Fatwa dan Akal Tidak Perlu Dipisahkan

Khaled Abou El Fadl

MEDIA sosial menjadi gempar ketika saya memberikan respon terhadap fatwa yang telah dikeluarkan mengenai solat wanita di mana, dalam telekung itu perlu dipakai lagi pakaian menutup aurat jika mahu solatnya dianggap sebagai sah. Untuk pengetahuan pembaca, saya hanya merespon terhadap fatwa yang dikeluarkan itu sahaja tanpa saya kaitkan dengan fatwa yang lain. Malah ingin saya jelaskan di sini, tiada satu pun ayat dalam tulisan saya yang mahukan wanita tidak menutup aurat ketika beribadah atau melawan apa yang telah digariskan Tuhan seperti mana yang telah disebar-sebarkan. Adalah di luar kemampuan saya sekiranya pembaca mempunyai penafsiran pembacaan yang cetek sehingga terus menggeneralisasikan apa yang ditulis umpamanya saya adalah individu yang menolak fatwa. Tetapi keanehan memang selalu berlaku terutama pada yang fanatik dan menolak untuk berfikir dahulu.

Saya menulis dengan tanggungjawab, oleh itu di sini ingin saya menjelaskan dengan terperinci tiga poin utama saya yang telah dituliskan iaitu 1) Fatwa yang ditulis itu merupakan suatu bentuk kekuasaan untuk mendominasi kerana yang mengeluarkan itu merupakan manusia, 2) Fatwa terbabit merendahkan fungsi akal rasional, kerana sepanjang melakukan ibadah solat wanita sering dipisahkan dari makmum lelaki malah kaum perempuan memang sedar akan konsep menutup aurat sebab itu mereka bertelekung, jadi apa fungsinya lagi fatwa itu? 3) Perbincangan dari Jabatan Agama Islam itu sedikit sebanyak telah menunjukkan bankrapnya cara berfikir dan perbincangan isu. Kerana dalam masa yang sama terlalu banyak isu terkait dengan hal moral dan etika umat Islam seperti penunggangan agama, isu liwat agamawan, perhambaan manusia tidak dijadikan perbincangan berskala besar dan difatwakan. Jadi siapa yang mahu membincangkan isu sebesar itu yang akan terus memberikan kesan langsung kepada kesejahteraan manusia?

Hujah-hujah Kritikan

Pertama, apabila mengutarakan pandangan, saya melihat kembali perjalanan sejarah Islam. Sepanjang membaca sejarah Islam beberapa idea dapat dikenalpasti terkait dengan pengeluaran dan penyebaran fatwa iaitu fatwa itu tidak neutral, berlaku pertarungan ideologi di dalamnya. Malah ia juga berkesinambungan pada siapa yang mentafsirkan dan mengeluarkannya. Apabila ada kaitan dengan teks, kita tidak dapat keluar dari penilaian metodologi ini. Maka, mahu atau tidak fatwa boleh menjadi suatu kekuasaan untuk mendominasi. Sekali lagi kekuasaan di sini boleh jadi positif atau negatif tergantung pada pihak mana yang dipentingkan.

Contohnya dapat saya tukil daripada tulisan Muhammad ‘Abid al-Jabiri yang judulnya “Tragedi Intelektual Perselingkuhan Politik dan Agama” diterbitkan pada 2003 di Indonesia. Di dalam buku tersebut, Abid al-Jabiri menjelaskan sebuah peristiwa yang seharusnya membuka mata orang ramai. Ibnu Hanbal pernah ditelanjangi, dicambuk dan diseret sehingga pengsan dan kelaparan akibat posisi dan keteguhannya menolak fatwa daripada al-Makmun dan al-Mu’tashim. Pada waktu itu, pemerintah Abasiyah berpendapat bahawa al-Quran merupakan makhluk Allah, sebaliknya Ibnu Hanbal menolak fatwa itu dengan mengatakan al-Quran adalah kalam Allah.

Tragedi sama juga turut berlaku pada Na’im bin Ahmad, kerana penolakkan beliau pada fatwa tersebut, menyebabkan dirinya dipenjara di Samira’ hingga beliau mati di situ. Peristiwa ini jelas menunjukkan penolakan dan kritikan terhadap fatwa bukanlah perkara baru dan fatwa juga boleh menjadi alat kekuasaan dan dominasi terhadap masyarakat lainnya. Disebabkan itu pada fatwa yang dikeluarkan baru-baru ini saya berpendapat yang sama, mentelah lagi dalam dominasi ideologi patriaki, wanita sering menjadi titik fokus bagi kemurniaan moral sesuatu masyarakat dan agama, sebab itu hal-hal sebegini boleh terbit berbanding hal-hal penting yang lain.

