“𝘌𝘥𝘶𝘤𝘢𝘵𝘦 𝘰𝘶𝘳𝘴𝘦𝘭𝘷𝘦𝘴; 𝘦𝘥𝘶𝘤𝘢𝘵𝘦 𝘰𝘵𝘩𝘦𝘳 𝘱𝘦𝘰𝘱𝘭𝘦, 𝘵𝘩𝘦 𝘱𝘰𝘱𝘶𝘭𝘢𝘵𝘪𝘰𝘯 𝘪𝘯 𝘨𝘦𝘯𝘦𝘳𝘢𝘭, 𝘵𝘰 𝘧𝘪𝘨𝘩𝘵 𝘧𝘦𝘢𝘳 𝘢𝘯𝘥 𝘪𝘨𝘯𝘰𝘳𝘢𝘯𝘤𝘦, 𝘵𝘰 𝘦𝘭𝘪𝘮𝘪𝘯𝘢𝘵𝘦 𝘭𝘪𝘵𝘵𝘭𝘦 𝘣𝘺 𝘭𝘪𝘵𝘵𝘭𝘦 𝘵𝘩𝘦 𝘴𝘶𝘣𝘫𝘦𝘤𝘵𝘪𝘰𝘯 𝘵𝘰 𝘯𝘢𝘵𝘶𝘳𝘦 𝘢𝘯𝘥 𝘯𝘢𝘵𝘶𝘳𝘢𝘭 𝘧𝘰𝘳𝘤𝘦𝘴 𝘸𝘩𝘪𝘤𝘩 𝘰𝘶𝘳 𝘦𝘤𝘰𝘯𝘰𝘮𝘺 𝘩𝘢𝘴 𝘯𝘰𝘵 𝘺𝘦𝘵 𝘮𝘢𝘴𝘵𝘦𝘳𝘦𝘥.” (Amilcar Cabral)
Kemerdekaan merupakan perkataan yang membawa maksud kebebasan atau juga kerap digelarkan sebagai emansipasi dan liberalisasi. Namun terkadang perkataan kebebasan apatah lagi pembebasan mencetuskan alergik disebahagian pembaca terutamanya pada kelompok nasionalis kanan dan juga Islamis kononya membawa konotasi yang tidak baik. Bebas bagi mereka adalah tercabut dari akarnya, melakukan apa saja atas keserakahan diri.
Kadangkala juga definisi kemerdekaan itu jatuh pada takrifan yang sangat enteng. Misalnya kita mengangkat bendera di hadapan rumah kerana menganggap bahawa kita sudah tidak lagi dijajah secara fizikal oleh kuasa luar. Tidak ada lagi tentera yang membawa senjata kehulu-kehilir untuk memaparkan kekuasaan. Bagaimana pula penjajahan secara mental, rasional dan moral? Adakah itu diambil kira? Juga adakah penjajahan ditujukan hanya pada yang asing dari kita, adakah mereka yang sebangsa tidak boleh menjajah?
𝐌𝐞𝐫𝐞𝐧𝐮𝐧𝐠 𝐊𝐞𝐦𝐛𝐚𝐥𝐢 𝐄𝐫𝐭𝐢 𝐏𝐞𝐦𝐛𝐞𝐛𝐚𝐬𝐚𝐧
Hari ini kekata pembebasan harus direnung dalam konteks yang yang lebih luas. Pembebasan itu adalah hak setiap manusia, dan sering dilaungkan bahawa manusia mahu dan memerlukan ia. Misalnya pembebasan dari cengkaman dehumanisasi, demokrasi tempang, kuasa authoritarian, peminggiran kelompok miskin, perkauman, prejudis, dan pemerosakan Alam. Tugas kita tidak hanya terhenti sekadar menyemai kesedaran untuk pembebasan tetapi perlu pembentengan dan penguatan untuk terus mempertahankan kebebasan juga kemanusiaan.
Disebabkan itu pembebasan bukanlah hanya satu konsep hiasan, bukan juga sebuah pilihan kerana pembebasan harus diutamakan. Untuk mencapai pembebasan harus berusaha ke arah itu kerana ia tidak turun dari langit dan ia juga harus lepas dari cengkaman dari kuasa yang kelihatan dan tidak kelihatan. Makanya gerakan dan ikhtiar untuk pembebasan , mesti bergerak untuk mereka yang tertindas, terhimpit dari cengkaman ( yakni tidak bebas ) dan mereka yang menjadi penindas.
Selagi takrif pembebasan itu diragui malah ditakuti, selagi itulah usaha dan perancangan menumbuhkan semangat dan kepedulian demi mengarah kepada pembebasan akan terbantut, mendap dan menipis. Ramai bersedia memekik seruan “Merdeka”, “Reformasi” tapi mereka sangat takut pada pembebasan. Inilah paling ironi.
