Mendada – Dada di Jalan Yang Sempit

Jikalau dipandang dari segi kebangsaan memang agama Islam tidak mendatangkan apa-apa kebaikan kepada bangsa Melayu manakala difikirkan lama masanya kita telah memeluk agama itu – Keris Mas

SEWAKTU saya menukil kutipan daripada tulisan sasterawan besar kita iaitu Keris Mas, pelbagai persoalan berlari-lari di dalam ruang fikiran yang tak dapat saya hadamkan.  Apakah yang akan terjadi sekiranya seorang Keris Mas hidup pada zaman ini? Dengan kata-kata beliau itu sudah pasti media sosial akan bergegar.

Beliau mungkin akan menerima label sesat, jahil, murtad dan bodoh. Kelompok yang menghurung Keris Mas mungkin kelompok yang kehilangan naluri rasionalnya bertempik dan menjerit dengan caci maki tanpa cuba memahami dahulu apa yang mahu disampaikan oleh sang penulis. 

Untuk ini saya harus memuji bagaimana masyarakat dahulu menerima kritikan. Mereka lebih terbuka terhadap pembaharuan kerana sepanjang pembacaan saya tidak ada demonstrasi besar-besaran mahupun makian berbentuk tulisan yang dilemparkan terhadap sasterawan besar kita setelah artikelnya diterbitkan di dalam akhbar Utusan Zaman.

Keris Mas memang seorang yang berani, pastinya keberanian hadir dengan kekuatan intelektualisme yang tinggi.

Terdapat dua tulisan besar yang menggambarkan kritikan Keris Mas terhadap pemuka dan juga institusi agama termasuklah “Perayaan Maulud dan Nasib Bangsa” dan juga “Agama tidak salah: Kitalah yang terbongkok-bongkok melalui jalan raya yang lurus” Jadi dari tulisan yang dihasilkan pada tahun 1948 ini, apa yang boleh dikesani sudah tentu kritikan terhadap tafsiran, pemuka dan institusi agama bukanlah baru dan asing di tempat kita.

Para sasterawan malah telah bertanggungjawab memikul tugasan ini. Bagi saya inilah tugas intelektual yang sebenar seperti mana yang diungkapkan oleh Edward Said “seorang intelektual bukanlah sosok yang mengeram dalam kubangan kemapanan kelas dominan, tetapi menyebelahi posisi marginal dalam sebuah struktur masyarakat yang tempang, juga yang berani bercakap soal kebenaran di hadapan sang penguasa.”

Makanya, saya begitu runsing, ketika tulisan saya dan isteri di laman X mengkritik fatwa yang sepatutnya tidak dikeluarkan ketimbang masalah-masalah lain yang menumpuk dan membencanakan masyarakat lebih lagi.

Kritikan itu menerima pelbagai cercaan dan hinaan yang tidak berasas sehingga disambut-sambut dengan fitnah yang mengatakan kami berdua termasuk dalam kelompok yang membenci Islam. Sampai ke hari ini, tiada satu pembuktian dan artikel balas dari tulisan saya yang menujukan bahawa kami berniat sebegitu. 

Nah, disebabkan itu saya mengambil posisi untuk menulis beberapa siri bagi menjelaskan tanggungjawab saya sebagai penulis dan gagasan saya tentang sikap keberagamaan dengan merujuk para pemikir terdahulu. Setiap pemikiran saya sudah tentu ada rujukan dan pemberatnya tidak hanya dilepaskan secara sewenangnya termasuklah dengan merujuk kembali tulisan Keris Mas.

Islam itu merupakan panduan hidup yang di dalamnya kaya dengan ilmu pengetahuan dan kemudahan, tetapi mengapa ramai yang memilih untuk mendada-dada (bongkak) pada jalan (pemikiran) yang sempit juga fanatik?

Oleh itu, penting untuk kita memikir-ulang apa yang telah digagaskan oleh sasterawan terdahulu supaya dapat kita merenung dan merefleksikan kondisi masyarakat hari ini yang banyak dipukul oleh ego-ego dan rasa kebenaran tuntas 

Kritikan Keris Mas terhadap pemahaman Islam yang sempit

Akal sebagai syarat beragama

Keris Mas seperti juga kelompok intelektual yang lain tidak terlepas dari menggariskan bahawa setiap orang yang beragama tidak harus meninggalkan akal. Hal ini sedikit sebanyak telah menghakis pandangan kelompok yang menganggap bahawa akal merupakan penghalang kepada ketaatan beragama. Entah kenapa mereka yang meletakkan posisi sebagai “orang beragama” sering kali meletakkan akal sebagai musuh. Akal di sini bukanlah bertujuan untuk mempersoalkan keesaan Tuhan yang memang sedia maklum tidak perlu diganggu gugat mahupun didebatkan.

