“To my mind, anyone who does not realize this curious moral situation of the masses can understand nothing of what is today beginning to happen in the world” – Jose Ortega y Gasset
BAH besar yang melanda pada 17 Disember 2021 yang lalu antara peristiwa yang tragis pernah berlaku dalam lipatan sejarah kita. Anak kecil menangis ketakutan, warga emas yang lumpuh dipapah keluar dari banjir juga keluarga yang terperangkap di atas bumbung rumah berhari-hari menunggu bekalan makanan dan penyelamat untuk membantu mereka. Kaca Tv, radio dan media sosial tak putus-putus berkongsi tentang keadaan yang terjadi. Cemas dan sangat menyentuh hati.
Namun dalam keadaan kucar-kacir dan haru biru muncul beberapa individu dan kumpulan yang memperlihatkan kesedaran nurani dan ketebalan cita sempurna dalam diri. Bayangkan bagaimana Gurdwara Sahib dengan pantas telah dijadikan tempat perlindungan juga memasak bekalan makanan panas bagi semua mangsa yang terlibat dengan bencana. Tidak cukup dengan itu ada pula seorang pemuda yang sanggup meredah banjir membawa bot sendiri semata-mata mahu menyelamatkan mereka yang terperangkap.
Tindakan ini harus dipuji kerana ia menggambarkan semangat dan cita kemanusiaan yang tidak boleh diabaikan dan direndahkan. Hampir kesemua masyarakat tersentuh dengan tindakan mereka. Tetapi ada beberapa perkara yang perlu direnung semula antaranya adalah pada fetishme pujian dari sebahagian kita. Pujian harus diberikan itu benar, tetapi pujian saja tidak mencukupi kerana yang perlu kita ambil pengajaran bukan saja pada sosok yang membantu tetapi yang paling besar adalah pada idea kemanusiaan yang dibawa bersama.
Tentang Fetishme
Fetishme ini bukan baru malah sudah berlaku lama. Contohnya Suatu ketika dahulu kita punyai pengarah filem dan pelakon yang terkenal iaitu P. Ramlee. Ya, masyarakat begitu memujinya, di sana sini dilukis mural wajahnya, ada yang memutar kembali filemnya berulang kali tak kurang juga yang cuba meniru gaya, lenggok bicara dan perwatakan P. Ramlee itu sendiri. Tetapi boleh dihitung dengan jari mereka yang mengambil iktibar dari pembikinan filem beliau. Sampai ke hari ini kualiti filem dan kritikan sosial beliau yang kritis itu masih tidak boleh ditandingi oleh filem tempatan. Akhirnya berhujung sebagai hanya fetishme bukan pengajaran.
Begitu juga setelah selesai bah banjir apakah tindakan dari pihak Gurdwara Sahib itu telah membuka jalan toleransi dalam beragama juga perpaduan dalam kalangan masyarakat? Sedangkan itu satu contoh yang ampuh menunjukkan bagaimana kemanusiaan itu melangkaui segalanya. Adakah hari ini elit politik sudah memusnahkan agenda perkauman dalam setiap kempen mereka? Adakah hari ini kelompok Islamis kanan sudah mula meredakan prasangka mereka pada yang bukan Islam? Yang paling penting apakah tindakan dari institusi pemerintahan? Adakah mereka telah memansuhkan semua perkara yang berasaskan kaum? Jika belum dilakukan jadi selama ini pujian itu untuk apa?
Media antara yang begitu fetish menghamburkan pujian terutama pada seorang pemuda yang menaiki Perodua Viva dengan membawa bot kepunyaan sendiri, malah ada pula elit politik yang tumpang sekaki memuji melambung tinggi tanpa rasa malu. Sehinggalah kita semua lupa masalah akar kepada banjir ini berlaku dan kemanusiaan itu harus juga dizahirkan oleh pemodal, elit, dan masyarakat bukan semata-mata pada individu yang sekadar mengikut musim. Kemudian kita melupakan dan mengulangi kesilapan yang sama berulang kali.
Fetishme pujian juga adalah sebahagian dari bentuk feudal. Kadang-kala kita boleh melihat pula keadaan di mana penguasa yang tidak melakukan kerja dengan baik pun disodokkan dengan puji-pujian yang melampau. Inilah sebahagian dari authoritarian ethics seperti yang diungkapkan oleh Fromm. Pembangunan dan kemajuan itu boleh diletakkan tepi yang penting harus dipuji dahulu mereka yang memerintah secara tak langsung mewujudkan jurang kelas yang besar.
