Kalaulah cukup suluh pelita
Malam gelap menjadi terang
Kalau hidup sungguh bekerja
Dalam penat hati kan senang
Pada tanggal 1 Mei, seluruh dunia menyambut Hari Buruh atau Hari Pekerja. Ia suatu pengiktirafan dan penghargaan sejagat, sama ada dari pemerintah dan rakyat. Tanggal ini juga menjadi cuti awam bagi kebanyakan negara.
Penghargaan kepada buruh adalah penghargaan kepada Manusia yang Kerja. Pramoedya Ananta Toer, pernah menyebut: “Berterimakasihlah pada segala yang memberi kehidupan.” Seiras dengan sahutan Masuri S N dalam puisi “Ini Nasi Yang Kusuap”.
Petani yang hilang tanah, banyak yang menjadi buruh kasar untuk perladangan yang dipunyai pemodal yang kekayaan mereka tidak terbayangkan. Baik petani atau pekerja, merekalah jentera ekonomi yang memutarkan produksi barangan dan perkhidmatan. Tanpa pekerja, dunia yang kita huni ini akan runtuh binasa.
Pekerja adalah jentera ekonomi dunia. Tanpa pekerja tiada mesen besar dan canggih yang boleh beroperasi tanpa pengawasan dan penyelengaraan pekerja. Dengan bekerja, kelangsungan hidup dalam terjamin, rumah tempat bertuduh, dapur berasap, anak dapat ke sekolah, dan dapat beraya setahun sekali.
Bekerja juga memberi makan kehidupan kepada manusia. Dengan bekerja manusia merasakan harga dirinya yang berguna untuk diri sendiri dan kepada yang lain di sekelilingnya. Namun rutinitas kerja juga adalah sesuatu yang menjadi beban mental dan fizikal kepada para pekerja. Tergambar rutinitas yang mengjengkelkan ini dalam lagu Sudirman bertajuk “Punch Card” yang meminta kita bergerak cepat:
“Dulu biasa lewat tapi kini kena cepat
Bangun mesti awal tak ‘da masa nak berkhayal
Masuk bilik mandi, capai tuala, berus gigi
Siram serba ringkas semua kerja mesti pantas
Pakai apa saja yang tercapai oleh tangan
Di hadapan cermin jangan lagi nak berangan
Bersolek ala kadar asal kemas boleh saja
Bukan nak melaram kita cuma nak bekerja
Di jalanraya ramai orang berpusu-pusu
Ingin ke pejabat ikut tepat pada waktu
Makan tengah hari bila saja sampai waktu
Selesai bekerja kita pulang empat suku.”
Rutinitas seperti ini menjenuhkan, malah menjadi bebanan mental, di mana pekerja tidak cukup rehat, dengan upah yang cukup makan dan pakai. Sering kali juga tidak mencukupi. Begitu juga Widji Thukul mengungkapkan keadaan pekerja yang lelahnya makin terpukul: “Besok pagi, kita ke pabrik. Kembali bekerja, sarapan nasi bungkus, ngutang seperti biasa.”
Buruh Tangguh, Kemanusiaan Menyuluh
Buruh yang tangguh membawa pengertian buruh yang kuat, berdaya, bersungguh dan memiliki standard tinggi dalam menyempurnakan kerjanya. Kemanusiaan menyuluh dimengertikan sebagai kesejahteraan, keadilan dan kebajikan manusia terbanyak sehingga ia mencerah, membebas dan memartabatkan manusia. Penghargaan kita kepada para pekerja adalah satu kepedulian manusiawi yang wajar kita miliki.
Pekerjaan itu adalah ibadah manusia, menurut pandangan keagamaan yang universal. Ia adalah kebaktian agar kehidupan manusia menjadi sempurna. Di peringkat peribadi, bekerja itu menjadi naluri manusia, sehingga seseorang itu dapat merasakan dirinya penting dalam rantaian pembangunan dan kemajuan. Ayah Ibu yang bekerja membangun keluarga. Masyarakat yang produktif kerjanya menyumbang kepada produksi ekonomi untuk negara-bangsanya.
Setiap satu dari kita akan melalui kehidupan sebagai pekerja yang menggambil upah dari kerja atau jasa yang telah kita berikan. Di sekeliling kita, hampir semua orang dewasa yang bekerja sehingga kerja dan pekerjaan menakrif keperibadian dan kehidupan seseorang itu. Sehinggakan antara ciri manusia yang berguna itulah adalah orang yang bekerja, sama ada secara formal, mahupun dalam sektor informal.
