Membina keluarga sakinah, mawaddah wa rahmah sebenarnya bukanlah semata-mata tugas anggota keluarga namun setiap warga termasuklah autoriti bertanggungjawab membentuk masyarakat dengan keluarga yang tenang dipenuhi rasa cinta dan kasih. Sakinah, mawaddah wa rahmah yang sering bergema melalui corong pembesar suara surau-surau, masjid dan kuliah-kuliah kursus perkahwinan ialah sebuah gagasan yang mesti dipandang serius oleh setiap anggota masyarakat termasuklah di meja pembikin polisi. Secara ringkas sakinah merujuk kepada ketenangan dan ketenteraman dalam rumah tangga, manakala mawaddah wa rahmah ialah rasa cinta kasih di dalamnya. Melalui tiga prinsip ini, sesebuah keluarga dapat dibangun dengan baik seterusnya menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab sekali gus menyumbang kepada masyarakat yang sejahtera.
Isu keluarga bahagia ini sering dilihat melalui lensa yang maha kecil, domestik dan peribadi sekali. Namun begitu, tidak dapat tidak, perkara ini mesti dilihat sebagai isu politikal dan memerlukan perhatian serta tanggungjawab seluruh anggota masyarakat. Premis ini adalah berawal daripada membangun keluarga sakinah tidaklah boleh berlaku dalam masa yang singkat dan dalam ruang yang kecil. Harus diingat, keluarga sakinah tidak terasing dari masyarakat. Keluarga sakinah ialah sebahagian daripada ahli masyarakat yang menjalankan hidup sama seperti setiap anggota masyarakat lainnya. Sebagai contoh, telah tular seorang ibu yang membawa anak-anaknya dengan kereta sorong bayi mengeluh tentang ketidakpedulian masyarakat akan keutamaan khas yang diberikan kepada keluarga dengan kereta sorong bayi untuk menaiki lif di pusat membeli-belah. Kalau mahu digaduhkan, entah apa lagi tohmahan yang mahu dilemparkan kepada ibu tadi. “Tidak prihatin kepada pekerja yang mahu ‘mengejar masa’ pada waktu rehat”, “Perempuan emosi”, “Tidak wajar membawa anak kecil ke pusat membeli belah”, “Tidak pandai mengurus keluarga”, “Tidak memilih waktu yang sesuai untuk keluar” dan entah berapa banyak lagi nada-nada benci yang diberikan kepada ibu yang hanya menuntut haknya. Dalam konteks ini, keperluan sebuah keluarga sakinah iaitu keluarga dengan ahlinya yang berasa tenang dan tenteram ini sudah pun dipenuhi. Meskipun pelaksanaannya boleh dibahaskan lagi, namun setidaknya ia sudah tersedia. Yang menjadi permasalahannya sekarang, sikap mazmumah yang menganggap hal ini sepele dan tidak penting. Namun, besar nilainya kepada seorang ibu atau bapa yang memerlukan.
Nyatanya, peribahasa orang putih: It takes a village to raise a child, harus difahami dalam konteks yang lebih luas. Bukan semata-mata membentuk moral anak kecil sahaja. Ini termasuklah proses membesarkan anak yang dialami oleh orang tua mereka. Menurut Sara Ruddick dalam bukunya, Maternal Thinking: Towards Politics of Peace, Sara Ruddick membawakan satu gagasan bahawa, proses membesarkan anak itu banyak sekali dipengaruhi oleh masyarakat dan keadaan politik semasa. Kalau-kalau ada cakap-cakap angkuh yang menyatakan bahawa “anak ialah pilihan peribadi, kenapa aku terpalit sekali nak besarkan anak engkau” – harus diingat, kita semua ialah anggota masyarakat, hidup bersama, menghadap polisi yang sama, kerajaan yang sama dengan peraturan yang sama. Peristiwa “berebut lif” tadi sahaja ialah satu contoh sederhana tentang tanggungjawab masyarakat dalam membesarkan anak dan dalam masa yang sama membentuk sebuah keluarga sakinah.
Kini, desakan ekonomi memaksa ibu dan bapa bekerja. Keduanya memikul tanggungjawab kewangan demi mengurus tadbir keluarga masing-masing dengan baik. Ini termasuklah menguruskan makan pakai anak, keperluan pendidikan serta perubatan. Namun, apakah relevan pada ketika ekonomi yang menekan ini, salah seorang daripadanya “wajib” tinggal di rumah? Harus diingatkan, keperluan keluarga itu berbeza-beza. Sama ada yang satu bekerja, yang satu di rumah atau kedua-duanya bekerja tergantunglah kepada pengurusan keluarga masing-masing. Namun, satu hal yang perlu difikirkan juga ialah keperluan demi memenuhi tuntutan keluarga sakinah bagi sebuah keluarga dengan ibu dan bapa yang bekerja. Pasangan perlu mengeluarkan wang untuk menghantar anak ke taska dan ke rumah pengasuh. Malah, ada pasangan yang terpaksa membebankan orang tua mereka demi menjaga anak masing-masing. Ini ditambah lagi dengan kegusaran ibu bapa akan keselamatan anak mereka semasa mereka bekerja. Apakah wajar kegusaran ini hanya dijawab dengan saranan isteri kekal di rumah atau sindiran-sindiran kononnya pasangan itu gagal merancang? Malah kalau isteri/suami kekal di rumah sekali pun, tidak bolehkah anak dihantar ke rumah pengasuh?
