Isra’ dan Mi’raj melalui Perspektif Keadilan Hakiki
Perbahasan tentang peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang jatuh pada 27 Rejab sering dikaitkan dengan pensyariatan kewajiban solat terhadap umat Islam. Di sisi yang lain, peristiwa ini juga memperlihatkan mukjizat Nabi Muhammad SAW yang mengharungi perjalanan dari Mekah ke Baitulmaqdis, lalu ke Sidratul Muntaha, lalu kembali ke Mekah, semuanya dalam tempoh satu malam. Demikianlah pemaknaan Isra’ dan Mi’raj yang sering kita dengar. Namun demikian, permaknaan peristiwa ini sebenarnya boleh diperdalamkan lagi dengan adanya perspektif dan lensa yang berpaksikan keadilan terhadap golongan rentan dan marginal.
Isra’ dan Mi’raj bukan sekadar perjalanan di mana solat lima waktu disyariatkan kepada seluruh umat Islam. Jika kita teliti tradisi beribadah dalam konteks masyarakat Arab dan lain-lainnya pada zaman tersebut, kita dapat lihat bahawa pensyariatan ini juga bersifat emansipatif. Yakni, beribadah dan menjalin hubungan manusia kepada Tuhan bukan sahaja kewajipan, tetapi juga hak kita sebagai manusia, tidak kira jantina, bangsa dan kedudukan sosioekonomi. Ini kerana, masyarakat Arab pada era tersebut memperlakukan wanita, golongan hamba dan orang-orang miskin sewenang-wenangnya. Mereka tidak dianggap sebagai manusia utuh, bahkan sering dianggap sebagai objek yang boleh dijual beli. Oleh kerana kemanusiaan mereka tidak diiktiraf, ini juga bererti bahawa mereka tidak berhak untuk memasuki ruang ibadah dan menyembah Tuhan. Ruang ibadah menjadi tempat eksklusif hanya untuk mereka yang mempunyai kekuasaan dan kedudukan tinggi dalam masyarakat.
Pensyariatan Solat Lambang Pembebasan
Pergeseran kuasa dalam ruang ibadah yang berlaku sebelum pensyariatan solat lima waktu adalah perkara yang sering tidak dipandang dan tidak dibicarakan. Melalui misi kenabian Islam yang membawa keadilan dan kebebasan untuk golongan tertindas termasuk perempuan dan hamba sahaya, Isra’ dan Mi’raj merupakan bukti konkrit bahawa yang layak kita tunduk mutlak hanyalah Allah SWT, dan bukan manusia atau sistem buatan yang lain. Manusia tidak boleh dijadikan hamba kepada mereka yang lebih berkuasa, ataupun berhamba kepada apa-apa benda atau sistem keduniaan seperti patriarki dan kapitalisme. Penghambaan manusia hanyalah hak Allah SWT semata, yang juga sering disebutkan sebagai Tauhid.
Isra’: Kesaksamaan dan Kesetaraan Manusia
Pemaknaan Isra’ dan Mi’raj boleh kita lihat dalam ucapan la ilaaha ilallah (tiada Tuhan selain Allah). Istilah Isra’ merujuk kepada perjalanan Rasulullah SAW dari Mekah ke Baitulmaqdis. Perjalanan ini bersifat horizontal, kerana masih lagi bergerak mendatar pada bumi. Ini bisa kita kaitkan dengan ucapan la ilaaha (tiada Tuhan). Pergerakan horizontal Nabi SAW melambangkan kesetaraan manusia di mata Allah SWT. Yakni, sesama manusia, tiadalah yang lebih mulia dan lebih agung daripada yang lainnya, sehinggakan beliau dipertuhankan, dan mereka yang lebih rendah posisi diperhambakan. Garis horizontal perjalanan Nabi justeru melambangkan kesaksamaan manusia di mata Allah, sepertimana yang difirmankan dalam surah al-Hujurat ayat 13:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍۢ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَـٰكُمْ شُعُوبًۭا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌۭ
Terjemahan: Wahai manusia sekalian, sesungguhnya kami menciptakan kamu daripada golongan lelaki dan perempuan, dan menjadikan kamu berpuak dan berkaum agar kamu saling mengenali antara satu sama lain. Sesungguhnya, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah SWT adalah mereka yang bertakwa. Allah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti.

Justeru melalui Isra’, Islam secara jelas menidakkan legitimasi hierarki manusia yang terlahir melalui rasisme, kelasisme, patriarki dan lain-lainnya. Apa-apa ajaran yang membezakan dan memuliakan mana-mana pihak atas dasar fizik dan intelek manusia contohnya bukanlah berasal daripada ajaran Islam, tetapi pemahaman dan penafsiran agama yang sempit, bias dan tidak adil.
