Yang Mengajar Tapi Tidak Ditulis: Perempuan dan Kehilangan Makna dalam Warisan Intelektual Islam

Kenapa warisan tradisi agama ini dimonopoli oleh patriarki dan misogini? Mengapa begitu banyak pandangan dalam teks keagamaan memihak kepada lelaki, menundukkan perempuan, dan meminggirkan mereka yang lemah? Kenapa agama yang sepatutnya membela keadilan akhirnya menjadi alat untuk memperkukuh subordinasi dan beban ganda ke atas perempuan?

Esei ini cuba merungkai bagaimana akal perempuan telah diketepikan dalam warisan tradisi intelektual agama, serta bagaimana struktur keilmuan yang ada telah mengekalkan dominasi penciptaan makna oleh lelaki sambil meminggirkan sumbangan sebenar perempuan dalam penciptaan dan penghasilan ilmu.

Sepanjang sejarah Islam, nama-nama tokoh ulama perempuan seperti Sayyidah Nafisah, ‘Aishah binti Abu Bakr, Sukaynah dan ramai lagi telah dikenang sebagai ulama, guru, dan murabbi, sejak daripada zaman Nabi SAW sehinggalah kepada zaman emas tradisi keilmuan Islam. Dr Akram Nadwi merakam dalam karya beliau, Ensiklopedia Al Muhaddithat (Al Wafa’ bi Asma An-Nisa’) beliau terdapat sekitar 10 000 ulama perempuan dalam sejarah tradisi keilmuan Islam. Namun yang mengganggu fikiran saya adalah ketiadaan rekod pemikiran mereka dalam bentuk teori, mazhab, atau tafsir tersendiri. Mengapa? Apakah cukup hanya dengan mengenang mereka sebagai guru dan ulama semata-mata, tanpa menceritakan idea dan buah fikiran mereka yang selanjutnya menutup jurang sumbangan pembentukan makna agama itu sendiri oleh perempuan? Dan dalam masa yang sama mengangkat pemikiran dan ilmu yang mereka telah hasilkan dalam tradisi keilmuan Islam yang amat kaya ini?

Jelas bisnes pembentukan makna agama didominasi oleh ulama lelaki. Kerana nama yang akan disebut dan diquote ialah ulama lelaki, jarang sekali nama ulama perempuan disebut ketika perbahasan agama dikupas baik dalam buku mahupun dalam kuliah dan tazkirah. Realiti ini menimbulkan persoalan asas: Dalam keadaan keberadaan ulama perempuan yang ramai, siapa sebenarnya yang memegang kuasa penentuan makna dalam tradisi keilmuan Islam? Isunya bukan hanya ketiadaan perempuan dalam sejarah, tetapi siapa yang diberi kuasa untuk mentafsir, mencipta mazhab, dan menamakan arah pemikiran.

Perempuan Sebagai Penyampai, Bukan Penentu Makna: Transmisi dan Pembungkaman Epistemik

Tradisi intelektual Islam mencatat ribuan perempuan sebagai guru hadith, penghafal Quran, dan guru kepada tokoh besar lelaki. Sayyidah Nafisah, contohnya, adalah guru besar kepada Imam al-Shafi’i. Namun, tidak ada satu pun karya pemikiran atau tafsir yang dinisbahkan kepada beliau. Hal ini berbeza dengan tokoh lelaki yang walaupun berstatus lebih rendah, tetap mempunyai rekod penghasilan teori, fatwa, atau bahkan mazhab.

Ini menimbulkan tanda tanya: Adakah kita secara tidak sedar hanya mengingati perempuan sebagai alat penyebaran, bukan pencipta makna? Kenapa guru kepada pencipta mazhab tidak mempunyai mazhab? Kenapa hanya guru lelaki yang diberi ruang untuk mencipta sistem pemikiran?

Perempuan sering dimasukkan dalam sejarah sebagai bukti “penyertaan.” Mereka disebut, dipuji, tetapi tidak diberi ruang dalam kanon keilmuan. Dalam banyak kes, walaupun mereka mengajar, tidak ada yang mencatatkan gagasan mereka. Ini bukan kerana mereka tidak memiliki gagasan, tetapi kerana sistem pengetahuan tidak memberi nilai terhadap makna yang mereka hasilkan.

