Abad kedua puloh ini merupakan zaman yang penoh tanda-tanya untok kaum wanita. Ia tidak tahu apa-kah yang sa-benar di-harapkan daripada-nya. Kalau dulu sa-orang wanita itu sudah chukup memenohi kewajipan-nya jika ia menjadi sa-orang isteri yang ta’at dan ibu yang baik, sekarang ia di-kehendaki berlaku lebeh dari itu. Ia juga di-kehendaki menjadi orang terpelajar yang sanggup ber- juang di-samping suami-nya, dan ia juga di-tuntut supaya tetap tinggal sa-bagai lambang keberahian yang chantek molek yang merupakan sumber ilham dan kegairahan kaum lelaki.
Bagaimana-kah wanita abad kedua puloh hendak memenohi peranan-nya yang berbagai chorak ini? Ia di-kehendaki tetap menjadi perempuan yang lemah lembut dan halus budi bahasa, intisari dari segala sifat2 keibuan yang sempurna, tetapi ia juga di-kehendaki sekarang men- chanai otak-nya dengan ilmu pengetahuan yang tinggi2 supaya layak menjadi orang yang bertanggong-jawab dalam berbagai2 lapangan kerja di-luar rumah-tangga. Tidak-kah kedua peranan ini bertentangan?
Seorang ibu mesti sentiasa lemah lembut dan mengalah, sentiasa teliti menjaga keselamatan anak-anaknya, sedangkan seorang wanita pejabat mesti memupuk sifat berdaya saing, atas mengatasi dari rakan2 sa-kerja, selalu berhati2 dan keritis dalam kerja dan pergaulan-nya. Yang lebeh mustahil- nya, bagaimana-kah kedua peranan yang bertentangan ini hendak di-sesuaikan dengan apa yang nampak-nya menjadi impian kaum lelaki (jika kita terima gambar2 iklan yang kita lihat, film dan buku yang kita tatap dan lagu2 kesukaan ramai) ia-itu wanita sa-bagai lambang daya berahi, perempuan chantek yang menjadi barang permainan dan penghibor untok lelaki. Mungkin-kah sa-orang yang merasa diri-nya manusia yang mempunyai harga diri dan bertanggong-jawab mahu membiarkan diri-nya di-jadikan barang permainan sa-mata2?
Soal apa-kah peranan-nya yang sa-benar dalam masharakat modern ini telah menjadi bagitu rumit untok wanita kerana nampak-nya kaum lelaki tidak tegas dan jelas tentang kemahuan mereka sendiri. Sa-bahagian daripada mereka mimpikan masharakat lama di-mana kaum wanita-nya tetap tinggal menjadi suri rumah-tangga yang mengurus dan mengasoh anak2-nya sementara menunggu suami-nya pulang kerja. Orang2 lelaki yang bersikap bagini, kalau pun tidak menchela kaum perempuan yang bekerja di-luar, dalam diam2 tidak menyukai wanita yang bebas hidup-nуа. Mereka suka mempengarohi isteri-nya sendiri supaya tinggal di-rumah dan jangan bekerja. Mereka agak-nya tahu bahawa ini bertentangan dengan kechenderongan zaman, yang menghendaki sa-berapa banyak tenaga kerja dalam masharakat dengan ta’ kira jenis, sebab itu mereka tidak mahu mengkeritik wanita yang bekerja di-luar sa-chara terang2. Tetapi daripada tindakan mereka, yang memileh isteri yang tidak bekerja atau menghalang isteri yang me- mang bekerja, kita tahu apa-kah sa-benar-nya fikiran mereka.
Kalau kita lihat dari iklan2 yang di-siarkan dalam akhbar dan majallah, juga dari film, lagu dan buku yang melimpah2 banyak-nya di-pasaran sekarang, kita pula sa- olah2 di-beritahu bahawa kaum wanita ia-lah objek dari kegairahan kaum lelaki yang ingin berpeleser dan bersedap2. Wanita di-tunjokkan sa-bagai gadis2 muda yang chantek dan genit, dengan make-up dan pakaian yang mendedahkan semua daya penarek-nya. Untok iklan motokar, kipas angin, sabun, berus gigi, minyak rambut, rokok, minuman2, bahkan untok apa saja, kita akan di-tunjokkan muka dan potongan badan wanita yang sa-paroh terdedah.