Selepas sebegitu banyak kes bayi meninggal dunia di taska dan pusat asuhan, kini, 265 taska tempat kerja yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ini tentunya sebuah inisiatif yang menyumbang kepada pembentukan keluarga sakinah. Namun, ada lagi, ada satu lagi gari yang mengikat kaki ibu dan bapa daripada bergerak jauh: kewangan. Kita sedari bahawa yuran taska kebiasaanya lebih mahal ketimbang yuran menggaji pengasuh tanpa kelulusan dan tidak berdaftar. Ini juga menjadi kegusaran oleh sebab ibu bapa terpaksa memperjudikan nasib anak masing-masing di tangan orang asing. Proses meneliti, mengkaji, membuat tinjauan adalah sangat panjang bagi memastikan pengasuh yang dipilih adalah sesuai tanpa mempertaruhkan keselamatan anak. Apa lagi sekiranya ibu bapa tersebut ialah ibu bapa baru. Kewujudkan taska di tempat kerja sewajarnya bukan sahaja mengurangkan keresahan terhadap keselamatan anak-anak namun membantu ibu bapa dari segi kewangan. Ini merupakan salah satu contoh bagaimana setiap daripada anggota masyarakat termasuklah pentadbiran di tempat kerja memikul tanggungjawab bagi membina sebuah keluarga sakinah. Tidak boleh tidak, harus disedari bahawa keluarga inilah nanti yang bakal mengisi jejak-jejak yang telah ditinggalkan oleh masyarakat kini.
Keluarga sakinah juga ialah sebuah keluarga tanpa ahli yang takut, risau dan berasa tidak selamat. Masyarakat serta autoriti tidak boleh menganggap “segala” hal yang berlaku di balik pintu adalah hal peribadi yang tidak boleh diikut campur atas alasan “aib”. Misalnya, baru-baru ini terjadinya kejadian seorang suami memukul isteri di hadapan khalayak. Perbuatan ini tentunya tidak mencirikan sebuah keluarga sakinah, mawaddah warahmah. Apa lagi, keluarga yang tenteram termasuklah sebuah keluarga yang tidak menyebabkan ahlinya ketakutan serta berasa selamat. Bayangkan sekiranya seorang suami tanpa rasa berdosa memukul isteri di tengah khalayak, apa lagi dalam ruang yang peribadi? Maka, menjadi tanggungjawab semua untuk menolak sekeras-kerasnya kekerasan rumah tangga. Ini termasuklah tidak menjadikannya isu jenaka, menganggap pelaku boleh berubah serta menolak aduan-aduan bersifat peribadi ini. Ini termasuklah tentang pengharaman rogol dalam perkahwinan. Dalam mengistilahkan rogol dalam perkahwinan ini, satu hal yang mesti diingat – setiap perlakuan seks yang dilakukan dengan “paksaan” atau tanpa rela ialah rogol dalam perkahwinan. Sama ada suami memaksa isteri atau sebaliknya. Oleh sebab perkahwinan ialah sebuah ikatan yang sakral dengan segala macam dogma agama yang melingkarinya, maka, agama jugalah yang wajar mengambil tindakan menjungkir balik faham agama yang sesat dan memangsakan ini. Dan ini termasuklah demi melahirkan sebuah keluarga yang sakinah. Ingat, Tuhan berpesan dalam surah An-Nisa’ ayat 19 bahawasanya sesorang hendaklah memperlakukan pasangannya dengan baik. Pemaksaan justeru tidak datang dengan rasa mawaddah wa rahmah!
Begitu juga dengan keadaan politik serta polisi yang mengekor kehidupan manusia. Misalnya, pengangkutan awam yang baik, polisi Orang Kurang Upaya (OKU) yang manusiawi serta pendidikan yang inklusif. Keluarga yang sakinah tidak hanya dengan usaha peribadi tetapi juga melalui pentadbiran yang mapan. Contohnya, pasangan yang berkahwin namun terpisah akibat tuntutan kerja. Di manakah sakinahnya sekiranya mahu menggunakan pengangkutan awam sahaja harus dibebankan lagi dengan tempoh perjalanannya yang panjang, kos serta ketidakcapaian? Ini kecil sekali. Cuba direnung pula kehidupan masyarakat kurang upaya pula. OKU sering dianggap “objek syukur” oleh masyarakat berupaya. Kesusahan yang dialami dianggap inspirasi ketimbang ketidak upayaan pentadbiran dalam memberikan ketenteraman dalam kalangan mereka. Mahu mencari kerja sahaja susah, bagaimana membina keluarga sakinah? Begitu juga dengan ibu bapa kelas terbanyak (B40 misalnya) yang berhadapan dengan anak-anak OKU baik dari segi fizikal mahu pun mental. Terinspirasi sekali kan? Sekarang fikirkan dari mana sakinahnya kehidupan ibu bapa B40 dengan sumber serta pengetahuan yang terbatas akan anugerah yang mahu dibesarkan ini? Maka, sakinah itu bukan kerja individu! Setiap daripada kita bertanggungjawab membentuknya.
Sakinah mawaddah wa rahmah ini ialah sebuah keluarga yang didambakan dan mencapainya bukan hanya kerja keluarga tetapi semua manusia yang hidup bersama.
It takes a village to build a happy family.
A village.