Islamisme: Sebuah Projek Moden

Menyanggah Islamisme bukanlah menyanggah Islam sebagai iman dan tradisi keagamaan. Islamisme adalah sebuah projek moden. Gerakan Islamis menjadikan Islam sebagai ideologi dengan mengubahnya menjadi sebuah sistem yang rigid untuk mengatur segenap aspek kenegaraan, undang-undang, serta kehidupan bermasyarakat. Hal ini sangat berlainan dengan tradisi Islam yang bersifat luas, dinamik, dan beragam. Sebaliknya, Islamisme membirokrasikan dan menyeragamkan agama ke dalam struktur serta peraturan yang amat ketat.

Sebagai sebuah fenomena moden, ia sebenarnya merupakan ideologi yang terbina sebagai respons terhadap masalah dunia moden seperti kegagalan dunia bergerak ke arah pembebasan hakiki daripada kolonial, serta  kegelisahan akibat tekanan globalisasi. Islamisme mula mendapat tempat dan pengaruh yang kuat ekoran apa yang dilihat sebagai kegagalan sistem moden, seperti liberalisme dan kapitalisme (yang juga merupakan warisan kolonial). Apabila rancangan pembangunan mengikut acuan liberalisme ini gagal menyediakan keadilan sosial untuk masyarakat, gerakan Islamisme hadir mengisi kekosongan tersebut dengan menawarkan “alternatif Islam”. Mereka membingkai dan melabelkan rejim sekular sebagai zaman jahiliah (kejahilan), sambil membawakan satu ideologi keagamaan sebagai jalan penyelesaian mutlak kepada segala kemelut dan masalah manusia.

Apa yang ironinya adalah gerakan Islamis sendiri menggunakan kaedah birokrasi dan sistem moden untuk mengatur iman. Dengan mengubah sebuah tradisi yang dahulunya fleksibel dan beragam menjadi satu “sistem” peraturan dan asas yang rigid, Islamisme secara tidak langsung meniru struktur negara moden yang sering kali ditentangnya sendiri. Mungkin kerana gerakan ini tidak diperkenalkan oleh sarjana agama tradisional, melainkan oleh golongan kelas menengah profesional, teknokrat, dan borjuis kecil seperti jurutera, peguam atau guru yang mencari kepastian di tengah-tengah perubahan sosial yang pesat. 

Dunia moden dibangunkan di bawah sistem penstandardan atau piawaian yang rigid terutamanya demi memenuhi keperluan mendesak struktur pemerintahan untuk mencapai tahap “keterbacaan” yang tinggi terhadap masyarakat. Bagi sebuah sistem tadbir urus makro, keragaman yang organik, cair, dan unik di peringkat akar umbi adalah sesuatu yang terlalu kompleks untuk diuruskan. Oleh itu, penstandardan bertindak sebagai alat birokrasi untuk meratakan perbezaan tersebut, menukarkannya menjadi data, undang-undang, dan peraturan seragam yang mudah dipantau, dikira, dan dikawal dari pusat kuasa. Hasrat ini didorong lagi oleh ideologi kemodenan tinggi yang taksub kepada logik sains, susunan rasional, dan kecekapan mekanikal, di mana ketidakseragaman sering kali disalah erti sebagai lambang ketidakcekapan atau kemunduran yang perlu diperbaiki.

Pada masa yang sama, logik ekonomi kapitalis dan perindustrian moden menuntut rantaian yang boleh diramal demi memaksimumkan pengeluaran dan keuntungan. Dalam ekosistem ini, waktu kerja, metrik pencapaian, dan kualiti produk mesti diseragamkan dengan ketat, yang akhirnya menghapuskan pengetahuan dan kearifan tempatan yang berasaskan pengalaman dengan konteks tempatan dan menggantikannya dengan manual teknikal yang kaku. Proses pendisiplinan ini bukan sahaja berlaku dalam sektor ekonomi, malah melimpah ke dalam institusi sosial seperti sekolah dan organisasi korporat, bagi memastikan populasi manusia menjadi lebih patuh dan mudah diurus. Pada akhirnya, penstandardan yang rigid dibina kerana dunia moden mempunyai obsesi yang mendalam terhadap kawalan, ketenteraman, dan kepastian, sehinggakan keragaman serta dinamika hidup terpaksa dikorbankan demi melahirkan sebuah sistem yang serba seragam dan boleh dijangka.

Kewujudan sistem penstandardan yang rigid ini akhirnya membentuk acuan berfikir masyarakat, termasuk bagaimana cara mereka beragama. Di sinilah letaknya titik temu antara logik dunia moden dan kebangkitan Islamisme. Apabila institusi sekular dan sistem ekonomi kapitalis gagal menyediakan jaminan keadilan, golongan kelas menengah bandar tidak berpaling semula kepada tradisi klasik yang cair dan penuh nuansa. Sebaliknya, disebabkan mereka sudah terbiasa hidup dan dilatih dalam ekosistem moden yang serba berstruktur, dan mekanikal, mereka mendambakan sebuah bentuk keagamaan yang mempunyai kecekapan serta kepastian yang sama. Islamisme hadir memenuhi ruang psikologi ini dengan meminjam sepenuhnya templat “negara moden”, iaitu sebuah sistem yang mementingkan kodifikasi, keseragaman, dan kawalan birokrasi, lalu menyuntik elemen teologi ke dalamnya. Akibatnya, agama yang dahulunya dihayati sebagai sesuatu yang rencam dan dinamik, kini direkayasa menjadi sebuah produk ideologi yang serba hitam-putih dan sedia dipakai demi memadamkan “panik identiti” yang melanda minda teknokrat moden.

