Cuti Haid Ringankan Beban Wanita Sakit semasa Haid

“Saya jumpa banyak tentang perempuan dan kesihatan reproduktif. Tapi, saya belum jumpa yang bercakap tentang mental penghidap “penyakit perempuan” – Desy Zulfiani 

8 Disember 2024, di GMBB Mall, teman-teman Peduli Merah dan Jurnal Sang Pemula ikut sama menjadi pempamer dalam Fabulous Freedom Festival. Pameran yang berlangsung seharian ini membawakan NGO-NGO yang membawakan isu hak asasi manusia serta perempuan dan keperempuanan. Antara NGO dan CSO yang terlibat ialah Amnesty, Seek to Speak, Empower, Pocket of Pink, Youth of Monster Among Us, Malaysian Association for The Blind, SPOT Community Project, GEG, Peduli Merah serta Kemban Kolektif. 

Poster Fabulous Freedom Festival (Sumber : Sisters In Islam)

Festival ini turut membawakan forum hak asasi manusia misalnya isu femisida dan keganasan terhadap wanita, tayangan filem masyarakat Orang Asli serta perkongsian daripada aktivis-aktivis yang turut menjadi pempamer pada hari tersebut. Pengunjung juga turut disajikan dengan persembahan Slam Poetry daripada penyair-penyair seperti Aliff Awan, Fazleena Hishamuddin dan Syahirah Wasabi. 

Farahin  dan Sakinah berkesempatan menjadi pempamer di reruai Peduli Merah dalam acara ini. Peduli Merah ialah sebuah organisasi yang membawakan isu kemiskinan haid di Malaysia. Melalui organisasi ini, beberapa tuntutan haid setara telah dikemukakan misalnya : 

  1. Memastikan silibus pendidikan haid dan seksual diajar di sekolah rendah
  2. Memastikan tidak ada pelajar tercicir di sekolah akibat masalah haid
  3. Pemerkasaan pendidikan haid setara
  4. Penguatkuasaan Akta Anti Pemeriksaan Haid secara menyeluruh
  5. Memperkenalkan Cuti Haid
  6. Subisidi Tuala Wanita 
  7. Penubuhan Jawatankuasa Bersama Haid Setara
  8. Menaiktaraf Prasarana Awam dan Menyediakan Ruang Kondusif untuk Mengurus Haid
  9. Pelaksaan Bantuan Secara Telus Tanpa Diskriminasi
  10. Pemerkasaan Budaya Nyah Rasuah 
Farahin dan Sakinah di Reruai Peduli Merah (Foto : Sakinah Rosli)

Antara hal yang menarik semasa pemeran ialah persoalan tentang pendidikan seks di sekolah, kelestarian produk haid guna semula (cawan haid / tuala wanita guna semula), kebersihan semasa haid, sunat perempuan serta penyakit-penyakit terkait haid. Siapa sangka, bahan pameran seringkas diagram vulva dan model uterus terus-menerus memanggil pengunjung untuk bercakap tentang haid, kesihatan wanita serta seks itu sendiri. 

Menurut Desy Zulfiani, seorang penghidap PCOS (Polycystic Ovary Syndrome), beliau menghabiskan banyak wang untuk rawatan serta kehidupan sebagai penghidap PCOS itu sendiri. Menurutnya, kos ubatan untuk PCOS tinggi. Ini tidak termasuk kos semasa haid misalnya pil tahan sakit dan surat cuti sakit daripada doktor. Tambahnya lagi, beliau sangat bersetuju dengan saranan cuti haid. Desy yang merupakan seorang warga Indonesia berkongsi bahawa di Indonesia, setiap majikan memperuntukkan cuti haid selama dua hari setiap bulan untuk pekerja wanita. Berdasarkan pengalaman peribadi, Desy mengalami senggugut yang teruk semasa haid sehingga menyebabkan beliau tidak mampu mengurus diri sendiri dengan baik serta tidak dapat hadir ke tempat kerja. Justeru, cuti haid sememangnya sangat-sangat bermakna bagi wanita bekerjaya yang sakit semasa haid. 

Di reruai Peduli Merah, Farahin dan Sakinah membawa pengunjung untuk memahami anatomi tubuh. Pengunjung diajak untuk melabel alat kelamin wanita (vulva). Melalui aktiviti ini, pengunjung mengenali dan memahami organ peribadi ini sekali gus berkongsi pengalaman peribadi seperti melakukan ujian pap smear serta berkongsi keresahan menggunakan produk haid seperti cawan haid (menstrual cup). 

Video label vulva (Video : Sakinah Rosli)