Saya selalu diyakini oleh gagasan bahawa karya kreatif kesusasteraan adalah bertonggakkan kemanusiaan dalam segala dimensinya. Keperihalan dalam segala kecanggihan dan kerahsiaannya adalah kemanusiaan. Dan kalau pun ada sebarang asosiasi yang ditokok tambah atau dipinggirkan, adalah juga berkaitan rapat dengan kemanusiaan. Kesusasteraan yang terbabas daripada kemanusiaan adalah kepelikan-kepelikan yang sedang berlaku dengan rancak sekarang ini bila sasterawan cuba mengolah karyanya atau pengkritik cuba mendekati sesebuah karya sastera itu. Kepelikan-kepelikan itu terjadi kerana masing-masing cuba me- yakini orang lain bahawa kesusasteraan bukan kemanusiaan tetapi adalah teknik- teknik, adalah bahasa-bahasa dengan gaya gaya yang tertentu, adalah imagınası dan kekuatan daya khayal yang tidak secara mesra berkaitan dengan kemanusiaan. Kepelikan yang cuba menyarankan bahawa kesusasteraan bukan kemanusiaan ini semakin hebat diketengahkan oleh golongan-golongan yang melihat kemanusiaan sebagai sesuatu yang menyekat kebebasan kesusasteraan itu sendiri. Kesusasteraan tanpa kemanusiaan yang bermakna sebenarnya bukanlah boleh disebut sebagai kesusasteraan.
Rencana ini cuba lagi meyakini diri dan juga meyakinkan orang lain bahawa kesusasteraan adalah kemanusiaan dan kesusasteraan yang lari daripada landasan kemanusiaan ini sebenarnya bukan kesusasteraan tetapi hanya benda lain yang pelik-pelik sedang berlaku yang terus akan disogok untuk dinamakan juga kesusasteraan. Dari segi yang lain, gagasan yang pelik tentang makna kesusasteraan sekarang ini, boleh juga disamakan dengan gagasan demokrasi Masing-masing cuba meyakini diri bahawa gagasan demokrasi itu adalah kesamarataan, adalah keadilan dan adalah kesempatan yang sama untuk memberi dan juga untuk menerima. Tetapi dalam realitinya setiap orang cuba menidakkan makna demokrasi yang sebenar itu sehingga gagasan yang mulanya amat murni dan suci itu, disarankan menjadi pelik dan luar biasa. Demokrasi disarankan sinonim dengak kuku besi, disamakan dengan feudalisme dan sebagainya. Demokrasi yang sebenarnya itu pun terhakislah, sama seperti makna kesusastera- an juga. Kesusasteraan yang berlantaskan kemanusiaan itu pun terhakis akhirnya.
Kalau dilihat secara fizikal pun, ternyata bahawa karya sastera adalah manusia. Yang melahirkan karya itu pasti sudah manusianya. Yang menjadi isi karya pun manusia juga dengan segala kerahsiaan dan kompleksitinya. Yang menerima karya dan yang bakal cuba mencari makna daripada karya itu pun manusia juga. Itu aspek fizikalnya. Aspek spiritualnya lebih canggih lagi. Yang mencipta karya sastera akan meluahkanı pengalaman dan rasanya, akan mengisi karya itu dengan kekuatan dan kelemahan dalamannya, akan menerapkan unsur-unsur dalamannya, baik secara langsung mahupun secara tidak langsung Dan segala aspek dalaman itu tercerna dalam karya melalui perwatakan, melalui latar, melalui takah-takah penceritaan, simbol dan sebagainya sehingga ianya menjadi sebuah pengalaman baru tentang kemanusiaan. Akan lebih bermakna senilah karya itu kalau aspek spiritual daripada yang mencipta itu dibumbui dengan gaya bahasa yang memperlihatkan kehalusan melalui kaedah pendekatan mengeksploitasikan kemanusiaan yang dalam istilah kesusasteraan diberinya panggilan estetik. Dan dilihat dari sudut yang lebih formal, estetik menyarankan makna sifat rasa halus seni yang berlandaskan persepsi pancaindera dan juga hasrat jiwa
Yang menjadi persoalan karya pun pastinya kemanusiaan yang serba kompleks ini. Segala kerahsiaan kemanusiaan, baik dalam perspektif perhubungan sesama sendiri, mahupun perhubungan dengan penciptanya atau perhubungan dengan alam sekelilingnya, pasti akan menjadi persoalan karya sastera yang besar. Semua dijadikan sumber olahannya dan ini kadang-kadang memperlihatkan kekompleksitian kemanusiaan yang amat canggih sekali sehingga kadang-kadang aspek fizikal dalam karya langsung tidak ditonjolkan oleh sasterawan kerana kemanusiaan hanya diperlihatkan dari aspek spiritual. Sesungguhnya persoalan kemanusiaanlah yang menjadi teras dalam sesebuah karya sastera. Kemanusiaanlah yang menjiwai sesebuah karya sastera yang besar itu.
