ERA FM dan Ulang Tayang Hipokrasi Nasional

Februari lalu, seorang penjual jagung yang menghina kaum India akhirnya tampil memohon maaf setelah iklan kedainya menjadi tular. Insiden itu berlaku hanya beberapa hari sebelum penganut Hindu menyambut Maha Shivaratri, perayaan suci yang dipenuhi doa, puasa, dan ritual penyucian diri. Seperti biasa, permohonan maaf dan denda dikenakan. Insiden ini cumalah sekadar satu lagi helaian lain dalam skrip panjang hipokrasi nasional—skrip yang kita hafal di kepala, diulang tayang berkali-kali hingga menjadi kebiasaan yang membosankan?


Hari ini, satu lagi episod penghinaan terhadap penganut Hindu berlangsung di negara kita. Kali ini, pentasnya sebuah stesen radio terkemuka, ERA FM, dan pelakonnya tiga penyampai Era FM—Nabil Ahmad, Azad Jasmin, dan Radin Amir Affendi, bergelak sakan, mempersendakan dan menyebut “Vel Vel” dalam nada ejekan, hina tawa mereka yang bersahut-sahutan bersama dalam satu studio. Seperti biasa, permohonan maaf pun menyusul. Mereka mengakui ‘tidak sensitif’, seperti pengakuan seorang pesalah yang membaca skrip yang telah dihafalnya berkali-kali. Stesen radio bertindak pantas—mengumumkan penggantungan tugas sementara, langkah yang sudah dijangka. Kita sudah terlalu biasa dengan babak ini, terlalu kenal dengan jalan ceritanya. Kitaran ini berulang—penghinaan, kemarahan, permohonan maaf, kemudian senyap. Senyap sehingga episod seterusnya muncul di tempat lain.


Persoalannya, berapa lama lagi penganut Hindu di Malaysia harus menelan kepahitan ini? Sudah berapa kali mereka dipaksa bertoleransi dengan penghinaan yang digumpal sebagai ‘kesilapan yang tidak disengajakan’? ini. Yang pasti kita tahu, ini bukan kali pertama, dan semua tahu ini pastinya bukan kali terakhir insiden seperti ini berlaku terhadap teman-teman kita yang menganut agama Hindu di Malaysia.

Diskriminasi Sistemik Warisan Rasisme

Diskriminasi sistemik ini telah berakar dalam sejarah panjang ketidakadilan, diselimuti bisikan konservatisme yang menanam kepercayaan bahawa ada kelompok yang lebih berhak ke atas negara ini berbanding yang lain. Ia berselindung dalam dasar yang meminggirkan, dalam sindiran di bilik darjah, dan dalam silibus sejarah yang membisu terhadap sumbangan golongan terpinggir. Dalam penuh kepura-puraan, ia dihiasi hipokrasi nasional—sebuah mesin licik yang terus memutar roda ketidakadilan, menggilap wajah ‘harmoni’, namun hakikatnya menutup mata terhadap realiti yang pahit: bahawa toleransi yang sering dituntut ini cenderung berat sebelah terhadap golongan minoriti di negara ini, seolah-olah penindasan yang disamarkan dengan nama lain.

Realitinya—rasisme semakin membarah di negara ini. Dari tepi jalan ke stesen radio nasional, dari mulut penjual jagung ke corong siaran yang menemani ramai, penghinaan terhadap penganut Hindu bukan sekadar kebetulan, bukan sekadar ’lawak’ hambar yang terlepas dari kawalan. Ia adalah corak yang berulang, sebuah permainan yang tidak berpenghujung, sebuah keganasan yang berulang kali disulami dengan ketawa. Penyendaan agama di Malaysia bukan lagi satu insiden terpencil; ia telah menjadi budaya—warisan yang diwariskan dari generasi ke generasi, sehingga ia tidak lagi mengejutkan sesiapa. Rasisme ini bukan kebetulan, tetapi sistem yang bertunjangkan kepuakan, bercambah atas kebutaan sosial, dan disuburkan oleh masyarakat yang semakin saling terasing. Yang menjengkelkan betapa mudahnya penghinaan ini dimaafkan apabila sasarannya adalah masyarakat minoriti—seolah-olah suara mereka tidak bernilai dan kemarahan mereka tidak wajar dari gelak tawa perkauman yang berkumandang di radio.


Ulang Tayang Hipokrasi Nasional

Bayangkan jika penghinaan berlaku kepada umat Islam—azan diperolok-olokkan, solat dijadikan bahan jenaka, atau ibadah puasa dipersendakan. Kecaman pasti bertali arus. Pasti ada sahaja kelompok yag tidak senang duduk dan mengambil pendekatan agresif dan radikal. Saya masih belum lupa bagaimana hanya kerana sepasang stokin, tiga cawangan KK Super Mart menjadi sasaran bom petrol. Bom, saya menulis tentang bom petrol. Bagaimana lautan kemarahan membanjiri media sosial, seruan boikot bertali arus, dan desakan melakukan keganasan bergema di jalanan atas nama agama. Barisan konservatif, dengan api yang menyala di dada, menuntut keadilan seakan-akan maruah agama ini tergadai terlolong dalam sepasang stokin yang dijual di rak pasar raya.


Lain halnya, apabila masyarakat minoriti menjadi mangsa, ceritanya berubah. Nadanya perlahan, kesegeraanya hilang sampai ianya tular. Apa yang pada satu sisi dianggap penghinaan berat yang tidak boleh ditoleransi, pada sisi lain hanya dianggap kesilapan kecil—sesuatu yang boleh disapu bawah karpet dengan permohonan maaf yang kedengaran lebih seperti formaliti daripada makna keinsafan. Seolah, kesedaran itu baru hadir selepas berdekad hidup di negara yang meraikan kepelbagaian.


Ramadan dan Kesedaran Beragama

Hari ketiga Ramadan—bulan yang seharusnya menjadi simbol penyucian hati, memperkukuh persaudaraan, dan menjunjung tinggi keharmonian sosial. Namun, sejauh mana nilai-nilai ini benar-benar diamalkan? Adakah ia sekadar menjadi hiasan yang dipertontonkan apabila menguntungkan? Apakah kita memahami makna keadilan dengan sebenar-benarnya, atau hanya memperjuangkannya apabila ia berpihak kepada kita?
Sejarah telah menjadi saksi—ketidakadilan bukan sekadar berakar dalam sistem, tetapi juga dalam minda kolektif kita. Ia terpancar dalam cara kita bertindak balas terhadap isu-isu tertentu, dalam siapa yang kita pilih untuk dengar, dan siapa yang kita diamkan. Rasisme dan kebencian terhadap minoriti di Malaysia bukanlah hal luar biasa, bukan insiden terpencil, tetapi sesuatu yang telah diinstitusikan secara halus, diperkuat oleh kelalaian kita, dan dinormalisasi oleh keberpihakan yang selektif.

Tidak akan ada ketenangan dalam kehidupan beragama tanpa kesedaran yang tulen. Ia menuntut lebih daripada sekadar permohonan maaf yang diulang seperti skrip drama murahan. Ia memerlukan lebih daripada janji kosong bahawa kita akan “belajar daripada kesilapan.” Kesedaran beragama menghendaki kejujuran tanpa berselindung. Sampai bilakah permainan dan penyendaan agama ini akan tamat? Kesedaran beragama tidak terbatas pada jam 3 pagi ketika kita bermunajat, atau jam 3 petang ketika bekerja, tetapi dalam setiap detik kehidupan kerana setiap manusia berhak beragama dengan penuh kesedaran dan hormat.