Sumpahan Voltaire Kepada Agamawan Penguasa

Pada tahun 1764, Voltaire (1694-1778) telah menerbitkan sebuah kamus ensiklopedia iaitu Dictionnaire Philosophique (Philosophical Dictionary). Voltaire seperti yang kita semua sedia maklum, merupakan tokoh era pencerahan yang tulisan-tulisannya adalah antara yang telah mencetuskan Revolusi Perancis pada tahun 1789. Dalam kamus ensiklopedia tersebut, terdapat lebih kurang 74 buah artikel yang tajuk-tajuknya disusun berdasarkan urutan abjad. Antara artikel yang terdapat di dalamnya ialah Justice (Keadilan), King (Raja), Liberty (Kebebasan), Morality (Moraliti), Power (Kuasa), dan lain-lain lagi.

Walaupun ia dipanggil sebagai kamus ensiklopedik, tapi setiap artikel itu tidak bertujuan sebagai kamus pun sebenarnya, tetapi lebih kepada himpunan esei-esei Voltaire yang mengkritik kebobrokan institusi agama yang sentiasa memanipulasikan hal-hal ghaib untuk mengawal masyarakat dan pemerintahan negara. Persekitarannya yang melihat para agamawan telah bertukar menjadi agamawang menyebabkan beliau merasakan bahawa itu pemanipulasian autoriti keagamaan itu adalah punca kepada keruntuhan moral masyarakat dan peperangan yang sering berlaku antara negara. Saya ingin menarik perhatian sedikit terhadap satu petikan daripada esei Voltaire dalam kamus ensiklopedik tersebut bertajuk Policy (Polisi):

[Terjemahan bebas] “Manusia tidak mungkin akan terus berbunuh-bunuhan buat selama-lamanya, justeru ianya akan mewujudkan keamanan sehinggalah mana-mana pihak merasakan bahawa diri mereka sudah cukup kuat untuk memulakan semula peperangan. Bagi sesiapa yang mampu menulis, mereka akan menyediakan perjanjian bagi keamanan ini; dan ketua-ketua bagi setiap bangsa – dengan suatu pandangan yang dirasakan lebih berjaya untuk mengalahkan musuh-musuh mereka – akan menyeru-nyeru dengan nama tuhan untuk membuktikan bahawa hanya mereka sahajalah yang benar-benar mentaati suruhan tuhan. Mereka mencipta-cipta sumpah atas nama tuhan; di mana satu pihak bertindak di atas nama Somonocodom yang agung, dan satu pihak lagi bertindak di atas nama Jupiter sang penghukum. Mereka kononnya bersumpah demi untuk hidup selamanya dalam kedamaian dan persahabatan, tetapi dalam masa sama atas nama Somonocodom dan Jupiter, mereka jugalah yang terawal mengambil kesempatan untuk tikam belakang.”

Apa yang kalian rasakan ketika membaca perenggan tersebut?

Voltaire sedang memberitahu pada 257 tahun yang lampau, politik yang menggunakan nama tuhan ini telah pun berlaku. Tuhan telah dijadikan tunggangan oleh ahli politik berdasarkan apa yang mereka mahukan. Jika mahu aman, nama tuhan yang bersifat maha aman digunakan dengan seruan tuhan menaungi negara yang politiknya aman tanpa peperangan. Tapi ketika merasakan sudah cukup kuat, nama tuhan digunakan kembali dengan sifat yang maha penghukum pula untuk mencetuskan perang dan menikam belakang dengan alasan tuhan mengutuskan pihak mereka untuk menghukum musuh-musuh tuhan. Maknanya apa? Maknanya tuhan itu disebut-sebut sebagai alasan untuk menghalalkan tindakan politik mereka.

Politik yang menjaja nama tuhan ini sudah tentulah tidak akan berlaku jika di belakang mereka tidak ada agamawan yang menghasut dan membaca dalil-dalil kitab untuk dipergunakan demi tujuan kekuasaan. Pada sebelum era Revolusi Perancis itu, gereja Katolik benar-benar berkuasa dan sangat kaya kerana masyarakatnya tunduk dan sanggup membayar banyak wang demi tujuan pembaptisan, perkahwinan, surat penghapus dosa, dan malahan ada yang sanggup memberikan tanah kepada para pendetanya.