Kedua, fatwa terbabit merendahkan fungsi akal rasional. Saya membaca segala cercaan yang mengatakan bahawa pandangan itu berkiblatkan akal rasional semata-mata dan melawan Tuhan. Namun, apabila ditanya ayat yang manakah dalam tulisan itu menggambarkan perlawanan terhadap Tuhan tidak dapat dijelaskan. Rasional akal adalah perkataan yang amat jijik lagi hina bagi sesetengah masyarakat Islam di negara ini. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana sekiranya Syed Syeikh al-Hadi akan hidup di zaman ini memandangkan beliau pernah menulis buku tentang “Ugama Islam dan akal” Di dalam buku tersebut Syed Syeikh al-Hadi menggariskan enam kelebihan menggunakan akal di dalam Islam. Kata beliau “Agama Islam adalah menghormatkan akal dan menanggungnya keatasnya pada mengetahui adanya Allah Subahanahu Wata’ala dan kudrat-kuasanya di dalam kejadian alam yang luas ini… Akal manusia itu membahas  dan menyiasat akan asal tiap-tiap sesuatu perkara atau hal yang ada atau berlaku di dalam peredarannya dan mengetahui apa yang sebenar tujuan dan peraturannya.”

Sepanjang pembacaan buku itu, tidak ditemukan percanggahan antara akal dan Islam malahan keduanya saling melengkapi. Malah, bagi Syed Syeikh al-Hadi mereka yang memanfaatkan amanah akal dalam melihat sesuatu masalah lebih mendekatkan diri pada agama dan Tuhan kerana akan mengagumi segala kebesarannya. Maka, di sini saya amat hairan mengapa perkataan ini begitu alergi hari ini.  Berbalik kepada penyataan awal, setiap wanita yang melakukan ibadah telah pun dipastikan menutup aurat. Sering kali saf wanita dipisahkan dari lelaki sekiranya ibadah itu dilakukan di surau mahupun masjid. Malah, kapitalisme terus menyuburkan budaya konsumerisme dengan menjual pelbagai jenis pakaian ibadah yang harganya mencecah ratusan malahan ribuan ringgit. Jadi, apakah dengan rasional akal tidak cukup menjelaskan bahawa ini bukanlah sebuah masalah ataupun dengan fatwa itu telah memandang rendah wanita yang bersolat dengan menutup aurat  sebelum ini mengatakan bahawa mereka belum cukup faham agama?

Inilah dimaksudkan dengan fungsi akal rasional dalam membincangkan sesuatu isu. Malah, fatwa sering dibincangkan secara kumpulan. Apakah satu jam atau dua jam yang diperuntukkan untuk perbincangan terkait dengan hal ini sahaja? Mengapa hal ini dikritik? Kerana setiap fatwa akan memberikan kesan langsung kepada masyarakat. Tanpa mengira keadaan cuaca, persekitaran dan taraf hidup ia akan memberikan keraguan malah sedikit sebanyak menindas bagi yang tidak berkemampuan memilih pakaian ibadah. Sebab itu ia perlu diperhalusi dengan mengambil kira keadaan setempat di sinilah akal rasional mengambil tempat.

Ketiga, fatwa yang dipilih untuk disebarkan kepada publik itu menjadi persoalan. Kerana kebanyakan yang dipilih untuk dibaca adalah berkaitan dengan isu tetek bengik semisal penyembelihan zirafah dan penutupan aurat ketika ibadah yang sudah pun dilakukan sejak dari zaman nenek moyang kita lagi. Belum lagi saya melihat nenek saya bersolat dengan tidak menutup aurat di dalamnya. Sebab itu ia menggambarkan kebankrapan cara berfikir dan melihat isu. Ashgar Ali Engineer ada menuliskan tentang “Islam dan Cabaran Masa kini” kata beliau, “antara hal yang patut diberi perhatian oleh umat Islam pada masa kini sudah tentulah pada ekonomi. Kerana kita hidup dalam masyarakat industri, yang asasnya adalah ekonomi. Tidak ada dasar atau pembangunan yang akan berlaku tanpa ada dasar ekonomi yang tepat.” Sambung beliau lagi, “kita lihat bahawa al-Quran mengehendaki sifat amanah yang ketat dalam perhubungan dengan orang lain dan mencela kurang timbangan sehingga menyebabkan penindasan terhadap orang lain…kita boleh menyaksikan dengan jelas akibat kekayaan yang membawa kepada pembaziran penggunaan.”

