Menangani Realiti Pelarian Iklim

Krisis perubahan iklim yang membawa kepada cuaca ekstrem dan tidak menentu telah mengakibatkan kitaran musim hujan dan kemarau yang sukar diramal. Rentetan daripada peningkatan taburan hujan, kemarau di sesetengah kawasan malah ketidakstabilan struktur tanah, dan kenaikan paras air laut, dunia kini berdepan dengan kemunculan kelompok komuniti baharu yang dikenali sebagai ‘Pelarian Iklim’.

Pelarian iklim merujuk kepada individu atau komuniti yang terpaksa berpindah akibat fenomena berkaitan perubahan iklim seperti banjir besar, kemarau, hakisan pantai, kenaikan paras air laut, tanah runtuh, gempa bumi dan tsunami sama ada untuk tempoh sementara mahupun kekal bagi mencari perlindungan di tempat yang berdaya huni dan selamat untuk didiami sebagai jaminan kelangsungan hidup.

Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), terdapat 460 titik panas lokasi berisiko banjir musim tengkujuh di Terengganu berbanding pada tahun lalu yang cuma 449 titik panas. Kemudian, tidak dilupakan juga siri banjir besar pada tahun 2014 dan 2021 terutamanya di Sri Muda, Shah Alam apabila ia masih menjadi trauma kolektif kepada penduduk setempat sehingga kini.

Curahan hujan yang tinggi dari kebiasaan juga telah menyebabkan kejadian tanah runtuh di Batang Kali pada Disember 2022 sehingga membawa kepada penutupan sepenuhnya jalan, kemudian di Aring-Kenyir pada Disember 2024 dan yang terbaru di Seputeh, Kuala Lumpur pada November 2025. Memetik laporan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), terdapat 34 titik panas yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko berlakunya tanah runtuh. Selain itu, kejadian beberapa kali siri gegaran kecil di Johor menunjukkan bahawa Malaysia turut terdedah dengan bencana alam seperti gempa bumi. Malah NADMA melaporkan bahawa sebanyak 14 titik panas telah dikesan melibatkan enam buah negeri dan ia berpotensi mengalami gegaran atau gempa bumi kecil.

Peningkatan paras air laut juga turut menyebabkan hakisan pantai di pesisir pantai Malaysia misalnya di Tanjung Dawai, Kedah, Teluk Batik, Perak dan Batu Rakit, Terengganu. Berdasarkan laporan daripada Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS) pada tahun 2019, beberapa bandar utama di Malaysia didakwa bakal ‘lenyap’ kerana berada di bawah paras laut menjelang tahun 2050.

Projek pembangunan yang tidak lestari juga telah mempercepatkan dampak perubahan iklim misalnya melalui perubahan guna tanah, pembangunan di kawasan zon pesisir pantai seperti kegiatan korek pasir, penebangan hutan paya bakau dan sebagainya. Malaysia seharusnya bersiap sedia untuk menghadapi ancaman tersebut dan mula bertindak untuk merangka pelan strategik untuk adaptasi krisis iklim. Sekiranya tidak, barangkali berjuta penduduk Malaysia akan terjejas. Perpindahan secara besar-besaran turut akan bakal berlaku sekiranya tiada tindakan segera.

Oleh itu, tindakan proaktif perlu diambil untuk mengelakkan tekanan mendadak krisis iklim. Generasi anak muda juga harus bersedia dan memainkan peranan untuk terlibat kerana ia bukan melibatkan masa hadapan generasi kini tetapi juga generasi seterusnya. Harus akui bahawa manusia kini sedang menghadapi keruntuhan ekosistem yang amat pantas sehingga belum sempat pembuat dasar boleh mengambil tindakan.

Berikut adalah tuntutan anak muda dalam gerakan sivil dan alam sekitar terhadap kemelut pelarian iklim yang perlu diambil perhatian oleh pembuat dasar:

