Demokrasi sering kali disalah anggap sebagai sekadar tugas lima tahun sekali iaitu ketika pemilihan wakil rakyat untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen. Namun, demokrasi yang sejati jauh lebih mendalam daripada itu. Ia adalah prinsip hidup dan amalan harian yang memberi kuasa kepada orang ramai untuk bersama-sama membentuk hala tuju masyarakat mereka. Wakil rakyat hanyalah cerminan suara kita, bukannya penentu tunggal. Justeru, amalan demokrasi yang sebenar mesti berlandaskan pembedayaan masyarakat melalui penyertaan aktif dalam proses pembuatan keputusan.
‘Pembangunan’ yang didukung oleh keputusan sehala tanpa disertai orang ramai sering kali merobek alam sekitar. Dipandu oleh keinginan untuk memperoleh keungtungan segera supaya dipuja-puja orang ramai, dan kegagalan melihat pembangunan dalam rangka yang manusiawi menyebabkan pemerintah dan pejabat pentadbiran mengambil pendekatan tidak lestari. Hakikatnya, apabila alam menjadi mangsa, yang menerima akibatnya adalah kita semua.
Demokrasi alam sekitar bukan sekadar slogan, tetapi satu prinsip penting yang menuntut penglibatan rakyat secara aktif dalam membuat keputusan yang mempengaruhi alam sekitar dan kehidupan mereka. Prinsip ini mula diperkenalkan secara rasmi semasa Persidangan Rio 1992 (Prinsip Ke-10) yang menekankan dua perkara utama: hak untuk mendapatkan maklumat dan hak untuk mendapatkan keadilan.
Di Malaysia, isu demokrasi alam sekitar amat relevan terutamanya apabila melibatkan perancangan pembangunan dan pengurusan sumber asli. Setiap rakyat berhak mengetahui rancangan pembangunan yang akan memberi impak kepada kawasan mereka, sama ada di peringkat nasional, negeri, mahupun tempatan. Ini termasuklah melalui dokumen seperti Rancangan Fizikal Negara (RFN), Rancangan Struktur Negeri (RSN), dan Rancangan Tempatan Daerah (RTD).
Cabaran dalam Mendapatkan Keadilan Alam Sekitar
Namun, akses kepada maklumat seringkali menjadi cabaran. Maklumat projek pembangunan seperti latar belakang pemaju, pelan kawasan, dan impak alam sekitar perlu lebih terbuka. Salah satu isu utama yang dihadapi adalah kandungan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang seringkali terlalu teknikal, sukar difahami oleh orang awam, dan tempoh pameran yang terlalu singkat. Tambahan pula, laporan ini boleh menjadi mahal untuk diakses oleh komuniti akar umbi, dan beberapa dokumen penting pula diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, maka komuniti tidak dibolehkan akses kepada dokumen-dokumen ini. Laporan EIA juga sering diragui kerana syarikat perundingnya dilantik dan dibayar oleh pemaju projek. Ini menimbulkan konflik kepentingan yang jelas, di mana hasil kajian cenderung berat sebelah dan memihak kepada pemaju.

Walaupun rakyat mempunyai hak untuk hidup dalam persekitaran yang sihat, selamat, dan harmoni, serta hak untuk mengakses sumber asli dan tanah adat, seringkali hak ini dicabar. Proses membuat keputusan, terutamanya di peringkat negeri, juga menghadapi beberapa masalah:
- Kuasa Mutlak Menteri Besar: Menteri Besar (MB) mempunyai kuasa mutlak dalam hal ehwal tanah negeri, yang boleh mempengaruhi kelulusan projek pembangunan berskala besar.
- Sesi Pendengaran Awam yang Terhad: Sesi pendengaran awam sering diadakan pada hari bekerja, menyukarkan kehadiran orang awam yang bekerja. Hebahan terhad tentang dokumen rancangan pembangunan untuk maklum balas orang awam juga menyebabkan ramai tidak dapat menghadiri sesi pendengaran awam.
- Penyahwartaan Hutan Simpan: Kebanyakan negeri di Malaysia (kecuali Selangor) tidak mengadakan sesi pendengaran awam untuk proses penyahwartaan hutan simpan kekal, satu proses yang sangat kritikal dan memberi impak besar.
- Penglibatan Terhad: Kadangkala hanya ketua-ketua komuniti tertentu yang dihubungi untuk perbincangan, menafikan hak penglibatan ahli komuniti yang lain dalam proses pembuatan keputusan.
