Hari Raya Bulan Mulia

Hari Mulia Perenungan

Hari Raya kebesaran Syawal

Mohon maaf sepuluh jari

Carilah kemuliaan akhir dan awal

Mulakan kasih santun peduli

Mohon maaf sepuluh jari

Zahir Batin terlafaz ikhlas

Hari yang baik sama peduli

Sepanjang hidup ia membekas.

Tradisi Raya boleh dianggap sebagai “hari besar” bagi masyarakat Melayu. Memangpun Raya adalah sambutan keagamaan, namun cara ia disambuti sangat dipengaruhi oleh kebudayaan yang mewarnai kehidupan masyarakat Islam masing-masing. Pastinya Muslim di Eropah, Afrika, dunia Arab, benua kecil India, Asia Utara, dan Asia Tenggara menyambut Aidilfitri dengan cara masing-masing baik dalam segi makanan yang hidup, pakaian, hiasan dan keramaiannya. 

Inilah yang menjadikan dunia Islam itu sendiri sangat majmuk, namun terikat dalam akidah Tauhid yang menjadi tunjang dalam Islam. Ertinya dalam perayaan Hari Raya, warisan kebudayaan terlestari sama. Budaya Melayu contohnya sangat menonjol dalam perayaan umat Islam  di negera ini. 

Menariknya pula warisan ini juga melalui perubahan dan kesegaran yang dibuat bilang-bilang tahun. Lihatlah busana Raya yang direka setiap tahun, termasuk kek dan kuih yang memasuki pasaran, serta lagu-lagu Raya baru didendangkan. Ertinya, warna dan lapangan budaya menjadi dinamik silih berganti. Pastilah ada motivasi komersial namun produksi dan penambahan sebuah budaya terus berjalan dan diciptakan. Dalam jangka waktu yang panjang ia menjadi warisan pula. 

Namun dalam ghairah mengganti dan membarui, kita terlepas masa untuk merenung akan makna sesuatu amalan atau amanah yang kita dipertanggungkan. Merenung akan keadaan kita, tentang masyarakat dan persekitaran kita pasti dituntut dalam agama, kerana apa yang kita punya adalah amanah. 

Raya itu Mulia kerana Syawal itu Amal 

Syawal adalah bulan kejayaan, dan Ramadan adalah bulan perjuangan umat Islam menyempurnakan amalan ibadat puasa. Setelah cukup berpuasa, umat Islam diwajibkan membayar zakat fitrah di akhir Ramadan, dan menjelang Syawal itu adalah sangat simbolis. Ajaran Islam yang menegakkan supaya yang fakir miskir dan mereka yang terlantar harus diberikan bantuan, dicukupkan keperluan mereka. 

Persiapan menyambut Syawal sering dilakukan dengan bersungguh. Tetapi pastinya yang berkemampuan,  yang boleh membeli yang baru, menukar yang lama. Ada yang lebih rezeki, berbagi membelikan yang lain, entah ia pakaoan, makanan dan lain keperluan. Rahmat bulan mulia ialah sikap berbagi yang rata-rata lebih tinggi dari bulan lainnya. Sifat yang mulia sebgini harus dipuji serta digalakkan. 

Namun bulan yang menjadi “kejayaan”kepada sesetengah kita, juga adalah bulan “kesedihan” bagi yang tiada. Dengan tarikan iklan Lebaran yang menderu di setiap penjuru, pastinya yang tidak berpunya makin terasa tertekan. Mencukupi yang asas saja bagi mereka adalah perjuangan yang besar. Banyak keluarga yang berjuang mendapatkan sesuap nasi. 

Ada yang tiada pendapatan, banyak dibuang kerja atau menganggur kepada sukar melamar kerna dek sijil kelulusan dan kemahiran yang rendah. Ada yang bergelut dengan penyakit sehingga kos ubat-ubatan tertanggung perat. Banyak juga yang tidak punya tempat tinggal tetap untuk berteduhm dengan tunggakan sewa dan bekalan lampu air yang sering terputus. 

Itulah yang masih dilalui oleh banyak keluarga dan perseorangan. Sebutlah mereka ini golongan kemiskinan atau orang susah ataupun klasifikasi B40, yang kehidupan mereka kian tertekan, manakala kegentingan ekonomi menyebabkan banyak masalah sosial pula yang terbit, anak-anak menjadi tidak menentu, penyalahgunaan dadah menghimpit dan keganasan rumahtangga semakin sulit.  