Begitu juga kalau dilihat kepada yang menerima karya sastera itu sendiri. Pembaca sudah pastilah manusia tetapi manusia yang bukan lagi sekadar menerima tetapi juga pembaca yang berkreatif dan ingin pula mengeksploitasikan karya itu daripada pelbagai sudut dan pendekatan. Aspek dalaman pembaca menjadi ukuran untuk menentukan nilai karya sastera itu kerana segalanya menyentuh aspek dalaman inilah, baik pengarangnya, baik persoalannya mahupun pembacanya. Dalam erti kata yang lain, kemanusiaanlah yang menjadi landasan kesusasteraan dilihat dari segi apa sekalipun.
Pokok penilaian sesebuah karya sastera yang besar pasti saja bertitik tolak dari aspek-aspek kemanusiaan ini, meliputi kualiti kemanusiaan yang disiratkan, realiti kemanusiaan dalam proses penjaringan makna dalam karya, eksploitasi bahasa untuk memberkesankan makna kemanusiaan itu, kemesraan asosiasi melalui metafora, citra dan simbol dengan makna-makna kemanusiaan dan sebagainya. Kemanusiaan seharusnya menjadi sasaran utama dalam pendekatan kritikan. Dan pasti saja kemanusiaan itu perlu didukung oleh ciri-ciri seni yang memperlihatkan estetik kerana estetik juga perlu diserap dalam makna kemanusiaan itu. Kemanusiaan dalam sesebuah karya sastera yang besar perlu dihidangkan secara indah dan berkesan, bukan dengan kaedah yang meminggirkan seni kerana karya sastera seharus nya mementingkan seni. Tanpa estetik, sesebuah karya sastera itu, meskipun bobot dengan makna kemanusiaan, tidak akan lahir sebagai sebuah karya seni yang agung kerana sonder seni, karangan itu hanya sebuah propaganda yang murah saja.
Aspek kemanusiaan yang paling menonjol yang menjadi sumber penting dalam mana-mana kesasterawanan ialah permasalahan kemanusiaan. Semenjak manusia mula diwujudkan lagi hinggalah membawa kepada hari ini, permasalahan menjadi suatu macam identiti kepada manusia itu sendiri. Sejarah manusia adalah sejarah permasalahan pelbagai corak dan pelbagai wajah, permasalahan daripada yang umum kepada yang khusus, daripada yang bersifat luaran kepada yang bersifat dalaman, daripada yang kusut kepada yang seribu kekusutan, daripada yang mudah dileraikan kepada yang canggih sehingga sulit diselesaikan. Meskipun sejarah manusia dilihat dari aspek fizikal dan mentalnya amat mengagumkan, tetapi ternyata aspek spiritual dan dalaman amat menyedihkan sehingga kemanusiaan sekarang ini ter- hakis segala kemurniaan dan kesuciannya.