Iklan2 berunsor sex ini seluroh-nya di-tujukan kapada saranan bahawa dalam pelokan perempuan ada-lah shorga dunia yang penoh pelbagai nikmat dan bahagia, dan bahawa segala usaha terhadap kejayaan dalam dunia ini mempunyai matalamat yang satu, penaklokan wanita2 manis yang memberahikan.
Yang hairan-nya bagaimana-kah wanita itu boleh tetap menjadi suri rumah-tangga yang setia yang sa-tiap sa’at mesti bermastautin dalam rumah pada hal dia juga di- kehendaki, bahkan di-gesa oleh sa-paroh orang dan oleh peredaran masa dan keadaan, untok menjadi wanita2 terpelajar yang di-lateh supaya berfikir dengan terang dan terator, mempunyai ilmu pengetahuan yang luas, dan chekap menjalankan berbagai2 pekerjaan, yang berbentok pentadbiran atau pun keahlian? Bila sa-orang wanita sudah menjadi sa-orang yang terpelajar dan tajam otak-nya, mungkin-kah ia mahu di-perlukan sa-bagai suatu objek yang khusus untok keseronokan kaum lelaki? Saya rasa tidak.
Umum-nya pelajaran memberi orang kebebasan untok berfikir menentukan chorak hidup-nya, dan pelajaran untok wanita selalu-nya menghasilkan kaum perempuan yang menuntut supaya di-perlukan sa-bagai manusia yang berhak di-hormati dan di-perlukan sa-tara dengan kaum lelaki yang sa-darjat dengan-nya. Untok dudok tetap di-rumah tangga tidak pasti mereka mahu lagi (ini pun barangkali, ada kekechualian-nya) kerana sayang-lah kalau pelajaran itu tersia2 saja tiada di-gunakan, sedangkan bangsa dan negara kita sekarang amat kekurangan tenaga manusia vang ter- pelajara dan mahir.
Sa-tiap ruangan yang boleh di-isi harus di-pegang oleh bangsa Melayu, ta’ kira lelaki atau perempuan, kerana dalam lapangan kerja yang penoh pertandingan ini bilangan orang Melayu amat-lah kechil bila di-bandingkan dengan jumlah bangsa lain. Sa-tiap ruangan yang kosong bererti sa-buah lagi jawatan di-rebut oleh bangsa lain. Kerana itu
lebeh penting-lah untok wanita menjadi tenaga kerja yang berguna daripada melaram2 ka-sana ka-mari membuang masa, kerana harga kemanusian-nya menjadi berkurang bila ia membiarkan diri-nya di-jadikan lambang2 impian yang khayal.
Pernah saya bacha dalam sa-buah makallah bahawa di-Amerika, dalam majlis2 dan pesta sosial yang di-adakan, orang memerhatikan bahawa perempuan2 yang tiada bekerja dan dudok di-rumah sa-bagai suri rumah tangga, dalam pergaulan-nya dengan kaum lelaki, lebeh bersifat flirtatious atau bergurau-senda dengan chara yang bagitu memikat dan menggelorakan perasaan, sa-olah2 dengan sedar atau tidak, mereka ingin menarek perhatian kaum lelaki. Sa-balek-nya wanita2 yang juga menjadi isteri dan ibu, tetap mempunyai kerja2 yang menghendaki tanggong- jawab dan kesunggohan, bersifat lebeh sederhana dalam pergaulan-nya. Mereka berlaku dengan chara yang ber- sahaja, sunggoh pun tidak kurang sifat2 kewanitaan mereka. Yang tidak di-dapati pada wanita2 yang bekerja ini ia-lah kegenitan yang melampau2, yang di-maksudkan untok memikat.
Keadaan bagini barangkali belum kita dapati lagi pada sa-bahagian besar pergaulan kaum Melayu yang maseh berpegang kapada ‘adat timor yang memisahkan wanita dari lelaki dalam pesta perayaan (kechuali kaum atasan Melayu yang chorak hidup-nya sudah boleh di-katakan 80% ke- barat2an) tetapi agak-nya ta’ berapa lama lagi keadaan ini pun akan menjadi kenyataan di-kalangan bangsa kita. Nampak-nya proses barat ini berjalan terus menerus dan apa2 yang kelihatan mustahil hari ini sudah boleh di-anggap perkara biasa saja esok hari. Nanti bila pergaulan bangsa kita menjadi bertambah bebas, kenyataan ini boleh-lah di-buktikan, bahawa wanita yang bekerja itu hidup-nya lebeh penoh dengan peristiwa pengalaman dan fikiran yang menarek daripada sa-orang wanita yang dudok di-rumah, dan sebab itu dia tidak payah berlumba2 memikat orang lelaki untok memboktikan daya penarek-nya. Kerja yang memuaskan bakat dan kesanggupan sendiri lebeh bererti dari penaklokan2 dan perchubaan2 asmara itu.
