Tradisi Berselawat dan Memanjangkan Berkat

Dalam banyak amalan dan upacara keagamaan dan kebudayaan umat Islam, pastinya akan kita mendengar akan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad saw. Bagindalah Junjungan yang kita kasihi. Dalam tradisi Islam dari pelbagai bentuk pemikiran dan amalan, telah mengungkapkan rasa kecintaan yang besar kepada Nabi akhir zaman ini. 

Dalam kehidupan seharian kita, selain menyebut Bismillah kita juga dianjurkan membacakan selawat sebelum kita memulakan atau melakukan sesuatu kerja. Itulah yang kita diasuh semenjak kecil oleh orang tua kita. 

Berselawat dalam tradisi Islam bermakna suatu bentuk doa dan pujian kepada Junjungan Nabi. Malah ada tiga jenis selawat, yakni selawat dari Allah, dari malaikat, dan dari manusia atau umat Nabi Muhammad. 

Selawat adalah pengungkapan pengagungan kepada Baginda, yang umatnya sedia berdoa agar mendapat syafaat Baginda di akhirat nanti.  

Dalam ajaran dan peradaban Islam, Nabi Muhammad saw ialah watak adi sempurna yang wajar diteladani. Orang Islam kadang menyebut dirinya sebagai umat Nabi Muhammad. 

Seringkali, menjadi adab dalam majlis-majlis masyarakat Melayu, salam diberi seraya puji syukur ke hadrat Tuhan, lantas memberikan salam dan selawat ke atas Nabi Muhammad. Sebegini contoh yang sering kita ketemukan:

“Assalamu ‘alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, kita buka majlis ini  dengan memanjatkan puji syukur kepada Tuhan sarwa sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Nabi besar kita, Nabi Muhammad SAW, serta sahabatnya.  Bagindalah Nabi yang membawa cahaya petunjuk kepada seluruh umat manusia.”

Tradisi memberi salam dan selawat serta puji pujian sudah lama berakar dalam tradisi Islam. Dari zaman ke zaman, banyak selawat tercipta, termasuklah qasidah dan syair ke atas Junjungan Nabi. 

Qasidah Burdah 

Sedari awal yang kita ketemukan dari Nusantara adalah Qasidah Burdah al-Busri, yang ditulis dalam bahasa Arab. Ia sudah beredar di rantau ini semenjak awal abad ke-16 M. Kemasukan Islam di kawasan ini, membawa tradisi Islam yang sudah jazirah Arab dan benua kecil India. Dalam naskah Arab ini, tercantum terjemahan bahasa Melayunya akan makna Burdah ini.  Ia berbunyi demikian:

“Itulah Muhammad penghulu isi kedua negeri dan jin dan manusia sesungguhnya, dan penghulu (untuk) kedua- (dua) kaum daripada Arab dan Ajam sekalian

Nabi kami yang menitahkan maaruf menitahkan (menafikan) mungkar; tiada seorangpun lain daripadanya lebih sadik, pada mengatakan tiada dan ada daripada segala katanya.

Dialah yang beroleh sempurna karunia, yang diharap ummatnya syafaatnya, bagi kesakitannya daripada segala kesakitannya yang tiada dapat diketahui adanya.

Telah dibawainya takallubnya kepada agama Allah; maka segala yang berlakukan dia sesungguhnya telah berpegang pada tali yang tiadakan putus adanya.

Diatasinya segala nabi Allah pada rupanya dan pada lakunya, dan tiada dapat sekaliannya menghampiri dia pada ilmunya dan pada kemuliaannya.

Sekalian mereka itu mengambil daripada Rasulullah jua sesungguhnya secalung dari laut atau dari hujan yang mahalebat adanya.”

Dalam khazanah teks Melayu klasik, banyak lagi karya yang ditulis untuk menyanjung kepribadian Nabi Muhammad. Antaranya Hikayat Nur Muhammad, Hikayat Bulan Berbelah, dan Hikayat Peri Menyatakan Miraj Nabi Adanya, dan Syair Sinar Gemila Mestika Alam oleh Raja Ali Haji. Hari ini para penulis kontemporari kita juga banyak yang menulis penyanjungan ke atas Junjungan Nabi, seperti Al-Amin: Riwayat Hidup Rasulullah S.A.W Dalam Puisi, (1999) hasil ilham pena A Samad Said, Sasterawan Negara, Malaysia. 

Kita maklum bahwa terdapat banyak anjuran untuk berselawat  dapat ditemukan dalam Al-Quran dan Hadith. Malah ada juga anjuran untuk menulis selawat sehinggakan disebut mereka yang berbuat sedemikian akan diberkahi dan diampuni dosa mereka. Ada puji-pujian ini berbentuk selawat, ada pula berbentuk qasidah. 

Di kalangan jemaah yang mengidentifikasikan diri mereka sebagai Nahdlyin (berpegang kepada mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah, dan yang berpersatuan dalam Nahdatul Ulama), tradisi berselawat sangat kental diamalkan. Baik dalam upacara rasmi mahupun majlis tahlil, membaca selawat beramai-ramai sudah menjadi tradisi yang kukuh. 

