Kumpulan Bacaan Perempuan memberikan aku peluang untuk meneliti beberapa bacaan berkenaan gender yang jarang diapungkan. Aku berasa teruja kerana Farahin setuju untuk sama-sama menggerakkan kumpulan bacaan ini kerana sesi-sesi bacaan ini adalah satu-satunya ruang berwacana di luar kelas pengajian sarjana yang sedang aku jalani ketika itu.
Setelah meneliti beberapa bacaan terkait keadilan gender dalam Islam dan membahas tokoh wanita Nusantara yang mengangkat persoalan keadilan antara lelaki dan perempuan, kami melanjutkan bacaan berkenaan gender, kelas dan pembangunan. Tidak dinafikan, wacana ini dalam bahasa Inggeris sangat terkehadapan dan mudah untuk mendapatkan bahan bacaan. Namun, bagi mengekalkan citra Nusantara, kami telah memilih buku ‘Analisis Gender dan Transformasi Sosial’ oleh Mansour Fakih sebagai permulaan terhadap wacana ini. Mansour Fakih sendiri terkenal membawa wacana pembangunan seperti teologi pembebasan, kearifan lokal, kemiskinan dan impak kapitalisme di Indonesia, maka pilihan ini dibuat bagi memanjangkan wacana pembangunan yang lebih memahami konteks di rantau Nusantara (konteks Nusantara yang dimaksudkan disini adalah gabungan pengalaman kita di rantau ini sebagai warga ‘global south’ iaitu negara-negara bekas jajahan kuasa imperial dan tertakluk kepada order pembangunan neoliberal).

Menurut Mansour Fakih, analisis gender seperti juga analisis sosial yang lain adalah alat dalam memahami realiti sosial. Ia menjadi lensa yang digunakan untuk mengungkap ketidakadilan gender yang mendasar. Analisis gender merupakan kacamata baru untuk menambah, melengkapi analisis sosial yang telah ada, dan bukan menggantikannya.
Konsep pembangunan, yang sering dikaitkan dengan kemajuan ekonomi dan modernisasi, telah mengalami evolusi sejarah yang panjang. Bermula dari perang dingin, Konsep pembangunan dibangunkan sebagai alat untuk membendung pengaruh sosialisme dan memperkuat dominasi kapitalisme. Teori modernisasi, yang menjadi landasan utama pembangunan kapitalisme, menempatkan manusia sebagai faktor utama perubahan dan mengabaikan struktur sosial yang lebih luas (seperti kelas, beban sejarah dan capaian sumber). paradigma pembangunan kapitalisme ini memiliki kelemahan fundamental. Ia memperkuat ketidakadilan gender, memarginalkan pengetahuan lokal, dan mengorbankan alam sekitar.
Feminisme muncul sebagai gerakan perlawanan terhadap ketidakadilan gender. Aliran-aliran feminisme yang beragam menawarkan perspektif yang berbeza tentang akar permasalahan dan penyelesaian yang ditawarkan. Feminisme bukanlah perjuangan emansipasi perempuan menentang lelaki kerana mereka iuga sedar bahawa kaum lelaki (terutama kelas proletar) juga mengalami penderitaan yang diakibatkan oleh dominasi, ekspioitasi serta penindasan dari sistem yang tidak adil. Feminisme adalah gerakan transformasi sosial. Yang ditentang bukan perbezaan yang disebabkan biologi, tetapi struktur ketidakadilan yang dicipta dari perbezaan biologi tersebut.
Mansour juga meneroka perbezaan ideologi feminiti dan maskuliniti (sifat-sifat ini boleh ada pada lelaki atau perempuan, ada perempuan/laki yang seimbang feminiti dan maskulinitinya, ada pula yang cenderung kepada salah satu sahaja, ini adalah sifat/idea bukan biologi). Feminiti adalah ideologi yang berciri kedamaian, keselamatan, kasih dan kebersamaan. Maskuliniti pula mempunyai karakter persaingan, dominasi, eksploitasi dan penindasan. Katanya ada gejala umum melanda kaum feminis sendiri iaiu ‘hosting the oppressor’s ideology’ yakni maskuliniti, semisalnya memuji sifat-sifat rasional yang tidak mengimbang emosi sebagai salah satu faktor, walhal emosi juga merupakan karakter penting dalam kemanusiaan seseorang.