Sebaliknya terma akal yang rasional di sini digunakan untuk melihat kembali segala ujaran dan tafsiran yang dikemukakan oleh pemuka agama dengan pandangan yang kritis. Tafsiran agama haruslah mengikut keadaan zaman dengan mengambil kira semua disiplin ilmu termasuk sains dan sains sosial. Tafsiran agama juga tidak boleh mengesamping kelompok marginal dan miskin kerana semangat Islam adalah semangat universal dan egaliter, mustahil jika Islam mahukan adanya kelompok yang tertinggal.

Ilmu adalah kuasa dan teks sering kali digunakan untuk menguasai yang lain, sebab itu perlukan akal rasional untuk membaca pada siapa disampaikan dan menguntungkan kelompok yang mana?

Disebabkan oleh kelemahan menggunakan akal rasional, umat Islam di seluruh belahan dunia sentiasa menjadi mangsa perbudakan dan tidak boleh mandiri dalam membuat keputusan. Keadaan ini begitu menggusarkan disaat adanya kelompok fanatik yang mahu mempamerkan tafsiran agama mereka itu sebagai tafsiran kebenaran tuntas dan mampu menyelamatkan dunia, tetapi masih ramai lagi umat Islam yang hidup dalam keadaan perbudakan ataupun dijadikan hamba umpama lembu dicucuk hidungnya.

Inilah yang menjadi teguran Keris Mas dalam eseinya. Keris Mas menyatakan begini:

“Alangkah susahnya kita mencari ilmu pada hal bangsa Arab di zaman Nabi (s.a.w) yang sedang tenggelam dalam kejahilan yang hidup berbunuh-bunuhan itu dapat menjadi satu bangsa yang mulia dan mengambil ilmu pengetahuan daripada Islam hanya dalam beberapa puluh tahun sahaja.”

Sambung beliau lagi:

“kita bersibuk memberi dan mendengar syarahan-syarahan supaya Umat Islam meniru perjalanan Nabi Muhammad (s.a.w) taat beribadat, berbudi pekerti yang tinggi dan lain-lain lagi. Akan tetapi kita lupa bahawa bangsa kita, orang-orang Melayu yang boleh dikatakan semuanya Islam itu sekarang ini sedang menderita sedang dihimpit dan ditindas dari segenap penjuru kehidupan. Apakah yang ada pada bangsa kita yang miskin dan sengsara itu, jangankan hendak mendirikan masjid-masjid yang indah  yang menaranya mencakar langit seperti menara gereja-gereja orang Kristian, sedangkan untuk membeli sehelai kain sembahyang pun orang kita tidak sanggup. Bolehkah menegakkan agama Islam yang suci itu dengan tenaga kita yang telah terikat sebagai hamba kepada bangsa-bangsa yang berkuasa menentukan dan menyukat kehidupan kita?”

Bangsa-bangsa di sini bukanlah membawa maksud ras, warna kulit dan agama. Keris Mas tidak cenderung menjadi seorang yang rasis seperti mana sebahagian pemuka agama yang lain. Jika kita mengikuti semua karya keris Mas seperti novel  “Saudagar Besar dari Kuala Lumpur” dan cerpennya “Salah Pimpin”, bangsa bagi Keris Mas itu termasuklah bangsa yang menindas, kapitalis dan penunggang agama.

Bagi beliau dengan akal juga umat Islam dapat memahami fungsi agama yang jelas terutama terhadap masyarakat. Beliau menuliskan lagi:

“Agama Islam yang dibawanya itu ialah agama kesejahteraan, agama yang menjadi kesimpulan daripada beberapa agama sebelumnya yang merupakan peraturan dan un-dang-undang serta faham yang akan sesuai untuk segala masa hingga hari kiamat. Daripada 6666 ayat di dalam Quran hanya 160 sahaja yang khas menerangkan perkara-perkara ibadat, selainnya itu meliputi semua sekali kehidupan dan pergerakan alam ini, sejak daripada langit dan matahari sampai kepada logam-logam yang tersembunyi di dalam perut bumi, sejak daripada adab dan kelakuan sampai kepada pemerintahan dan peperangan sejak daripada lebah yang mengumpulkan madu sampai kepada ekonomi dan perdamaian dunia. Tidak ada yang tertinggal dan tidak ada kurangnya sedikit jua pun. Agama Islam itu lengkap dan sempurna untuk menjadi pedoman hidup yang berbahagia, mulia dan sentosa bagi semua bangsa dan semua golongan. Akan tetapi bangsa Melayu sebagaimana yang saya katakan tadi tidak menerima faedah kebaikan dan kesucian yang diturunkan Tuhan itu.”

