Islamisme dan Politik Muslim Sempurna

Dalam sesi Islamisme 101 yang saya jalankan beberapa bulan lalu, saya tidak memulakan perbincangan dengan definisi atau teori. Sebaliknya, saya memulakan sesi dengan bertanyakan satu soalan mudah kepada beberapa bekas Islamis yang hadir: apakah yang menyebabkan mereka menjadi Islamis?

Salah seorang peserta berkongsi pengalamannya membesar di Kelantan sebelum melanjutkan pelajaran ke Kuala Lumpur. Di kampung, kehidupan sosialnya hampir sepenuhnya dikelilingi oleh orang Islam. Namun apabila tiba di ibu kota, beliau berhadapan dengan suasana yang jauh lebih bercampur dan plural. Kehidupan bandar terasa asing. Dalam kata-katanya sendiri, suasana itu “kurang rasa Islam”. Menyertai usrah dan jemaah Islamis pada ketika itu bukanlah kerana beliau mempunyai cita-cita untuk menubuhkan negara Islam atau memperjuangkan syariah. Beliau hanya mahu mendapatkan kembali suasana Islam yang dirasakan semakin hilang.

Cerita tersebut mengingatkan saya kepada pengalaman ibu bapa saya dan generasi mereka pada tahun 1970-an dan 1980-an. Ketika itu ramai anak kampung berhijrah ke bandar untuk melanjutkan pelajaran dan membina kehidupan sebagai kelas menengah Melayu yang baharu. Mereka memasuki dunia urban yang lebih moden, lebih terbuka, lebih bercampur dari segi etnik dan agama, serta jauh berbeza daripada persekitaran kampung yang mereka kenali. Bagi sesetengah orang, perubahan ini membuka peluang dan pengalaman baharu. Namun bagi yang lain, ia menimbulkan kegelisahan tentang identiti dan kedudukan diri sebagai Muslim dalam dunia yang semakin berubah.

Menariknya, walaupun generasi berubah, psikologi yang mendasarinya kelihatan hampir sama. Sama ada pada tahun 1980-an atau dalam kalangan mahasiswa hari ini, terdapat kegelisahan yang serupa terhadap kehidupan moden yang pelbagai, urban dan tidak menentu. Dalam keadaan sedemikian, gerakan Islamis menawarkan sesuatu yang sangat penting: kepastian. Ia menawarkan komuniti, persaudaraan, panduan moral dan jawapan yang jelas tentang bagaimana seseorang harus hidup sebagai seorang Muslim.

Atas sebab itu, kemunculan gerakan Islamis pada tahun 1970-an dan 1980-an sering dirujuk oleh pengkaji sosial sebagai Islamic revivalism atau kebangkitan semula Islam. Penanda utamanya bukanlah politik kepartian semata-mata, tetapi kebangkitan kesedaran agama yang mendalam. Terdapat perasaan bahawa umat Islam telah menjadi terlalu jauh daripada agama, terlalu dipengaruhi oleh Barat, atau tidak cukup Islam. Penyelesaiannya ialah memperbaiki diri, keluarga dan masyarakat melalui proses dakwah dan tarbiyah.

Di sinilah saya merasakan kita perlu melihat Islamisme dari sudut yang sedikit berbeza. Lazimnya Islamisme ditakrifkan sebagai usaha mengislamkan negara atau membawa agama ke dalam politik. Takrifan ini tidak salah, tetapi ia sering menyebabkan kita terlepas pandang sesuatu yang lebih asas. Sebelum Islamisme menjadi projek politik, ia terlebih dahulu merupakan projek pembentukan diri.

Malah, banyak gerakan Islamis tidak bermula dengan persoalan negara. Mereka bermula dengan persoalan yang lebih peribadi: bagaimana menjadi Muslim yang lebih baik. Dalam kerangka ini, politik bukanlah titik permulaan tetapi destinasi akhir. Sebelum masyarakat dapat diislamkan, individu mesti diislamkan terlebih dahulu. Sebelum negara Islam dapat diwujudkan, Muslim yang ideal mesti dibentuk terlebih dahulu.

Proses pembentukan ini dikenali sebagai tarbiyah.

Sepanjang pengalaman hidup saya, saya belum pernah melihat mana-mana gerakan keagamaan yang mampu membangkitkan rasa keimanan secara sistematik sebagaimana yang dilakukan oleh gerakan Islamis. Jika kelompok agama yang lain sering menumpukan kepada pengajaran intelektual atau ritual keagamaan, gerakan Islamis mengaktifkan keseluruhan dimensi manusia — intelektual, emosi, psikologi dan sosial secara serentak.

Mekanisme utamanya ialah usrah. Dalam usrah, seorang naqib atau naqibah diamanahkan untuk membimbing beberapa orang ahli secara dekat. Hubungan tersebut bukan sekadar hubungan guru dan pelajar. Naqib atau naqibah sering mengetahui perkembangan ahli dari sudut ibadah, pelajaran, pekerjaan, hubungan keluarga, masalah peribadi malah keadaan emosi mereka. Di sinilah tarbiyah berlaku bukan sekadar sebagai proses pendidikan agama, tetapi sebagai proses pembentukan manusia.

