Setahun Kumpulan Bacaan Perempuan Jurnal Sang Pemula

Oleh Farahin W.

Perbualan-perbualan panjang saya dengan Sakinah rupanya berakhir dengan kami menggerakkan Kumpulan Bacaan Perempuan (KBP) Jurnal Sang Pemula. Tentunya, telah kami fikirkan apakah bersikap eksklusif dengan mengehadkan penyertaan kepada perempuan tidak selaras dengan prinsip kesetaraan yang diimani. Lagi pula, membebaskan manusia dari pergelutan gender bukan hanya memerlukan perempuan. Dan bukan cuma perempuan yang mahu dibebaskan. Namun, dalam pertemuan pertama bersama Adilla, kami bersetuju kalau mewujudkan ruang selamat untuk perempuan feminis bercerita dan berbincang tanpa prejudis, tanpa diktat suara patriarki, tanpa cubaan-cubaan membetulkan pengalaman perempuan dan tanpa perasaan rendah diri justeru memerlukan nir lelaki dalam perbincangan. Setidaknya, di peringkat awal. Kerana sudah tentu, kesetaraan gender memerlukan keduanya dalam sebuah sistem yang sama. Bekerja bersama dan saling kenal yang lainnya. 

Poster JSP Membaca Bersama

Sedari awal, menggerakkan KBP adalah atas keresahan melihat gelombang feminis acah, faham feminisme dari kerangka patriarki-misogini yang rencat bacaannya serta melihat teman-teman perempuan yang mencari-cari bacaan alternatif bagi memahami perempuan dan keperempuanan. Menyedari peri pentingnya bacaan sumber serta faham yang jelas tentang feminisme khususnya dalam konteks masyarakat dan budaya Malaysia menyebabkan KBP digerakkan bersama. Entah dua atau tiga tahun terkebelakang, ruang maya selalu gegar dengan perbalahan gender, baik dari sudut undang-undang, hubungan lelaki-perempuan secara amnya mahu pun agama. Mana ada yang mahu kalah dalam ruang internet. Masing-masing mahu berdalil-dalil menyokong pendapat. Lebih parah, kadangkala menghukum sesat pula. Semuanya berlaku tanpa faham feminisme yang tepat apa lagi dengan pengetahuan sains sosial yang rendah. Perbalahan tentang feminisme, lelaki dan perempuan serta gender malah menyebabkan berlaku satu lagi gelombang berbahaya yang disebut sebagai alpha/dominan dan diada-adakan pula krisis maskuliniti dalam kalangan lelaki. Pemerhatian ini sudah tentu terlihat dalam media sosial khususnya. Namun, pancaran idea yang terpapar di media sosial ini sebenarnya memperlihatkan idea dan pemikiran masyarakat. 

Menerusi KBP, bacaan pertama yang kami bawakan kepada rakan-rakan pembaca ialah Qiraah Mubadalah oleh Faqihuddin Abdul Kodir. Membawa feminisme dalam kerangka pemikiran nusantara memerlukan bacaan berkiblat nusantara. Sebagaimana kita lebih cenderung sefikiran dengan para pemikir feminis kulit hitam ketimbang feminis kulit putih, membaca pemikir-pemikir nusantara adalah sangat penting bagi memastikan idea pembebasan perempuan yang dibawakan adalah sesuai dengan konteks dan budaya masyarakat nusantara. Qiraah Mubadalah ialah sebuah kitab tafsir progresif keadilan gender yang menjadi alat mentafsir Al Quran mengikut lensa keadilan gender. Qiraah Mubadalah dipilih sebagai buku pertama bagi meluruskan pola pemikiran teman-teman perempuan tentang perbahasan gender apa lagi permasalahan gender di nusantara ini sering terkait dengan persoalan agama. Menerusi bacaan Qiraah Mubadalah, perkara pertama yang diselesaikan karya ini ialah persoalan kemanusiaan perempuan. Ketika kita membahaskan hak perempuan, perkara pertama yang mesti beres ialah memanusiakan perempuan. Dalam erti kata lain, melihat perempuan sebagai manusia. 

