Persoalan negara Islam adalah persoalan yang paling mudah mencetuskan reaksi kafir-mengkafir di Malaysia. Amat sukar untuk seseorang Melayu muslim mengatakan negara Islam itu tidak perlu dan tidak boleh melainkan bakal mendapat cemuhan kafir, sekular atau paling tidak jelingan skeptik orang yang mendengar.
Idea negara Islam wujud berpunca daripada doktrin Islam adalah agama dan daulah, dan ia adalah pemisah ketara antara kelompok Islamis dan kelompok-kelompok muslim lain yang tidak sehaluan pemikiran dengan mereka, baik konservatif, tradisionalis, sekular dan liberal. Ciri negara Islam yang paling utama adalah tertegaknya undang-undang syariah secara penuh iaitu hudud, qisas dan takzir.
Sesuatu negara itu tidaklah dipanggil negara Islam hanya kerana pemimpinnya Islam, majoriti penduduknya Islam, agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan, wujudnya institusi-institusi dan jabatan-jabatan Islam sahaja, tetapi sehingga ia memenuhi kriteria undang-undang negara tanpa dualiti, barulah sesuatu negara itu layak dipanggil negara Islam. Disebabkan ini, dapat diperhatikan parti-parti politik Islam dan gerakan-gerakan Islamis memperjuangkan undang-undang syariah ditegakkan secara penuh dalam negara.
Wacana Islam dan daulah adalah sesuatu yang jarang dirungkaikan secara kritis, dan seringkali Islamis terselamat daripada dipersoalkan secara mendalam melalui metode-metode disiplin pemahaman teks agama yang menjadi dalil mereka untuk mengabsahkan idea tersebut.
Di Malaysia belum dijumpai lagi ulama pintar yang mengkritik secara tuntas dengan metode disiplin agama akan idea ini. Mungkin ulama-ulama pintar ini tidak berminat, atau mungkin mereka tidak cakna atau kebarangkalian lain, mungkin di Malaysia ulama pintar tidak ada. Na’uzubillah, harapnya tidaklah kerana sebab yang ketiga ini.
Di negara Arab wacana ini kembali hangat pada tahun lalu apabila dua sarjana terkenal iaitu Dr. Muhammad Mukhtar Al Syanqiti dan Dr. Mu’taz Al Khatib – dikhabarkan katanya pintu bilik pejabat mereka bersebelahan – seolah-olah berperang di media sosial. Perang twit dan hantaran Facebook mereka adalah gara-gara satu episod rancangan “Qiraah Thaniah” (Bacaan Kedua) di saluran Al Araby, sebuah stesen penyiaran yang dimiliki Fadaat Media Qatar, yang bertajuk “Negara dan Hubungannya Dengan Islam”.
Perang media sosial bermula twit Al Syanqiti yang tidak berpuas hati dengan isi kandungan rancangan tersebut. Beliau mengatakan bahawa rancangan tersebut adalah agenda sekular dan salah satu projek Kristianisasi Islam. Disebut juga mereka yang menyokong tesis Wael Hallaq berkenaan Islam dan negara moden dalam bukunya The Impossible State sudah terpengaruh dengan agenda Kristianisasi Islam.
Al Khatib membalas dengan mengatakan bahawa doktrin Islam adalah agama dan negara adalah rekaan Islamis, dan Islamislah yang mencampur adukkan idea-idea politik ke dalam agama. Kata beliau “Muhammad bin Abdul Wahhab mengatakan bahawa perkara-perkara yang membatalkan Islam itu berubah-ubah dan fleksibel, Hassan Al Banna memasukkan daulah (negara) ke dalam agama, dan Sayyid Qutb pula melampau dengan menjadikan jihad sebagai rukun Islam. Kecelakaannya apabila pengikut-pengikut mereka menganggap bahawa itulah pengertian Islam yang sebenar-benarnya!”
Kalau diperhatikan apa yang dikatakan oleh Al Khatib itu sangatlah benarnya. Doktrin agama adalah daulah dan negara Islam itu wajib telah menjadi kecelakaan buat umat apabila pengikut-pengikutnya menganggap itulah Islam yang sebenar. Kecelakaan paling besar buat umat islam adalah ia digunakan sebagai modal untuk mengkafirkan atau meletakkan label-label seperti liberal, sekular, munafiq dan yang seangkatan dengannya kepada kelompok muslim-muslim lain yang tidak sefahaman dengan mereka.
Sudahlah perselisihan sektarianisme Syiah dan Sunni yang ada itu tidak berkesudahan, ini ditambah pula dengan perselisihan yang satu ini, ia kini menjadi kayu ukur pula siapa lebih Islam antara sesama Sunni. Sedangkan Nabi SAW sudah melarang dengan sekeras-kerasnya perbuatan mengkafirkan muslim melainkan dia sendiri yang mengisytiharkan dirinya murtad. Tetapi kerana doktrin ini, larangan Nabi itu dilayan seperti angin lalu sahaja nampaknya.