Penekanan yang sangat kuat diberikan kepada kesedaran bahawa Allah Maha Melihat, Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Kesedaran ini bukan hanya diajar sebagai konsep teologi tetapi diterjemahkan ke dalam kehidupan seharian. Ahli usrah diajar untuk sentiasa bermuhasabah dan menilai diri sendiri. Adakah solatnya cukup baik? Adakah akhlaknya mencerminkan seorang Muslim? Adakah hubungan sosialnya menepati kehendak agama? Adakah dia telah menjalankan tanggungjawabnya terhadap jemaah?

Dalam banyak keadaan, kehidupan beragama diterjemahkan kepada amalan-amalan yang boleh dinilai dan dipantau. Akidah, ibadah dan muamalah menjadi kategori yang sentiasa diperhatikan. Apa yang pada mulanya dipantau oleh naqib atau naqibah akhirnya menjadi sesuatu yang dipantau oleh individu itu sendiri. Pengawasan luaran perlahan-lahan berubah menjadi pengawasan kendiri.

Atas sebab itu, saya tidak melihat tarbiyah semata-mata sebagai indoktrinasi. Istilah tersebut terlalu kasar dan gagal menangkap kerumitan pengalaman yang berlaku. Tarbiyah beroperasi melalui bahasa kasih sayang, persaudaraan, keprihatinan dan tanggungjawab bersama. Namun pada masa yang sama, ia juga membentuk mekanisme pengawalan yang sangat berkesan. Ahli usrah belajar untuk menilai diri mereka menggunakan kerangka yang sama. Lama-kelamaan, moral policing tidak lagi memerlukan paksaan daripada luar kerana ia telah diinternalisasikan dalam diri.

Di sinilah lahir apa yang saya sebut sebagai politik Muslim sempurna.

Sudah tentu tiada manusia yang benar-benar sempurna. Namun gerakan Islamis membina satu gambaran tentang Muslim yang ideal. Muslim ini mempunyai akidah yang betul, ibadah yang betul, akhlak yang betul, keluarga yang betul dan hubungan sosial yang betul. Semakin hampir seseorang kepada ideal tersebut, semakin besar autoriti moral yang dimilikinya. 

Apa yang bermula sebagai usaha memperbaiki diri akhirnya berkembang menjadi usaha memperbaiki keluarga. Daripada keluarga berkembang kepada masyarakat. Daripada masyarakat berkembang kepada negara. Dalam tradisi gerakan Islamis, doktrin seperti “Saya mestilah Islam dari sudut individu, keluarga, masyarakat dan negara” bukan sekadar slogan motivasi. Ia merupakan teori perubahan sosial.

Di sinilah psikologi keagamaan diterjemahkan menjadi manifestasi politik. Persoalan yang pada asalnya bersifat peribadi — adakah saya cukup Islam? — berkembang menjadi persoalan sosial dan politik — adakah masyarakat ini cukup Islam? Adakah negara ini cukup Islam?

Apabila proses tarbiyah ini berkembang daripada individu kepada masyarakat, bentuk pengawalan yang pada asalnya diinternalisasikan mula disosialisasikan. Apa yang dahulunya merupakan disiplin diri menjadi norma sosial. Dan apabila norma sosial tersebut diterima secara meluas, ia mula diterjemahkan ke dalam institusi, dasar dan undang-undang. Pengawalan yang pada asalnya berlaku dalam usrah akhirnya menjadi sebahagian daripada kehidupan awam.

Mungkin sebab itulah ramai Islamis merasakan bahawa apabila dimensi politik dipisahkan daripada agama, sesuatu yang penting telah hilang. Dalam imaginasi mereka, Islam bukan sekadar hubungan antara manusia dengan Tuhan. Islam juga merupakan projek pembentukan masyarakat. Politik bukan sesuatu yang berada di luar agama, tetapi sebahagian daripada proses menyempurnakan kehidupan Muslim itu sendiri.

Politik Muslim sempurna tidak sekadar menghasilkan Muslim ideal. Ia turut menghasilkan kategori mereka yang dianggap tidak cukup Islam dan mereka yang berada di luar sempadan Islam itu sendiri. Dalam kerangka ini, persoalan politik bukan lagi sekadar tentang siapa yang mempunyai hak untuk memerintah, tetapi siapa yang dianggap cukup sah untuk mengambil bahagian dalam ruang politik. Semakin dekat seseorang kepada gambaran Muslim ideal, semakin besar legitimasi moral dan politik yang diberikan kepadanya. Sebaliknya, Muslim yang dianggap menyimpang dan bukan Muslim semakin mudah diletakkan di pinggir sebagai subjek yang kurang layak untuk menentukan arah masyarakat dan negara, bahkan dikawal, dikurangi hak sivilnya dan manusianya serta dehumanisasi yang kuat kerana agamanya tidak sempurna mengikut kebenaran Tuhan semesta alam pada fikiran mereka. 

Esei ini adalah bersempena dengan Siri Wacana Islamisme