Mencegah Kefanatikan dalam beragama

Kefanatikan sebenarnya adalah musuh utama bagi orang beragama kerana kefanatikan akan menghasilkan tindakan autoritarian dan tirani. Lihatlah bagaimana kes-kes yang melibatkan jenayah pemuka agama bermula dengan kefanatikan pengikutnya. Mereka hanya memandang dengan hanya satu jalur pemikiran.

Ketika kopiah, songkok dan jubah diperagakan maka orang itu harus diikuti pandangannya tanpa mempersoalkan apa yang dikatakan. Tindakan sebegini merupakan tindakan yang paling aneh. Manusia telah menyerahkan diri dan memajakkan otaknya sendiri sekali gus telah merendahkan amanah akal yang telah dipertanggungjawabkan oleh Tuhan kepada manusia. Nah, hal ini dengan lantang telah dikritik oleh Keris Mas.

“Kita telah salah sendiri, bukanlah agama yang salah dan bukanlah agama itu kolot dan penuh kurafat. Kerana kita telah mengikut dan dipengaruhi oleh jalan-jalan baharu yang simpang perinang, kita mencari imam dan guru di antara kalangan orang-orang yang terhimpit lidahnya untuk mengatakan kebenaran, yang tertutup hatinya oleh bintang dan kehormatan yang berat pergerakannya oleh sebab jubah labuh dan serban yang besar. Kita telah bersalah dan ulama-ulama yang bertanggungjawab tidak membawa kita kepada ajaran Islam yang sebenarnya sehingga agama Islam itu patuh dengan kurafat-kurafat dan keburukannya yang dibikin oleh tangannya dan sebab itu bangsa Melayu tenggelam dalam kegelapan tidak menerima cahaya Islam itu walaupun telah beratus-ratus tahun dipeluknya.

Inti lebih penting berbanding Simbol

Agama bukanlah sebuah pertunjukan sarkas. Agama merupakan sebuah Tindakan dan perlakuan yang mendorong kepada nilai-nilai kemanusiaan universal. Nabi tidak hanya berperanan dengan memaparkan simbol-simbol agama malah nabi mengambil posisi dengan aksi  di mana baginda menyebelahi kelompok miskin yang tertindas.

Umat Islam harus bergerak dengan memahami Islam dengan lebih jelas iaitu mengenepikan simbol-simbol yang dipercayai merupakan tunjang agama kepada Tindakan-tindakan yang menunjukkan nilai agama. Pandangan ini berbaringan dengan apa yang telah diungkapkan oleh Keris Mas. Kata beliau:

“Kita telah menerima Islam menjadi agama dan telah menerima Quran sebagai undang-undang bagi seluruh kehidupan dan pergaulan hidup kita, tetapi kita telah tidak menjalankannya tidak menjadikan ia pedoman dan ikutan. Kita terbongkok-bongkok memikul agama beratus-ratus tahun lamanya pada hal agama itu ialah jalan raya yang luas yang boleh kita lalui dengan leluasa menuju keselamatan, kesejahteraan dan keredhaan Allah. Kita tidak hendak membuka kitab Tuhan yang kita pikul ter-bongkok-bongkok itu yang di dalamnya berisi sinar yang terang benderang Sementara ulama-ulama mengajarkan kepada kita faedah dan pahala membaca Al-Quran Al-Karim, murid-murid mengaji yang merdu suaranya diberi hadiah dan dipuji-puji tetapi orang-orang yang menjalankan perintah Quran itu dengan sebetulmya yang memperjuangkan keadilan dan persamaan di muka bumi ini dikutukki dan dimarahi oleh ulama-ulama sebab tidak fasih lidahnya membaca matan Quran. Seolah-olah matan itulah yang lebih penting dan utama daripada isinya.”

Kesimpulan

Banyak yang boleh dipelajari daripada ungkapan leluhur kita. Keris Mas dalam tukilan yang saya kutip pada awal tulisan ini bukanlah sebuah tanda membenci agama, sebaliknya beliau cuba meluruskan kembali kefahaman agama yang telah bersimpang siur supaya agama itu lebih dicintai dan memanfaatkan ramai orang lagi. Kita perlu segera mengambil manfaat dari agama dan jangan dipinggirkan lagi. Jika tidak agama hanya menjadi zikir di mulut tetapi kosong di akal dan hati.