Kaum lelaki tidak boleh menuntut supaya sa-orang wanita itu munchul sa-bagai suatu aspek daripada ke-mahuan-nya. (Wanita tidak boleh di-bagi2kan kapada tokoh intellectual kapada lambang keibuan yang pengaseh dan penyayang, kapada wanita2 manja yang meng- gairahkan saperti Brigitte Bardot, Christine Keeler, dan Ursula Andress. Bahkan ada kaum lelaki yang hanya menganggap wanita sa-bagai layak dudok di-dapor jadi tukang masak dan orang gaji yang memelihara rumah-tangga. Tidak ada wanita yang hanya satu bahagian saja. Sa-orang wanita mempunyai berbagai2 aspek dan bahagian dalam peribadi-nya. Ia boleh menjadi sa-orang rakan tempat berbinchang dan bertukar2 fikiran. Ia juga boleh menjadi sa-orang ibu yang chinta kapada anak2-nya. dan bila tiba masa-nya, tukang masak dan pengurus rumah tangga yang chekap. Ia juga sanggup menjadi wanita penggoda yang penoh dengan pujok rayu dan daya penarek.
Jadi dengan menuntut wanita supaya tundok kapada kemahuan-nya, dan patoh kapada achuan yang di-anggap-nya sesuai, kaum lelaki sa-benar-nya rugi kerana chuba menekan sa-bahagian dari peribadi keselurohan dari sa- orang wanita. Alang-kah lebeh menguntongkan kalau kaum lelaki menerima keselurohan dari peribadi wanita-nya, dan chuba membimbing-nya kapada jalan kemajuan. Kaum lelaki yang bijak dan bertimbang rasa dapat membantu wanita-nya supaya menjadi bertambah baik, sedar akan tanggong-jawab diri-nya sa-bagai wanita dan sa-bagai manusia.
Sa-orang lelaki yang mempunyai peribadi yang kuat dan bijaksana dapat menolong wanita-nya supaya menjadi manusia yang lebeh bernilai dari segi budi bahasa, pelajaran, dan keinsafan akan tanggong-jawab. Bakat2 yang mungkin terpendam dapat di-keluarkan, di-lateh dan di-gunakan, sa-hingga wanita itu menjadi manusia yang lebeh lengkap, kaya dengan fikiran2 yang bernas, hati yang pengaseh dan sedar, dan perangai yang terpuji. Ia menjadi lebeh prodaktif dalam semua lapangan, kewangan, sosial dan kalau ada kemahiran atau bakat yang tertentu, dalam lapangan kebudayaan atau politik.
Anak2, atau jenerasi akan datang, ada-lah harta kita yang paling berharga buat masa depan. Sa-balek-nya wanita, dengan segala kemungkinan dan bakat-nya, ada-lah harta terpendam yang harus di-gali dan di-gunakan pada masa ini. Wanita boleh menjadi rachun yang bisa dan beban yang berat yang menghalang kerja serta kemajuan kaum lelaki, tetapi bila kena jalan-nya, ia juga boleh menjadi sumber ilham dan semangat pendorong yang amat berharga. Kaum lelaki dapat membentok jenis wanita baru yang bakal tumboh dalam masharakat kita. Dengan sikap dan tindakan mereka, dengan kemurahan hati yang berdasarkan pengetahuan dan pengalaman, mereka dapat memimpin maju kaum wanita yang merupakan sa-paroh dari umat manusia. Kemajuan yang di-chapai oleh kaum wanita ada-lah ukoran dari kemajuan yang di-chapai oleh masharaat itu umum-nya. Kaum wanita Melayu yang maju bererti maju-nya masharakat dan bangsa Melayu yang pada hari ini maseh lagi ketinggalan zaman.
Kemajuan kaum wanita juga terletak dalam tangan-nya sendiri. Pemimpin kaum ibu yang lebeh sedar akan ke majuan fikiran dalam abad sekarang harus menginsafkan kaum sa-jenis-nya yang lain, sama ada dengan kata2, tulisan dan cheramah, atau pun melalui tindakan yang lebeh praktikal saperti Persatuan Wanita dan kursus2 pengetahuan. Kemajuan datang-nya beransor2, tetapi sa-makin lama ia akan bertambah, dan akhir-nya datang dengan sangat pesat- nya.