𝐇𝐚𝐦𝐛𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐊𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐏𝐞𝐦𝐛𝐞𝐛𝐚𝐬𝐚𝐧
Usaha ke arah pembebasan tidak mudah terutama pada sistem fikir masyarakat yang masih kuat psikologi feudal dan autokrasinya. Selagi masih kuat budaya perbudakan di mana mereka yang berpangkat dianggap suci dari kesalahan tanpa ada kritikan atas kezaliman. Juga sering diberikan layanan dua darjat dengan mengesampingkan kelompok yang lebih rendah tarafnya selagi itulah agenda pembebasan tidak akan terlaksana. Akhirnya akan menganaiyakan orang lain dan penjajahan minda tidak berhenti.
Hambatan kedua pula sudah tentu terkait dari fahaman ideologi yang sempit sehingga mendiktat cara berfikir dan bertindak masyarakat. Antaranya ideologi fasis, nasionalisme yang cauvinis, perkauman atas nama menjaga kepentingan bangsa, serta menggunakan kekerasan atas nama agama. Ideologi sempit ini bukan saja berhujung dengan penganiyaan dan pencabulan hak ke atas mereka yang lemah dan terpinggir, malah tidak berlaku adil terhadap golongan tersebut. Sedangkan mereka yang melakukan penganiyaan itu sendiri terbelenggu oleh etika autoritarianisme yang meluputkan kemanusiaan dalam diri mereka.
Hambatan ketiga dalam menuju pembebasan ialah cengkaman pasar kapitalisme neo-liberal, serta sindrom pengkopratan yang semakin berleluasa ditegakkan hari ini. Cengkaman menjadikan kita pengguna dan pembeli yang terus menerus mengkonsumsi produk, yang sering kali bukannya keperluan asas, malah kemewahan yang membazirkan.
Pasar menjadikan kita terus menjadi pembeli yang membazir, sehingga sumber alam yang digunakan akan meleset kemudian memberi kesan jangka Panjang pada alam yang mengerikan. Selain itu budaya ini juga melihat kepada semua kemudahan termasuk kesihatan dan pendidikan sebagai sebuah keuntungan. Hasilnya hak manusia tidak terjamin terutama pada mereka yang miskin.
Hambatan keempat dan yang paling dominan ialah pembebasan dari eksklusivisme dan obskurantisme agama atau tradisi kepercayaan. Agama yang dipegang hanya sebagai ikutan, khasnya dengan beberapa formulasi kepercayaan dan tafsiran yang bercorak konservatif dan terkebelakang, sehingga membawa kesan kepada kehidupan hari ini.
Termasuk dengan sikap anti-sains dan keghairahan kepada amalan yang mengakui dapat mengawali sfera keghaiban itu dan ini. Pembelengguan kepada kecenderungan agama ini membuat pengikutnya menjadi taksub bahawa mereka sahaja empunya kebenaran dan hak, sehingga yang lain bisa saja diperlekeh atau usah diperkirakan, termasuk ilmu mereka yang bersifat anti-sains dan anti-akal diangkat sebagai sahih dan suci.
𝐘𝐚𝐧𝐠 𝐃𝐢𝐩𝐞𝐫𝐥𝐮𝐤𝐚𝐧 𝐔𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐏𝐞𝐦𝐛𝐞𝐛𝐚𝐬𝐚𝐧
Dari pengklasifikasian masalah tadi, mahu atau tidak kita perlukan alternatif ataupun jalan keluar bagi hambatan-hambatan kepada pembebasan. Antaranya sudah tentu mewujudkan kelompok atau masyarakat humanis yang progresif. Bererti menolak segala perkara yang bertentangan dengan sifat kemanusiaan terutamanya yang menjerut kepada pembebasan. Antaranya mewujudkan kelompok elit yang tinggi sifat malunya dan akal budi yang berhikmah.
Selain itu, perlu juga kelompok agamawan tradisional yang tercerah. Agama Islam itu sendiri adalah agama yang dari awal risalahnya menyeru dan menegakkan pembebasan, yakni pembebasan dari kekufuran, dari kezaliman dan penganiayaan, bebas dari pemberhalaan dan penghambaan, dan bebas dari mementing kepentingan sendiri sehingga sanggup melakukan kemusyrikan atau hipokrasi. Itulah tugas agamawan yang tercerah membahaskan segala yang menolak kepada pembebasan ke depan.
Terakhir perlu juga wujud kelompok pemikir, penulis malah sasterawan yang berpihakan. Kelompok ini menulis dengan melihat masalah yang dihadapi oleh masyarakatnya terutama sekali ketika mereka dihimpit oleh cengkaman penindasan. Kelompok ini bisa saja beromansa dengan karya mereka, tetapi jangan sesekali lupa terhadap nasib mereka yang merdeka separuh masak yang masih dikawal mindanya dan masih diperbudakan tindakannya.
𝐊𝐞𝐬𝐢𝐦𝐩𝐮𝐥𝐚𝐧
Proses kemerdekaan adalah proses yang panjang. Selain dijajah kolonial masyarakat juga boleh terjajah dengan pemikiran feudal, ekonomi tempang dan pemahaman keagamaan yang dangkal terutama daripada bangsa sendiri. Disebabkan itu tugas pencerahan harus berterusan. Usahlah berharap pada pemegang kuasa, tugas kita adalah merebut semula kemerdekaan agar ia dapat diraikan sepenuh jiwa. Biarlah bendera yang dikibar memberikan makna yang mendalam.