Ini adalah satu bentuk “pembungkaman epistemik”, di mana pengetahuan yang dihasilkan oleh perempuan tidak dihitung sebagai pengetahuan, tetapi hanya sokongan kepada pengetahuan lelaki. Bahkan dalam kajian kontemporari seperti koleksi oleh Akram Nadwi, tumpuan adalah kepada jumlah perempuan yang menyampaikan hadith, bukan kepada tafsir mereka terhadap hadith itu.

Siapa yang Menguasai Makna?

Makna agama tidak dibentuk oleh siapa yang tahu, tetapi oleh siapa yang diiktiraf untuk mentafsir. Maka, dominasi lelaki dalam struktur makna adalah punca sebenar kenapa walaupun ribuan perempuan menjadi guru dan ulama, nama mereka tidak melekat dalam sistem tafsir, fiqh, atau teologi.

Ini menunjukkan bahawa dalam sistem pengetahuan ia bukanlah sekadar apa yang diajar, tetapi siapa yang menamakan dan menstrukturkan apa yang diajar itu sebagai kebenaran. Dan dalam sejarah Islam, struktur ini hampir sepenuhnya dimonopoli oleh lelaki.

Hari ini, tesis pelajar sarjana muda pun disimpan dalam arkib universiti. Maka jangan katakan bahawa para ulama perempuan yang mengajar usul, fiqh, dan hadith selama berabad-abad tidak mempunyai pemikiran yang layak untuk direkodkan. Mengajar bukan sekadar menghafal, ia adalah kerja intelektual. Ia menuntut penglibatan dengan kanon, proses analisis yang kompleks, dan pentafsiran yang mendalam. Dalam tradisi Arab, satu buku boleh melahirkan lapisan-lapisan komentar dan catatan pinggir, hawāmish demi hawāmish sehingga catatan kaki boleh menjadi sebuah kitab tersendiri. Jadi, di mana catatan pinggir permepuan? Di mana anotasi mereka, glosari mereka, respons kritikal mereka? Jika mereka mengajar, mereka berfikir. Jika mereka berfikir, mereka mentafsir. Tetapi mana tulisan mereka tidak diperturunkan dan disebut dengan nama mereka sekali? Secara sistemik, jika mereka mentafsir, suara mereka akan dibungkam, bukan hilang, tetapi dipadamkan, dengan cara yang paling halus kerana budaya patriarki dan misogini yang mendarah daging daripada zaman primitif kemanusiaan.

Asma Sayeed dalam bukunya “Women and Transmission of Knowledge in Islam” menunjukkan bahawa satu-satunya ruang ilmu agama yang ‘membenarkan’ penyertaan aktif perempuan adalah dalam bidang hadith. Mengapa? Kerana struktur hadith lebih menekankan pada kesahihan sanad, bukan tafsiran makna. Ia menjadikan perempuan boleh diterima sebagai penyampai dan penjaga ketulenan, bukan pencipta makna.

Tokoh seperti Karimah al-Marwaziyyah menjadi simbol puncak keterlibatan ini yang mana beliau merupakan rujukan utama dalam menentukan ketulenan periwayatan Sahih Bukhari, tetapi tidak ada satu pun hawamish, ta’liq (komentar), atau tafsir beliau direkodkan. Malah, mengutip apa yang dinyatakan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam buku ini, walaupun perempuan dianggap sah untuk meriwayatkan hadith, dalam urusan hukum dan tafsir, suara mereka tetap dikira ‘kurang berat’. Maka struktur hadith membenarkan penyertaan perempuan hanya kerana ia berasaskan autentikasi, bukan autoriti epistemik.

Perempuan boleh menuntut ilmu, tapi pemberdayaan mereka hanya menjadi mungkin apabila mereka:

  1. Termasuk dalam jaringan elit keilmuan — seperti Karimah yang mana jaringana guru dan muridnya semua ulama lelaki terkenal.
  2. Dilahirkan dalam keluarga ulama — seperti Fatimah bint al-Hasan al-Daqqaq yang dibawa ayahnya ke ruang keilmuan.
  3. Berasal dari nasab berpengaruh atau dalam lingkungan keluarga Nabi — seperti Sayyidah Nafisah yang keturunannya dari Nabi SAW.

