Anis Sabirin: Wanita dan Pembangunan Masyarakat

Abad kedua puluh ini merupakan abad pembangunan untuk membanyakkan negara-negara kecil di Asia dan Afrika yang dulunya wujud sebagai negara jajahan barat. Setelah perang dunia kedua, semangat nasionalisme yang bernyala-nyala telah membakar hangus sisa-sisa kekuasaan kolonial yang lama, dan dari api pembakaran itu telah bangkit negara-negara baru yang bebas dan berdaulat. Indonesia, Filipina, India, Pakistan, Malaysia, Burma dan negara-negara Afrika telah timbul satu persatu dari debu dan bara api pernag dunia kedua, dan sekarang cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan dunia abad kedua puluh. Insaf bahawa dalam kebanyakan hal mereka itu telah jauh ketinggalan dari negara negara barat yang telah maju dalam industri dan Sains itu, rakyat dalan negara-negara Asia-Afrika yang baru bangkit itu sedang berjuang hendak mencapai taraf persamaan dalam hubungan internasional; secara politik, ekonomi dan sosial.

            Peranan kaum wanita dalam proses pembangunan ini tidak boleh dipandang kecil. Semangat pembangunan ini telah bertiup dalam jiwa semua rakyat yang sedar, baik lelaki atau perempuan. Semua orang yang merasa bertanggungjawab atas hidup mati bangsanya ingin sama-sama berusaha dan bekerja keras untuk memajukan negeri dan bangsanya, meninggikan taraf kehidupan masyarakat dan menjadikan bangsa dan negaranya maju dan layak dalam zaman serba maju dan cepat ini. Kemajuan kaum wanita memanglah suatu proses yang logik dalam projek pembangunan masyarakat ini, kerana bagaimanakah masyarakat ini akan maju kalau hanya separuh dari anggotanya yang bergerak ke depan sedangkan separuh lagi iaitu kaum wanitanya masih mundur jahil dan lemah. Hanya kalau kedua-dua belah pihak sama mendapat peluang untuk bergerak maju barulah bangsa itu dapat menggunakan sepenuh penuh tenaganya untuk mencapai kemajuan dan kekuatan.

            Wanita Melayu seperti kaum wanita bangsa yang lain dalam negeri ini dan di luar negeri, menghadap zaman cabaran pada masa ini. Mereka tidak lagi boleh tinggal diam dan membiarkan dunia berlalu sedangkan mereka menyerahkan sahaja seluruh nasib dan masa depan mereka kepada orang lain, kepada suami, keluarga atau ibu bapa. Kaum wanita Melayu juga harus berusaha untuk menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab yang menjalankan usaha dan bakat mereka sebagai sumbangan kepada hidup negara. Kalau tradisi dan adat kuno Melayu memberi peranan yang pasif kepada wanita, abad kedua puluh menuntut kehidupan yang lebih aktif, lebih menentukan diri sendiri, dan lebih tegas dari kita. Kita tidak boleh mengabaikan cabaran itu.

            Negara dan masyarakat Malaysia sekarang sedang menghadapi proses pembangunan di berbagai-bagai lapangan hidup. Dari segi material, kerajaan sedang mencuba hendak memperbaiki kehidupan ekonomi rakyat kampung yang miskin dan menderita melalui beberapa projek seperti projek pembangunan luar bandar yang dijalankan melalui berbagai badan seperti FELDA, MARA, FAMA dan lain-lain. Usaha juga sedang dijalankan untuk mempertinggi taraf pelajaran rakyat melalui polisi pelajaran yang sesuai dan menguntungkan, membanteras buta huruf melalui kelas-kelas dewasa. Para penulis dan pemimpin pula bergiat hendak mengubah iklim pemikiran rakyat yang kolot, lembab dan beku melalui tulisan mereka, mereka yang bersemangat membina, membangun dan memberi semangat. Ini ialah pembangunan secara psikologikal atau kejiwaan. Pembangunan harus dijalankan serentak pada peringkat material, juga pada peringkat psikologikal agama masih kuat mempengaruhi rakyat-rakyat kampung, kerana itu, ahli alim ulama’ kita yang maju dan bertanggungjawab harus pula berusaha mentafsirkan agama selaras dengan kemajuan dunia moden, supaya agama menjadi satu kekuasaan dan tenaga penggerak yang dinamis, meniupkan semangat hidup dan kejayaan, tidak hanya menakut-nakut mengekang semangat rakyat. Revoluisi fikiran dan pembangunan harus berjalan serentak untuk memimpin rakyat memasuki abad kedua puluh.