Bayangkanlah keluarga yang tidak punya apa-apa di Hari Raya. Pastinya segan dengan tetangga sebab mereka pun ada air muka dan harga diri. Bayangkan anak-anak mereka yang sedih kerana bukan saja baju tidak berganti, malahan ada juga yang lapar di pagi Hari Raya. Yang mereka berharap tunggu adalah duit raya yang disedekahkan oleh orang-orang tertentu.  Inilah nanti boleh dibuat duit sekolah, ataupun diberikan ke ibu ayah mereka agar lega sedikit sehari dua nanti. 

Bayangkan ibu yang sedih kerana dapur tidak berasap. Betapa ayah yang tidak punya apa-apa untuk diberikan kepada anak isterinya, remuk dan berduka di pagi Raya. Untuk mengundang orang datang ke rumah, mereka tiada apa-apa, malah untuk meziarah ke rumah orang, segan dan malu untuk tunjukkan muka, kerana pakai pun tiada berganti. Inilah Raya duka bagi mereka yang susah tidak berpunya apa-apa. 

Belum lagi keluarga anak yatim piatu, atau anak-anak yang ditinggalkan ayah ibu, yang kabur entah ke mana. Ada pula ibu tunggal, yang harus menyara anak yang masih sekolah, makan pakai dan rumah berteduh. Sedih lagi orang cacat atau kurang upaya. Raya bagi kita, tetapi hari biasa yang harus mereka lalui dengan segala kekurangan. Toleh pula orang-orang tua yang anak mereka abaikan di rumah orang-orang tua, ataupun sebatang kara dengan tiada pencen, simpanan mahupun insuran. Derita mereka tidak berhikayat, keluh mereka tidak tercerita. Yang ada adalah hayat yang menyayat. 

Kesenjangan ekonomi semakin menekan.  Inilah yang boleh kita saksikan, sekiranya kita benar-benar mahu faham dan peduli. Kita perlu maklum, jarang yang mahu menjenguk mereka ini, kalaupun tidak mendengar rintihan keluarga dan perorangan yang miskin ini. 

Kadang-kadang dengan kesenangan dan kemudahan yang ada pada kita, kita fikirkan kemiskisnan itu seolah-olah seperti teori abstrak ataupun  ia jauh nun di sana di negeri entah berantah. Tanpa kita tahu, (atau buat-buat tidak mahu tahu) bahawa yang miskin itu adakah jiran sebelah kita, adik sekolah yang keputusan belanja untuk untuk yuran dan perbelanjaan sekolah, saudara kita baru dibuang kerja, sedang anak isteri yang sakit tiada biaya perubatan. Panjang lagi boleh kita sebut ramai yang sudah dan menderita. 

Namun fikirkan saja bila kita beria-ia mengatakan Syawal hari kemenangan. Pastilah kemenengan penyempurnaan puasa kita. Namun hari kemenengana kita adalah juga hari kecundangan dan kesedihan pada yang lain. Mungkin saja kita berpuasa dengan juadah berbuka terhidang banyak, lebih banyak yang kita sering makan di luar bulan puasa. Bagi yang lain, ada sampai tidak tahan berpuasa kerana kerja buruh kasar, bergaji hari yang bekerja tungkus lumus agar anak isteri di rumah tidak kelaparan dan boleh bersekolah. 

Itulah Ramadan yang kita sebut menahan lapar dahaga namun belum tentu nafsu memenuhi segala kemahuan kerana bulan itu menjadi  bulan pesta makan dan bulan membeli-belah. Datang Syawal, kitapun melafaz menang, pastinya menang itu membeli dan memakai untuk kita sendiri. Namun banyak yang lain, kenyataannya kebalikan. 

Pastinya kita pernah mendengar lagu Sharifah Aini, “Hari Yang Mulia,” yang liriknya padat dan menyentuh sekali. Antara barisan yang dilantunkan: 

“Si miskin kais pagi, makan pagi

Tak mungkin dapat menghiburkan hati

Kerananya tak berkemampuan

Alangkah sedihnya mereka

Marilah kita berdoa

Sempena hari yang mulia

Jangan kita asyik gembira

Oh, insaflah pada yang tiada

Marilah kita berdoa

Sempena hari yang mulia

Jangan kita asyik gembira

Oh, insaflah pada yang tiada.”

Itulah “pada yang tiada” harus kita peduli dan berdiri sama. Menarik juga dalam lagu ini tiadapun disebut “Hari Raya,” melainkan ia disebut Hari Yang Mulia, sebagai judul. Begitulah juga makna  kepada  kemuliaan  Hari Raya kerana kita telah dibekali dengan puasa Ramadan kerana ia membayangkan bagaimana susah hidup bagi yang tidak berpunya, dalam kelaparan dan kehausan, dan menahan segala kemahuan. 