  1. Menuntut penetapan dan penyelarasan mekanisme struktur pelaksanaan dalam sistem pentadbiran supaya dapat mengikat pelaksanaan dasar-dasar dan inisiatif yang dirangka serta mengurangkan fragmentasi institusi di peringkat kebangsaan untuk memastikan setiap kementerian dan agensi kerajaan yang berperanan penting dapat koordinasi untuk kuatkuasa dasar bersama.
  2. Menggesa penggubalan Dasar Perubahan Iklim Negara (DPIN) bagi mengiktiraf istilah pelarian iklim sebagai migrasi dalaman supaya memperakui kewujudan kelompok rentan ini menjadi sebahagian demografi masyarakat di dalam konteks negara Malaysia dan mengikat tanggungjawab kepada pemerintah untuk beri jaminan kesejahteraan hidup.
  3. Melaksanakan kajian pemetaaan risiko pelarian iklim yang meliputi penduduk di kawasan pesisir, tanah rendah, berpaya dan pedalaman untuk membangunkan pengkalan data yang lebih terangkum dan terarah terhadap komuniti yang terdedah dengan perubahan iklim.
  4. Mengemaskini Rancangan Pembangunan seperti Rancangan Fizikal Negara, Rancangan Struktur Negeri, Rancangan Tempatan Daerah, Rancangan Kawasan Khas dan Pelan Tindakan Khas yang termaktub bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] dengan memasukkan zon adaptasi iklim sebagai pengelasan baharu supaya dapat menentukan keutamaan intervensi adaptasi. Sekaligus dapat memastikan terdapat penetapan syarat dalam mana-mana projek pembangunan untuk memikirkan perubahan iklim dalam kajian fizikal dan sosial yang dilakukan sebelum memulakan sebarang projek.
  5. Penambahbaikan mekanisme respons dan adaptasi berasaskan komuniti (community based response & adaptation) yang lebih terangkum dengan membentuk pelan penyesuaian setempat (in-situ adaptation) bagi penduduk yang tidak mahu berpindah dan pelan perpindahan terancang (planned relocation) bagi penduduk yang terpaksa berpindah misalnya melalui projek rintis infrastruktur adaptasi secara mikro seperti bandar span, taman span, kampung span dll.
  6. Menjalankan simulasi latihan krisis komuniti (community climate drill) secara besar-besaran di seluruh negara terutamanya terhadap komuniti sasaran yang terdedah dengan risiko misalnya Orang Asli di pedalaman, komuniti pesisir seperti nelayan, kanak-kanak, warga tua, Orang Kurang Upaya (OKU) dll.
  7. Integrasi kearifan lokal dalam pelan adaptasi iklim dengan menubuhkan pusat dokumentasi kearifan tempatan di seluruh negeri dan wilayah bagi mengumpul, menyusun, menyimpan, menyelidik, membangun, menambahbaik dan mengaplikasikan kebijaksanaan komuniti dalam usaha menghadapi cabaran krisis iklim.

Tindakan Kolektif dan Advokasi

Bagi merealisasikan visi ini, tindakan kolektif daripada segenap lapisan masyarakat, terutamanya anak muda, adalah tunjang utama. Melalui platform seperti Kongres Anak Muda, gerakan advokasi perlu digerakkan secara agresif, berikut adalah langkah kedepan untuk gerakan Masyarakat sivil dan anak muda.

1. Mewujudkan jaringan atau gabungan antara NGO dan gerakan masyarakat sivil untuk bina kerjasama dalam tuntutan.

2. Menggerakkan advokasi dengan menerbitkan usul dalam bentuk infografik, kenyataan media dan postingan berterusan di media sosial.

3. Menghantar surat atau memorandum rasmi kepada parlimen, kementerian dan agensi kerajaan berkaitan sebagai bukti permintaan rakyat. Selain itu menyediakan petisyen untuk mendapat sokongan orang ramai terhadap memorandum yang akan dihantar.

4. Mengatur pertemuan atau mesyuarat bersama kementerian dan agensi kerajaan berkaitan bagi melobi tuntutan dengan membentangkan cadangan bertulis yang disediakan.

5. Terlibat dalam proses sedia ada seperti rundingan awam untuk memberi maklum balas awam dalam rancangan pembangunan.

6. Permohonan peruntukan dana daripada kerajaan kepada usaha penyelidikan bagi Pusat Dokumentasi Kearifan Lokal untuk gerakan NGO dan penyelidik.

Krisis iklim adalah ujian terhadap daya tahan dan kesatuan kita sebagai sebuah negara. Sudah tiba masanya Malaysia beralih daripada tindakan bersifat reaktif kepada strategi adaptasi yang proaktif, menyeluruh, dan berpaksikan manusia.

Oleh: Nazir Shah

Esei ini merupakan olahan semula daripada usul bertajuk ‘Pelarian Iklim: Pelan Adaptasi Krisis Iklim’ yang sepatutnya dibentangkan dalam Kongres Anak Muda 2025 di ibu kota Kuala Lumpur bagi tema kelestarian alam sekitar.