Realiti Cabaran Dasar Ekonomi
Pengurusan alam sekitar dan sumber asli di Malaysia, terutamanya di peringkat negeri, masih berhadapan dengan cabaran besar yang berakar umbi daripada dasar ekonomi yang sudah lapuk. Kebanyakan kerajaan negeri masih mengamalkan model ekonomi lama yang terlalu bergantung kepada eksploitasi sumber alam seperti pembalakan, perlombongan, dan perladangan. Pendekatan ini mengutamakan keuntungan jangka pendek, namun mengabaikan kesan jangka panjang yang merosakkan ekosistem dan mengancam kelestarian alam.
Keadaan ini diburukkan lagi dengan ketiadaan insentif yang jelas dan mencukupi untuk mempromosikan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, menyebabkan tiada dorongan yang kuat bagi pihak-pihak berkepentingan untuk beralih kepada amalan yang lebih lestari.
Selain itu, isu percukaian yang tidak adil antara Kerajaan Pusat dan Negeri juga sering menjadi punca, di mana negeri terpaksa mencari jalan pantas untuk menjana pendapatan melalui eksploitasi sumber asli. Lebih membimbangkan, dasar pembangunan yang ada sering kali menafikan dan menghapuskan identiti serta cara hidup tradisional komuniti akar umbi, yang telah lama hidup harmoni dengan alam, sekali gus merampas hak mereka dan memusnahkan warisan budaya.
Peranan Aktivis dan Komuniti
Dalam menghadapi cabaran ini, peranan aktivis dan komuniti amat penting. Melalui program seperti Latihan Aktivis Alam Sekitar (LASAK) oleh Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), orang ramai dilatih untuk memahami hak-hak mereka dan cara untuk terlibat secara berkesan. Program ini bertujuan untuk melahirkan aktivis alam sekitar yang berupaya menggunakan saluran sedia ada seperti undang-undang dan polisi untuk memperjuangkan hak alam sekitar.

Aktivisme Alam Sekitar adalah usaha kolektif untuk melindungi dan memelihara alam sekitar. Ia melibatkan pelbagai pendekatan seperti pendidikan, pemantauan, dokumentasi, advokasi, dan tindakan komuniti bagi mencapai matlamat tersebut.
Aktivisme alam sekitar penting untuk:
Mempertahankan Hak Komuniti: Aktivisme alam sekitar penting kerana ia berfungsi sebagai benteng pertahanan bagi hak-hak komuniti, terutamanya masyarakat asli yang sering terjejas akibat projek pembangunan tanpa persetujuan mereka.
Melindungi Alam Sekitar daripada Eksploitasi: Aktivis berperanan sebagai “semak dan imbang” dengan mempersoalkan dan mengkritik pelaksanaan dasar yang tidak lestari, sekali gus melindungi alam sekitar daripada eksploitasi yang berlebihan.
Menggalakkan Ketelusan & Tanggungjawab: Aktivisme mendesak pihak berkuasa dan syarikat agar lebih telus serta bertanggungjawab dalam mematuhi undang-undang dan prinsip urus tadbir yang baik.
Menggerakkan Kesedaran Awam: Melalui pendidikan dan mobilisasi, aktivisme membina kesedaran awam, yang akhirnya mendorong perubahan tingkah laku masyarakat serta membentuk dasar yang lebih baik dan mesra alam.
Latihan sebegini bukan sekadar memberi pendedahan, malah melengkapkan peserta dengan ilmu dan strategi yang praktikal. Para peserta didedahkan kepada undang-undang dan dasar sedia ada berkaitan dengan alam sekitar. Salah satu fokus utama dalam LASAK adalah pendedahan mengenai pengurusan hutan di Malaysia, seperti perbezaan antara hutan simpan kekal, hutan tanah kerajaan, hutan tanah hak milik, dan taman negara/rizab hidupan liar/taman negeri.
Pemahaman terhadap terma-terma teknikal ini sangat penting. Seperti yang ditekankan, kita perlu sedar bahawa kerumitan teknikal dalam perundangan sering kali sengaja diwujudkan untuk mengehadkan penglibatan awam. Namun, dengan menguasai terma yang betul, aduan awam yang kita kemukakan akan lebih sah dan diterima oleh pejabat kerajaan berkaitan. Oleh itu, amat penting untuk kita menggunakan ‘senjata’ undang-undang dan akta sedia ada ini sebagai alat utama untuk melindungi alam sekitar.
Untuk memberikan gambaran yang lebih jelas, peserta latihan turut dibawa ke tapak eko-kemusnahan yang sebenar. Pengalaman ini bukan sekadar lawatan, tetapi satu pendedahan langsung kepada cabaran getir yang dihadapi oleh penduduk setempat dan kesan kemusnahan alam sekitar.

