
Sungai semakin cetek dan pokok-pokok terus ditebang. Entah untuk menghadiahkan kalungan rantai emas untuk siapa. Entah untuk mengenyangkan perut siapa. Kemiskinan tetap macam hantu raya dirantai di tiang-tiang seri. Atau di hadapan pintu rumah, tidak bebas dan lenyap.
Di hutan-hutan, haiwan-haiwan sedang bermesyuarat, membahagi tugas bagi menghalang habitat digondol. Membentang kajian demi kajian bagi menghentikan tempat tinggal mereka direnggut oleh si rakus tak punya otak tak punya agama.
Sebentar lagi, alam bakal musnah. Namun, bukan masanya berhenti berusaha. Kalau kaki-kaki kapitalis menghenyak alam dengan rakus, apakah nanti kaki Tuhan bakal menghenyak perut buncit mereka lantas terkeluarlah seisinya? Pasti.
Dharmala N.S mendatangkan Haruan dengan mesej kemanusiaan yang jelas. Tidak disembunyikan di sebalik alegori. Atau puitis dan magis. Tidak disorokkan dibalik selimut – membalut tubuh kalian agar terus lena dengan mimpi yang panjang. Ia jelas sebuah mesej yang barangkali tidak mahu difahami oleh sang kapitalis haloba. Haruan adalah tentang alam yang dihancurkan oleh tangan-tangan rakus manusia.
Sedangkan pesan Tuhan, kalau alam ini mesti dijaga. Pesan Tuhan, kalau alam ini jangan pernah dihancurkan. Sehinggakan digarisbawahi dalam agama kalau kalian semua dilarang menghancurkan tanam-tanaman meskipun sedang berjuang dalam peperangan. Mesej Al Quran jelas, tinggal kalian yang terus kabur pandangannya.
Selesai membaca Haruan, terduduklah di bibir katil sambil menyoroti alam yang semakin musnah. Seketika berasa haru biru dengan dunia yang celaru. Di waktu lain, ingin menjerit lampias resah yang sudah tidak tertahan lagi. Kalau esei ini seperti akar – berselirat dan tak ditemukan hujung pangkalnya lagi, ketahuilah kalau inilah yang berlaku selesai engkau membaca Haruan.
Ketika membaca Haruan, filem Zombi Kampung Pisang dipasangkan tanpa seorang penonton melainkan sayalah yang mengisi kerusi kosong di hadapan skrin. Filem ini juga punya mesej alam sekitar yang maha jelas. Kurang apakah akal fikiran kapitalis sehingga tidak dapat memahaminya? Filem ini didatangkan dengan jenaka dan sindiran yang barangkali dilihat sebagai hiburan namun nyatanya, ia sebuah kritik sosial yang dipersetujui sedang menggigit otak para penonton.
Ketika orang-orang Kampung Pisang bertukar menjadi zombi akibat pencemaran sungai, ada haruan yang menggelupur memohon udara daripada Tuhan. Ketika penduduk Kampung Pisang semuanya berkejaran dari zombi yang menakutkan, di dalam sungai haruan sedang memaksa insang menapis racun dari minyak tuba yang dibuang ke sungai. Dan ketika kapitalis-kapitalis seenaknya menafikan hak alam demi keuntungan, seluruh isi alam menanggung seksa kezaliman.
“Air sungai mengalir lambat. Bagaikan kelambatan itu mengejek-ejeknya. Mempersenda-sendakannya.
Di tengah air, di samping tunggul hitam yang banyak menyangkut sampah sarap, seekor anak sebarau terdampar di situ. Ekornya terkotek-kotek laksana tangan manusia melambai-lambai ketika lemas di air, sedang meminta pertolongan.
Sebenarnya anak sebarau itu juga minta pertolongan. Tetapi tiada siapa yang mahu memberi pertolongan. Air bercampur minyak tuba tidak mengira siapa. Semua diracunnya. Siapa sahaja merempuhnya akan diracun.”
Beginilah ikan-ikan mati di tangan kapitalis. Seperti kita semua perlahan-lahan mati di tangan kapitalis yang lainnya. Ada kapitalis dengan rakus membunuh binatang, ada pula yang dengan senyuman menghancurkan kehidupan manusia yang lainnya. Seperti sekarang ini? Sekarang di saat pandemik yang tidak bermata menafikan hak semua untuk terus hidup? Ya. Seperti Covid-19 yang senyap-senyap menjadi pembunuh kita semua.
Siapakah yang membenarkan virus yang langsung tidak dapat kita lihat ini terus kekal memeluk tahta? Siapakah dengan tidak berhati perut membenarkan kilang-kilang terus beroperasi? Siapakah dengan tidak manusiawi membiarkan orang-orang miskin terus terkapai-kapai seperti sebarau yang mahukan udara? Siapakah dengan liur agama membenarkan kapitalis terus mencekik orang-orang miskin yang lainnya? Siapakah?
Kemudian, saat seluruh isi alam ini memekik mahukan pertolongan dan belas, mereka merebut Tasik Chini dari tangan Tuhan. Ketika ada yang berkira-kira mahu menjadi Izrail kepada dirinya sendiri, mereka memaksa gajah menarik balak dari dalam hutan. Saat anak-anak terkial-kial mencari jaringan internet demi satu jam pembelajaran, mereka terbang ke Saudi. Ke Turki. Demi kerusi parlimen yang tak terisi dua tahun lamanya. Tinggal kita yang sesak bertarung dengan kematian.
“Dia tidak peduli bapaknya. Dia pun tidak peduli induknya. Padanya, kedua-dua itu sama sahaja. Kejamnya sama macam air bercampur minyak tuba juga. Setiap masa; setiap kali perut kosong mereka menyambar adik-adiknya. Mereka mengonggong adik-adiknya. Kemudian ditelan penuh nafsu.”
Kapitalis yang menekan. Mana mungkin tidak didatangkan dengan patriarki yang menghancurkan. Sebagaimana haruan tidak selamat di samping bapak, begitulah perempuan menangisi keganasan dek kemarahan suami yang tak tertahankan. Ada yang sudah terlantar di katil hospital. Ada yang meraung-raung di sebalik pagar berkunci, minta diselamatkan. Masihkah mereka merebut Chini dan segala hutan?
Mereka menghancurkan alam. Kemudian, kita semua. Mereka membunuh haiwan. Kemudian, kita semua. Di sebuah bilik, dengan pendingin hawa dan beef Wellington makanan kebiasaan, mereka sedang bergelak ketawa. Sudah menerima dua dos vaksin dengan lambakan wang tak terkira banyaknya. Seketika nanti, kalau Malaysia tak terselamatkan, terbanglah mereka semua dengan jet peribadi ke negara bebas pandemik, berlaga gelas bersama Ardern barangkali.
“Mahu sahaja dia membunuh tangan-tangan yang mencurahkan mintak tuba itu. Mahu sahaja dia mengajar mereka itu. Biar mereka tercampak kena tunjalan kepalanya. Biar mereka tahu ketangkasannya. Biar nafas mereka terseksa juga.
Kemarahan itu terbenam di dadanya sahaja. Tidak lebih dari itu. Masakan dia boleh menunjal dagu manusia. Dia tahu tangan-tangan manusia yang mencurahkan minyak itu lebih kukuh dari tenaganya.”
Nah, hari ini, saat ini, tangan-tangan siapakah yang mencurah minyak tuba? Dengan tenaga yang maha kuat berbanding kita semua? Siapakah, wahai haruan?