Qiraah Mubadalah – Faqihuddin Abdul Kodir

Figura yang paling mengesankan dan dibahas dalam Qiraah Mubadalah sudah tentu Ummu Salamah, isteri Rasulullah. Melihat sisi manusiawi yang lain ketimbang isteri Rasulullah sebagai isteri sememangnya memberikan satu ruang refleksi serta perasaan yang baru untuk perempuan. Ummu Salamah ialah seorang perempuan cerdas yang suka berdebat sehingga beliau direspon oleh Al Quran. Antara petikan Al Quran yang merespons Ummu Salamah ialah ayat 35, Surah Al Ahzab. Meskipun difahami, dalam konteks Bahasa Arab, jamak muzakkar salim boleh juga disandarkan kepada manusia secara umum dan tidak terbatas kepada lelaki, namun, “kehendak” Ummu Salamah untuk juga disebut sebagai manusia, didengar oleh Allah sehingga direkodkan ayat 35 ini di dalam Al Quran. Ini baru satu ayat yang memberikan keyakinan bahawa Allah tidak pernah membezakan manusia mengikut gender apa lagi membezakan darjat antara keduanya. Sebegitu banyak lagi dalil Al Quran yang bernada sama. Dalil ini sememangnya memberikan satu keyakinan dan keimanan utuh kepada Al Quran. Bahawasanya, kitab ini bersifat adil dan tidak pernah berat sebelah. Peristiwa ini juga memberikan satu pengajaran buat kami dalam konteks kini. Yang mana, perwakilan dan suara perempuan adalah sangat penting. Dalam masa yang sama, memahami Qiraah Mubadalah membantu teman-teman perempuan melihat kepincangan dalam pentafsiran Al Quran serta memberikan pembacaan alternatif bagi memahami Al Quran dengan lebih adil dan telus. 

Selepas Qiraah Mubadalah, feminis nusantara yang dibahaskan dalam KBP ialah Raden Adjeng Kartini. Kartini tidak boleh tidak mesti diakui sebagai tokoh feminis yang berpengaruh di nusantara. Meskipun Kartini terlahir dari kelompok bangsawan, Kartini menjadi watak dalam catatan sejarah bahawa selain kelas bangsawan dan proletar, ada lagi satu kelas di bawah : perempuan. Kartini terpasung adat dan pemikiran kolot patriarki, dipingit, terjerat dalam lingkaran poligami serta terbuang dari dunia pendidikan. Namun begitu, yang mengesankan daripada kisah Kartini ini ialah keupayaan Kartini untuk bersikap kritikal terhadap adat dan budaya patriarki serta keprihatinan Kartini terhadap bangsanya hingga beliau mencetuskan idea tafsiran Al Quran dalam Bahasa Jawa membuktikan bahawa pemikiran perempuan tetap sama penting dengan lelaki. Kartini juga bersabda akan peri pentingnya pendidikan serta mandiri secara ekonomi dalam kalangan perempuan hingga tertubuhlah sebuah sekolah untuk perempuan. Surat-surat Kartini dalam Habis Gelap Terbitlah Terang memberikan keyakinan kepada teman-teman pembaca bahawa perempuan punyai kuasa mengubah dunia. Lebih lagi, Kartini memberikan satu dalil yang diulang sebut sehingga hari ini bahawa “bukan laki-laki yang hendak kami lawan, melainkan, adat dan pendapat kolot yang usang”. Dan difahami melalui Habis Gelap Terbitlah Terang, adat yang dimaksudkan ialah : feudalisme dan patriarki. 

Habis Gelap Terbitlah Terang – Raden Adjeng Kartini

Kartini (feminis nusantara) diyakini senada dengan seorang lagi pemikir feminis kulit hitam, Bell Hooks. Berulang kali disebutkan dalam karya-karya beliau bahawasanya, feminisme bukan untuk membenci lelaki melainkan melawan patriarki. Dalam karya beliau, All About Love, Bell Hooks, persoalan utama ketika membahaskan All About Love ialah mengapa dalam proses memerdekakan masyarakat, kita perlukan cinta. Pernah beberapa kali dalam sejarah feminisme, pemikir barat khususnya percaya bahawa cinta akhirnya berakhir dengan perkahwinan dan perkahwinanlah yang menjerat perempuan. Namun, adakah feminisme secara amnya anti perkahwinan? Dan persoalan yang lebih utama juga, adakah cinta mesti berakhir dengan perkahwinan? Bell Hooks membuka satu ruang idea yang lain tentang cinta yang mana ia berdiri di atas premis bahawa cinta adalah asas dalam kehidupan. Dan tanpa cinta, manusia tidak manusiawi. Begitu juga menerusi The Will to Change (Men, Masculinity and Love), Bell Hooks sekali lagi membahaskan persoalan cinta dan kasih merentasi gender. Dan sekali lagi Bell Hooks menyatakan pendirian bahawa feminisme bukan ideologi membenci lelaki. Dalam karya ini, Bell Hooks bertegas bahawa bukan maskuliniti yang kita tentang melainkan maskuliniti patriarki. Tambahnya lagi, lelaki tidak perlukan apa-apa membuktikan kelelakiannya.