Di tapak eko-kemusnahan, para peserta bukan sekadar memerhati, malah berpeluang berinteraksi secara langsung dengan wakil penduduk yang terkesan. Mereka mendengar sendiri rintihan, keluhan, dan harapan penduduk yang bergantung hidup pada alam sekitar. Interaksi seumpama ini sangat penting kerana ia mewujudkan dinamik yang seimbang antara aktivis dan komuniti setempat. Ia mengajar para aktivis untuk tidak bersikap ‘lebih tahu’ daripada penduduk yang telah lama hidup dan memahami persekitaran mereka. Pengalaman ini membentuk kesedaran kritikal dalam kalangan aktivis bahawa kekuatan komuniti adalah kunci utama kejayaan advokasi. Oleh itu, hubungan saling hormat, kepercayaan, dan kolaborasi antara aktivis dan komuniti adalah asas yang perlu dibina untuk memastikan perjuangan alam sekitar dapat terus berkesan.
Dengan strategi yang dipelajari di dalam kelas, peserta dapat menggunakan kemahiran mereka untuk menganalisis maklumat yang ada di lapangan. Sebagai contoh, mereka diajar untuk membaca dan memahami maklumat pada papan tanda projek. Mereka dilatih untuk mengenal pasti butiran penting seperti nama pemaju, dan seterusnya menyiasat kaitan syarikat pemaju tersebut dengan pemerintah atau pihak berkepentingan yang mungkin terlibat. Ini menguatkan lagi kesedaran bahawa isu pembangunan sering kali berkait rapat dengan politik wang dan jaringan kuasa, satu realiti yang tidak boleh diabaikan dalam perjuangan alam sekitar.

Saluran Laporan dan Aduan
Apabila berhadapan dengan isu alam sekitar atau pembangunan yang bermasalah, terdapat pelbagai saluran rasmi dan tidak rasmi yang boleh digunakan untuk membuat laporan atau aduan.
Pertama, Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) merupakan platform rasmi yang disediakan untuk menguruskan aduan terhadap jabatan kerajaan. Ia merupakan saluran formal untuk menyalurkan aduan terus kepada agensi yang bertanggungjawab.
Selain itu, Media Sosial dan Media Arus Perdana juga memainkan peranan penting sebagai saluran untuk mewujudkan tekanan awam. Liputan media boleh menarik perhatian umum dan memaksa pihak berkuasa mengambil tindakan.
Bagi mendapatkan bantuan teknikal dan jaringan sokongan, NGO Alam Sekitar atau Hak Asasi adalah pilihan yang tepat. Organisasi-organisasi ini memiliki kepakaran dan sumber daya untuk membantu dalam proses advokasi.
Di peringkat politik, Ahli Parlimen atau ADUN boleh menjadi suara untuk masyarakat. Dengan menyalurkan aduan melalui mereka, ia boleh membawa kepada tekanan politik dan liputan yang lebih luas di kawasan yang terkesan.
Akhir sekali, untuk aduan yang lebih serius seperti salah guna kuasa atau ketirisan, saluran seperti SUHAKAM (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia), SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), Ombudsman, atau Jabatan Audit Negara adalah pilihan yang lebih sesuai. Saluran-saluran ini mempunyai bidang kuasa yang lebih besar untuk menyiasat isu-isu integriti dan tadbir urus.
Penutup
Latihan aktivis alam sekitar ini diakhiri dengan satu pesanan penting: cabaran untuk melindungi alam sekitar semakin besar, terutamanya di bawah model ekonomi kapitalis yang bersifat ekstraktif dan mementingkan keuntungan semata-mata. Justeru, sebagai sebuah organisasi alam sekitar, kita tidak boleh berjuang sendirian. Kita perlu membina dan memperluaskan jaringan solidariti bukan sahaja dengan organisasi alam sekitar yang lain, tetapi juga dengan pelbagai organisasi masyarakat sivil termasuk komuniti Orang Asli, petani, nelayan, mahasiswa, jurnalis, kumpulan seni, kumpulan wanita, dan organisasi hak asasi manusia. Solidariti ini adalah kunci utama. Kita perlu saling menyokong dan mengadakan kerjasama yang erat
Sebagai rakyat, kita perlu sedar bahawa suara kita penting. Penglibatan awam yang berkesan bukan sahaja dapat memastikan pembangunan yang adil dan saksama, tetapi juga menjamin kelangsungan ekosistem demi generasi akan datang. Demokrasi alam sekitar bermula dengan kesedaran, dan berakhir dengan tindakan kolektif untuk melindungi tempat kita.