Ketika zaman sekolah, saya adalah tipikal pelajar yang melihat buku teks sejarah itu adalah seperti bantal tidur yang mengulitkan. Lembaran fakta-fakta perihal perkara-perkara yang lampau seringkali membuatkan saya tertanya-tanya, “Apakah gunanya belajar perkara yang lepas ketika masih banyak perkara hadapan yang perlu difikirkan?” Saya seringkali tidak berpuas hati dengan ungkapan masyhur yang sering diulang-ulang, “Orang yang tidak belajar sejarah pasti akan mengulangi sejarah”. Masakan begitu, sedangkan kita sendiri sekarang ini adalah hidup di atas pengulangan sejarah. Sejarah itu adalah seperti pita rakaman, yang terus diulang di tempat dan waktu yang berbeza. Ceritanya barangkali berbeza; wataknya sudah tentu lain; tapi fakta-fakta besarnya adalah sama.
Sehinggalah guru terdekat saya seperti Dr. Azhar Ibrahim dan Dr. Mohd Faizal Musa (Faisal Tehrani) yang banyak mengajar saya tentang perihal sejarah kemelayuan dan bagaimana sejarah itu berfungsi sebagai perlawanan balas terhadap kemelaratan sosial yang sistemik. Dr. Azhar seringkali mengingatkan bahawa kita ini harus menguasai turath Melayu kerana inilah senjata yang kita ada dan ampuh untuk melawan konservatisme yang seringkali berpihak untuk mempertahankan autoritarianisme penguasa. Dr. Faizal pula selalu mengulang pesan supaya membaca hikayat-hikayat Melayu dan kuasai inti-inti besarnya kerana di situ terdapat pengajaran yang menyanggah semula naratif sejarah feudal yang sering diangkat dan dipropagandakan oleh golongan dogmatis sejarah.
Pada ketika itulah saya mula sedar, bahawa ada hikmahnya saya bertanyakan keperluan mempelajari tentang peristiwa zaman lampau dan sedari awal menyedari bahawa putaran hidup itu adalah berdiri di atas pengulangan sejarah. Ternyata pengulangan sejarah itu membuatkan saya lebih memahami bahawa segala permasalahan sistemik sosial yang kita hadapi sekarang ini adalah wujud daripada sistem yang telah dibentuk oleh sejarah. Sejarah yang berulang-ulang menyebabkan sistem yang bermasalah itu terus semakin kukuh dan harus ada generasi masa hadapan yang meneropong sejarah ini dengan teliti dan mencerap apa yang tidak kena dengan sistem yang kita diami sekarang.
Pada waktu sekarang pula, saya dan beberapa teman lain membentuk kumpulan pembacaan buku Idea Melayu Tentang Pembangunan, yang merupakan tesis Phd bagi Prof. Shaharuddin Maaruf, iaitu murid kepada tokoh sosiolog Syed Hussein Alatas dan guru kepada Dr. Azhar Ibrahim. Pendiskusian terhadap buku tersebut telah membuka minda saya dengan lebih luas bagaimana untuk mencerap sejarah Melayu dengan lebih kritis, terutamanya dalam mengenalpasti bagaimana pengaruh elit feudal Melayu yang telah berabad-abad itu meninggalkan kesannya terhadap cara fikir masyarakat kita sekarang. Walaupun sudah tentulah ada kritikan saya terhadap buku tersebut di sana sini, tetapi wacana besarnya dalam merumuskan kesejarahan Melayu dari sudut tema pembangunan dengan menyeluruhi sejarah era klasik sehingga pasca kemerdekaan telah menjelaskan banyak perkara tentang kesan sistem kemasyarakatan era elit feudal terhadap masyarakat hingga kini.
Apa lagi kalau kita meneropong sejarah Melayu tersebut dari lensa psikologi feudalisme (psychological feudalism) yang telah dibangunkan oleh Syed Hussein Alatas tersebut, justeru akan lebih membuatkan kita tersedar betapa setiap sejarah akan wujud sahaja golongan-golongan yang sentiasa hendak mempertahankan kepincangan dalam amalan kekuasaan penguasa demi kepentingan ideologi konservatisme yang sentiasa beralasankan kepada pertahanan identiti Melayu.
Sebetulnya, alasan mempertahankan identiti Melayu yang sering dilaung-laungkan itu harus diulang fikir dan perkara ini telah dijalankan dengna baik oleh sejarawan penting nusantara, iaitu Farish A. Noor yang telah mengkritik pemikiran berat sebelah sebegitu yang sebenarnya jauh daripada nuansa sebenar Melayu. Farish A. Noor melakukan jejak sejarah yang jauh lebih mendalam sehingga ke era proto sejarah Melayu dan melihat bahawa sejarah Melayu yang kita belajar hari ini telah diputuskan daripada era sejarah sehingga identiti kebudayaan kita seperti telah tengelam dan disenyapkan oleh naratif sejarah kedatangan Islam ke Alam Melayu. Seolah-olah segala identiti kebudayaan kita pada era proto sejarah telah digelapkan dan kita hampir tidak tahu apakah geneologi kita pada era sebelum abad ke-11 itu.
