Bermula dengan babak Bront Palarae memeras pendatang asing “tanpa izin” yang menurut saya tidaklah memberi impak yang besar dalam plot filem ini, Abang Adik tetap akhirnya memberikan dampak emosi berterusan sehingga ke akhir cerita. Dalam pada itu, babak awal filem ini tetap membawakan satu hakikat keji dan kotor yang harus difahami oleh setiap daripada kita. Sengaja saya letakkan “ “ pada terma Tanpa Izin yang seringkali disinonimkan dengan “busuk” “lari dari jerih perih negara sendiri” “lebih sudu dari kuah” dan “beri betis nak paha”. Semua hal yang negatif sering ditampal di belikat mereka. Sedangkan, persoalan yang lebih awla’ ialah bagaimanakah mereka terpalit dengan busuk label “tanpa izin” ini? Adakah mereka sedari awal bertekad mahu jadi parasit di negara asing? Dan siapakah akhirnya yang menjadikan mereka bertahun-tahun jadi orang asing tanpa izin? Setidaknya, babak awal dalam filem ini menjawab persoalan-persoalan ini.
Selepas itu, Abang Adik terus hitam. Ia diwarnakan dengan kepasrahan, keterdesakan, tidak berdaya dan putus asa. Semuanya hitam. Filem ini berawal dengan imej imigran yang kemudiannya ketidaktentuan nasib dua anak tidak beribu, tidak berbapa. Abang dan Adik ialah “adik beradik” yang bersetuju mahu hidup bersama, tanpa dokumen di tengah kota. Abang dan Adik dibantu oleh seorang aktivis kemanusiaan, Jia En. Jia En tanpa lelah membantu dua insan malang ini mendapatkan dokumen pengenalan diri. Kalau ditanya siapa yang lebih malang, Abanglah yang tidak dapat mendegar syahdunya suara kebebasan ketimbang Adik yang masih dianugerahkan dengan surat beranak dalam simpanan. Sedang dirinya, benar-benar tidak beridentiti, tidak bernegara. Dalam satu babak, Jia En bersungguh-sungguh meyakinkan pegawai di meja pendaftaran Jabatan Pendaftaran Negara bahawasanya kedua-dua Abang dan Adik ini sememangnya anak Malaysia. Yang tiada – cuma helaian kertas pengenalan diri yang hangus dimakan api. Saya tidak pasti, kita masih di era pegawai salah dengar, nama di surat beranak boleh bertukarkah? Atau apa? Masih dipasung Jepun, digari Belanda? Abang dan Adik ialah mangsa kelemahan sistem yang bertahun-tahun, berdekad lamanya tidak mahu dikaji dan diperbaharui. Melalui babak ini juga ditonjolkan tengiknya udara perkhidmatan awam yang bertuhankan sistem. Tiada simpati jauh lagi empati. Semuanya diadili melalui lembaran peraturan dan perlembagaan.
Abang Adik mendokumenkan anak tanpa dokumen. Mereka bukan pelarian, bukan orang asing tetapi orang yang diasingkan. Selepas surat beranak terbakar dan terbuang dari keluarga, berusaha untuk bebas ialah jalan yang mesti dipilih. Apa pun jalannya. Kiri atau kanan. Halal atau haram. Sah atau tidak. Bebas mesti dikecapi. Dan untuk bebas, Abang dan Adik mesti mempunyai identiti, sekeping kad kecil bersaiz dompet, berwarna biru, dengan wajah polos tercetak di atasnya.
Filem arahan Jin Ong ini memperlihatkan lingkaran gelap kehidupan mereka yang ditiadakan identiti – digagalkan oleh sistem. Ketiadaan dokumen pengenalan diri menyebabkan Abang dan Adik tersekat di hadapan gerbang pendidikan, gagal mendapatkan kerja dengan gaji yang lumayan lalu terjerumus ke lembah kemiskinan. Ini divisualkan melalui imej rumah Abang dan Adik yang daif, dengan sebuah katil dan makan ruji telur sebiji setiap hari. Tanpa dokumen, Abang dan Adik terpaksa tinggal di rumah yang bukanlah hasil mereka sendiri melainkan atas ihsan seorang nyah tua, Cik Money. Apa lagi, akibat nirdokumen ini juga, mereka gagal membuka akaun bank secara sah. Lalu, bagaimana keduanya mahu jalani kehidupan yang manusiawi? Wang, duit, simpanan, semuanya dilaburkan tanpa pulangan ke dalam tin biskut. Gagal mendaftar akaun bank demi mengumpul simpanan dan membuat pinjaman memaksa keduanya berbuat apa sahaja termasuklah mengambil jalan yang salah bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri.
Ini yang berlaku kepada adik.