            Kemajuan wanita Melayu sekarang telah mula nampak dalam kejayaan di bidang pelajaran. Sungguhpun bilangan wanita melayu yang telah terpelajar, yang telah lulus peringkat universiti masih belum dapat dikatakan terlalu besar, lebih-lebih lagi bila dibandingkan dengan kaum-kaum lain, tetapi ia masih dapat dikatakan satu tanda yang sangat memberangsangkan. Orang Melayu telah mula insaf akan faedah pelajaran ilmu pengetahuan telah diakui sebagai satu syarat penting untuk mencapai kemajuan. Buktinya ialah bahawa wanita telah turut sama merebut ilmu pengetahuan bersama kaum lelaki dan mereka digalakkan untuk menyumbang kan bakat dan kebolehan mereka untuk kepentingan masyarakat.

            Orang-orang terpelajar dalam masyarakat merupakan modal yang paling berharga untuk masyarakat itu. Mereka adalah tenaga yang akan memimpin dan membawa masyarakat itu ke depan., menggerakkan roda pemerintahan industri dan bidang-bidang kemahiran dan keahlian. Masyarakat Malaysia terutamanya menghendaki seberapa banyak orang-orang terpelajar atau tenaga ahli yang terlatih itu. Kalau kita hendak bersaing dengan negara yang telah jauh ke hadapan, kita harus mempunyai sebanyak-banyak tenaga ahli atau skilled labour seperti saintis, engineer dan technician, doktor dan loyar (lawyer), guru dan administrator, pemimpin politik, industri dan perdagangan kita harus mempunyai cukup banyak tenaga ahli yang akan mengendalikan perjalanan negara dan masyarakat kita menjadi negara bangsa yang bebas dan berdaulat.

            Ibu-ibu dapat memberi jiwa dan semangat kepada keluarganya dengan mengutamakan pelajaran dan planning jangka panjang untuk anak-anak mereka emas dan intan, motokar besar, perabot-perabot rumah tangga yang mahal hanyalah snobbery kosong. Lebih penting lagi kewangan keluarga dibelanjakan untuk buku-buku pelajaran, untuk tabung pelajaran, untuk lawatan yang akan meluaskan fikiran dan pemandangan anak-anak kita. Ibu Melayu patut melatih dirinya supaya bersikap jimat cermat dan membelanjakan wang ke jalan yang berfaedah. Pelajaran untuk anak-anak hanyalah satu-satunya jalan untuk menjamin masa depan mereka, kerana dalam zaman specialist seperti sekarang ini, buruh kasar dan pelajaran separuh masak tidak akan memberi sara kehidupan yang baik kepada seseorang.

            Untuk wanita-wanita yang terpelajar, kehadiran mereka dalam jabatan-jabatan yang mereka pegang itu telah memberi harapan kepada bangsa untuk mencontohi mereka. Setiap kerja yang dipegang oleh seseorang wanita Melayu itu bererti satu lagi kerja tidak jatuh ke tangan bangsa lain. Setiap orang Melayu terpelajar, baik lelaki atau perempuan bererti bertambah lagi satu kekuatan tenaga bangsa kita. Ini mesti selalu kita ingat.

            Sebagai contoh, kita boleh ambil negara komunis, Rusia dan China. Kita tidak mencontohi semua cara hidup kedua-dua negara totalitarian itu, kerana banyak dari ideologis mungkin tidak sesuai dengan jiwa dan kehidupan rakyat di sini. Tetapi, kita boleh melihat bahawa dengan mengutamakan ilmu pengetahuan, dengan menggunakan tenaga kaum wanita di seluruh lapangan, mereka telah meninggikan taraf kehidupan rakyat jelata ke peringkat yang lebih memuaskan, lebih sesuai dengan darjat kemuliaan manusia. Dalam masa yang singkat mereka telah menukarkan masyarakat yang mundur dan lemah, yang bersifat agraria atau bercucuk tanam, kepada negara industri yang bersandar kepada rekaan sains dan teknologi. Ini adalah satu kemajuan yang tak dapat kita nafikan. Kita harus menghormati kemajuan pesat yang telah mereka capai itu. Di samping mengenali separuh dari cara-cara mereka yang merbahaya dan kurang mengutamakan nilai-nilai perikemanusiaan yang telah digunakan untuk mencapai kemajuan itu.