Bagitu-lah yang di-harapkan dengan kemajuan kaum wanita dalam masharakat kita yang berbilng bangsa ini. Kaum wanita Melayu menjadi perhatian yang istimewa, kerana sa-bagai sa-orang wanita Melayu saya tahu kemung- kinan2 yang ada dalam diri mereka, yang hanya menanti masa dan peluang saja untok berchambah dengan segar-nya. Saperti telah selalu saya tegaskan, pelajaran menjadi senjata pertama untok menchapai kesedaran Dengan mempunyai pelajaran orang dapat berfikir sa-chara lebeh bebas dan terator. Pelajaran membebaskan kita daripada perangkap2 takhyol dan keperchayaan karut, dan Pelajaran membolehkan kita berdiri dengan penoh yakin atas keper chayaan dan tekad sendiri.
Orang Melayu harus membasmikan buta huruf dan kemiskinan, dua penghalang yang amat degil menghalang kemajuan bangsa kita. Dua penghalang ini harus musnah baharu-lah bangsa Melayu dapat sa-benar2-nya maju dan berkembang. Bila jiwa dan perut telah berisi, kita boleh menumpukan fikiran sa-bulat2-nya kapada soal2 yang lebeh abstrak, soal2 kemanusiaan dan kerohanian yang lebeh tinggi. Bila telah bebas dari lapar dan kejahilan baharu- lah kaum wanita Melayu dapat sa-benar2 menchapai darjat kemanusiaan yang sejati. Sa-hingga itu terchapai, tugas kita ia-lah memerangi kemiskinan dan buta huruf. Kita mahukan masharakat yang chukup makan, chukup pelajaran, yang boleh bertumboh menjadi masharakat yang berdasarkan peri kemanusiaan yang sa-benar-nya.
Wanita dalam masharakat yang sa-demikian harus menjadi manusia yang kuat dan yakin kapada kebolehan- nya sendiri. Sifat2 manja dan terlalu, bergantong, kapada perlindongan kaum lelaki tidak lagi sesuai untok wanita yang matang dan dalam masharakat yang matang. Kita tidak mahu isteri dan ibu yang berlaku keanak2an, yang ingin di-belai dan di-chumbu oleh lelaki.
Untok mendapat anak yang tegap dan sehat, yang peribadi-nya tegoh, kita menghendaki ibu2 yang sehat dan tegap pula, tegoh rohani dan jasmani. Ia tidak saja ber- lakun menurut peranan yang di-kehendaki oleh kaum lelaki, sama ada sa-bagai teman berbinchang, atau penghuni dapor, atau lambang sex (sex symbol) yang menyalakan nafsu, tetapi memenohi semua peranan itu sesuai dengan masa dan tempat. Ia menjadi manusia yang lengkap dan sempurna fikiran dan perasaan, perangai dan budi pekerti.
Dalam pergaulan di-tengah2 masharakat wanita baru menuntut persamaan hak dengan kaum lelaki. Ia tidak mahu lagi di-perlukan saperti rakyat kelas dua yang tidak di-perlukan sa-chara sunggoh2 oleh kaum lelaki yang sa- lama ini memandang ringan saja akan kebolehan-nya.Memang tidak di-nafikan bahawa pada hari ini, sunggoh pun orang telah mengakui hak wanita sa-chara lisan, tetapi dalam perlakuan sa-hari2 maseh banyak prasangka (prejudice) yang menghalang kemajuan kaum wanita.
Sa-orang wanita yang mempunyai kelayakan dam kelulusan yang sama dengan sa-orang lelaki, mithal-nya dalam pertandingan merebut kerja atau kenaikan pangkat, biasa-nya akan mendapati diri-nya di-ketepikan. Sa-orang ketua pejabat selalu-nya lebeh suka mengambil jenis-nya sendiri ia-itu kaum lelaki untok memegang jawatan2 yang tinggi. Berbagai2 alasan akan di-kemukakan kenapa jawatan itu di-berikan kapada sa-orang lelaki, tetapi alasan yang sa-benar ia-lah kerana orang maseh menganggap wanita belum layak memegang kerja2 yang berat. Dan ini ta lain dan ta’ bukan ia-lah prasangka lapok yang di- pusakai turun temurun tentang kelemahan wanita dan ketidak sanggupan-nya untok bekerja dan berfikir dengan sunggoh2.