Ketika kita menatal skrin telefon, melihat info terkini dan semasa, sering-sering juga disaksikan perihal “orang lain” yang mengemis-paksa, yang tersungkur dalam kancah jenayah dan dadah. Mahu tidak mahu, mesti difahami kalau keterdesakan membuka ruang eksploitasi dan penindasan. Dalam babak awal, Adik telah menjadi orang suruhan ketua sindiket pendatang asing lakonan Bront. Eksploitasi secara ringkas dan mudah ditonjolkan melalui tindakan Bront yang mencapati janjinya untuk membayar adik dengan sejumlah wang. Lebih lagi, babak ini diakhiri dengan “kau nak ic kan?” Sebaris dialog ini sekali gus menjadi klu terawal naratif cerita dan secara tidak langsung menjadi satu ugutan kepada Adik, seorang anak Malaysia tanpa dokumen. Tanpa dokumen yang sah, Adik tidak dapat berbuat apa-apa kepada Bront. Jauh sekali membocorkan kegiatan jenayah. Apa lagi, inilah jalan “salah” yang dilalui Adik demi mendapatkan kad pengenalan. Plot-plot awal jelas sekali mengisyaratkan bagaimana “orang lain” ini cenderung menjadi mangsa eksploitasi oleh sebab dipaksa-diam. Begitu juga dengan nasib Abang yang tidak dibayar seperti yang dijanjikan. Golongan inilah juga yang digajikan tanpa EPF dan SOCSO, tanpa hitam putih yang lengkap malah tanpa perlindungan sekali pun. Kalau sedar ditindas sekali pun, mahu ke mana? Ke Jabatan Buruh? Tanpa dokumen pengenalan diri?
Ketiadaan kad pengenalan memenjara Abang dan Adik. Dan ketika terus menerus gagal keluar dari jeriji besi itu, tekanan demi tekanan menghenyak “orang lain” ini ke tingkat yang paling bawah. Ironi sekali. Ketika masyarakat kini ghairah mendidik diri tentang kesihatan mental, trauma dan krisis jiwa, golongan rentan ini terus-menerus tercicir dari dipertimbangkan kesihatan nurani mereka. Berawal dengan tiada tempat bergantung kerana tiadalah sosok orang dewasa di sisi, hingga kemuncaknya ketika Jia En tergeletak di lantai, kehidupan telah membunuh Abang. Tali pengharapan yang cuma sejengkal itu telah putus. Ikut menjadi abu bersama surat beranaknya. Menarik sekali, di awal filem ini turut dipaparkan tindakan mangsa penipuan sindiket yang memilih kematian. Seolah-olah, memberitahu kita (atau saya), bahawa masa depan mereka ini, di sini, dalam negara serba berpelembagaan ini, memang kelam. Tiada harapan. Tiada jalan. Tiada. Terngiang-ngiang suara Jia En menyatakan tapi mati, tak dapat selesaikan apa apa. Harus dipertanyakan semula, adakah kehidupan buangan ini menyelesaikan apa-apa?
Kehidupan dibayangi derap kaki penguatkuasa dan gemerincing gari yang saling berlaga. Tiadalah tidur yang panjang kerana senantiasa bersiap siaga. Takut esok lenanya berlantaikan simen penjara. Hanya sepotong kad berwarna biru memisahkan dua bibir Abang lalu berkata kalau dia mahu mati, kerana akhirnya, cuma mati yang membebaskan. Di hadapan agamawan – mereka yang basah bibir dengan dalil kemanusiaan. Sedang tiadalah lagi agama dapat menarik semula batu sial yang menghempap Abang dan Adik.
Kesedaran, simpati dan empati yang didorong oleh kejernihan nurani tidak datang tiba-tiba. Kadang-kadang datang dari pembesar suara gereja. Atau masjid. Atau tokong. Atau kuil. Atau siaran langsung pempengaruh. Atau kalau boleh kita harapkan, parlimen. Sudah tentu, pandanglah manusia dengan pandangan manusiawi, bukan sebatas kad pengenalan diri. Baik di laut atau di darat. Manusia manusiawi punya hak hidup merdeka. Punya rumah, punya tempat berlindung, punya pendidikan, punya wang, punya kekasih dan tempat bermanja. Dan ketika hujan, ada selimut dan katil empuk untuk menikmatinya. Bukan di atas jejantas, yang di hadapannya tergantung slogan “Saya Anak Malaysia”.
Nota akhir : sehingga hari ini, saya masih tidak dengar orang-orang bertanggungjawab memberi kenyataan tentang kezaliman terhadap masyarakat adat laut yang dirampas hak tempat tinggal demi kemajuan material, apa lagi suara lunak dari meja Kementerian Pendidikan tentang pelajar merdeka dari Sekolah Alternatif, jauh sekali pembelaan nasib kanak-kanak yang ditakuti bakal menjadi mangsa eksploitasi. Entah berapa ramai lagi Abang dan Adik mahu digagalkan ketidakadilan.