Wanita dan Masjid

Pernah saya kirim satu ciapan di Twitter tentang sifat masjid yang (sepatutnya) inklusif. Di dalamnya ada beribu macam orang hamba Tuhan yang percaya dan tunduk kepada kekuasaanNya. Tidak peduli apa pun sifat tubuh, bangsa, warna kulit, apa lagi gender. Masjid jadi ruang yang adil tanpa mengambil kira di manakah letak duduknya dalam garis ekonomi. Rumah ibadat ini (sepatutnya) tanpa ragu menerima pengunjung. Dan tanpa ragu menolak ketidak adilan, rasisme dan ketuanan. Tiada siapa memiliki masjid. Tiada hierarki penentu siapakah yang lebih layak berpayung di bawah lindungan kubah. Sepatutnya.

Namun, ketika kita berbangga sekali dengan sifat agama kita yang sebegitu universal dan adil, rupanya kita menolak inklusiviti. Gelombang konservatisme dalam agama ini semakin menjadi-jadi. Dalil-dalil sewenangnya disalah tafsir demi memenangkan hujah peribadi. Ketika esei ini ditulis, di laman maya, masyarakat sedang bertelagah tentang kunjungan perempuan ke masjid. Malah, dituduh pula kalau perempuan tak akan mahu ke masjid sekiranya masjid tersebut tidak selesa dan tidaklah dimewahkan dengan pendingin hawa. Diputarbelitkan pula dengan hujah kononnya rengekan perempuan tentang ruang solat yang sempit, tandas yang tidak feminin, ruang berwudhu yang jauh letaknya dari tempat solat adalah petanda bahawa benarlah kata agama bahawa perempuan tidak sewajarnya berada di masjid.  Wah, mudah sekali memenangkan reka bentuk yang tidak mengambil kira pengalaman perempuan dengan agama. Aneh sekali, ada juga yang mempersoalkan wanita yang memilih bertelekung ke masjid. Seolah-olah tak ada yang betul pada perempuan. Begini salah, begitu pun salah. 

Wanita dan Masjid

Meraikan Ramadan dengan semangat melakukan ibadah ekslusif bersempena dengan bulan mulia ini, adalah sangat tidak adil untuk menghalang wanita ke masjid. Berhujah bahawa wanita tidak perlu ke masjid kerana sudah besar pahalanya menyediakan makanan serta mengurus rumah tangga seolah-olah meletakkan khidmat bakti kepada urusan duniawi ini adalah lebih besar nilainya ketimbang Tuhan. Ini bukan sahaja meletakkan manusia lebih tinggi nilai berbanding Tuhan malah jelas sekali menonjolkan nilai patriarki di dalamnya. 

Apa lagi, iftar dan tarawih berjemaah di masjid ini hanyalah dapat dirasakan nikmatnya pada bulan Ramadan. Menjalani ibadah yang bersifat komuniti ini merupakan salah satu hikmah terbesar dalam bulan Ramadan. Rasa kebersamaan yang dicipta dan dipupuk dalam bulan ini tidak sewajarnya dinafikan dengan menghalang wanita untuk ke masjid.

Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Dzar RA, Rasullulah mengajak ahli keluarga termasuklah isteri-isteri baginda untuk solat tarawih berjemaah (Sunan At Tirmidhi). Al Qaradhawi turut membenarkan wanita untuk solat tarawih di masjid apa lagi jikalau wanita berasa malas hendak solat di rumah. 

Apa pun hujahnya, wanita tidak pernah dihalang untuk ke masjid. Dalam tafsiran agama dan sirah, wanita turut berada di masjid. Kalau pun, dikatakan bahawa mereka “digalakkan” untuk solat dan beribadah di rumah, ini sama sekali tidak “menghalang” wanita ke masjid. Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh perawi wanita yang prolifik dan bijaksana: Aisyah RA menjelaskan tentang keberadaan wanita di masjid. Hadis sahih ini direkodkan dalam Sahih Al Bukhari (hadis 546). Begitu juga dengan dalil yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, yang menjadi saksi Rasulullah SAW mengimamkan jemaah wanita di masjid. Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari (no 709) membuktikan bahawa keberadaan wanita di masjid ini diakui sejak zaman Rasulullah. 

Dalam masa yang sama, keberadaan isteri untuk berada di masjid turut tidak wajar dinafikan oleh suami. Diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam hadis nombor 442, Kitab As  Solat (Khuruj An Nisa Ilal Masjid Idha Lam Yattarattab Alahihi Fitnah wa Annaha La Takhruj Muthayyabah), Rasulullah menegaskan bahawa suami tidak berhak menghalang isteri untuk ke masjid. Begitu juga yang direkodkan dalam Sahih Muslim bahawa Abdullah bin Umar RA meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: Izinkanlah wanita untuk pergi ke masjid pada waktu malam

Lihatlah. Sewaktu masyarakat patriarki menuduh wanita (hanya dengan menjadi wanita) membuka ruang fitnah, Rasulullah memberikan hak kepada mereka. 

Meraikan Insklusiviti di Dalam Masjid

Lalu, apakah kriteria yang perlu diterapkan dalam nilai “kemasjidan” bagi meraikan semangat inkslusiviti yang sewajarnya ada dalam rumah ibadat ini? Bagaimanakah sebuah masjid menjadi ruang awam yang meraikan kepelbagaian. Apa lagi, Al Quran tidak terlepas mengajar kita semua bahawa kita semua dijadikan berbeza-beza untuk saling kenal, saling faham dan bertoleransi sesama kita. 

Pertama, masjid hendaklah memiliki dan mempromosikan rasa kebersamaan. Masjid perlu mengakui bahawa rumah ibadat ini tidak eksklusif dan meletakkan hierarki siapakah yang lebih layak berada di masjid. Ini termasuklah mengakui keberadaan individu berbeza gender. Lelaki, wanita dan teman-teman LGBTQ+. 

Kedua, adanya pengakuan terhadap keberagaman. Perbezaan individu beragama mesti diakui dan diraikan. Dalam konteks ini, aduan tentang masjid yang tidak meraikan perbezaan keperluan individu perlu diambil kira dan dititik beratkan. Contoh yang lebih ketara adalah apabila jemaah wanita mempersoalkan tandas yang tidak dilengkapi dengan tong sampah tuala wanita. Begitu juga dengan masjid yang menggunakan tirai pemisah ketimbang papan penghadang. Penggunaan tirai ini justeru mengehadkan ruang solat perempuan. Maka, papan penghadang adalah lebih praktikal mengambil kira kedatangan jemaah yang tidak tetap. 

Ketiga, terbentuknya empati terhadap wanita. Kriteria terakhir ini adalah sangat penting dibentuk dan diterapkan dalam diri masyarakat khususnya “masyarakat masjid”. Tanpa empati, masyarakat masih kekal menggunakan masjid sebagai ruang eksklusif serta merasa “tuan”. Ini sama sekali berlawanan dengan sifat agama yang meraikan kepelbagaian dan menolak ketidak adilan. 

Semangat inklusiviti ini tidak harus terhenti pada lelaki dan wanita. Perhatian seharusnya diberikan juga kepada warga emas, kanak-kanak, Orang Kurang Upaya (OKU), imigran serta komuniti LGBTQ+. Mencipta ruang untuk semua tidak akan merugikan malah menjadikan masyarakat lebih terbuka terhadap keberagaman, memupuk rasa toleransi serta menyuburkan lagi rasa kekitaan.