Pada ketika itu, hubungan institusi agama dengan institusi politik amatlah erat. Dengan kekayaan itu maka golongan agamawan gereja ini turut ditakuti oleh ahli politik kerana pengaruh yang mereka ada itu sangat besar dan ditambah lagi pula ramai di antara mereka menjadi penasihat kepada penguasa. Bermakna, ada tiga perkara di sini yang tidak terpisahkan dalam situasi politik di Eropah pada era zaman gelap pada ketika itu, iaitu (i) Kuasa; (ii) Harta; dan (iii) Agama.

Jauh merentasi zaman pada 257 tahun kemudian setelah Voltaire menulis Dictionnaire Philosophique itu, iaitu pada tahun 2021, ternyata apa yang telah dia tuliskan itu masih lagi berlaku pada hari ini. Tetapi yang hairannya, tulisan Voltaire itu seperti telah menjadi sumpahan kepada dunia politik, di mana tradisi pemanipulasian agama demi tujuan kekuasaan ini tidak sekadar berlaku dalam pengalaman Eropah dari tradisi Kristian itu sendiri, malah turut berlaku dalam dunia politik di benua-benua lain walaupun benua tersebut bebas daripada tradisi Kristian sekalipun.

Saya hendak bawakan satu contoh dari benua jauh. Kalau kita teropong semula ketika pilihan raya pertama Donald Trump di US pada tahun 2017 itu pun, tiba-tiba sahaja Trump menjadi seorang penganut Kristian yang sejati sedangkan ketika sebelum dia terlibat dalam politik, agamanya pun orang tidak pasti. Rupanya-rupanya, di belakang Trump itu adalah seorang mubaligh dan televengalis Kristian bernama Paula White, di mana Trump telah menukarkan kepercayaannya kepada Kristian di hadapan Paula White pada tahun 2016, iaitu tahun beliau berkempen untuk pilihan raya. Paula telah menggunakan kredibiliti dirinya sebagai agamawan untuk berkempen buat Trump dan menarik sokongan masyarakat Kristian. Kemudiannya, selepas Trump menjadi Presiden US ke-45, Paula White telah dilantik menjadi ketua badan penasihat agama dalam pentadbiran Trump.

Itu sekadar satu contoh terkini saya tampilkan tentang betapa di belakang ahli politik pasti ada agamawan yang menompang. Kalau daripada seseorang yang tidak beragama pun sanggup beragama demi politik, apa lagi kalau ahli politik yang beragama dalam sebuah negara yang sarat dengan tradisi keagamaan. Kita dapat lihat betapa ramai ahli politik pada hari ini yang di luarnya pakaian keagamaan tapi di hatinya pakaian kekuasaan.

Mereka berdiri di pentas-pentas politik membaca dalil-dalil tuhan ataupun kalam-kalam ilmuwan silam demi menegakkan pegangan mereka serta menyumpah dan menghukum orang-orang yang tidak mahu bersetuju dengan pendirian politik mereka. Hukum agama di bibir mereka itu adalah seperti lalang-lalang yang ditiup angin; ketika hukum itu memihak kepada politik mereka, mereka akan tegakkan hingga sanggup berkalang tanah, tetapi ketika hukum itu tidak memihak kepada politik mereka, dalil-dalil daripada mana-mana peninggalan ilmuwan akan dibelek-dibelek dan diberi justifikasi bahawa hukum itu berubah-ubah mengikut keadaan.

Barangkali apabila saya sebutkan begini, pasti ramai yang akan segera menolak kerana Voltaire itu kan membicarakan tentang pengalaman masyarakat Kristian di Eropah yang tidak semestinya akan berlaku di tempat lain. Kata mereka, pengalaman silam orang lain tidak boleh dijadikan hujah bahawa tradisi agama di tempat lain akan turut melakukan perkara yang sama.

