Wabak Takfiri & Watak-watak Keji: Meninjau-ninjau Tahun 1963, 1981 dan Cermin Diri di Alaf Baru

Oleh Amier Suhaimi.

Dalam kumpulan cerpen Nakal-Nakal yang akan tiba tidak lama lagi, ada satu cerpen yang saya sisipkan, ‘Ahmad Fugi Menulis Pojok’. Ahmad Fugi yang memilih menulis pojok setelah berhenti sebagai wartawan meluahkan dalam pojoknya tentang kerisauan beliau tentang wabak takfiri dan kemarahan beliau pula kepada autoriti yang tidur dan membiarkan. Gejala takfiri masih kekal semacam kotoran jijik dan busuk nan sukar ditanggalkan. Tidak terhad diamalkan orang-orang yang ada kelebihan dalam ilmu agamanya semata. Kotoran maha jijik dan busuk ini melekat pula kepada orang awam. Ia menjadi satu penyakit yang mewabak akhirnya; Seterusnya pula menyebabkan suasana geger, gegar dan gawat. 

Kegawatan ini pernah dirisaukan oleh Sahibul Fadhilah Tuan Sayyid Yusuf Bin Ali Az-Zawawi, seorang mufti kerajaan Terengganu. Naskah, yang asalnya tahun 1963, yang dirumikan dengan gemilang oleh Tuan Arsyad Mokhtar pada 2018 itu menampakkan rasa teror beliau terhadap kemunculan watak-watak yang dakwa pejuang agama. Watak-watak yang dirisaukan ini telah menyebar bau parfum dilabel ‘agama’, wangi tapi membunuh; Mereka (konon pejuang agama ini) membawa kata dusta yang kusta dengan mengatakan sesiapa dalam kalangan orang Islam yang mengundi orang kafir ketika pilihanraya adalah kafir. 

Fatwa tahun 1963 ini menayangkan juga (semacam) wujud gerakan jahanam oleh parti politik memperdaya rakyat demi kepentingan diri. Mereka menunggang agama  tanpa memikirkan kesannya kepada mereka dan masyarakat di kemudian hari. Taktik jijik yang menyedihkan, menurut mufti Terengganu sewaktu 1963 itu. 

Sebut mufti Terengganu tahun 1963 itu dalam fatwanya: “…mana-mana juga orang Islam tidak harus sekali-kali menghukumkan seorang Islam lain dengan kafir menurut dari segi pandangan perseorangan…” Beliau juga ada menyatakan bahawa hanya Hakim Syar’ie sahaja yang berhak menghukum seseorang itu setelah (Hakim Syar’ie itu) melaksanakan siasatan serta pertimbangan dengan amat baik. Bukan orang awam, ulama, politisyen atau politisyen yang memakai imej islami. 

Beliau juga menolak klaim yang dibuat oleh watak-watak jahat yang memecahbelahkan masyarakat ini dengan mengatakan secara ringkas bahawasanya tiada halangan bagi seorang beragama Islam memilih atau mengundi seorang kafir yang telah diakui sah yang orang itu adalah warganegara. Yang wajar menjadi soal bukan pegangan agama seseorang calon itu tetapi adakah ia mampu membawa perubahan yang baik dan kebaikan kepada semua dan bukan hanya pandai sembang tentang agama semata. Jadi, sebagai masyarakat dalam sesebuah negara, kita wajar menjalankan kewajipan dengan penuh kewarasan tanpa dipengaruhi oleh klaim-klaim jadong dan bermuslihat seperti yang dilakukan oleh watak-watak jahat di atas. 

Amat menyedihkan sekali yang fatwa ini ditinggalkan sepi dan berhabuk tidak disentuh kemudiannya. Bermacam peristiwa luka dapat kita elak jikalau fatwa ini dipegang. Malang sekali, masyarakat hanya bersungguh menyokong sekiranya keluar fatwa berkenaan pengharaman perkara yang mereka tidak gemarkan seperti   fahaman pluralisme, liberalisme, sekularisme tanpa mereka sendiri maklum mendalam apa isme-isme tersebut. 

Kalaulah masyarakat memegang kuat fatwa dibuat Sahibul Fadhilah Tuan Sayyid Yusuf Bin Ali Az-Zawawi, sudah tentulah kejadian-kejadian gila usai Amanat Haji Hadi (yang keluar 7 April 1981 di Kampung Banggol, Peradong, Kuala Terengganu) dapat kita hindar. Kita dapat hindar duka di Memali dan pergaduhan antara masyarakat kerana berbeza faham politik dan ras. Barangkali juga kita dapat mengelakkan pembiakan masyarakat pentaksub juga politisyen yang membawa imej islami yang akan meletakkan di neraka sesiapa yang tidak mengundi parti politik mereka. Suatu kemungkinan juga akan tiada ruang lagi untuk ‘ulama’ jahat yang gemar mengkafirkan dan membodohkan orang lain kerana politik dan pandangan lalunya berbeza dengan yang terkini.

Masih belum terlambat untuk buat perubahan. Usaha merumikan kembali teks fatwa tahun 1963 oleh Tuan Arsyad Mokhtar wajar dipuji. Ia semacam lampu suluh yang membantu umat mencari jalan keluar melalui lorong-lorong gelap. Masih belum terlambat untuk masyarakat sedar bahawa wujud watak-watak jahat yang akan menggunakan segala macam demi kuasa dan kekayaan. Mereka wajar berhenti tiru tindak sama watak-watak jahat yang bermuslihat ini. Masih belum terlambat juga bagi watak-watak keji ini berhenti memperdaya masyarakat dan kerja-kerja penjahanaman umat. Masih belum terlambat pula buat kita semua—masyarakat yang hidup (mahu aman) bersama bermacam ras dan bermacam kepelbagaian—serta pihak berkuasa untuk mengutuk keras dan ambil tindakan kepada tangan-tangan keji ini. Sementara masih berpeluang.