Dahulu, dia kaki perempuan, kaki tunggang, kaki panjat tangga. Dia juga punya ramai skandal. Muda-muda belaka. Yang terakhir umurnya muda dua puluh tiga tahun darinya. Sebaya dengan anak sulungnya yang sedang belajar di universiti waktu itu. Dia juga memandu sebuah Honda CR-Z merah yang tak berbayar ’road-tax’nya. Kereta terpakai itu hadiah dari seorang ah long waktu dia jenuh membantu si Ah Long mengutip hutang. Kereta itu buat menayang kepada skandal-skandal di bandar kecil tempat tinggalnya. Isteri dan anak-anaknya tidak pernah merasa naik kereta merah menyala itu.
Dahulu, dialah wira. Siapa saja yang tidak kenal dengannya.
Dahulu, tiap-tiap hari dia pulang ke rumah pukul tiga pagi, bila isteri dan anak-anak perempuannya yang enam orang itu sudah lama tidur. Dia lebih suka tidur di ruang tamu, di atas sofa. Sudah lama dia tidak tidur di dalam bilik bersama isteri. Isterinya membosankan. Dia hanya bangun tengahari, bila perutnya mula lapar dan dia perlu mencari rokok. Isterinya dari selepas subuh sudah keluar ke pekan membuka kedai makannya. Anak-anaknya semua sudah di sekolah. Waktu itu dia kuat dan hebat.
Itu dulu, waktu anak-anaknya berjumpa dengannya sekali setiap hujung minggu. Itu pun untuk meminta duit belanja sekolah. Itu dulu, waktu dia tidak pernah bercakap langsung atau bertanya apa pun berkenaan sekolah anak-anaknya. Tidak pernah bertanya belanja sekolah cukup atau tidak, periksa di sekolah bagaimana. Itu dulu, waktu isterinya menyapa hanya sekali-sekala, mengajak makan.
Sekarang, anak-anaknya sudah besar. Yang nombor satu, dua, tiga dan empat semua sudah berkerja. Ada di Klang, ada di Kuala Lumpur, ada di Damansara. Yang nombor lima dan enam sudah masuk asrama. Kedai makan isterinya juga sudah maju sedikit. Isterinya sudah punya duit sendiri. Sudah makin berdikari dari segi kewangan. Anak-anaknya yang sekolah itu sudah tidah perlu meminta duit belanja darinya lagi. Mereka lebih selesa meminta dari emak. Dari dulu lagi semua anak-anaknya memang rapat dengan emak. Kadang-kadang, terasa juga seperti tidak diperlukan.
Sekarang, umurnya masuk lima puluh lima tahun. Dia sudah tidak sewira dulu. Skandal-skandalnya semua sudah meninggalkannya. Ada yang sudah berkahwin atau keluar dari bandar, kerja di tempat lain. Honda CR-Z merah pun sudah lama dipulangkan kepada si Ah Long. Teman dan kawan bergembira waktu cari perempuan, cari botol, dan panjat tangga dahulu pun, seorang semi seorang sudah meninggalkannya. Mereka lebih suka bersama telefon bimbit masing-masing, mengikuti perkembangan di media sosial. Kadang-kadang, terasa juga seperti tidak diperlukan.
Sekarang, teman dan kawan mengajarnya ikut serta mengikuti perkembangan di sosial media. Mereka mengajaknya masuk Facebook, masuk Youtube, masuk Instagram. Yang terbaru Tiktok. Dia berjumpa dunia baru. Media sosial macam-macam isinya. Yang paling dia suka tonton, ceramah agama di Tiktok. Ustaz Ali ranggi orangnya. Dia bertopi ala penyanyi hip-hop. Berseluar jeans. Kasutnya jenama Nike Air Jordan atau Adidas Stan Smith. Kadang-kadang dia sarung Vans. Ustaz Ali juga menghisap vape. Kata teman, Ustaz Ali lulusan universiti di Madinah. Maknanya, ilmu agamanya tinggi. Bila Ustaz Ali beri ceramah, banyak ayat-ayat dari Al-Quran yang dipetik. Dia terpukau melihat si ustaz muda itu.
Semalam, dia tonton video terbaru Ustaz Ali di Tiktok. Tidak panjang, dalam lima belas minit sahaja. Namun isinya padat. Ustaz Ali bertazkirah yang menginsafkan. Lelaki itu imam, wanita itu makmum. Wanita dijadikan dari rusuk lelaki. Wanita punya sembilan nafsu, lelaki satu sahaja. Dia tahu itu. Dari dahulu dia sudah diajar. Ustaz Ali mengingatkannya, isteri dan anak-anak adalah makmumnya. Isteri dan anak-anak adalah rusuknya. Isteri dan anak-anak perlu selalu diingatkan yang mereka bernafsu sembilan. Dia terpukau melihat si ustaz muda itu.