Tetapi di sinilah halnya yang menjadi persoalan: Sepatutnya pengalaman masyarakat daripada tradisi agama lain yang barangkali tidak ada ajaran kependetaan sebegitu sepatutnya malah akan menjadi perilaku keagamaan masyarakatnya – terutama dalam kalangan ahli ilmunya – menjadi lebih baik kerana ianya bermaksud tidak ada sesiapa yang boleh memonopoli kekuasaan atas nama tuhan ataupun mengawal pergerakan masyarakat atas nama agama.

Masalahnya yang berlaku ialah di mana-mana tempat yang mana wujudnya institusi keagamaan dan di dalamnya terdiri daripada kelompok-kelompok agamawan seringkali telah menjadi alat penguasa untuk mengawal pergerakan masyarakat. Institusi agama itu seolah-olah telah menjadi suara penguasa dan pelaksana kepada sebarang polisi kekuasaan tanpa kita dapat lihat adanya ruang dan sikap mereka dalam mengkritik perkara-perkara mungkar yang dilakukan oleh penguasa. Jadi, apa bezanya pengalaman korup di Eropah dan kritikan Voltaire dengan apa yang sedang kita hadapi sekarang?

Inilah yang diperingatkan oleh Wael Hallaq dalam bukunya, The Impossible State, bahawa kewujudan institusi agama (dalam konteks perbincangan Wael Hallaq merujuk kepada institusi agama Islam) di negara moden dalam menegakkan hukum keagamaan berdasarkan perintah Tuhan adalah sesuatu yang agak mustahil kerana institusi itu sendiri adalah berada di bawah kuasa eksekutif. Dengan hakikat sebegitu, kuasa eksekutif memiliki kuasa untuk meminda hukum-kanun negara termasuklah polisi pentadbiran institusi agama.

Menurutnya, kuasa perundangan sebenar bagi agama adalah melalui ahli hukum yang berurusan di peringkat individu di mana mereka hidup di dalam masyarakat dan bersama-sama dengan masyarakatnya, justeru kefahaman dan penghakiman mereka adalah berdasarkan tafsiran terhadap kitab suci dengan suci hati, tidak dipengaruhi oleh sistem kenegaraan moden, bebas daripada perlembagaan negara ciptaan manusia, dan tidak terikat dengan aturan penguasa.

Hakikat itu sendiri sudah membuktikan bahawa kecairan polisi keagamaan dalam pentadbiran itu sendiri sudah membuktikan bahawa institusi tersebut tidak boleh dikatakan sebagai melaksanakan hukum Tuhan, melainkan ia hanyalah melaksanakan tafsiran manusia terhadap dalil-dalil Tuhan yang terbuka kepada pelbagai bentuk perubahan.

Sengaja saya bangkitkan semula tulisan Voltaire di sini demi membangkitkan semula persoalan terhadap permasalahan yang masyarakat hadapi pada hari ini dalam hubungan antara agamawan dan penguasa. Ternyata apabila agamawan sudah mula berada dalam ranah kekuasaan, kita sendiri dapat lihat betapa suara dan keilmuan mereka mula berubah dan cenderung untuk mempertahankan penguasa berbanding membela rakyat jelata.

Paling parah, apabila pertahanan itu diiring pula dengan dalil-dalil tuhan yang mereka tahu lebih ditakuti oleh rakyat kebiasaan dan lebih mendiamkan mereka daripada terus menyuarakan kebenaran yang tidak memihak kepada penguasa. Sebab itulah apabila agamawan sudah mula memasuki ranah kekuasaan dan institusi-institusi pentadbiran, kita lebih memerlukan ketajaman akal untuk meneliti setahap mana keikhlasan mereka dalam beramanah dengan ilmu mereka ataupun mereka sudah mula menjadi lain daripada diri mereka yang kita kenali sebelum ini.

Ternyata, setelah 257 tahun berlalu, sumpahan Voltaire masih berlaku. Dan mungkin akan terus-menerus berlaku sampai dunia tiba pada kehancuran.