Di kampus Universitas Nahdlatul Ulama Sunan Giri (UNUGIRI), di Bojonegoro, Jawa Timur, para siswanya sudah terbiasa melantun selawat yang dikenali sebagai Selawat Fatih. Ia dilantun secara beramai-ramai, terpadu dalam irama lagu, malah terpapar dalam bentuk muzik video. Apabila dilantun seluruh kampus, akan terasa gemaan harapan dan kasihnya umat Islam kepada Junjungan Nabi kita. Selawat Fatih ini adalah antara selawat yang popular dibacakan di kalangan santri. Dengan makna Melayu sebegini: 

“Ya Allah, limpahkanlah rahmat kepada Junjungan kami, Nabi Muhammad pembuka segala yang terkunci, penutup kenabian yang telah lalu, pembela kebenaran dengan kebenaran, dan petunjuk kepada jalan-Mu yang lurus. Semoga Dikau melimpahkan pula rahmat kepada keluarga dan para sahabatnya dengan hak derajat dan kedudukannya yang agung.”

Banyak lagi Selawat yang memuji Nabi seperti yang tertera dalam lelaman NU.Online. Di situ tercatat 34 selawat yang sering terpakai di kalangan Nahdlyin. Dalam setiap upacara Nahdlyin, selawat beramai-ramai menjadi kebiasaan, selain ada bacaan Al-Quran, mahupun nasyid. 

Mengingati Nabi Besar itu sesungguhnya menjadi seruan dalam agama agar kaum Muslim menyanjungi ajaran-ajaran nama, memakai teladan dari watak yang serba sempurna. Dalam masyarakat Islam yang mana tingkat intensiti Islam agak sederhana, selawat ke atas Nabi setidaknya menjadi tali pengingat kepada ajaran Islam. Di kalangan santri, yang tekun dengan beramal ibadah dan mempelajari ajaran agama, berselawat sudah mendarah daging dalam peribadatan harian mereka.   

Hari ini majlis selawatan menjadi megah baik di Indonesia dan Malaysia, sering dijadwalkan  sewaktu bulan Maulid Nabi, maupun haul memperingati tokoh ulama besar. 

Tarhim Subuh 

Memuji dan mengagungkan Baginda Nabi, bukan saja dalam selawat, tetapi dalam beberapa lantunan yang bersifat qasidah atau madah dalam bahasa kita. Satu bentuk yang terkenal sebagai pujian kepada Nabi Besar kita ialah Tarhim. 

Tarhim ertinya memohon Rahmat.  Pada setiap Subuh, di Indonesia khasnya, akan terdengar lantunan tarhim yang merdu, sebelum azan subuh berkumandang. Syahdu kalau dihayati lantunan tarhim ini, dengan kalimah Arabnya berbunyi antaranya: 

“Ash-shalaatu was-salaamu ‘alaiyk, 

Yaa imaamal mujaahidiin, Yaa Rasulallaah.

Ash-shalaatu was-salaamu ‘alaaik, 

Yaa naashiral hudaa, Yaa khayra khalqillaah…..”

Dengan terjemahan panjangnya:

“Selawat dan salam semoga dilimpahkan padamu wahai pemimpin para pejuang, 

Ya Rasulullah, selawat serta salam semoga diberikan kepadamu wahai penuntun petunjuk Ilahi, wahai makhluk yang terpuji, selawat dan salam semoga tercurahkan atasmu, wahai penolong kebenaran, 

Ya Rasulullah, selawat dan salam semoga tercurahkan kepadamu. Tuhan yang memperjalankanmu pada malam hari, Dialah Yang Maha Melindungi, 

Kau memperoleh apa yang engkau dapat sedangkan seluruh manusia tidur. Dibelakangmu ada semua penghuni langit saat mengerjakan salat dan engkau menjadi imam

Kau diberangkatkan menuju Sidratul Muntaha sebab kemulianmu, dan suara ucapan salam atasmu kau dengar. 

Wahai yang sangat mulia akhlaknya, Ya Rasulullah, semoga selawat selalu dilimpahkan kepadamu, untuk keluarga dan sahabatmu.”

Tarhim ini sebenarnya dicipta oleh Syekh Mahmud Khalil Al-Husshari (1917-1980), yang merupakan seorang qari’ terkenal asal Al-Azhar, Mesir. Disebut dalam beberapa lelaman di internet, beliau pernah berkunjung ke Indonesia pada tahun 1960-an, di mana saat itu. Syeikh Mahmud diundang merakam Selawat Tarhim di Radio Lokananta, Solo. 

Semenjak dari itu, rakaman Tahrim ini tersebar di seluruh Indonesia. Ia masih dilantunkan di banyak masjid-masjid, teristimewa masjid yang jemaahnya dari Nahdhlyin. Malah beberapa masjid di Malaysia dan Singapura juga melantunkan tahrim ini sebelum azan subuh berkumandang. 

Selawat tarhim ialah sanjungan mengandung unsur mengingatkan untuk beribadah, selain kerinduan umat kepada penghulu besarnya, yakni Nabi Muhammad saw. Ia suatu harapan agar umat selalu memdapat syafaat dari Baginda.