Kesasterawanan, dilihat dari segi proses kreativitinya dan juga dari segi dirinya sebagai sasterawan, adalah mencakupi permasalahan kemanusiaan ini. Malah, kalau ditinjau aspek sejarah kesusasteraan, teori kesusasteraan, dan kritikan kesusasteraan pun, landasan yang benar dan yang ada hubungan rapat dengan kesusasteraan adalah kemanusiaan. Aspek-aspek lain di luar kemanusiaan adalah sebagai bantuan ke arah mengenali kemanusiaan itu saja. Falsafah kesusas- teraan, aliran-aliran yang tercetus daripada falsafah kesusasteraan, proses penciptaan sesebuah karya sastera dan pelbagai pendekatan menganalisis karya sastera adalah selari dengan sejarah perkembangan permasalahan kemanusiaan terutama permasalahan dalaman kemanu- siaan itu sendiri. Pendekatan kritikan kesusasteraan, kreativiti karya kesusasteraan menjadi begitu canggih dan kompleks serta kadang- kadang menjadi begitu abnormal kerana sejarah kemanusiaan itu sendiri pun amat canggih. Kritikan kesusasteraan dengan pendekatan yang baru yang sedang berkembang hebat di Barat umpamanya telah memperlihatkan sikap dan pandangan hidup masyarakat Barat. Dan kerana kemanusiaan di Barat kini banyak yang tidak mematuhi tuntutan kemanusiaan itu sendiri, maka kesannya pun terlihatkan dalam falsafah dan pendekatan kritikan mereka yang lari daripada landasan kemanusiaan dan terus terjun ke dalam persoalan di luar kemanusiaan seperti gaya bahasa dan teknik-teknik; malah kelihatan benar sekarang ini ada kecenderungan ke arah keabnormalan kemanusiaan yang berpunca daripada penyakit nuerosis dan psikosis. Dan pada detik-detik akhir ini pula kelihatan benar kemanusiaan Barat itu berkembang ke arah tahap yang over-abnormal, ketidakwarasan, kegila- gilaan sehingga kadang-kadang kejutan-kejutan yang kelihatan terkeluar daripada landasan kemanusiaan dalam setiap kegiatan.
Pelarian daripada kemanusiaan ini ketara dalam proses penciptaan sesebuah karya seni seperti kesusasteraan dan juga dalam pendekatan kritikan karya sastera itu. Ada kecenderungan yang nyata bahawa proses kreativiti dan pendekatan kritikan terkeluar daripada lingkungan kemanusiaan dan terbabas ke arah hal-hal pinggiran semata- mata, timbulnya pelbagai permasalahan luaran dan dalaman kemanu- siaan ini dengan sendirinya memperkayakan ilham untuk menjadi titik tolak proses kreativiti kerana proses kreativiti bertolak daripada permasalahan ini; khususnya permasalahan dalaman. Dan di antara aspek kemanusiaan yang menjadi faktor utama permasalahan dalaman kemanusiaan ini ialah komunikasi. Pada awalnya memang komunikasi yang menjadi ciri kesasterawanan itu hanya berkisar pada hubungan luaran semata, perhubungan antara manusia dengan manusia melalui dialog dan sebagainya. Tetapi selaras dengan permasalahan kemanusiaan yang berkembang, komunikasi dalam kesasterawanan itu banyak kepada komunikasi aspek dalaman yang dialirkan melalui monolog. Mimpi, iguanas dan daya khayal yang kadang-kadang begitu memuncak. Dan aspek komunikasi dalaman ini dengan sendirinya melahirkan keselarian dan pertentangan yang membentuk perwatakan yang serba kompleks.
Permasalahan percanggahan nilai dan sikap, permasalahan untuk memilih dan menentukan arah perjalanan perwatakan, semuanya memperlihatkan kecanggihan komunikasi dalaman ini meskipun komunikasi luaran masih juga diperkembangkan, terutama dalam konteks kemasyarakatan yang lebih luas.