Jalan satu2-nya untok menghapuskan perlakuan yang tidak adil ini ia-lah untok kaum wanita membuktikan diri- nya layak dan sanggup membuat kerja2 yang di-katakan berat itu. Memang-lah ada beberapa kerja yang barangkali tidak beberapa sesuai di-kerjakan oleh orang perempuan, mithal-nya kerja buroh kasar saperti kuli pelabohan, memandu kapal selam atau memotong kayu2 besar di-hutan, tetapi kerja lain yang menghendaki pemusatan fikiran dan ketekunan sa-hari2, yang tidak menghendaki tenaga kasar yang luar biasa, rasa-nya dapat di-jalankan oleh kaum wanita.
Walau pun bilangan-nya maseh kechil, wanita2 yang berkelulusan professional telah bertambah dari sa-hari ka- sahari, dan tidak berapa laga lagi hampir semua lapangan kerja sudah boleh di-masoki oleh wanita. Doktor wanita, lawyer wanita, engineer wanita, accountant wanita dan apa2 saja kerja bakal mempunyai anggota wanita-nya, dan ia akan di-pandang sa-bagai perkara biasa saja. Soal-nya ia-lah akal dan kepandaian. Siapa2 yang mempunyai ke- bolehan, lelaki atau wanita, harus mendapat kesempatan untok menerima latehan khusus yang sesuai dengan ke- sanggupan-nya yang sa-mula jadi.
Walaupun bagitu, sifat2 kewanitaan tradisional saperti yang terdapat pada ibu2 lama yang tidak pun bekerja di-luar, yang pekerti-nya amat lembut dan pengaseh, tidak-lah akan hilang dari peribadi wanita2 baru kita. Kelembutan dan kaseh itu sa memang sifat sa-mula jadi wanita dan ia tidak dapat di-hapuskan oleh zaman modern yang serba chepat dan serba bergerak ini. Bagitu juga dengan sex appeal atau daya penarek wanita. Sa-lama alam berkembang ia tetap ada dalam diri wanita untok menarek kaum lelaki.
Yang menjadi persoalan ia-lah bagaimana hendak menyesuaikan semua peranan yang berasing itu supaya berpadu dengan harmonis dalam keselurohan peribadi yang bulat. Sa-orang wanita mungkin merasa bimbang dengan berbagai tuntutan yang di-kehendaki daripada-nya sekarang, dan ragu2 sama ada masharakat telah bersedia menerima segala pembaharuan yang datang dalam bentok nilai2 baru dan chara hidup baru yang terdapat pada hari ini. Ia juga gelisah memikirkan apa-kah ia dapat menjalankan semua peranan yang di-berikan kapada-nya itu. Kehidupan dulu ada-lah jauh lebeh sederhana. Sekarang semua-nya serba rumit, dan mungkin ada yang merasakan tidak sanggup menjalankan semua peranan itu. Tetapi mahu atau tidak mahu masharakat modern yang sa-makin rumit menghendaki sa-makin banyak penyesuaian dan kechekapan hidup daripada anggota-nya.
Orang lelaki juga harus melalui proses penyesuaian diri dengan masharakat baru yang menuntut tenaga kerja tidak saja dari mereka tetapi juga dari kaum wanita. Bila sudah bebas dari segi kewangan dan pergaulan sa-orang wanita tidak lagi dapat di-kelolakan saperti ibu atau nenek-nya di- kelolakan oleh suami mereka. Ia tidak mahu di-kawal atau di-perentah sa-suka hati suami-nya saja. Ia menghendaki perlakuan sa-bagai rakan yang sa-darjat dan di-beri pengertian yang luas tentang tanggongjawab-nya pula. Perkahwinan yang tidak menyesuaikan diri dengan chara baru bagini kerap menghadapi kesukaran dalam perhubongan antara suami isteri, dan apa yang berlaku akhir-nya ia-lah trajidi rumah-tangga.
Memang dalam zaman pancharoba ini pengertian yang mendalam dari lelaki di-perlukan untok memahami pergolakan yang sedang berlaku dalam jiwa kaum wanita. la sedang menghadapi masa peralehan, waktu nilai2 lama berubah dengan nilai2 baru, dan peranan lama wanita harus di-ubah dengan peranan-nya yang baru. Pengertian yang luar biasa, kemurahan hati dan timbang rasa amat-lah penting dalam zaman perubahan yang hebat ini. Kalau peribadi dan tingkah laku kaum wanita sekarang menggelisahkan kaum lelaki, ini ia-lah kerana wanita belum lagi jelas arah ka-mana kemajuan akan membawa diri-nya. dan ia sendiri gelisah dengan keadaan yang terombang ambing ini.
