Rupa-rupanya, projek islamisasi tidak menjadikan masyarakat kita islami. Sayugia kita mendengar laungan Islam sebagai jalan hidup hingga jalan hidup ini tanpa sedar menjadi templat kehidupan masyarakat seisinya baik Islam mahupun bukan. Namun, apakah masyarakat kita semakin Islami dalam perbuatan, tindak-tanduk dan pemikiran? Apakah kita melihat syiar Islam yang utuh ditegakkan di bawah payung rahmat dan barakah keislaman? Apakah ‘ya’ atau ‘tidak’?
Islam dan keislaman hadir dengan slogan kesejahteraan buat semua umat. Malah dalam banyak syarah agama, bergema di corong pembesar suara bahawa Islam datang dengan segala macam jalan penyelesaian untuk setiap permasalahan kehidupan. Di dalamnya adalah sebuah gedung ilmu yang diselongkar cari beribu abad pun, akan kita temukan ilmu yang baru. Ia takkan berhenti tentunya. Maka, sewajarnya kita melihat keharmonian dalam peradaban masyarakat. Seharusnya, kita melihat kehidupan yang saling menjaga, saling hormat dan memahami sementelah ajaran Islam mengajak kepada kehidupan yang manusiawi. Setidaknya itulah Islam yang saya imani – adil dan manusiawi.
Esei ini akan mengajak kita semua untuk menilai semula apakah Islam yang dianut kita pada hari ini (di Malaysia tentunya) adalah Islam yang manusiawi, saling menjaga, menolak perkauman (kerana tentunya dalam banyak catatan sirah yang kita pelajari, begitu banyaknya dalil menolak rasisme dan semangat ketuanan), menghormati privasi, menolak kekerasan dan sebegitu banyaknya lagi nilai-nilai kemanusiaan dalam agama ajaran Muhammad SAW ini.
Perhatikan tangkap layar ini:



Dalam mempelajari agama dan nilai-nilai manusiawi di dalamnya, kita sering diingatkan untuk menghormati binatang sembelihan. Dan penghormatan itu termasuklah menjaga ‘privasi’ haiwan sembelihan. Dalam ruang digital ini, amalan memuat naik video dan gambar haiwan yang disembelih (dalam keadaan nazak – kekejangan kerana sakitnya sakaratul maut) adalah tidak digalakkan malah ditegah.
Namun, dengan tiba-tiba, tegahan memuat naik binatang korban yang mati berselimut darah diapi-apikan dengan semangat perkauman yang boleh kita baca sebagai ‘ketakutan’ penganut agama majoriti.
Perhatikan tangkap layar ini:




(Tangkap layar ini ialah komen-komen pada hantaran tegahan memuat naik video/gambar sembelihan yang dimuat naik di laman Facebook Lembaga Zakat Selangor)
Apakah ini islami?
Seterusnya, dalam memahami agama, masyarakat lebih ghairah dengan persoalan fiqh atau dosa individu yang secara amnya tidak menjadi ‘bala’ kepada orang lain. Cogan kata amar maaruf nahi mungkar dilaung-laung malah membalut tindakan keji termasuklah mengeji, membuli hingga memfitnah individu yang dirasakan sesat oleh masyarakat. Apakah kita islami?
Misalnya, kegigihan mengintip-angkut orang tidak berpuasa termasuk melarang wanita uzur syari’e makan di tempat awam sedangkan yang perlu menahan lapar dan dahaga bukan dia, tapi kita. Gagal menahan diri ini saudara, tidak islami. Apakah yang kita takut sebenarnya? Dengan wanita yang makan di ruang awam pada siang hari bulan Ramadan?
(Esei ini boleh pergi lebih ‘filosofikal’ (kalau itu perkataannya) dengan membedah islamisasi-patriarki-misogini tapi saya tak mahu, namun perhatikan tangkap layar ini)

Betapa gediknya masyarakat kita – dalam kecemasan dan ketakutan Kak Jaslinda yang tersesat 14 hari lamanya, yang dikecohkan ialah tudung.

Ketika ada wanita hilang semasa mendaki, yang dibincangkan ialah “hukum wanita hiking tanpa mahram’. #priority

Ketika jihadis wanita berkongsi kekerasan rejim zionis dalam misi kemanusiaan Gaza, yang dikisahkan ialah ‘hukum wanita berjihad di medan perang’. #priority
Ketika ada anak kecil meninggal dunia kerana ibunya tanpa sengaja meninggalkan ia keseorangan dimakan terik mentari, yang dibincangkan: ‘hukum wanita bekerja’. Ketika ada wanita dicabul kehormatannya, yang dibincangkan: ‘hukum wanita berjalan tanpa mahram’. Apakah ini yang memaknai islami?
Lalu kita melihat lakum dinukum waliyadin berlegar-bersepah dijadikan dalil ‘mempertahankan’ agama entah dari siapa.
Perhatikan gambar ini:

Lakum dinukum waliyadin rupanya menafikan hak orang lain. Kalau sedia maklum mahu mencari makanan halal, ‘No Pork No Lard’ bukan ancaman buat muslim sejati. Motivasi apa mendorong autoriti seperti JAIS yang sepatutnya mempunyai cerdik pandai di meja mesyuarat mengeluarkan kenyataan seperti ini? Apakah program ‘interfaith’ di kampus-kampus gagal melahirkan sarjana yang faham agama sendiri (dan orang lain) sehingga gagal melihat perkara ini dalam konteks kesedaran kaum yang berbilang ini?
Saudara, apakah sahabat kita, Aaron dan Yvonne (bukan nama sebenar) yang tak makan babi religiously tidak lagi boleh mendapat manfaat daripada No Pork No Lard tadi?
(Esei ini sekali lagi boleh membedah islamisasi-kapitalis, tapi sekali lagi, saya tak mahu)
Begitulah ketika lakum dinukum waliyadin menjadi dalil segala macam perbuatan rasis masyarakat yang mengaku Islam, tindakan autoriti sememangnya tidak hanya memberi kesan kepada penganut majoriti. Kita tidak lagi tertinggal pada era penjajahan – siapa pun, agama apa pun, kita semua rakyat Malaysia yang berada di bawah payung pemerintahan yang sama. Semua boleh terkesan.
Saudara, apakah kita semakin Islami?
Perhatikan tangkap layar ini:

Foto ini ialah janaan AI




Rupa-rupanya, projek islamisasi tidak menjadikan masyarakat kita islami.
Esei ini adalah bersempena dengan Siri Wacana Islamisme