Karya-karya sastera yang besar sekarang ini lebih memperlihatkan aspek komunikasi dalaman ini kerana karya itu lebih kepada karya perwatakan, bukan karya kisah seperti yang terlihat dalam zaman-zaman lampau yang lebih memen tingkan komunikasi luaran daripada komunikasi dalaman. Kini komunikasi dalaman menjadi dominan sekali kerana permasalahan kemanusiaan ini adalah permasalahan dalaman dengan segala kerahsiaannya. Permasalahan dalaman itu telah mantap dalam diri dengan segala keunikan dan ketidakwarasannya sehingga wujud pula pelbagai individu dalam diri tertentu itu, sehingga komunikasi dalam diri itu melarat kepada hal-hal yang sukar lagi ditanggung oleh diri dan mengakibatkan diri kehilangan pertimbangan. Maka lahirlah pelbagai individu dalam diri itu yang setiap individu itu tidak pernah diam, asyik dan ghairah bermusuhan dan bertentangan antara satu sama lain sehingga karya itu lebih menyoroti pertentangan dan percanggahan perwatakan individu. Cerita dengan sendirinya ditenggelami oleh perwatakan- perwatakan aspek dalaman ini sehingga berlakunya keluputan kisah. Yang ada hanya pertelingkahan-pertelingkahan idea, percanggahan pemikiran dan peperangan minda individu itu. Trend pertentangan dalaman ini kini begitu menjadi-jadi sekali sehingga sukar lagi bagi kita hendak melihat cerita yang berurutan plot dalam cereka atau cerita yang lebih mementingkan episod pertemuan yang terarah kepada komunikasi luaran. Sering benar kita temui karya-karya sastera yang besar sekarang ini sebagai karya yang hanya menonjolkan perdebatan pemikiran, perdebatan dalam minda. lanya lebih merupakan huraian-huraian aspek psikologi diri; tidak lagi merupakan sosiologi masyarakat yang mementingkan komunikasi luaran. Bertolak daripada komunikasi dalaman yang serba kompleks ini, kesasterawanan kadang- kadang mengambil gagasan yang dipopularkan oleh Albert Camus; terutama aspek pemberontakan. Mengikut Albert Camus, individu- individu dalam diri itu sering bercanggah kerana terputusnya komunikasi dan lahirlah pemberontakan yang maha hebat kerana tanpa pemberontakan diri para watak, kewujudannya tidak bermakna apa- apa lagi. Pemberontakan di-tonjolkan demi untuk memberi makna kepada kewujudan diri itu sehingga diri menjadi asing kepada diri sendiri. Hasil daripada terputusnya komunikasi dan lahirnya pemberontakan dalam diri itu, diri menjadi orang asing kepada diri. Diri tidak lagi mengenal dirinya. Dan diri dibawa oleh detik dan zaman untuk terus mengalir bersama kekosongan kehidupan dan akhirnya luput dimamah zaman dan ditelan oleh tanah yang menjadi asal usulnya. Diri menjadi asing kepada kewujudannya sehingga diri adalah outsider kepada diri sendiri. Segala-galanya menjadi kosong. Yang ada hanya unit-unit pemberontakan demi pemberontakan sehingga diri menjadi lesu secara fizikalnya dan menjadi canggih aspek rohaniahnya. Dan unit-unit pemberontakan dalam diri itu pula tidak boleh tinggal diam lagi. Dia memberontak. Dia memprotes dan menentang apa saja yang terbayang dan terlintas. Diri menjadi aku dan akunya itu merijadi anarchist, menjadi atheis, menjadi materialis dan nihilis. Segalanya tidak membawa makna apa-apa lagi termasuk kewujudan dan makna kehidupan ini.
Permasalahan kemanusiaan aspek komunikasi dalaman ini menjadi puncak dalam sejarah manusia zaman sekarang. Dan dengan sendirinya menjadi sumber yang ideal bagi kesasterawanan di mana- mana. Novel atau cerpen bukan lagi novel komunikasi luaran. Cereka telah benar-benar memperalatkan kisah untuk melahirkan karya perwatakan yang berkrisis komunikasi dalamannya. Segala-galanya yang tradisional dan yang memperlihatkan kepatuhan pada syarat- syarat penulisan cereka dihakiskan; diganti dengan cereka tanpa kisah, tanpa wira dan wirawati, tanpa plot, tanpa latar yang konkrit. Yang ada hanya pertentangan sikap dan percanggahan idea yang dirumit dan ditupang-tindihkan.
Puncak permasalahan dalaman manusia sekarang ini amat ketara dalam karya-karya sastera; baik dalam novel, cerpen, drama mahupun puisi. Kekacau-bilauan dalam pengadunan isi dan teknik dengan kesonderan imbangan dan kesonderan perwatakan, serta yang saling bertentangan tanpa logika menguasai karya-karya sastera sekarang ini untuk menyoroti realiti masyarakat yang serba kehilangan arah dan penuh kejutan-kejutan.
Dalam aspek yang lain, ianya juga memperlihatkan kebebasan proses kreativiti tanpa batasan apa-apa. Manusia yang bermasalah perlu dilepas bebas mencari nilai sendiri, bukan berdasarkan nilai-nilai mutlak. Para watak bergerak dan bertindak penuh teka-teki untuk membayangkan kehilangan arah kehidupan. Jeritan-jeritan batin perwatakan tidak menentu hala ini dipertalikan pula dengan kisah tanpa plot dan juga kisah tanpa kisah. Yang ada hanya jeritan-jeritan, keluhan-keluhan melalui monolog yang berliku, mimpi dan igauan yang sukar mentafsirkan makna-makna di sebalik konotasi yang pelbagai.
