Berita tentang seorang murid tahun 2 Sekolah kebangsaan Presint 11(1) Putrajaya cedera parah dilanggar kereta Alza ketika cuba melintas jalan di hadapan sekolahnya baru-baru ini membangkitkan kemarahan warga maya. Kemarahan itu ada yang dihalakan ke ibu bapa yang lambat mengambil anak dari sekolah, ada yang dihalakan ke sekolah kerana silibus pengajian keselamatan jalan raya tidak diajar dengan betul, banyak juga kemarahan dihalakan ke kereta Alza yang melanggar kerana tidak berhati-hati di kawasan sekolah, ada yang marah kepada kereta yang parking di bahu jalan sehingga menganggu penglihatan pemandu Alza, dan bahkan ada juga yang menyalahkan kanak-kanak berumur 8 tahun terebut kerana tidak pandai melintas jalan dan berlari sesuka-hati.
Keluar sikit dari menyalahkan ibu bapa, sekolah, pemandu kereta dan kanak-kanak yang dilanggar, ada yang menyalahkan penguatkuasaan yang lemah sehingga pemandu kereta terbiasa parking di mana-mana sahaja mereka rasakan sesuai biarpun boleh membawa kecelakaan kepada orang lain.
Namun inilah realiti si pejalan kaki di Malaysia. Yang diutamakan dan diberikan perhatian khusus bermula dari perancangan bandar sehingga pembinaan jalan raya adalah kereta dan kenderaan melebihi 4 roda lainnya. Pembinaan bandar yang begini membentuk tingkah-laku kita. Reka bentuk bandar yang mengutamakan kenderaan mencipta hierarki di jalan raya, di mana pemandu berada di puncak dan pejalan kaki di bawah. Jalan raya yang lebar dan direka untuk kelajuan tinggi memberikan rasa kuasa dan kebebasan kepada pemandu. Mereka merasakan jalan itu “milik” mereka, dan pejalan kaki dilihat sebagai penghalang. Inilah mengapa jika dilihat di Malaysia, jejambat digunakan untuk melintas jalan, sedangkan di negara maju, cukup hanya lintasan zibra dan lampu isyarat untuk melintas jalan. Jejambat adalah petanda bahawa pejalan kaki dilihat sebagai ‘halangan’ dan bukan sebahagian dari trafik, ketidaksamaan pun tercipta atas jalan raya.
Ada yang membincangkan akar punca kepada fenomena car-centric ini adalah kerana sistem ekonomi kapitalis yang mengutamakan pergerakan barang-barang dagangan (supaya lebih cepat diedarkan dan dijual) menyebabkan jalur jalan raya dibesar dan dilebarkan bagi memudahkan lori-lori kargo mudah bergerak. Harga rumah di kawasan tengah bandar di mana aktiviti ekonomi rancak berlaku juga tidak dikawal sehingga ramai tidak mampu membeli, akhirnya perumahan mampu milik dibina di kawasan pinggir bandar dan kereta menjadi keperluan untuk bergerak ke bandar.


Jalan raya lebar yang menatijahkan budaya memandu laju dan tidak hormat kepada pejalan kaki ini bukan hanya mengorbankan nyawa, ia telah meragut kewarasan kita semua dan mengubah cara kita berhidup. Anak-anak kecil tak lagi bebas bermain di kawasan rumah dan sekolah, orang dewasa tersekat dalam kesesakan jalan raya berjam-jam sebelum sampai ke destinasi, orang tua yang tidak berdaya masih lagi perlu memandu ke klinik kesihatan untuk berjumpa doktor, yang muda tidak ada lagi ruang berekrasi kerana semuanya telah diturap dengan tar hitam, hingga lawan bermotor (merempit) menjadi pilihan kerana itu satu-satunya ruang bersosial yang mudah dicapai. Bahkan peniaga gerai-gerai kecil juga terpaksa bersaing ruang dengan parking kereta dan jalan raya yang makin melebar. Ruang rekreasi dan sosial mengecil hingga kita semua terhimpit.