Tetapi walaupun mereka memiliki semua kelebihan itu, tidak ada satu pun yang diberikan ruang mencipta mazhab, tafsir, atau kitab utama. Mereka boleh mengajar Imam, dan membentuk pemikiran Imam. Tetapi kita tertanya-tanya apakah fikiran dan idea mereka yang membentuk pemikiran imam-imam besar kerana mereka tidak menjadi sebahagian daripada kanun utama sebagai rujukan. Cuma sekadar nama yang dikenang kerana keintelektualan mereka. 

Kehilangan Wacana dan Pertentangan

Salah satu sebab utama pemikiran Islam hari ini dibanjiri dengan suara dan idea yang berat sebelah patriarki adalah kerana kita tidak pernah melihat pertentangan intelektual antara suara lelaki dan perempuan dalam sejarah secara sistemik. Ia bukan kerana perempuan tidak pernah mencabar, tetapi kerana cabaran itu dipadamkan daripada arkib.

Contoh yang jelas ialah Saidatina ‘Aishah RA, beliau dengan tegas membetulkan, malah menolak hadith-hadith yang disampaikan oleh Abu Hurairah, terutamanya yang sarat dengan bias misogini. Beliau tidak hanya menjadi penyampai hadith, tetapi juga kritikus epistemik terhadap hadith itu sendiri. Memastikan tradisi keNabian tidak dicemari dengan ketidakadilan pandangan perjudis lelaki kepada perempuan atas nama Nabi.  Tidak mungkin Aishah RA seorang sahaja yang melakukan kerja itu. Sudah tentu tidak. Tetapi kita tidak pernah diberikan rekod wacana-wacana pertentangan lain antara guru perempuan dengan pelajar lelaki, antara pemikir perempuan dengan sistem.

Apa yang hilang ialah ruang pertentangan, ketegangan intelektual yang sihat, perbezaan tafsir, semua ini adalah kunci dalam dinamika pembentukan ilmu. Tanpa rekod pertikaian ini, pemikiran Islam menjadi satu hala, membina naratif lelaki sebagai satu-satunya pemegang kebenaran. Dan itu adalah satu kehilangan besar dalam sejarah ilmu dan impaknya adalah ketidakadilan berkekalan dalam tradisi keagamaan.

Kesannya Hari Ini – Representasi Tanpa Kuasa Tafsir

Hari ini, naratif “perempuan juga ada dalam sejarah Islam” digunakan sebagai tokenisme. Nama mereka dipetik untuk menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang inklusif. Namun, yang tidak disentuh adalah hakikat bahawa mereka tidak pernah dimasukkan sebagai pemikir besar, pentafsir utama, atau pemegang kerangka.

Apa yang berlaku ialah satu bentuk penghormatan palsu, di mana perempuan hanya disebut untuk kelihatan seimbang, tetapi suara mereka masih tidak membentuk arah ilmu. Yang menjadi isu ialah bukan penyertaan, tetapi kuasa epistemik atau kuasa menghasilkan dan membentuk pengetahuan.

Masanya telah tiba untuk mengubah soalan daripada “adakah perempuan menyumbang dalam tradisi keilmuan Islam?” kepada “siapa yang memegang kuasa membentuk makna dalam agama?” Ini bukan soal sejarah semata-mata, tetapi soal struktur kuasa dalam pengetahuan.

Anggapan bahawa perempuan tidak pernah menyertai dan mengambil ruang serta berperanan aktif dalam ruang keilmuan adalah palsu. Perempuan memang sentiasa berada di tengah-tengah tradisi ilmu. Kesakralan ilmu meletakkan mereka di pentas yang sama tinggi dengan lelaki, malah ramai tokoh lelaki besar terpaksa merendah diri di hadapan guru-guru perempuan mereka. Namun, misogini dan patriarki terus menjadi sistem hidup yang menyaring dan memilah, idea siapa yang layak ditulis, disimpan, dan dijadikan rujukan.