Walaupun istilah pekerja bersikap kolektif, namun dari kenyataannya, pekerja itu boleh dikategorikan dalam pelbagai kelompok dan tingkat serta geografi. Tetapi dari nasib dan hak pekerja, banyak persamaan yang dapat kita perhatikan. Bayangkan saja nasib seharian pekerja yang dicoretkan dalam puisi Widji Thukul yang berjudul: “Buruh-buruh.”
Sesak terasa bila kita membaca puisi ini, betapa lagi para pekerja yang sebak menjalaninya:
“Di batas desa
pagi-pagi
dijemput truk
dihitung seperti pesakitan
diangkut ke pabrik
begitu seterusnya
Mesin terus berputar
pabrik harus berproduksi
pulang malam
badan loyo
nasi dingin
Bagaimana kalau anak sakit
bagaimana obat
bagaimana dokter
bagaimana rumah sakit
bagaimana uang
bagaimana gaji
bagaimana pabrik? mogok?
pecat! mesin tak boleh berhenti
maka mengalirlah tenaga murah
mbak ayu kakang dari desa.”
Apa yang terungkap ini tidak sukar kita menangkapnya sebab itulah yang banyak para pekerja sedang berdepan, khasnya pekerja yang ditingkat terbawah. Lantas, wajar kita merenung dan mempertimbang sejenak apakah yang menjadi keprihatinan para pekerja. Sayugia keprihatinan mereka ini harus juga menjadi keprihatinan kita semua. Sepuluh diantaranya:
1. Pekerjaan terjamin dan tidak pula tersembab menganggur
2. Gaji/upah dan lain kemudahan lain terpenuh seperti bonus dan cuti sakit
3. Hubungan dengan majikan dan sesama pekerja terjalin saling percaya, harmoni dan akrab
4. Peluang peningkatan kerjaya dan latihan kemahiran dari masa ke masa
5. Kos sara hidup dengan tangga gaji yang munasabah dan ia direvisi dari masa ke masa
6. Suasana bekerja yang tinggi dengan sikap bekerjasama dan saling menghargai, menjamin ketenteraman bekerja agar tiada bentuk prejudis dan pelecehan terhadap yang lemah
7. Majikan yang bersedia berbagi keuntungan pada masa pendapatan syarikat meningkat, malahan mengatur skim bagaimana koperasi pekerja boleh nanti membeli saham dalam syarikat itu.
8. Setiap seorang pekerja dihargai sepatutnya tanpa membedakan jantina, warna kulit, umur dan jawatan
9. Perlindungan hak pekerja dalam hal seperti upah, cuti sakit, dan cuti panjang sewaktu hamil atau pampasan untuk pemberhentian kerja atau kecederaan di tempat kerja
10. Akur pada kewujudan kesatuan sekerja yang menjadi badan melindungi dan mendapatkan hak dan kebajikan untuk para pekerja
Rasanya inilah resah, gundah, keluh kesah yang sering kita dengar dari mereka yang bekerja, malahan kita sendiri juga yang mengalami sedemikian.
Wajar ditekankan bahawa pekerja itu bukanlah hamba, jauh lagi abdi tebusan. Bahawa pekerja itu punya hak dan tanggungjawab adalah suatu afirmasi kemanusiaan yang asas. Dalam ketidaktentuan ekonomi, nasib para pekerja juga mudah terumbang-ambing, dan yang paling mudah tercampak dan terbalik adalah kelompok pekerja kolar biru ataupun mereka yang berjawatan rendah.
Dalam aturan ekonomi neo-liberal, dengan keghairahan penswastaan, penjimatan kos menjadi mantera ulung. Dalam pengkorporatan yang mendabik global, seringkali gaji para eksekutif meningkat bilang-bilang tahun, sedang gaji bekerja biasa tak naik mungkin selama sedekad lebih. Ertinya jurang gaji antara yang eksekutif atas dan pekerja bawahan semakin melebar. Yang diteriakkan kepada pekerja kelas bawah “Tingkatkan Produktiviti”, dan tingkatkan kemahiran terus. Sering kali pemotongan gaji dan penangguhan bonus paling mudah terjadi pada kelompok ini, sedangkan lapisan eksekutif tetap mendapat bonus walaupun syarikat mendapat kerugian.