Kawasan perumahan kita pun dibina tanpa fasiliti pejalan kaki, biarpun hanya beberapa minit dari stesyen keretapi atau LRT, kereta diperlukan untuk sampai ke stesyen dengan selamat. Apa yang dipanggil sebagai last-mile connectivity atau kesaling-hubungan tempat asal dan tempat tuju akhir seperti tidak ada di Malaysia. Kerana kesaling-hubungan antara tempat asal dan tempat tuju akhir ini sangat kurang di Malaysia membuatkan ramai memilih memiliki kereta dari menggunakan pengangkutan awam. Pengangkutan awam pula tidak dibangunkan sepenuhnya atas illusi ‘pengguna tidak berminat’, sedangkan ada halangan struktur yang masih perlu dibaiki. Nah ini masalah di bandar, bagaimana di luar bandar?
Bas-bas perantara yang banyak beroperasi di kawasan luar bandar pun telah banyak berhenti beroperasi kerana tiada sokongan dasar pembangunan dari pemerintah. Teringatkah kita berita warga emas yang meninggal akibat sakit jantung di perhentian bas menunggu bas yang tak kunjung tiba untuk ke klinik kesihatan bersama ubatnya pada tahun 2023 di Jasin Melaka? Banyak yang mempersoal di mana anak kepada warga emas ini, dimana jiran, dimana ahli keluarga yang lain? Tidak prihatinkah mereka kepada warga emas ini? Nah sekarang cuba kita bayangkan kalau bas di kawasan luar bandar juga cekap dengan kekerapan yang tinggi? Mungkin warga emas ini sempat ke klinik berjumpa doktor dan diberikan bantuan selanjutnya. Jadi persoalannya, tidak prihatinkah pemerintah kepada pejalan kaki? Bukankah pembangunan yang baik adalah pembangunan yang memenuhi keperluan semua warga terbanyak?
Tahun 2000 keatas memperlihatkan bandar-bandar besar serata dunia semisal bandar Utrecht di Belanda memikir kembali tentang reka bandar yang mesra kepada manusia. Ini termasuk projek pemuliharaan kawasan terusan yang telah ditembok dengan konkrit dan dikelilingi lebuh raya 12 jalur kembali kepada bentuknya yang asal. Pembukaan kembali terusan itu adalah hasil undian warga tempatan yang mahu melihat terusan yang hampir berusia 1000 tahun itu terus dilestarikan bagi kegunaan warga tempatan; iaitu sebagai ruang rekreasi, dan pengangkutan air. Warga Utrecht menyedari bahawa kehidupan dengan berkenderaan besar memerlukan ruang jalan raya yang besar, sehinggakan bandar tidak lagi dirasakan sesuai untuk didiami. Manusia terpinggir oleh kereta dan keperluannya, pokok-pokok dan terusan diganti dengan parking yang lebar dan jalan raya yang besar.
Proses mengecilkan jalan raya bagi memberi ruang kepada sungai, terusan, ruang pejalan kaki dan basikal, pokok dan rerumput ini tidak bermula ketika jalan raya itu dikikis, ia bermula dengan penyediaan infrastruktur pejalan kaki, dan kenderaan mikromobiliti yang lain seperti basikal dan skuter, jalur bas yang lebih meluas dan efisien serta alternatif lain selain kereta persendirian.









Berjalan kaki untuk kehidupan seharian bukanlah asing dalam diri kita. Banyak kota-kota silam yang masih ampuh sehingga ke hari ini mengekalkan bentuk bandar mereka. Namun penulisan ini bukan seruan meromantiskan masa lalu dan tidak bergerak ke hadapan. Kerja mereka-cipta kebudayaan berjalan kaki seiring dunia baru adalah kerja kita, kita harus meninggalkan jalan raya besar. Jalan raya besar adalah bentuk pembangunan yang telah ketinggalan zaman. Zaman ini adalah zaman untuk pejalan kaki.
Jalan Raya dan Keterasingan adalah sebuah siri penulisan bagi memikir-kembali reka bentuk bandar (dan luar bandar) yang berpusat kepada kereta dan mengetepikan keperluan manusia. Penulisan dalam siri ini bertujuan untuk membincangkan impak dari pembangunan berpusatkan kereta ini dari segi politik, sosial dan budaya. Termasuk dalam siri ini adalah perihal ruang ketiga, feminisme ‘politic of care’ atau politik keprihatinan, kelestarian warisan budaya dan seni, serta pembangunan lestari.