Ditulis oleh DinDeng. Terjemahan oleh Huda Ramli. Pertama kali diterbitkan dalam DinDeng dalam Bahasa Thai.
Marxisme bukan sahaja merupakan seruan kepada revolusi komunis, ia adalah alat analisis, yang ditulis dalam Das Kapital pada tahun 1867. Artikel ini cuba untuk menerangkan secara ringkas tentang analisis tersebut, daripada 3 jilid penuh Das Kapital. Pendekatan Marx terhadap ekonomi lebih mendalam daripada falasi apa yang difahami ramai sebagai struktur ekonomi “akal sihat” yang kita jalani. Maksudnya, “keadaan semula jadi hal ehwal ekonomi”, di mana kita semua hanya membeli dan menjual barangan secara adil di dalam pasaran. Melalui analisis ekonomi Marxis, kita boleh mendedahkan bahawa undang-undang ekonomi kepada sistem yang kita tinggal di dalamnya adalah berasaskan hubungan sosial eksploitasi yang struktural. Di situlah ekonomi Marxis bermula, dengan hubungan antara dua kelas, proletariat dan borjuasi.
Borjuis – Pemilik Alat Pengeluaran (perniagaan, kilang, dll).
Proletariat – Pekerja, yang tidak memiliki Alat Pengeluaran.
Dalam konteks Malaysia, kita juga perlu mendepani Petite Bourgeoisie atau Borjuis Kecil – pemilik perniagaan kecil. Ini boleh merujuk kepada penjual pasaran, pemilik kedai kecil, nelayan, petani kecil, dsb. Perbezaan antara Borjuis Kecil dan Borjuis biasa kadangkala sukar dan terbuka kepada tafsiran. Tetapi di Malaysia, seorang penjaja jalanan, walaupun secara teknikalnya adalah Borjuis Kecil, kepentingan kelas mereka jelas sejajar dengan proletariat.
Teori Nilai Buruh
Nilai ialah berapa kos sesuatu di pasaran. Teori nilai buruh ialah konsep yang biasanya dikaitkan dengan Marx, walaupun dia tidak mengemukakannya, kebanyakan ahli ekonomi klasik, seperti Adam Smith, bercakap mengenainya.
Teori nilai buruh berhujah bahawa nilai ekonomi, kos sesuatu, seperti barang atau perkhidmatan ditentukan oleh jumlah buruh yang diperlukan untuk menghasilkannya. Nilai sesuatu tidak ditentukan oleh betapa penting atau bergunanya ia kepada manusia. Jika itu berlaku, maka air dan beras akan lebih berharga daripada emas.
Untuk memahami mengapa sesuatu barang mempunyai nilai harga, Marx memecahkan nilai kepada dua.
- Nilai Penggunaan – nilai penggunaan komoditi adalah untuk apa anda gunakan ia
- Nilai Pertukaran – bahagian di mana komoditi boleh ditukar dengan komoditi lain.
Sebagai contoh, kerusi:
Nilai Penggunaan kerusi adalah anda memerlukannya untuk duduk.
Nilai Pertukaran kerusi adalah: Berapa banyak masa buruh yang telah digunakan untuk menghasilkannya, termasuk semua inputnya, seperti kayu dan bolt, proses buruh manusia sebenar untuk memasangnya, reka bentuk kerusi, pengangkutan semua bahagian, upah untuk pekerja kedai yang menjual kerusi, dll.
Untuk membezakan antara nilai bahan mentah dan tenaga kerja yang diperlukan untuk membuat kerusi, Marx menggunakan istilah Modal Malar atau Tetap dan Modal Pembolehubah.
Modal Tetap – Aset tetap. Contohnya, kilang fizikal, jentera, tanah dan bangunan, bahan mentah, dsb.
Modal Pembolehubah – Kos buruh. Sebagai contoh, gaji pekerja di kilang.
Katakan ia mengambil masa kira-kira seribu kali lebih lama untuk menghasilkan kereta, daripada kerusi. Kemudian sebuah kereta kira-kira seribu kali lebih berharga daripada kerusi. Sudah tentu, harga sebenar sebenar lebih rumit daripada itu, tetapi perkara penting di sini ialah nilai bukanlah sesuatu yang secara semula jadi disemai dalam komoditi. Sebagai contoh, berlian bukan sahaja berkilat dan cantik, sehingga ia secara semula jadi sangat berharga, nilai komoditi ditentukan secara sosial oleh pasaran.