Sebab itulah kefahaman ramai orang terhadap identiti Melayu pada zaman sekarang sepertinya telah disempitkan (sudah tentu di sebaliknya ada agenda politik penguasa yang menebalkan faham kesejarahan begini) dengan sekadar mengidentitikan Melayu dengan agama Islam dan institusi raja-raja Melayu. Dengan bertongkatkan nama Islam dan raja-raja Melayu, maka masyarakat seringkali ditakut-takutkan untuk terus menyuarakan pandangan-pandangan kritis mereka terhadap kepincangan amalan politik dan sosial pada masa sekarang, sehingga telah menenggelamkan banyak perkara yang sebenarnya masih banyak lagi khazanah-khazanah kebudayaan dan amalan sosial masyarakat Melayu yang belum diteroka dengan sempurna (dan sudah tentulah juga projek modernisasi yang dibawa oleh kolonialisme antara yang menjadi penyumbang besar kepada penggelapan ini).
Jadi, nampak tak bahawa betapa pentingnya untuk ktia menguasai sejarah kita sendiri, supaya kita tidak terus ditipu oleh kelompok yang merasakan bahawa sejarah itu hanyalah milik kelompok mereka sahaja? Sekiranya kita tidak menguasai sejarah kita sendiri, kita akan terus hidup dalam pemanipulasian sejarah satu kelompok sehingga kita menjadi buta dan tuli bahawa sejarah semasa yang sedang kita lalui ini adalah daripada naratif sejarah yang telah ditapis dan diromantiskan oleh para penulis buku teks sejarah dan kelompok propagandis sejarah yang sentiasa memomok-momokkan kita dengan naratif sejarah yang memihak kepada elit feudal.
Sudah tentulah tidak pelik kenapa sejarah yang kita terima hari ini kebanyakannya sentrik kepada elit feudal Melayu, sebabnyak sebahagian besar dokumen sejarah itu ditulis oleh (1) Penulis istana upahan raja; dan (2) Pihak kolonial. Penulis istana sudah tentulah akan banyak menulis yang muluk-muluk tentang raja-raja Melayu, kerana seperti yang disebutkan oleh Tun Sri Lanang dalam Sulalatus Salatin, “…supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita, dan boleh diingatkan oleh segala mereka itu. Dan adalah beroleh faedah ia daripadanya.” Jika membaca Sulalatus Salatin itu secara keseluruhan, sudah tentulah kita dapat faham bahawa faedah yang dihajatkan adalah supaya sejarah yang difahami oleh masyarakat Melayu itu adalah sejarah yang sentrik kepada elit feudal.
Manakala dokumen sejarah yang ditulis oleh pihak kolonial pula dapat kita kesani seringkali mengangkat golongan elit feudal tetapi dalam masa merendah-rendahkan pula golongan masyarakat jelata, kerana dengan cara itu maka dapat membina sentimen rendah diri dan kurang yakin masyarakat terhadap kemampuan mereka yang sebenarnya punya kemampuan untuk membina peradaban tersendiri tanpa perlu bergantungan terhadap elit Melayu.
Apabila saya membicarakan begini, bukan bermakna saya menganjurkan untuk menolak sumber-sumber sejarah elit dan kolonial ini. Sudah tentulah amat rugi untuk kita menolaknya mentah-mentah, kerana itu bermakna kita akan menghilangkan korpus penting sejarah bangsa yang kita perlu kuasai. Yang saya anjurkan ialah supaya kita semua membaca dan menguasai sumber-sumber sejarah ini dengan baik (seperti yang dianjurkan oleh Dr. Azhar dan Dr. Faizal), tetapi dalam masa sama perlu memahami dan mentafsirnya secara kritis supaya kita tidak berpihak kepada naratif sejarah yang membodohkan.
Ada dua naratif sejarah yang akan mendungukan kita: (1) Naratif sejarah yang memuluk-mulukkan sejarah bangsa sehingga kita dibuai-buai dengan kenangan lama dan tidak melakukan apa-apa untuk membaiki kesilapan sejarah; (2) Naratif sejarah yang merendah-rendahkan bangsa sehingga kita menjadi tidak yakin dengan kemampuan bangsa kita sendiri. Kedua-duanya adalah naratif sejarah yang perlu dilawan, dan kita harus mendatangkan alternatif kepada kedua-duanya dengan membina wacana sejarah yang boleh menaikkan keyakinan diri untuk membangunkan masyarakat dengan semangat kritis berterusan dan tidak terus layu dibuai dan ditompang oleh feudalisme yang sebenarnya hanya melemah dan memandulkan daya fikir.