Itu di Tiktok. Kalau di Facebook, dia bertemu pula dengan Ustazah Aminah. Orangnya sederhana. Comel sekali. Bertudung labuh ala ustazah di sekolah agama. Pun begitu, Ustazah Aminah lantang suaranya. Tegas dan yakin. Ustazah Aminah mengajar, para isteri dan anak terutama yang perempuan harus sentiasa taat dan patuh kepada suami dan bapa. Itulah tugas hakiki mereka. Perempuan zaman ini sudah jauh meninggalkan ajaran agama. Dari cara berpakaian, percakapan, pergaulan sampailah ke cara duduk. Terlalu bebas. Dia terpesona melihat ustazah muda itu.
Esok, dia akan bercakap dengan isterinya. Dia akan mengarah isterinya untuk tidak memakai yang ketat-ketat lagi. Isterinya walau bertudung, amat suka memakai baju ketat menampakkan punggung. Senang bergerak ke sana-sini waktu berkerja di kedai makan. Anak-anaknya yang di asrama itu pula, akan dipastikan tak lagi berkawan-kawan dengan budak lelaki. Itu langkah pertama. Insyaallah.
Langkah kedua, dia merancang mengerjakan umrah bersama keluarganya satu hari nanti. Duit tidak cukup tidak apa. Dia tahu simpanan isterinya pasti ada untuk menampung belanja umrah mereka berdua. Abangnya, seorang jurutera pangkat kerajaan J54, yang isterinya seorang peguam hartanah itu, tiap tahun ke Mekah buat umrah. Anak-anak mereka juga ikut. Dia cemburu. Kalau ada rezeki lebih, seorang dari anak-anaknya yang di asrama itu boleh dibawa juga. Allah akan permudahkan urusannya. Insyaallah.
Anak-anaknya yang empat orang lagi, yang sudah berkerja, yang seperti tidak memerlukannya lagi itu, akan dinasihatkan untuk berbaik-baik dengannya. Dia ayah. Dia imam. Dia ketua. Tambah pula, siapa lagi yang akan mewalikan anak-anaknya itu kalau bukan dia. Boleh saja dia tidak mahu menjadi wali bila tiba masa anak-anaknya mahu kahwin nanti. Itulah hikmah dia diberikan tuhan ramai anak perempuan. Kuasa di tangannya. Insyaallah.
Allah akan permudahkan urusannya. Dia bersemangat. Insyaallah.
Pagi itu dia bangun awal dari biasa. Dia tidak mencapai rokok seperti selalu. Dia tidak merasa lapar. Malah merasa segar. Dia akan menunggu petang tiba bila isterinya pulang dari kedai. Akan dinasihatkan si isteri mengubah cara pakaian. Dia berangan, satu hari nanti isterinya bertudung cantik seperti Ustazah Aminah. Menutup aurat mengikut suruhan agama. Dia juga teringat kata Ustaz Ali, “Yang pertama; tegurlah dengan perbuatanmu. Jika dia tidak mendengar, tegurlah dengan kata-katamu. Dan jika dia tidak juga mendengar, maka tegurlah dengan doamu”.
Dia bergegas menunggang motornya dari kedai kopi. Mahu sampai rumah dahulu sebelum isterinya pulang. Tidak sabar. Tadi di kedai kopi, kawannya si Murad mengadu isterinya mahu memulakan perniagaan atas talian, menjual kosmetik kecantikan. Isteri Murad mahu membuat tutorial cara mamakai bedak, ginju, pemerah pipi dan macam-macam lagi, di media sosial. Isteri Murad akan menjadi tontonan ramai orang. Perempuan juga lelaki. Dan mungkin juga yang separuh lelaki, separuh perempuan. Nauzubillah hi minzalik.
Bila Murad tidak mengizinkan, si isteri mengamuk. Kata isteri, Murad tidak pernah menjaga makan pakainya. Tidak pernah beri duit kepadanya. Tidak pernah mengurus anak-anak mereka. Tidak pernah menjaga rumahtangga. Semuanya dilakukan isterinya seorang selama ini. Kerja Murad siang malam dari dahulu hanya keluar rumah, tidak tahu ke mana. Sekarang anak-anak sudah besar. Isterinya sudah bebas dari tanggungjawab. Sudah bebas seperti Murad juga. Dan sekarang isterinya mahu buat ‘busines online’. Nauzubillah hi minzalik.
Dia ngeri mengingat cerita Murad. Mereka kenal dari muda. Dia tahu, hubungannya dengan isteri dan anak-anaknya tidak banyak beza dengan Si Murad. Dia sama sahaja seperti Murad. Nauzubillah hi minzalik.
Sampai di rumah, isterinya sudah pun menunggu di atas sofa tempat tidurnya selama ini.
”Assalamualaikum.. cepat sampai rumah? Kedai tutup awalkah?’‘
”Saya nak cakap sikit dengan abang’‘
”Apa dia tu?” dia lega kerana isterinya yang memulakan perbualan. Setelah terlalu lama dia tidak mempedulikan isterinya, tidak tahu pula bagaimana mahu memulakan percakapan.
”Saya mahu minta cerai”
Dia terpaku.
Ustaz Ali.
Ustazah Aminah.
Imam.
Ayah.
Wali.
Ketua.