Mi’raj: Tunduk Mutlak Manusia Hak Milik Allah SWT Semata
Istilah Mi’raj pula merujuk kepada perjalanan Rasulullah SAW dari Baitulmaqdis naik ke Sidratul Muntaha. Perjalanan ini pula bersifat vertikal, justeru melambangkan keunggulan Allah yang boleh dilihat dalam lafaz ilallah (kecuali Allah). Oleh kerana tiada manusia (atau perkara keduniaan lain) yang boleh memperhambakan kita, maka hanya Allah sahaja yang layak kita tunduk secara mutlak dan jadikan Tuhan yang disembah. Esensi Tauhid melalui pemaknaan Isra’ dan Mi’raj yang terkait dengan lafaz la ilaaha ilallah justeru menampakkan sifat emansipasi golongan-golongan yang lama diperhambakan oleh patriarki dan penghambaan secara literal pada zaman tersebut. Yakni, beribadah kepada Tuhan itu adalah hak sama rata manusia, dan tiada manusia yang boleh dijadikan hamba kepada manusia lain ataupun kepada apa-apa sistem atau kebendaan dunia yang menjerat individu tersebut sehingga status beliau tidak setara dan dibezakan dengan yang lainnya.
Renungan Peribadi dan Memaknai Peristiwa Ini Dalam Kehidupan Kita
Ulasan yang telah saya kemukakan di atas adalah hasil setelah menghadiri sesi Isra’ Mi’raj Dalam Perspektif Keadilan Hakiki yang dibicarakan oleh Dr. Nur Rofiah. Beliau mengemukakan segala perspektif yang telah saya bahaskan tadi, dan ini membuat saya rasa sangat tercerah dengan pembaharuan perspektif terhadap peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang telah lama saya kenali dan pelajari sejak berada di bangku sekolah. Perbincangan tentang peristiwa ini selalunya berputar-putar membahas tentang kepentingan solat, kepentingan menjaga masa, dan sebagainya. Inilah kali pertama saya lihat kaitan peristiwa Isra’ dan Mi’raj dengan kesedaran Islami untuk membebaskan golongan lemah dan rentan.
Wacana seperti ini perlulah kita arus perdanakan, agar agama boleh meningkat kesedaran kita (lebih-lebih kelompok yang termarjinalisasi) untuk membangkit dan melawan segala sistem hukum dan budaya yang memposisikan mereka pada kedudukan yang lebih rendah daripada orang yang lebih berkuasa. Contohnya, kita boleh menggunakan perspektif ini untuk membangkit kesedaran dalam diri dalam masyarakat, bahawa menentang diskriminasi berbasis warna kulit dan gender dalam tempat kerja misalnya, adalah sebuah ibadah dan selari dengan tuntutan agama Islam, selain daripada mendirikan ritual-ritual wajib seperti solat dan puasa. Kesedaran agama sebegini boleh menjadi pencetus semangat untuk kita agar kemaslahatan semua manusia terjaga dan tiada yang mengalami penindasan dan kezaliman.
Tambahan pula, wacana keagamaan Islam kita sering berputar dan hanya membahaskan soal menyelamatkan diri daripada azab (salvation) dan sering bersifat ukhrawi (otherwordly/alam lain). Namun, wacana yang dibawa oleh sosok-sosok ulama seperti Dr. Nur Rofiah menjadi peringatan bahawa Islam diturunkan juga untuk membebaskan dan memberdaya golongan-golongan rentan. Inilah inti daripada misi Islam yang menjadi rahmatan lilalamin (anugerah untuk seluruh alam). Wacana keislaman yang bertapak pada dunia yang nyata dan membahaskan isu-isu seperti kemiskinan dan penindasan perlu diarusperdanakan, jika tidak, agama itu mampu berfungsi sebagai penyedap hati, dan tidak sebagai gerakan untuk membebaskan manusia, yang sebenarnya merupakan tujuan sebenar Islam jika teks agama dan sejarah kita diteliti secara kontekstual dan sosiologis.
Justeru, Isra’ dan Mi’raj menjadi peringatan kepada saya, bahawa manusia setara di sisi Allah SWT tidak kira bangsa, jantina, orientasi seksual dan lain-lainnya. Kebebasan untuk hidup tanpa dijerat oleh sistem buatan manusia juga harus sering dilaungkan, agar kita sebagai umat benar-benar dapat menghayati Tauhid yang sebenar.