Aneh lagi apabila syarikat yang mereka terajui jatuh muflis, ada pula kemudahan bailout, malah dari pemerintah sendiri. Sedangkan bila keuntungan syarikat mencerut sedikit, ada saja yang akan dibuang, atau akan lesap atau surut pula bonus akhir tahun untuk para pekerja.
Kerancuan sebegini telah dinormalisasikan dalam rejim ekonomi neoliberal. Hujung-hujungnya kita berkesimpulan: kalau pekerja mahu hidup selesa, kerjalah sekuat daya berlipat ganda, malah ambil saja kerja tambahan demi memastikan standard hidup yang diidamkan berkelangsungan. Di tempat kerja, dengan dasar pengurangan kos, jumlah pekerja ditebas, sehingga yang bekerja harus membuat kerja gandaan. Yang dulu satu tugas dibuat seorang, sekarang seorang membuat berat kerja tiga orang yang dikerjakan dahulu. Inilah atas nama produktiviti. Namun gaji pekerja tetap sama, malah jadual masa kerja semakin panjang.
Dalam era ekonomi digital, insentif jangka pendek ditawarkan kepada pekerja tanpa apa-apa perlindungan kepada para pekerja. Inilah yang terjadi dalam sektor e-hailing. Dipakai cepat, tidak kira pekerja tempatan atau asing, kaut untung itulah penting, dan bila pasar sudah dimonopoli, pekerja yang “lebih”, dibuang dibaling. Tenaga pekerja dikuras, setiap sumbangan diperas, dan bila tidak berguna lagi dibuang dihempas. Inilah kedahsyatan yang harus ditempuhi oleh para pekerja.
Kesadaran dan Pemberdayaan Pekerja
Apabila kita membicarakan pahit getir, hiba duka dan tekanan perasaan para pekerja, yang harus kita tegaskan bukanlah sisi pesismisme yang menterjebak sehingga kita gagal mengorak cara lain agar nasib pekerja terbela. Dalam konsep demokrasi, pengundi sering memberi tanda kepada parti yang memerintah agar dasar yang lebih baik wajar digubal sehingga nasib pekerja terjamin dan dimakmurkan. Maka dasar proaktif dari pemerintah di banyak negeri tertumpu untuk menjadi kebajikan pekerja sekian hari lebih baik dari sebelumnya. Inilah yang juga dibayangkan oleh Usman Awang dalam puisinya “Nasib Buruh” (1950) dengan nada kritis sekaligus berharapan dalam kesimpulannya. Begini puisinya dilantun:
“Melarat di sepanjang jalan hidup
tidak kira, tubuh perit dipanggang suria
tidak hirau, dingin hujan menyiram muka
terus bekerja… terus pula menderita
Di rumah anak-anak dan isteri muram durja
apa untuk dimakan segala tiada
pakaian compang-camping
namun hidup diteruskan juga
Sumpah seranah majikan
segala diterima dengan senyum getir
patuh dalam kesabaran derita
untuk sesen wang yang diterima
Tapi semakin ditindas-tindas
jiwa buruh semakin bergelora
bersatu, bertenaga, bekerja dan berjuang
mancapai taraf hidup setara manusia.”
Maka, para pekerja tidak boleh dibenarkan terasa kerdil dan terkepil. Sebaliknya mereka harus terus digalakkan berdiri tegak kerana mereka juga punya hak, punya kemampuan bertindak, punya pendirian berpihak, dan kekuatan kolektif melobi mendesak. Paling penting, harga diri para pekerja jangan dibenarkan diasak atau digertak.
Begitulah yang bergema dalam nyanyian “Senandung Buruh Kasar” (1999) oleh kumpulan Kembali dengan lagu gubahan A. Ali, S. Amin Shahab dan M. Nasir. Terlantun begini liriknya:
“Pandanglah aku yang bermandi keringat
Di bawah terik mentari
Bekerja dengan menghempas tulang
Mencari nafkah sehari
Aku hanyalah seorang buruh kasar
Di tengah kota besar turut merasa bangga
Kerana telah berjasa
Kerana tanpa kami tak mungkin terlaksana
Sebuah kota yang menjadi
Impian sezaman.”
Pendidikan Sepanjang Hayat
Lewat-lewat ini kita mendengar seruan agar dibangun pendidikan sepanjang hayat. Bagus tetapi semoga ia sama tulus. Ini kerana adakah ia melibatkan juga kepada para pekerja. Sering pula yang kita dengar pekerja harus meningkatkan kemahiran, dan ia diberikan dalam paket-paket pelatihan kemahiran yang ditaja syarikat, dengan subsidi dari pemerintah.
