Dari Pengharaman Khitan ke Perlawanan Fasisme: Perlawanan Nawal El Saadawi dan Arundhati Roy

Mengenal rapat perjuangan dan perlawanan (resistance) pastinya tidak boleh tertinggal membaca pemikir-pemikir Global Selatan. Nusantara Bergerak dengan kerjasama Gerakbudaya kali ini membawakan dua pemikir wanita yang tidak asing dalam dunia perlawanan, Arundhati Roy dan Nawal El Saadawi. Membawakan isu kemanusiaan, Arundhati Roy ialah seorang penulis aktivis yang sangat berhati-hati dan teliti. Dalam syarahan oleh Dr Azhar Ibrahim, Arundhati Roy ialah seorang penulis yang prihatin terhadap hal domestik internasional. Beliau ialah seorang tokoh yang tidak ketinggalan memperjuangkan masyarakat marjinal (The Project of Unseen). Arundhati Roy juga bukan setakat membedah masyarakar secara teoritis tetapi turut melihat dan mengkaji realiti masyarakat. Dalam masa yang sama, Arundhati bijak menganalisis persoalan feminisme dan segala hal universal yang terkait dengannya. 

Arundhati Roy (Gambar: The Guardian Post)

Roy dalam perjuangannya tidak ketinggalan membawakan isu fasisme. Menurutnya, fasisme perlu ditentang melalui gerakan kultural (budaya). Ini termasuklah melalui seni dan sastera. Dalam masa yang sama, perlawanan fasisme perlu dilakukan melalui akar umbi. Dr Azhar dalam syarahannya percaya bahawa Arundhati Roy ialah seorang yang optimis dan beriman bahawa, dalam menanggapi masalah fasisme ini, sesuatu boleh dilakukan.  Dr Azhar juga mencadangkan beberapa buku yang wajar ditelaah seperti: 

  1. The Anatomy of Facism (Robert O Paxton) 
  2. Critical Reception of Arundhati Roy – Unsuitable Girl 
  3. Erasing History – Jason Stanley 
Syarahan Arundhati Roy (Gambar: Shakila Zen)

Syarahan Nawal El Saadawi dibawakan oleh saudari Huda Ramli. Tokoh Mesir ini ialah seorang cendekiawan yang memerhati masyarakat bukan sahaja sebagai aktivis, tetapi juga sebagai seorang doktor dan pakar sakit jiwa. Nawal juga menulis karya fiksyen dengan membawakan latar masyarakat Mesir. Nawal yang menolak keras budaya khitan anak perempuan di Mesir ini bagaimanapun dikritik hebat oleh pemikir-pemikir lelaki. Malahan, buku beliau yang berjudul “Daughter of Isis” turut menjadi bahan untuk memerli Nawal oleh sebab penggunaan simbol dewi Firaun. Nawal yang terkenal dengan novel Woman at Point Zero itu turut dikritik tidak bersuara tentang perempuan di dalam tahanan walhal novel itu sendiri mempersembahkan protagonis yang bercerita dari dalam tahanan. Dalam perbincangan ini, Huda turut mengkritik budaya patriarki yang menafikan kerja-kerja pemikir wanita sehinggakan wanita kini sering mempersoalkan diri sendiri dan sentiasa perlu berbuat lebih demi membuktikan kredibiliti masing-masing. Nawal semasa hayatnya konsisten memperjuangkan bahawa persoalan domestik tidak boleh dianggap remeh oleh autoriti. 

Nawal El Saadawi (Gambar: The Independent)

“A politician, anywhere and at any level should never ignore the small details of life”

Syarahan Nawal El Saadawi (Gambar: Shakila Zen)

Semasa sesi ini juga, terdapat soalan daripada penonton tentang teori fundamental yang digunakan oleh Nawal semasa berbincang tentang krisis kewanitaan yang dialami oleh ramai wanita. Menurut Huda, semua ini didasarkan daripada pengalaman perempuan. Wacana feminisme adalah berdasarkan pengalaman serta pemerhatian terhadap apa yang dilalui oleh perempuan. Apa lagi, Nawal ialah seorang doktor yang mendengar keluhan serta rintihan pesakit-pesakitnya. Ringkasnya, adakah pengalaman mesti didasari dengan teori? 

Ikuti Siri Syarahan Tokoh Global Selatan ini di laman sosial Gerakbudaya. 

https://www.facebook.com/share/v/1Psdeb8kwM