Ketakutan pada kelahiran masyarakat lambak
Jose Ortega y Gasset, seorang pemikir Sepanyol yang tersohor dalam bukunya The Revolt of the Masses pernah menggariskan tentang konsep manusia lambak. Bagi beliau di setiap jenis masyarakat boleh dibahagikan kepada dua. Pertama manusia lambak dan yang kedua adalah minoritas kreatif. Manusia lambak boleh hadir tanpa mengira status sosial. Manusia lambak mendominasi ranah intelektual, budaya dan keagamaan masa kini. Mentaliti manusia lambak ini mengamalkan ciri pemikiran yang rapuh, dangkal, senang berpuas hati, tak senonoh, tidak bertauliah, konformis atau dalam bahasa lainnya “the spoiled child of human history.”
Fenomena pelambakan ini semakin getir kerana semakin ramai dalam kepimpinan dan masyarakat tersodok dengan sindrom pelambakan ini. Sindrom ini menghasilkan manusia yang tiada standard, yang sembrono, yang tidak memiliki citarasa dan tekad tinggi, dan tidak mahu melakukan sesuatu yang lebih dari apa yang mereka selesa melakukannya. Yang parah lagi apabila mereka memaksakan citarasa dan kepiawaian mereka yang dibawah standard itu menjadi standard yang harus diikuti semua, malahan mengajar yang lain supaya berbuat seperti mereka.
Kewujudan manusia lambak ini akan meninggalkan beberapa kesan terhadap proses pembangunan dan kemajuan terutama sekali terhadap masyarakat membangun. Kemunculan idea lambak ini di dorong oleh beberapa faktor 1) tiada intelektual yang berfungsi untuk mengkritik fenomena perlambakkan, 2) budaya sosio-politik yang banyak menekankan pragmatisme dalam erti kata lain tak usah diperdebatkan sesuatu perkara apa tah lagi membuat refleksi serta analisis kerana aksi dan hasil itu lebih penting. 3) tiada stamina dan fokus utuh untuk benar-benar memahami isu dan cabaran yang terjadi dalam masyarakat.
Kaitan masyarakat lambak dan fetishme pujian
Kaitan yang paling ketara diantara masyarakat lambak dan fetishme pujian ini akan menghasilkan idea bahawa pemujaan pada sosok atau individu lebih penting ketimbang melihat dan memperbaiki masalah akar yang ada. Dalam konteks tulisan ini sudah tentu mereka yang menyelamatkan mangsa banjir yang menjadi tumpuan media dan elit berbanding pada faktor asas mengapa banjir terjadi, siapa perlu bertanggungjawab apa langkah mencegah dan memperbaik pada masa hadapan? Akhirnya idea lambak ini dipaksakan menjadi perspektif pada setiap kali bencana atau masalah menimpa tanpa ada renungan yang kritis berulang kali.
Memuji jangan sampai melupakan. Mahu atau tidak kita perlu segera memberdaya dan membangunkan pemikiran seperti kata Gasset minoriti kreatif yang akan menjadi elit untuk memacu pembangunan dan pencerahan. Bukan sekadar memuji tetapi belajar dengan apa yang dipuji dan tidak terlepas melihat apa yang berlaku di sebalik pujian itu. Dalam tulisan Gasset:
“the select man, the excellent man is urged, by interior necessity, to appeal from himself to some standard beyond himself, superior to himself, whose service he freely accepts. Let us recall that at the start we distinguished the excellent man from the common man by saying that the former is the one who makes great demands on himself, and the latter the one who makes no demands on himself, but contents himself with what he is, and is delighted with himself. Contrary to what is usually thought, it is the man of excellence, and not the common man who lives in essential servitude. Life has no savour for him unless he makes it consist in service to something transcendental. Hence he does not look upon the necessity of serving as an oppression. When, by chance, such necessity is lacking, he grows restless and invents some new standard, more difficult, more exigent, with which to coerce himself. This is life lived as a discipline—the noble life. Nobility is defined by the demands it makes on us—by obligations, not by the rights”