Tarhim ini malah sangat puitis kalimahnya, sekaligus menunjukkan dalam tradisi Islam, ketakwaan beragamaan sayugia didampingi dengan sentuhan kesenian yang tinggi. Lihatlah bagaimana di berbagai belahan dunia Islam, umatnya berlumba melaungkan azan paling indah, atau membaca Al-Quran dengan tajwid dan qiraat paling fasih, dengan kemerduan suara bila membaca wirid dan selawat. Belum lagi senibina masjid yang mesti tegap dan tergilap. Inilah estetika dalam muatan keagamaan. 

Lagu Pujian Sewaktu Ramadan 

Umat Islam di Singapura, sepanjang bulan Ramadan akan mendengar lagu Arab yang diputarkan dari Radio Warna ( 942 FM ) sejurus selepas azan Maghrib menandakan waktu berbuka puasa. Ramai di antara kita yang membesar mendengarkan lagu ini, malah ada juga yang telah menghafal lagu ini, walaupun ramai juga yang kurang tahu akan maknanya. 

Lagu ini dinyanyikan oleh Shaykh Sayyid Naqshabandi. Judul lagu itu adalah  “Ya Rabb Karamak Alaina.” Lagu puji pujiannya ini sebenarnya panjang, dan yang kita dengar dari radio tersebut adalah sebahagian darinya, yakni korusnya. Apapun lirik lagu itu boleh diterjemah sedemikian: 

“Ya (Allah) yang Maha Mulia, 

Yang Maha Penyantun,

Maha Pengampun dan yang Maha Penyayang

Kabulkanlah harapan-harapan kami

Rahmatilah hamba-hambaMu,

Wahai ( Allah ) yang Maha Mulia

Wahai (Allah) Tuhanku

Wahai Tuhanku, kami mengharapkan kemurahanMu

Kami mengharapkan pertolonganMu

Pandanglah kami dengan pandangan belas kasihanMu

Agar langkah perjalanan kami diteguhkan.”

Tanpa kita sedar, kita telah dibesarkan oleh buah-buah hikmah yang terkandung doa dan sanjungan mulia. Dari memohon keampunan ke hadrat Tuhan, sampailah ke selawat ke atas Nabi, semuanya diramu dalam kalimah-kalimah puitik, yang menyentuh sanubari, selain jernih maknanya untuk difahamkan. 

Ternyata kita dibesarkan dalam kehidupan keagamaan yang tersentuh dengan berkesenian yang tinggi, dengan perasaan mendambakan Nabi di sisi kita, selalu memohon syafaat, dan keberkatan untuk kehidupan ini. 

Di zaman gemencarnya dakwah Islam pada1970an, genre muzik nasyid mendapat sambutan besar. Malah sebuah kumpulan nasyid asal Singapura, Al-Mizan pernah membawakan lagu berjudul Junjungan Mulia, yang sering pula dinyanyikan di sini sewaktu acara Maulid. Antara liriknya: 

“Tercipta satu lembaran sejarah
Di tanah suci Kota Mekah
Hari yang mulia penuh syahadah
Bermulalah sebuah kisah

Malam Isnin subuh yang indah
Dua belas rabiul’awal yang cerah
Dua puluh april tahun gajah
Lahirlah zuriat dan syahadah

Abdullah nama bapanya
Siti Aminah ibunya
Riang gembira menyambutnya
Lahirnya putra yang utama.”

Ertinya, sanjungan dan pujuan umat kepada Nabi Besar terus terungkap dalam masyarakat dari masa ke masa. Itulah yang kita lihat setiap kali pada majlis Maulid. Banyak yang berselawat dan berzanji memuji memuliakan Nabi kita, sehingga tumbuh beberapa kumpulan berzanji yang aktif dalam masyarakat. 

Namun dalam semangat meraikan hari mulia ini, yang tersemat dari sanjungan ini adalah pesan tauladan bahawa ahklakul karimah, yakni sifat terpuji Nabi yang bersendikan siddiq, amanah, tabligh, fathonah, wajar kita contohi. Maka singgungan oleh KH Hussein Muhammad, sangat berguna disematkan pesannya:

“Memperingati kelahiran Nabi besar Muhammad saw hari ini dan kapan pun seyogyanya tidak sekadar menyalakan kandil-kandil, pawai obor, berceramah dan bercerita tentang kehidupan beliau  yang sangat indah atau membaca puisi-puisi madah ( senandung pujian ) dabn na’tiyah ( sifat ) kenabian, tetapi lebih dari segalanya adalah meneladani kepribadiannya yang mulia dan melanjutkan cita-citanya yang luhur. Cita-cita kemanusiaan universal; membebaskan manusia, praktik-praktik penindasan dan diskriminasi, pembelaan terhadap kaum lemah dan miskin, menjunjung tinggi martabat dan kehormatan manusia, membangun relasi kemanusiaan dalam jalinan cinta-kasih yang tulus, dan menegakkan keadilan terhadap siapa saja.”

Itulah kebesaran Nabi kita yang besar kemanusiannya. Dibibir dan hati kita terus menyahut selawat: 

“Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.”