Aspirasi Feminis Global Selatan
Pembangunan dan feminisme saling terkait erat. Pembangunan yang tidak dihadirkan dengan berperspektif gender akan memperkuat ketidakadilan yang sedia ada. Sebaliknya, feminisme tanpa mempertimbangkan konteks sosial, kelas dan sejarah akan sukar untuk mencapai tujuan perjuangannya.
Gagasan dengan nada yang sama diulang teriak oleh Nancy Fraser dalam bukunya Feminism for 99%: A Manifesto. 99% itu merujuk kepada kita semua kaum pekerja, mensyaratkan bahawa bentuk feminism untuk kita semua haruslah:
- anti-kapitalis.
- anti-imperialis.
- anti-rasis.
- mesti menuntut keadilan ekonomi.
- mesti menuntut keadilan sosial.
- mesti menuntut keadilan ekologi.
- mesti menentang semua bentuk kekerasan.
- mesti menuntut hak untuk mengurus dan menjaga kehidupan.
- mesti menuntut hak untuk menikmati kebudayaan sendiri.
- mesti menuntut hak untuk menentukan nasib sendiri.
- mesti menjadi gerakan massa.

Kita harus memahami kapitalisme sebagai sistem politik-ekonomi telah juga merubah sistem sosial, banyak permasalahan gender bukan hanya berdiri atas kerana jenis gender semata-mata tetapi kerana masalah pengagihan ekonomi yang dikuatkan oleh kapitalisme.
Kemudiannya, dasar neoliberalisme yang dipegang oleh institusi kewangan kita sekarang mengancam sistem kesihatan awam, perumahan awam, dan pengangkutan awam hingga menekan warga masyarakat lebih-lebih lagi kepada perempuan. Oleh itu, merungkap apakah permasalahan kapitalisme neo liberalisme sangat penting supaya kita tahu apakah tuntutan yang perlu kita kedepankan.
Vandana Shiva, seorang tokoh ekofeminisme yang terkemuka, menyuarakan keprihatinan mendalam terhadap kerusakan alam sekitar yang diakibatkan oleh model pembangunan kapitalisme. Beliau mengkritik keras praktis monokultur dan standarisasi dalam pertanian yang mengabaikan keberagaman bio dan pengetahuan lokal. Shiva juga menyoroti pentingnya mengakui pengetahuan tradisional, khususnya perempuan, dalam mengelola sumber daya alam.
Ekofeminisme
Menurut Shiva, ketidakadilan global utara-selatan merupakan akar masalah utama. Eksploitasi sumber daya alam negara-negara berkembang oleh negara-negara maju telah menyebabkan kerosakan alam sekitar yang parah dan mengancam keberlangsungan hidup masyarakat. Beliau juga menentang paradigma pembangunan kapitalis-neoliberal yang mengutamakan keuntungan ekonomi semata tanpa mempertimbangkan impak lingkungan sosial.

Shiva mengajak kita untuk beralih ke model pertanian yang lebih lestari atau berkelanjutan, yang menghormati alam dan masyarakat. Beliau menekankan pentingnya menjaga keanekaragaman bio, mendukung petani kecil, dan mempromosikan keadilan sosial. Selain itu, Shiva juga mengingatkan kita akan bahaya digitalisasi yang dapat mengancam pengetahuan lokal dan ketahanan sumber alam.