Bagi menangani isu “panik identiti”, golongan profesional dalam dunia yang serba pantas berubah ini sering kali dihantui ketakutan sekiranya mereka dianggap “tidak cukup Islam” di tengah-tengah tekanan ‘sekular’ dan globalisasi. Islamisme hadir untuk menyelesaikan dilema ini dengan menawarkan struktur moral, identiti, dan kepastian budaya melalui satu sistem peraturan yang dibirokrasikan untuk mencorak setiap aspek kehidupan. Selain itu, gerakan ini turut berfungsi mengisi kekosongan sosial dan emosi bagi sebilangan besar masyarakat kelas menengah profesional yang berhijrah dari kehidupan kampung ke pusat bandar, di mana mereka sering mengalami kejutan budaya dan rasa terasing. 

Fenomena ini akhirnya melahirkan kecenderungan untuk menonjolkan “sisi performatif Islam” seperti penanda luaran (pensijilan halal dan kod pakaian tertentu), sekali gus berlawanan dengan tradisi agama yang lebih mengutamakan aspek seperti toleransi, kemanusiaan, keadilan, dan empati. Pemberatan terhadap sisi perfomatif ini menyebabkan nilai-nilai universal yang ditekan dalam agama seperti kasih sayang dan ihsan terpinggir dan tidak terbangun.

Sifat rigid ini turut memberi kesan kepada tradisi keilmuan umat Islam. Di peringkat intelektual, Islamisme mengamalkan kawalan ilmu (intellectual gatekeeping) dengan menyempitkan kemajmukan ilmu dan mengehadkan tafsiran agama kepada satu versi sahaja yang dianggap “betul.” Akibatnya, kesarjanaan yang bersifat kritis atau reformis sering ditolak mentah-mentah sebagai pengaruh “sekular” atau “Barat” tanpa sebarang penelitian yang mendalam, lalu mewujudkan budaya tapisan kendiri (self-censorship). Ironinya, tradisi klasik dan fiqh (perundangan Islam) dahulu jauh lebih terbuka dan selesa mendepani nuansa sosial yang kompleks termasuk membincangkan isu kepelbagaian gender seperti konsep mukhannath, suatu topik yang kini sering diabaikan atau ditapis oleh Islamisme moden.

Akhir sekali, perbezaan ini ketara dalam aspek sosial melalui pertembungan antara esensialisme dan kemanusiaan (humanism). Ideologi Islamis cenderung mengesensialkan Islam sebagai satu-satunya logik ketamadunan tunggal yang terasing daripada tradisi manusia yang lain. Sudut pandang ini menyebabkan Islamisme moden sering memandang serong bentuk pengetahuan luar semisal sosialisme dan menganggapnya sebagai sesuatu yang mencurigakan atau merosakkan agama. Kesannya, gerakan ini mempromosikan eksklusivisme melalui solidariti dalam kumpulan yang ekstrem, yang akhirnya memperdalam jurang pemisahan dan mengasingkan diri daripada komuniti bukan Muslim. Sebaliknya, tradisi Islam terdahulu jauh lebih berani mendepani keilmuan yang lahir dari luar, malah menyerap dan mengembangkannya lagi.

Kalau kita amati dalam kehidupan seharian, kecenderungan Islamisme ini sebenarnya lahir daripada keinginan manusia moden yang mahukan jawapan yang serba hitam putih dalam dunia yang semakin kompleks. Kebimbangan untuk mengekalkan identiti tulen dalam arus globalisasi yang menderu akhirnya membuatkan ramai terjebak dalam perangkap ‘panik identiti’, di mana perbezaan pandangan tidak lagi diraikan sebagai rahmat, sebaliknya dilihat sebagai ancaman kepada akidah. Akibatnya, hubungan sesama manusia yang dahulunya penuh dengan kelembutan dan sifat ihsan, bertukar menjadi ruang penghakiman yang penuh dengan syak wasangka.

Oleh itu, mengembalikan keindahan tradisi klasik yang inklusif dan meraikan keimanan peribadi yang dinamik bukannya bermaksud mencairkan prinsip agama, melainkan membebaskan masyarakat daripada kurungan ideologi yang sempit. Pada akhirnya, agama sepatutnya berfungsi sebagai kompas moral yang menghidupkan jiwa dan membina jambatan kemanusiaan dengan masyarakat majmuk, bukannya dinding pemisah yang membenteng diri dalam kepompong eksklusivisme yang kaku. Menghayati Islam dengan cara ini membolehkan kita menjadi seorang Muslim yang bukan sahaja teguh imannya, tetapi juga berjiwa besar dalam mendepani realiti dunia moden.

Esei ini adalah bersempena dengan Siri Wacana Islamisme