Impak Islamisasi: Tudung Sebagai Identiti Muslimah Sejati dan Isu Pengawalan Moraliti Perempuan

Isu utama tudung adalah ia diarusperdanakan sebagai satu-satunya identiti perempuan muslim. Apabila diarusperdanakan sebagai satu-satunya identiti Islami maka cara pakaian yang lain akan jadi tidak Islami, disesatkan, dikafirkan, dinerakakan. Patriarki yang berakar kuat dalam masyarakat Melayu menjadikannya satu lagi alat untuk mengawal dan mengawasi moraliti.

Buruknya dogma tudung sebagai identiti muslimah yang diasaskan pada satu pendapat fiqh daripada pelbagai pendapat yang ada tentang aurat dan hijab telah mematikan keanjalan pengamalan tudung yang telah berkurun lama ada dalam tradisi Islam dan ini telah mendatangkan malang besar kepada perempuan.

Bukan sikit kita melihat kenyataan-kenyataan kurang ajar mengatakan perempuan yang tidak memakai tudung layak dirogol kerana tidak menutup aurat. Perempuan yang tidak memakai tudung dihakimi sebagai perempuan yang tidak baik, yang pakai tudung pula diperhatikan gerak-gerinya agar perlakuannya sentiasa mengikut arahan agama.

Pada Islamis, tudung adalah positif, perempuan menjadi lebih sopan, lebih muslimah sejati. Problem terbesarnya angan-angan ini datang dengan konsekuensi buruk kepada perempuan Muslim seluruhnya di Malaysia. Lagi menambah parah dalam ranah bumi Melayu ini, agama banyak penjaga pagarnya yang menyebabkan masyarakat terhalang daripada keluasan ilmu pengetahuan tentang agama mereka sendiri.

Di zaman moden ini, penjaga gerbangnya makin banyak seperti jabatan agama, elit agama, majlis ulama yang dikuasai oleh lelaki-lelaki patriarki baik dalam jalur apa sekali pun, salafi ke, wahabi ke, tradisionalis ke, aswj ke… Sama saja perangainya, suka mengawal perempuan dan mereka ini mendominasi wacana agama.

Kita melihat pada masa ini walaupun kita sudah ada ramaaiiiiii dr2, profesor, dan graduan perempuan dalam bidang agama, akhirnya mereka membawa naratif pengawalan perempuan yang sama, kerana wacananya adalah wacana yang didominasi lelaki dengan bias dan prejudis lelaki. Mereka tidak mandiri memikirkan secara kritis keadaan sosial perempuan dan naratif agama yang ada walaupun di hadapan mereka ada teks agama yang membebaskan perempuan, apatah lagi mahu melawan.

Kerana melawan ada akibatnya, dan akibatnya adalah disesatkan, diliberalkan, disekularkan, dinerakakan. Lebih selamat untuk mengikut dan menunduk.

Malang kita semua kerana projek Islamisasi telah menyebabkan hampir semua autoriti agama dimonopoli oleh jalur fikir puritan, binari dan Islam pamplet. Ya, bukan salah Islamisasi saja, ini juga berakibat daripada warisan sistem kolonial yang memang sudah sedia binari dan regresif. Malang kita kerana tradisi keilmuan dalam masyarakat kita selama bergenerasi tidak kuat dan kerana tradisi gatekeeping agama sudah berakar kuat berkurun lama.

Lalu, kita tak ada benteng yang kuat secara tradisi untuk melawan dogma Islam pamplet. Tidak seperti di Indonesia, Islam pamplet boleh dilawan dengan barisan ilmuan agamanya yang berakar kuat pada tradisi ilmu dan budaya masyarakatnya sendiri. Ramai yang boleh bangun melawan Islamisasi pampleteeris. Isu hijab syar’i tak syar’i sudah ramai yang membangkitkan di sana.

Kita malang di sini, sebab kita semua hanya mampu terdiam apabila Neelofa kata suaminya menegur perkara yang baik tentang tudung kepala Adibah Noor. Yang kita bingungkan bukan tudung Adibah Noor itu, tapi sebenarnya betapa teruknya perempuan menjadi tempat kawalan masyarakat Melayu serba serbi dan pada perkara paling asas yakni menghormati pilihan batang tubuh perempuan pun masyarakat ini gagal untuk faham.

Kombinasi nilai patriarki dan misogini yang sentralnya adalah pengawalan tubuh dan moraliti perempuan bersama dengan dogma Islamisme yang paksinya adalah kekuasaan dan autoritarianisme agama tempel-tempelan yang meletakkan maruah kemanusiaan di darjat bawah adalah kombinasi yang paling bahaya.

Mangsanya adalah perempuan semua. Walaupun nampak moden di luar, dalamnya kita dicengkam dengan kuku dogma agama tempel-tempelan yang disogok kepada kita selama ini sebagai sebuah kebenaran.