Nah, dari perbincangan yang telah dikeluarkan oleh Ashgar Ali tadi, masih terdapat kelompangan terhadap fatwa kita. Sepanjang pembacaan pada 203 fatwa berkaitan dengan muamalat/ekonomi tidak saya temukan ungkapan neoliberalisme dan kapitalisme dibincangkan secara jelas. Misalnya, apakah posisi Islam terhadap dominasi ekonomi neoliberalisme atau penswastaan terhadap umat keseluruhannya. Adakah ia memberikan manfaat atau tidak? Apakah umat Islam harus mendukung perusahaan besar yang memonopoli ekonomi kemudian membayar pekerja dengan gaji yang rendah? Adakah umat Islam perlu bertindak dengan memboikot segala kapitalis yang mengurup keuntungan dengan penindasan terhadap manusia, alam dan hidupan? Ini merupakan sebahagian topik yang boleh dibincangkan kemudian di fatwakan bagi membendung penindasan seterusnya melebarkan jurang ekonomi. Perang antara Palestin dan Israel betul-betul mengajar kita tentang kelemahan ekonomi, ilmu pengetahuan dan kemahiran saintifik umat Islam. Apakah fatwanya untuk umat Islam? Apakah kita diminta untuk menggali ilmu sedalamnya untuk mandiri dan membebaskan yang tertindas? Saya tidak temukan itu sepanjang pembacaan saya.

Menjawab Kritikan yang Dilemparkan

Saya menerima kritikan dari hasil tulisan, maka saya mengambil kesempatan untuk membalasnya pada tulisan ini. Bagi saya kritikan yang saya hormati perlu dibalas dengan penuh rasa hormat. Saya amat berbesar hari sekiranya kritikan ini turut dibalas dengan tulisan. Pertama, dikatakan bahawa fatwa adalah berkaitan hukum feqah dan selesaikan  persoalan atau isu semasa masyarakat bagi hukuman yang sudah jelas dalam Quran seperti zina, rogol liwat tidak perlukan fatwa kerana hukumnya sudah jelas. Jawapan balas saya mudah, aurat juga hukumnya sudah jelas. Mengapa perlu dibahaskan lagi? Malah yang melakukan ibadah itu sudah pun menutup aurat mengapa perlu dibincangkan lagi?

Kedua, katanya Muslim boleh berbeza dan tidak mengikut fatwa. Orang awam masih boleh berbeza pendapat. Balasan saya, mengapa masih ada umat Islam yang fanatik terhadap hal ini? Sehingga menghilangkan nilai Islam dalam diri mereka? Ada yang sampai mengherdik dan memaki perbezaan pendapat sehingga mengatakan ulama adalah pewaris nabi wajar diikuti? Mengapa boleh terjadi begini? Adakah saudara yang mengkritik saya sudah menuliskan keterlanjuran ini dan menerangkan terhadap masyarakat lainnya seperti mana saudara lakukan pada saya? Atau saudara hanya melepaskan tangan dan tidak mahu bertanggungjawab? Malah adanya beberapa orang yang mempersoalkan ibadah tersebut, sehingga menimbulkan keraguan terhadap sahnya solat mereka, bagaimana saudara mahu mengawal kepanikan ini?

Ketiga yang terakhir, katanya fatwa tiada kaitan merendahkan fungsi akal, wanita dan sebagainya hanya perbezaan pendapat. Jawapan saya, adakah saudara tidak percaya pada kecenderungan ideologi pada mereka yang mentafsirkan fatwa? Kalau begitu adakah saudara telah menolak metodologi pemikir-pemikir ilmu sebelum ini yang mengatakan teks itu tidak boleh neutral? Kemudian, adakah saudara selesa sekiranya fatwa hanya tertumpu pada wanita atau tidak menyentuh isu yang memberikan pencerahan pada akal? Inilah yang menjadi persoalan saya.

Kesimpulan

Sampai ke akhir ini, saya tidak temukan sebab mengapa fatwa perlu diasingkan dari akal, malah semakin saya gali semakin saya faham bahawa setiap fatwa harus menggunakan akal dan harus menyuburkan akal orang yang menerimanya. Fatwa tidak harus terlindung dari kritikan. Mengkritik bukanlah sebuah perkara terkutuk malah ia merupakan langkah utama untuk mengelakkan sikap autoritarian dalam diri pemuka agama. Semua ini bagi mengelakkan mereka yang menunggang agama, menggunakan agama untuk kenikmatan sendiri dan menyongsangkan agama untuk kekuasaan. Individu yang mengeluarkan fatwa harus bertanggungjawab terhadap apa yang mereka tuliskan kerana mereka dibayar dengan menggunakan wang awam. Sekian.