Perubahan walau bagaimana pun mesti datang juga. Ini tidak dapat di-tahan atau di-halang oleh sa-siapa pun. Dalam zaman perubahan ini kesukaran2 yang berbentok kejiwaan (psychological) dan yang berbentok kemasharakatan (social) akan mengganggu ketenteraman chorak hidup kedua2-nya kaum lelaki dan wanita. Tetapi saya yakin akhir-nya suatu penyelesaian akan di-dapati, dan masharakat kita dapat bergerak maju dengan lichin dan terator.
Kesimpulan dari persoalan yang saya kemukakan ini ia-lah bahawa kaum wanita sekarang sedang melalui zaman peralehan, dan peranan baru yang harus di-jalankan-nya itu ada-lah jauh lebeh rumit daripada chorak kehidupan-nya yang lama. Ia harus menjadi teman sa-perjuangan untok suami-nya, ia mesti tetap tinggal sa-orang isteri dan ibu yang sempurna, dan ia juga mesti mengilhamkan lelaki dengan kechantekan, dan rahasia kewanitaan-nya. Ia harus berfikir saperti lelaki, berlaku sa-bagai ibu yang lemah lembut, dan beraksi sa-bagai dewi asmara. Bila perlu ja juga harus mengambil peranan sa-bagai tukang masak,pelayan yang menyambut tamu dengan ramah tamah, atau bekerja membanting tulang menchuchi rumah, kebun dan kereta. Pendek-nya ia harus chekap dalam serba serbi.
Peranan lelaki pula ia-lah membantu wanita-nya melalui zaman perubahan ini dengan kesabaran dan pengertian-nya. Ia harus mengerti bahawa perubahan ini di- dorong oleh masa dan keadaan, dan ia membawa bersamanya kesukaran2 yang berupa kejiwaan dan kemasharakatan. Kaum lelaki juga boleh menolong dengan bersikap menerima kebanyakan perubahan itu, dan membentok satu masharakat yang sehat dan maju daripada-nya. Tidak susah untok menchela dan mengecham, tetapi yang lebeh penting ia-lah bersikap ‘POSITIVE’ dan melihat kebaikan pada perubahan2 itu.
Memang ada yang tidak akan di-sukai oleh kaum lelaki mithal-nya kedudokan-nya yang tradisional sa-bagai kepala rumah-tangga dan kuasa-nya di-tempat kerja sa-bagai ketua terancham oleh datang-nya tenaga2 baru kaum wanita itu. Tetapi akhir-nya saya perchaya kaum lelaki yang cherdas dan sedar akan menginsafi bahawa apa yang penting ia-lah kebolehan dan bakat sa-saorang, bukan jenis-nya. Hanya orang2 yang kuat dan berkebolehan saja yang akan naik tinggi, dan saya harap masa-nya akan datang tidak berapa lama lagi peluang untok meningkat naik ini terbuka kapada semua orang, lelaki dan wanita. Kaum wanita pada masa itu akan dapat menggunakan kebolehan-nya sa- penoh2-nya untok menolong membentok sa-buah masharakat yang adil dan sehat.
– Anis Sabirin
Anis Sabirin juga dikenali dengan nama pena Nil, Nuraini, A.B.S. Lahir pada 1 Mac 1936 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu & Sekolah Agama Johor Bahru. Meneruskan pengajian di Sekolah Perempuan (Inggeris) Sultan Ibrahim, Johor Bahru, Universiti Malaya Singapura (Ijazah Sarjana Muda Sastera). Mendapat biasiswa Fullbright ke Amerika (Ijazah Sarjana Sains Politik). Seterusnya, ijazah Kedoktoran di Claremont Graduate School (Ekonomi). Pada, 1960 – 1967 beliau berkhidmat sebagai pegawai penyelidik DBP. Beliau juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Istilah Falsafah serta Setiausaha Jawatankuasa Istilah Kesusasteraan dan Setiausaha Jawatankuasa Menyiasat Penyata Razak (1959). Esei ini dimuatkan dalam Peranan Wanita Baru terbitan Penerbitan Utusan Melayu pada tahun 1969.