Bell Hooks dalam bukunya turut membincangkan tentang maskuliniti feminis, yang berteraskan prinsip kesalingan dan kebersamaan. Ringkasnya, lelaki tidak perlu bergantung kepada apa-apa untuk mendefinisikan diri sendiri. Apa sahaja yang disumbang oleh lelaki meskipun bukan dalam bentuk wang ringgit, harta dan kebendaan diraikan dan dihargai. Nilai seorang lelaki tidak terletak kepada kemampuan untuk menyara orang lain melainkan diri mereka sendiri. Memetik Bell Hooks, men dont have to prove anything to prove their masculinity, dalam masa yang sama, Bell Hooks senada dengan seorang lagi pemikir, Erich Fromm yang menanggapi permasalahan kemanusiaan vs kapitalisme – to be have value, they dont have to “do”, to “perform” to be affirmed and to loved. Membaca Bell Hooks memberikan satu lagi ruang alternatif kepada pembaca untuk memahami dan menanggapi feminisme dengan neraca pemikiran yang lebih adil dan tidak berakhir dengan membenci lelaki. 

All About Love – Bell Hooks
The Will To Change – Bell Hooks
The Art of Loving – Erich Fromm

Dalam masa yang sama, sastera dan karya kreatif tidak kalah pentingnya dalam membawakan persoalan feminisme ke ruang publik. Menerusi KBP, beberapa tokoh sastera semisal Zurinah Hassan, Anis Sabirin dan Adibah Amin dibawakan ke meja perbincangan. Zurinah Hassan merupakan antara sasterawan yang sering membawakan persoalan keibuan (motherhood) dalam karya beliau. Antara karya yang turut menjadi rencah dalam perbincangan KBP ialah kumpulan cerpen Meneruskan Perjalanan. Menerusi karya ini, sasterawan negara ini tidak kalah membincangkan dilema ibu berkerjaya dan posisi sebagai isteri di rumah dan pekerja di pejabat. Zurinah Hassan juga selesa membawa persoalan cita dan cinta dalam karya beliau. Dalam masa yang sama, pengarang senior Zurinah, Adibah dan Anis terlihat tidak hanya berbincang isu ibu dan isteri, kedua-dua pengkarya ini turut membawakan isu semisal pembebasan perempuan (women’s lib), ekonomi, pendidikan serta wanita di ruang profesional. Membahaskan karya-karya kreatif membuka ruang pembaca mereflek pengalaman sebenar serta berkongsi pemerhatian peribadi.

Meneruskan Perjalanan – Zurinah Hassan
Peranan Wanita Baru – Anis Sabirin
Tak Kenal Maka Tak Cinta – Adibah Amin

Se-esei ini tidak cukup untuk membahas setiap buku dan tokoh yang mengisi ruang-ruang perbincangan KBP. Vandana Shiva turut diperkenalkan dalam sesi KBP yang mana tokoh ini menghidangkan perihal ekofeminisme. Penting juga untuk seorang perempuan apa lagi seseorang yang mengaku feminis, memahami ekofeminisme dan bagaimana krisis alam sekitar memangsakan perempuan. Beberapa tokoh berpengaruh lain seperti Mansour Fakih, Mary Wollstonecraft, Musdah Mulia, Romilla Thapar, Mandeline Berma,  Akram Nadwi dan Shamsiah Fakeh juga merupakan antara tokoh yang turut sama dibincangkan menerusi Kumpulan Bacaan Perempuan Jurnal Sang Pemula. 

Analisis Gender dan Transformasi Sosial – Mansour Fakih
Ecofeminisme – Vandana Shiva

Membawakan bacaan-bacaan pemikir feminis memberikan pengalaman berfikir secara kritis, membuka ruang kritikan dalam wacana feminisme serta membantu teman-teman perempuan memahami persoalan gender secara adil dan saksama. Persoalan-persoalan seperti apakah agama Islam begitu patriarki? Apakah neraca keadilan yang dipakai dalam membahaskan hubungan lelaki dan perempuan? Apakah feminisme di nusantara sejalur dengan feminisme orang kulit putih? Apakah feminis semua sama? Dan apakah anjuran feminis nusantara dalam membincangkan dan memperjuangkan hak wanita di nusantara? Setidaknya boleh difikirkan jawapannya setelah duduk sama membaca, berbincang, berdebat dalam ruang kumpulan bacaan ini.