Dalam konteks yang lebih luas, pemikiran Shiva mengajak kita untuk meredefinisi konsep pembangunan. Pembangunan yang berkelanjutan bukanlah sekadar pertumbuhan ekonomi, tetapi juga mencakup kesejahteraan sosial, keadilan, dan pelestarian lingkungan. Dengan demikian, kita dapat membangun masa depan yang lebih baik bagi generasi mendatang.
Sesi bacaan terdahulu, terutamanya dalam “Analisis Gender & Transformasi Sosial” oleh Mansour Fakih dan “Feminist for 99%”, telah membincangkan bagaimana perubahan sistem politik-ekonomi membawa perubahan kepada struktur sosial dan budaya. Kolonial-kapitalis dan neoliberalisme memperkuat patriarki, menjadikan nilai patriarki ini lebih sistematik. Membaca Vandana Shiva akan membantu kita memahami bagaimana paradigma pembangunan kapitalis membawa bencana kepada perempuan apabila alam sekitar dirosakkan.
Dalam sesi ini, teman-teman telah berkongsi cerita bagaimana ibu-ibu memang akrab dengan kerja-kerja menanam dan berkongsi benih pokok, malah mereka dapat ‘membaca’ cuaca jika-jika hari akan hujan atau tidak. Perbincangan dilanjutkan dengan soalan ‘bagaimana lensa gender membantu dalam sistem pertanian negara kita’, kita bersetuju jika yang pertama sekali adalah mengakui sistem ilmu pengetahuan tradisional tempatan lagi-lagi yang dimiliki oleh petani-petani kecil kita tak kira di kampung, dalam komuniti Orang Asli, termasuk Sabah dan Sarawak.
Jabatan kerajaan dan penyelidik di insitutis-institusi negara harus mengiktiraf pemilikan benih dan pengetahuan yang datang dari petani, kerana banyak terjadi dimana jabatan pertanian tidak mengendahkan pandangan petani malah benih-benih yang diberi petani sendiri ditukar nama setelah melalui proses penyelidikan, kesannya benih tersebut tidak lagi disusur galurkan kepada petani sendiri.
Di akhir perbincangan juga kita telah melihat serba-sedikit bagaimana perempuan sangat terkesan dengan perubahan iklim kerana di banyak belahan dunia, perempuan masih mengerjakan tugas mencari air bersih untuk kegunaan harian keluarga. Di Indonesia, masyarakat pesisir pantai di Jakarta mengahwinkan anak perempuan mereka dengan lebih awal kerana kemerosotan hasil tangkapan dan kenaikan air laut membuatkan mereka menggusur. Hal yang sama terjadi dalam kalangan masyarakat orang asli ketika empangan Nenggiri mahu didirikan, syarat pampasan kerajaan hanyalah kepada keluarga, maka anak-anak perempuan dibawah umur dikahwinkan untuk mendapat pampasan tersebut.
Mempertajam lensa gender dalam menganalisis perubahan sistem politik-ekonomi dan dasar-dasar negara terkini sangatlah penting untuk melindungi perempuan dari eksploitasi dan marginalisasi. Bacaan karya Vandana Shiva menawarkan perspektif yang berharga dalam memahami kesan sistem ini terhadap perempuan.
Bacaan-bacaan ini penting dikehadapankan, kerana ia memberi lensa yang lebih jelas bagaimana perempuan dikesampingkan dalam proses pembangunan yang diwarisi dari zaman imperial-kapitalis hingga ke hari ini dan mengakibatkan ketimpangan sosial. Seperti kata teman kami, melawan dusta “feminisme sesat” hanya satu hal dalam banyak hal yang lain. Orientasi pembangunan neoliberal yang makin menguat adalah hal yang sepatutnya kita risaukan kerana ia akan mengancam sistem perumahan, pendidikan, pengangkutan dan kesihatan awam negara kita. Ditambah dengan keadaan iklim dunia yang makin tidak menentu, kita seharusnya keluar dari ketakutan “bahaya feminisme” dan bertindak bersama mencabar pembangunan yang hanya menguntungkan kaum pemodal.