Syawal Tradisi Berbagi yang Mulia 

Kemenangan Syawal harus menjadi kemenangan untuk berbagi. Bukan kemenangan untuk membeli dan memakai. Namun hari ini dengan gelombang konsumerisme makin gemencar, Hari Raya seperti banyak perayaan komuniti lain, sudah banyak melalui perubahan besar. Komodifikasi perayaan terjadi bukan saja pada Krimas, malah juga pada sambutan Tahun Baru Cina, serta sambutan Hari Raya Aidilfitri. 

Di satu sisi, sambutan yang bererti penyediaan makanan dan kuih-muih yang tersaji untuk menyambut berkumpulnya saudara mara dan handai taulan bisa saja suatu kewajaran. 

Namun kalau sambutan Raya menjadi perbelanjaan besar sehingga terjadi perbelanjaan defisit bagi perorangan dan sekeluarga, maka ia adalah suatu yang tidak wajar, malah menyalahi pesan-pesan agama kita.  Yang dimaksudkan ini ialah tradisi yang membesarkan nilai-nilai yang menyantuni dan berbagi kepada mereka yang berhak dan memerlukan. 

Sebenarnya pada bulan Ramadan nilai-nilai ini sudah terjelma awal. Ajaran yang menggalakkan semangat berbagi dapat dilihat dalam amalan berbagi bubur masjid, yang untuk keluarga dan mereka yang kurang berkemampuan adalah habuan yang besar. 

Begitu juga dengan amalan mengadakan berbuka puasa di masjid yang dibuka kepada semua. Di kalangan jiran tetangga, tidak kurang pula yang berbagi lauk pauk dan kuih muih dengan niat ikhlas memberi tanpa difikirkan balasan. Bayangkan pula yang mendapat habuan itu mereka yang dari keluarga dan individu kurang mampu. Tentu itu suatu nikmat kesyukuran.  

Ramadan bulan mulia adalah masa-masa untuk mempertingkat amal ibadat, termasuk bersedekah. Pada bulan mulia ini kita lihat amalan yang dituntut dalam Rukun Islam dijalankan serangkaian, yakni mendirikan sembahnyang, berpuasa dan mengeluarkan zakat. Terkandung dalam amalan membayar zakat fitrah dengan sumber terkumpul yang kemudian nanti disalurkan kepada fakir miskin, justeru mengingat kita betapa ajaran Islam prihatin kepada mereka yang terlantar. 

Semangat berbagi ini sangatlah mulia, dan tradisi memberi wang kepada orang-orang tua yang tidak bekerja, atau kepada anak-anak kecil yang masih bersekolah sebenarnya dapat kita perhatikan dalam masyarakat. Juga hari ini, ia diperpanjangkan kepada pembantu-pembantu rumah  yang dikenali. Pembudayaan  tradisi saling memberi inilah yang kita diajar dan digalakkan melakukannya, dan pada bulan Syawal amalan ini dikukuhkan. 

Di hari mulia ini, yang sering ditonjoli sebagai “hari baik bulan baik” kita  juga terpanggil terbuka hati mendekati mereka yang seperti tersebut di atas. Mungkin saja mereka pernah tersalah, mungkin saja mereka tidak bernasib baik, mungkin saja mereka terpulau dari yang lain. Moga barokah Ramadan -Syawal mengajak kita untuk mendekati mereka yang kadang dijauhi, dipinggiri, dan tidak dimengerti.

Moga Hari Raya terus juga bermakna sebagai hari kebesaran untuk menegakkan keadilan dan kemanusiaan sebagaimana yang diseru dalam agama kita. Tanpa perlu menjadi terlalu berfilsafat tentang amanah, carilah diantara kita saudara dan taulan yang sememangpun tidak cukup dengan segala erti. Itulah orang susah yang harus kita ringankan masalah dan derita mereka.

Teramanah kita merenungkan Ramadan dan Syawal. Kebaikan yang dipertegaskan harus didirikan, bukan saja pada bulan Ramadan, tetapi harus ia berpanjangan dalam bulan-bulan kehidupan ini. Ramadan-Syawal melatih kita untuk mengamal dan merenung. Hari Raya harus menjadi kemuncak perenungan.  Itulah Hari Mulia yang wajar kita sambuti dan menanti ia lagi sebagai peringatan, pengalaman, dan perenungan. Bertindak mengamalkan kebajikan lantas bermula kini. 

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Dengan harapan keberkatan Syawal dapat direnungi

31 Mac 2025 Masehi bersamaan 1 Syawal 1446 Hijiriyah.