Kita kehilangan suara perempuan dalam tradisi keagamaan bukan kerana mereka tiada, tetapi kerana sistem tidak memberikan peluang yang sama rata untuk idea-idea mereka direkodkan. Akhirnya, idea agama yang membentuk masyarakat hari ini adalah hasil korpus tulisan lelaki, walaupun isi pemikirannya mungkin berasal daripada guru perempuan. Dan kita tahu, idea anak murid tidak mungkin 100% sama dengan gurunya. Maka, hilangnya tulisan dan tafsir para guru perempuan ini adalah kehilangan satu warisan intelektual yang mungkin lebih matang, lebih adil, dan lebih menyeluruh untuk kehidupan manusia, terutamanya perempuan dan kaum yang lemah dan terpinggir

Kita sangat-sangat rugi kerana kehilangan rujukan kepada pemikiran perempuan, yang mungkin jauh lebih kritis, lebih adil, dan lebih berprinsip. Sejarah membuktikan bahawa apabila perempuan diberi ruang untuk bertanya dan mencabar struktur agama, agama itu sendiri menjadi lebih baik. Al-Quran merakamkan persoalan-persoalan kritikal dari perempuan seperti Khaulah binti Tha’labah yang membawa kepada turunnya Surah al-Mujadilah, dan pertanyaan Ummu Salamah yang menggugat dengan tegas lalu menyatakan “ana min an-naas?” (aku juga adalah manusia yang diseru oleh Tuhan) sehingga diturunkan ayat 53 Surah al-Ahzab yang menyenaraikan lelaki dan perempuan dalam setiap kategori secara seimbang. Ini membuktikan bahawa suara perempuan adalah penting dalam membentuk naratif wahyu.

Jika idea dan pandangan para ulama perempuan sepanjang sejarah ini direkodkan dan dimasukkan dalam korpus utama, agama kita mungkin tidak akan menindas perempuan berabad-abad lamanya. Kerana korpus perempuan itu sendiri akan membawa beban pengalaman sebagai perempuan dan melihat keperluan serta keadilan melalui lensa yang lebih menyeluruh. Itu adalah kehilangan epistemik paling besar yang belum ditebus hingga hari ini.

Selalu kita dengar orang bertanya, kenapa tidak banyak penulisan perempuan yang kritis dan setanding lelaki? Namun ini adalah soalan yang salah alamat. Pertanyaan yang lebih tepat ialah: mengapa perempuan tidak terberdaya untuk menghasilkan penulisan sebanyak lelaki? Beban intelektual perempuan adalah beban ganda, dan ruang sistemik yang tersedia bukanlah padang yang rata. Bagaimana jika pemikiran perempuan memang ada, tetapi ia tidak dianggap cukup penting untuk dibukukan? Ini bukan soal kekurangan karya, tetapi soal siapa yang diberi nilai untuk dikenang.

Dan inilah satu lagi kesan epistemik yang paling berat, apabila korpus keilmuan didominasi oleh lelaki, maka perempuan yang datang kemudian untuk menyambung tradisi keilmuan itu, hanya akan menguatkan tradisi patriarki dan misogini yang sudah tertanam dalam kerangka tersebut. Maka lahirlah generasi perempuan yang menyambung warisan keilmuan tetapi tidak berdaya mencabar sistem, kerana landasan asalnya sudah tidak berpihak. Lebih parah lagi, kesan ini bukan hanya pada teori, ia benar-benar memberi kesan langsung kepada kehidupan perempuan dan golongan terpinggirl, sementara lelaki terus berada dalam posisi kuasa dan autoriti mutlak.

Kerana menjadi guru bukan hanya mengulang tetapi mencipta, membentuk, dan menamakan kebenaran itu sendiri.

Kerja kita hari ini bukan sekadar sedap menyebut nama tokoh-tokoh perempuan sebagai simbol. Kerja kita ialah mematrikan pemikiran, penafsiran, dan kerangka intelektual mereka ke dalam sistem keilmuan. Agar korpus ilmu ini seimbang, agar agama ini tetap adil buat semua, kerana rujukan dan akal itu memang sudah wujud cuma tidak pernah diberi tempat untuk bertahan.

Kebenaran yang tuntas dan sejarah telah membuktikan berulang kali bahawa, apabila akal perempuan diketepikan, agama menjadi tempang; menindas yang lemah, dan menguatkan yang zalim.