Marx merumuskan semua kapitalisme dalam sejenis formula asas, iaitu kapitalis bermula dengan M untuk wang yang dilaburkan untuk membuatkomoditi C dan kemudian menjual komoditi tersebut untuk M’ dengan ‘ , iaitu lebih banyak wang (lebihan), dan semua kapitalisme boleh didapati dalam ‘ itu, disebabkan oleh pencarian lebih banyak nilai untuk bertukar menjadi lebih banyak wang.
Wang – Komoditi – Wang’ (M-C-M’)
Jadi, dari mana datangnya ‘wang itu? Itulah yang dirujuk oleh Marx sebagai angsa ajaib kapitalisme, yang bertelur emas. Nasib baik, adalah untuk bos dan malangnya, bagi kita pula angsa ajaib itu adalah kita, para pekerja. Inilah komoditi khas buruh. Keupayaan kita untuk bekerja.
Jika anda bekerja, anda akan dibayar. Oleh itu: tenaga buruh anda adalah komoditi, seperti kerusi.
Jadi, untuk memahami bagaimana tenaga buruh kita menjadi komoditi, kita perlu memecahkannya kepada pertukaran dan menggunakan nilai:
Nilai pertukaran tenaga buruh kita ialah upah yang kita perolehi.
Nilai penggunaan tenaga buruh kita ialah keupayaannya untuk mencipta lebihan. Di situlah letak eksploitasi. Pekerja menghasilkan lebih daripada yang mereka dibayar dalam upah, oleh itu mereka mencipta nilai baharu. Maksudnya, nilai guna tenaga buruh kita memungkinkan untuk mencipta lebih banyak wang, yang kemudiannya dilaburkan ke dalam lebih banyak komoditi oleh kapitalis.
Jadi apabila kapitalis membayar kita, mereka membayar kami untuk nilai guna kita, tetapi mereka dapat mengekalkan nilai pertukaran kita yang lebih besar daripada nilai guna kita. Ini bermakna kita menjana wang yang tidak dibayar kepada kita untuk bos kita.
Katakan anda bekerja di Starbucks dan mereka membayar anda RM50 untuk syif selama lapan jam, tetapi anda boleh membuat kopi mewah bernilai RM50 dalam masa sejam. Selepas satu jam bekerja, anda tidak boleh berkata “Saya telah membuat semula wang yang anda bayar kepada saya. Saya akan pulang rumah”. Anda perlu tinggal selama tujuh jam lagi dan pada masa itu, masa yang dicuri itu, anda menghasilkan secara percuma dan anda menghasilkan nilai lebihan. Ia adalah nadi di mana kapitalis mendapat keuntungan mereka. Oleh itu, adalah mustahil untuk membayar pekerja secara adil di bawah kapitalisme, kerana lebihan buruh itulah yang membolehkan kapitalisme berfungsi.
Ketidakcukupan dan Pasca Ketidakcukupan
Nilai pasaran dalam ekonomi kapitalis juga dikawal oleh kekurangan atau ketidakcukupan– apabila sesuatu yang ada tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan. Inilah yang dikaitkan dengan nilai berlian yang tinggi dan nilai pasir biasa yang rendah. Walaupun kekurangan adalah nyata, kesannya terhadap nilai pasaran komoditi adalah konstruk buatan oleh hubungan sosial. Maksudnya ialah kekurangan yang tinggi tidak semestinya sama dengan nilai yang lebih tinggi. Contoh yang baik ialah melihat Beanie Babies. 30 tahun yang lalu Beanie Babies ialah mainan yang sangat popular dan syarikat itu mengeluarkan beberapa Beanie Babies yang jarang ditemui yang serta-merta mempunyai nilai pasaran yang besar. Ramai orang “melabur” dengan membeli Beanie Babies yang jarang ditemui ini dengan andaian bahawa nilainya akan terus meningkat dari semasa ke semasa. Walau bagaimanapun, dalam beberapa tahun selepas itu populariti Beanie Babies menurun dengan ketara, dan Beanie Babies yang jarang ditemui sebenarnya bernilai kurang daripada sebelumnya. Di sini kita dapat melihat dengan jelas bahawa nilai yang dikaitkan dengan kekurangan ini dibina berdasarkan hubungan sosial antara manusia dan komoditi. Ini selalunya merupakan fenomena yang juga meluas ke pasaran saham, yang mengawal keseluruhan rantaian bekalan modal kita.