Di satu sisi, kebajikan pekerja nampaknya terjamin dengan dasar yang digubal pemerintah, pemantauan dari pihak berkuasa mahupun dari NGO. Di satu sisi yang lain, kita belum benar-benar menjenguk apakah pelatihan kemahiran itu relevan ataupun sesuatu yang sudah outdated. Yang untung adalah konsortium yang menjalankan pelatihan kemahiran, yang sebenarnya sudah menjadi industri yang tersendiri.
Jadi ikhtiar yang “dibuat” untuk pekerja, tidak dapat membawa kesan apa-apa melainkan sertifikat kosong, yang juga belum menentukan kenaikan tangga gaji. Peningkatan kemahiran pastinya penting untuk para pekerja. Namun sama pentingnya adalah literasi ekonomi politik atau pemahaman tentang soal pembangunan dan ekonomi global yang harus ada pada pekerja atau warga yang lebih besar.
Lain perkataan, meningkatkan produktiviti kerja harus jangan berhenti pada pembaikan kemahiran, namun harus ditampung dengan literasi politik-ekonomi yang dapat mencelikkan mereka dengan deras politik, pembangunan dan globalisasi yang cepat arusnya.
Ada yang menyebut penting pendidikan dewasa untuk para pekerja yang bersifat transformatif, suatu kecenderungan yang sering terpakai dalam ranah literasi kritis. Dalam wacana pendidikan dewasa yang berteraskan dunia yang adil, ia harus berdepan dengan pelbagai tantangan. Inti utama dari pendidikan untuk pekerja ini antara, harus memikirkan perkara-perkara berikut, sebagaimana yang tercantum dalam buku Radical Learning (2011) oleh S D Brookfield dan J D Holst:
“We argue that adult education’s discourse of “transformative” learning needs to be resituated in the context of globalization. Millions of adults are indeed being confronted with transformative social and economic developments as their jobs are lost, health care removed, savings disappear, families displaced, and training rendered irrelevant. The transformative learning and education needed in this context is characterized by the mastery of practice and principle present in historic examples of radical training and present in the new organizations emerging among the most dispossessed today. This type of adult education, which bases itself in the situation of those most impacted by globalization, will be increasingly necessary for the lives of the world’s majority. Moreover, this type of adult education, based not on radical rhetoric but rather in the resolution of the basic needs of the world’s growing sector of dispossessed people, inevitably leads to a serious consideration of the democratic socialism for which we are arguing, and it also returns the field to its roots in socially just and relevant educational practices.”
Kebajikan para pekerja harus terjamin bukan saja dari penggubalan dan implementasi dasar oleh pemerintah, tetapi juga harus terungkap dalam pendidikan dan pelatihan yang disasarkan kepada pekerja. Kemahiran teknis sama juga penting dengan pendedahan kritis melalui pendidikan sosial sehingga terbangun para pekerja yang berwibawa – yang kepandaian dan ketukangan mereka bermutu, berganding sama dengan literasi politik dan budaya yang ampuh. Inilah yang akan membawa buruh atau pekerja tangguh yang dapat mencapai etos kemanusiaan yang utuh dan menyuluh.
Disudahi tulisan ringkas ini tentang pekerja dengan tabik hormat yang besar sempena Hari Buruh, dengan sematan syairan pengiktirafan dan perenungan:
Buruh itu bukan barang disuruh
Bukan diperbudak direndah dicemuh
Jauh lagi dibentak dipaluh
Bukan untuk dihisap sampai meluluh
Buruh itu karyawan berharga diri
Yang setiap satu ada hak peribadi
Kehormatan martabat paling asasi
Kebajikannya yang mesti diberi
Buruh itu bukan dagangan murah
Senang dibeli, dipakai semudah
Yang keringatnya setimbang ludah
Dibuang kerja tanpa sebab munasabah
Buruh membawa kesejahteraan bersama
Kerjanya menyalur sumber dan tenaga
Disitulah hidup bertambah daya
Makmurnya buruh baguslah bangsa.
Sanjungan Hari Buruh 2025. Ke depan untuk dunia pekerjaan yang lebih adil, demokratik dan manusiawi. Pekerja dan pekerjaan yang memanusia, ayuhlah sama-sama kita kerjakan.