pemula x KUASA (Gambar: Shakila Zen)

Program ini ialah satu usaha masyarakat awam dalam membangun alam dan memastikan masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang. Namun, harus diingatkan usaha di peringkat akar umbi hendaklah disambut dan dirancakkan lagi dengan polisi yang baik di meja pentadbiran. 

Bakau untuk masa depan.