            Sebagai ibu, sebagai isteri, sebagai wanita yang menjadi sumber ilham dan kekuatan kepada kaum lelaki, kita boleh membantu dalam pembangunan masyarakat dan negara kita dalam bentuk zahir dan juga dalam bentuk kerohanian. Kaum wanita Melayu dapat bertindak sendiri menjadi orang yang berguna dan proaktif dan menguntungkan untuk masyarakat melalui sumbangan keahlian dan bakat yang dimilikinya. Ia juga dapat memberi galakan dan perangsang kepada anak-anak dan suami, keluarga dan sahabat handainya untuk menjadi orang yang lebih dinamis dan tegas, penuh tenaga dan harapan untuk mencipta masyarakat dan bangsa yang kuat.

            Usaha ini boleh dijalankan dalam segala bidang, dalam bidang pelajaran, ekonomi, politik dan sosial, kebudayaan dan kesenian. Pada hari ini, soal bahasa dan kebudayaan menjadi soal politik yang genting, kerana ia menentukan kedudukan bangsa Melayu pada masa depan, menjamin hidupnya bangsa dan kebudayaan kita dalam satu masyarakat yang berbilang bangsa. Memandang bahawa bilangan mahasiswa Melayu di universiti yang diharapkan akan menjadi bakal pemimpin dan orang-orang terkemuka dalam masyarakat hanyalah kira-kira 20% sahaja, kita haruslah bekerja lebih keras untuk memperkuat kedudukan kita. Bahasa Melayu yang kaya dan moden, lengkap untuk berkhidmat di seluruh bidang kepandaian manusia, harus disediakan untuk menjadi bahasa kebangsaan negara, kebudayaan Melayu juga harus cukup kaya dan kuat, hidup bertenaga, untuk menjadi teras kebudayaan nasional. Kita harus menjadi bangsa yang kuat dan bertenaga, hidup dan sedar akan segala kejadian di sekitar masyarakat, dalam dan luar negeri. Kita tidak lagi boleh hidup dalam suasana aman damai dan hanya menghiraukan kepentingan perseorangan yang sempit. Gejala politik dan ekonomi, sosial dan saintifik dunia adalah besar pengaruhnya atas kehidupan kita sehari-hari.

            Kaum wanita dari bila-bila pun memang besar pengaruhnya atas kaum lelaki. Siti Hawa mempengaruhi Bani Adam sehingga mereka keluar dari Syurga. Tetapi wanita juga mengalahkan lelaki sehingga mereka sanggup membuat usaha yang besar-besar mencapai kejayaan yang gilang gemilang. Dante, penyair besar bangsa Itali menulis sajaknya yang agung, The Divine Comedy didorong oleh cintanya terhadap Beatrice, dan Napoleon mendapat ilham Josephine. Demikianlah kuasa dan pengaruh wanita di atas kaum lelaki. Wanita Melayu dapat menggunakan pengaruh yang maha halus tetapi luar biasa kuasa itu pada jalan yang sihat dan membina, dengan jalan mendorongkan anak-anak dan suami, keluarga dan sahabat handai untuk menjadi orang yang lebih tegas dan kuat semangat, lebih keras berusaha dan bekerja dengan rajin dan cekap. Kaum wanita dapat membantu memimpin bangsanya supaya menjadi bangsa yang terpelajar dan giat, yang penuh semangat hidup dan keyakinan kepada diri sendiri. Sikap dan semangat yang positif  dari kaum wanita Melayu akan melahirkan bangsa yang baru, sihat dan penuh harapan.

Nota Penyalin:

Esei ini dikarang mengikut latar masyarakat pada tahun 1969 (kali pertama kumpulan esei ini diterbitkan). Kritikan, sanggahan atau mungkin esei dengan latar kini daripada pembaca adalah digalakkan.

Biodata Pengarang:

Anis Sabirin juga dikenali dengan nama pena Nil, Nuraini, A.B.S. Lahir pada 1 Mac 1936 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu & Sekolah Agama Johor Bahru. Meneruskan pengajian di Sekolah Perempuan (Inggeris) Sultan Ibrahim, Johor Bahru, Universiti Malaya Singapura (Ijazah Sarjana Muda Sastera). Mendapat biasiswa Fullbright ke Amerika (Ijazah Sarjana Sains Politik). Seterusnya, ijazah Kedoktoran di Claremont Graduate School (Ekonomi). Pada, 1960 – 1967  beliau berkhidmat sebagai pegawai penyelidik DBP. Beliau juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Istilah Falsafah serta Setiausaha Jawatankuasa Istilah Kesusasteraan dan Setiausaha Jawatankuasa Menyiasat Penyata Razak (1959). Esei ini dimuatkan dalam Peranan Wanita Baru terbitan Penerbitan Utusan Melayu pada tahun 1969.