Buruh Reproduktif
Untuk memperluaskan konsep ini kepada bentuk buruh yang tidak menghasilkan komoditi secara langsung, kami menggunakan istilah Buruh Reproduktif. Ini adalah jenis kerja yang menyumbang kepada menghasilkan semula keadaan kapitalisme, kadang-kadang ia dibayar, manakala selalunya tidak. Ini bermakna, sebagai contoh, pekerja penjagaan di hospital, seperti doktor atau jururawat, yang menjaga kedua-dua kelas proletariat dan borjuis, menyumbang kepada keadaan yang membolehkan sistem kapitalis berterusan. Ini meluas, dalam konteks berbayar, sehingga kepada pembersih hospital atau penyambut tetamu, dsb. Sementara itu, sejumlah besar tenaga buruh reproduktif tidak dibayar, seperti menjaga kanak-kanak di rumah, memasak, membersihkan dan memelihara mereka, yang mana ianya adalah kerja yang secara turun-temurun dilakukan oleh wanita. Mereka tidak menghasilkan komoditi tetapi mereka menyumbang kepada syarat untuk komoditi itu dibuat, membesarkan dan menjaga generasi pekerja akan datang.
Terdapat juga banyak bentuk buruh yang tidak menghasilkan komoditi, tetapi memudahkan kelancaran fungsi sistem kapitalis. Sebagai contoh, mari kita lihat peranan penyambut tetamu di pejabat kerajaan di mana lesen memandu diproses. Penyambut tetamu tidak membuat apa-apa, begitu juga pejabat (selain kad plastik kecil). Apa yang dilakukan oleh institusi seperti ini dan pekerja di sana ialah, dalam kes ini, memastikan orang ramai boleh memandu kereta dengan selamat. Yang mana, bawah sistem semasa, adalah penting juga untuk kesinambungan kapitalisme, wujud pengangkutan barangan, kepada pengangkutan pekerja untuk menjual tenaga buruh mereka, sehingga memberikan kebenaran kepada pekerja untuk pergi berjalan-jalan agar mereka dapat bersantai dan bereha-rehat dan pulang dalam keadaan segar untuk menjual tenaga buruh mereka semula. Sebahagian daripada keuntungan yang dijana oleh pekerja tersebut dikenakan cukai oleh kerajaan, yang kemudiannya dibayar kepada penyambut tetamu sebagai balasan untuk tenaga buruh mereka. Peranan penyambut tetamu di pejabat adalah untuk membolehkan fungsi pejabat yang lancar dan cekap, manakala fungsi pejabat pula adalah untuk membolehkan fungsi kapitalisme berjalan dengan lancar dan cekap.
Konflik Kelas / Kepentingan Kelas
Melalui rangka kerja ini, kita dapat melihat bahawa hanya terdapat dua kelas dan mereka sentiasa berkonflik. Kelas Proletariat dan Borjuis. Inilah yang Marx panggil kepentingan kelas. Ini bermakna bahawa adalah demi kepentingan Borjuis untuk berpegang kepada alat-alat pengeluaran dan mengekstrak lebihan daripada Proletariat, manakala sebaliknya ia adalah demi kepentingan Proletariat pula untuk merampas alat-alat pengeluaran dan menggulingkan Borjuis. Tiada bos yang baik, tiada kapitalis yang baik, semua kerja adalah eksploitatif di bawah kapitalisme sama ada di Sweden atau Kemboja.
Ekonomi Politik
Ekonomi politik ialah kajian tentang ekonomi dan hubungannya dengan undang-undang, institusi dan kerajaan, iaitu, bagaimana struktur ekonomi mempengaruhi segala-galanya yang mentadbir kita. Dari sudut pandangan Marxis, terdapat permusuhan berterusan antara kelas Borjuis dan Proletariat, yang membentuk keseluruhan struktur masyarakat kita, bukan hanya tempat kerja. Ia meluas kepada kerajaan kita, institusi sosial kita seperti agama dan juga ke tahap makro hubungan individu. Oleh itu, lensa ekonomi ini boleh digunakan untuk menganalisis hubungan eksploitatif di seluruh dunia, seperti antara Amerika Syarikat dan Somalia, di dalam negara, antara UMNO dan rakyat Malaysia, atau bahkan hiper-tempatan, antara pasangan suami isteri di rumah.
Esei ini turut diterbitkan di https://jentayu.org/2024/09/03/jentayu-101-pengenalan-kepada-ekonomi-marxis/