Tuduhan kafir ini tidak sahaja terkena kepada orang awam yang jahil lagi tidak tahu. Dalam rancangan Qiraah Thaniah, ditunjukkan Syeikh Ali Abdul Raziq, kerana karya kontroversinya “Al Islam wa Usul Al Hukm” (Islam dan Dasar Pemerintahan), beliau dipecat daripada Universiti Al Azhar. Karya beliau ini menjadi kontorversi kerana beliau membawa tesis yang seolah-olahnya asing dalam tradisi keilmuan Islam, iaitu “Islam tidak menetapkan sebarang jenis bentuk pemerintahan dan Nabi itu bukanlah seorang pemerintah tetapi baginda hanyalah seorang nabi dan rasul”. Kerana karyanya yang satu ini, beliau dituduh murtad walaupun beliau adalah seorang ulama fiqh Azhar dan pernah menjadi hakim di Mansoura.
Doktrin Islam adalah agama dan daulah ini bukanlah sesuatu yang diimani pada zaman kegemilangan Al Banna dan Qutb sahaja. Dalam satu hantaran Facebook, Al Khatib menukilkan kata-kata Rashid Al Ghanouchi kepada beliau. Soal Al Khatib kepada Ghanouchi, “Apakah yang tuan katakan pada orang yang taat melaksanakan rukun agama tetapi tidak beriman bahawa Islam itu adalah agama dan daulah? Beliau menjawab: dia tidak betul dan tidak konsisten. Ditanya lagi: apa yang tuan katakan tentang imannya? Beliau menjawab: imannya kurang”.
Dimaklumi bahawa Al Ghanouchi itu bukanlah individu terpencil dalam gerakan Islam, sebaliknya beliau adalah pemimpin Ennahda, gerakan Islam terbesar di Tunisia dan bekas presiden Tunisia pasca revolusi Arab Spring. Beliau terkenal dengan idea-idea progresifnya, dan keprogresifannya terbukti dengan keputusan beliau untuk menukar hala Ennahda daripada gerakan Islam politikal kepada Muslim demokrat dan menegaskan kesekularan Tunisia.
Namun kenyataan Ghanouchi yang dinukilkan oleh Al Khatib benar-benar meragukan kita, adakah benar beliau beriman dengan demokrasi atau tindakannya itu hanyalah pragmatik politik untuk menjadikan Ennahda kekal relevan dalam arena politik Tunisia. Itu cerita di Tunisia, apatah lagi ceritanya kalau Ikhwan Muslimin di Mesir dan gerakan-gerakan Islam di Malaysia seperti PAS dan ISMA yang jelas-jelas totok beiman dengan doktrin negara Islam. Dapat dilihat dengan jelas daripada kenyataan-kenyataan pemimpin mereka yang melabel sesiapa sahaja yang tidak mendokong agenda hudud mereka sebagai kafir atau paling tidak pun liberal sekular.
Doktrin ‘negara Islam’ adalah sebahagian daripada Iman dan Islam ini bukanlah datang daripada penaakulan dan dakwaan tanpa dalil. Banyak sahaja dalil yang menjadi dasar Islamis untuk membenarkan doktrin ini. Antara dalil-dalil yang sering digunakan adalah surah Yusuf ayat 40 yang bermaksud: “Sesungguhnya (kuasa) memutuskan hukum itu tidak lain adalah milik Allah” dan surah Al Maidah ayat 44 yang bermaksud: “Dan sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang telah diwahyukan oleh Allah, maka mereka adalah orang-orang yang kufur”.
Ayat-ayat sebegini senang sahaja dipukalkan maknanya oleh Islamis untuk mengabsahkan kewajipan mendirikan undang-undang syariah (baca: hudud) secara total tanpa dilihat ayat tersebut dengan disiplin ilmu. Pemahaman mereka ini secara mudah terbatal apabila ayat ini dilihat pada konteks mudahnya iaitu ayat sebelum dan selepas. Jelas keduanya bukan bermaksud undang-undang Islam apatah lagi negara Islam.
Kesalahan ilmiah Islamis dalam memahami dan mentafsir makna teks lah yang menyebabkan doktrin ‘gila’ ini muncul. Tetapi sampai sekarang masih ramai sarjana yang ragu-ragu untuk mematikan doktrin gila ini lalu mereka bersifat apologetik terhadap kefahaman ini. Sikap apologetik ini tidak bermasalah sekiranya tidak menyebabkan permusuhan dan menumpahkan darah. Tetapi apabila kumpulan ekstremis agama seperti ISIS dan Taliban mengorbankan nyawa saudara-saudara muslim atas nama syariah dan negara Islam, ulama-ulama umat seharusnya tegas mengkritik doktrin ini.
Jika ia tidak dikritik secara tuntas, kemungkinan darah-darah manusia yang tidak bersalah untuk terus tumpah atas nama Islam akan berterusan. Mungkin atas sebab inilah Nabi SAW melarang keras perbuatan mengkafirkan sesama muslim. Kerana tuduhan kafir itu menghalalkan darah manusia. Jadi sebarang kefahaman dan doktrin yang sewenang-wenangnya membuka jalan untuk mengkafirkan muslim lain, wajib dilawan hingga ke akarnya.