Punca utama yang menimbulkan permasalahan dalaman ini antara lain ialah kekaburan komunikasi manusia dengan Penciptanya sehingga kemesraan dan cinta terhadap Pencipta itu hanya merupakan cinta pinggiran saja: tidak cinta yang mampu menjaminkan bahawa komunikasi manusia dengan Pencipta itu adalah pengesah kepada komunikasi dan tindakan-tindakan yang lain. Manusia bebas tanpa ikatan kepada Pencipta lagi, malah ingin pula memberontak, bukan saja memberontak untuk menentang Penciptanya tetapi juga timbul kerinduan untuk menggantikan tempat Penciptanya itu. Dia kehilangan segala-galanya.
Baca : https://jurnalsangpemula.com/shahnon-ahmad-kesasterawanan-dan-kemanusiaan-bahagian-2/
Esei ini dimuatkan dalam Kesasterawanan, Kepolitikan, Kealaman, Kedirian, Kemanusiaan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1992.
Profesor Emeritus Dato’ Shahnon Ahmad merupakan Sasterawan Negara yang kedua. Shahnon dilahirkan di Banggol Derdap, Sik, Kedah pada 13 Januari 1933. Mula bersekolah pada tahun 1941 di Sekolah Melayu Sik sehingga lulus darjah lima pada tahun 1946. Seterusnya, beliau menyambung pengajian di Kolej Sultan Abdul Hamid (1947 − 1953) sehingga lulus Sijil Persekolahan. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di Australia National University, Canberra dan lulus Sarjana Muda Sastera pada tahun 1971. Seterusnya beliau memperolehi Sarjana Sastera dari USM pada tahun 1975.
Beliau memulakan kerjaya sebagai guru di Grammar English School, Kuala Terengganu pada tahun 1945. Kemudian menjadi pegawai tentera pada tahun 1955 − 1956, tetapi mengalami kecederaan dan kembali menjadi guru semula. Beliau menjadi guru bahasa Inggeris di Sekolah Melayu Gunung dan Sekolah Bukit Besar di Kedah antara tahun 1957 − 1959. Beliau kemudian menjadi guru bahasa di Kolej Sultan Abdul Hamid (1960 − 1963) dan mengajar sastera di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Halim pada tahun 1967. Pada tahun 1968, beliau menjadi pembantu penyelidik bagi Projek Perkamusan Bahasa Inggeris-Malaysia dengan Jabatan Bahasa dan Sastera Indonesia di Australia National University, Canberra. Sekembali dari Australia beliau menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris dan kemudian ditawarkan menjadi pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1974. Beliau dilantik menjadi Dekan Pusat Pengajian Ilmu dan Komunikasi,1979 dan Professor Sastera, 1980 dan professor penuh ,1992. Kemudian beliau menjadi Pengarah Pusat Islam di USM dan turut menceburi bidang politik dan Ahli Parlimen Sik,1999.
Shahnon Ahmad merupakan seorang pengarang, penyelidik, pengkritik dan pengajar kesusasteraan yang kreatif dan tekun. Beliau telah menghasilkan 19 buah novel, 15 antologi cerpen dengan 80 cerpen dan 18 cerpen terjemahan, empat buah drama, 17 artikel ilmiah termasuk 47 kritikan sastera. Novel Rentong dan Ranjau Sepanjang Jalan telah melonjakkan nama beliau sebagai novelis hebat sehingga beliau diberikan gelaran Pejuang Sastera oleh Tun Hussein Onn pada tahun 1976.
Shahnon telah menerima anugerah Hadiah Karya Sastera (1971 − 1973) dan Anugerah ASEAN 11 Kebudayaan, Komunikasi dan Persuratan Kesusasteraan (1990) dengan yang tertinggi sebagai Sasterawan Negara kedua pada tahun 1982. Beliau juga diangkat sebagai Tokoh Maal Hijrah,USM serta dianugerahi KMN (1974) dan Datuk Setia Diraja Kedah oleh Sultan Kedah, 1980 dan Professor Emeritus oleh Universiti Sains Malaysia pada 11 September 1993. Beliau telah kembali ke rahmatullah pada 26 Disember 2017 pad usia 84 tahun di Hospital KPJ Kajang akibat pneumonia dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Bangi
Sumber : Pusat Ilmuan Darul Aman
