Apa yang Desa Mentari Ajarkan Aku

Setelah kerajaan mengumumkan bahawa sebahagian sektor ekonomi adalah dibenarkan untuk beroperasi, maka pejabat tempat aku bekerja pun mulai beroperasi seperti biasa. Pada hari jumaat minggu lepas, Arora (bukan nama sebenar) menghantar mesej dalam kumpulan whatsapp rakan serumah yang bernama “Orang-Orang Kebingungan”.

Jika ada yang tertanya-tanya kenapa nama kumpulan whatsapp kami sebegitu, ianya disebabkan pada waktu tersebut kami sangat bengang dengan isu-isu yang berlaku sewaktu musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Antaranya adalah seperti isu Vivy Yusof yang tidak berpuas hati tentang bantuan kerajaan kepada golongan B40 kerana perniagaan kawan-kawannya yang terkesan akibat wabak Corona yang melanda. Bukankah itu kebingungan? Membandingkan langit dengan bumi seolahnya rakan-rakan niaganya itu akan mati kerana rugi apabila tiada untung sewaktu musim wabak melanda, sedangkan bantuan itu adalah untuk menyelesaikan masalah keperluan asas, bukannya tentang untung dan rugi sesuatu perniagaan orang kaya.

Kembali kepada mesej yang dihantar oleh Arora sebentar tadi, ianya adalah berkenaan dengan perihal bekas rumah sewa kami di Desa Mentari. Dia meminta kami untuk datang ke Desa Mentari bersama-sama untuk mengemas dan mengambil baki barang-barang yang tidak sempat untuk dipindahkan sepanjang tempoh PKP bermula. Maka, hari Jumaat itu aku kembali ke Desa Mentari menyelesaikan urusan yang masih tidak beres.

Perasaan ketika menjejakkan kaki semula ke Flat Desa Mentari mengingatkan aku tentang kenangan sepanjang tempoh aku tinggal di sana. Jujurnya perasaan yang muncul ialah perasaan sedih dan berterima kasih kepada Desa Mentari kerana sangat banyak pelajaran hidup yang aku pelajari di situ.

Bermulanya kehidupan di sana adalah selepas aku menghabiskan sarjana muda undang-undang di salah satu institusi pendidikan awam di Malaysia bagi meneruskan hidup sebagai seorang graduan dan bekerja di dunia yang nyata. Jujurnya, kami memilih flat di Desa Mentari adalah disebabkan sewanya yang begitu murah, iaitu RM750 untuk sebuah rumah yang mempunyai tiga bilik dan berdekatan dengan pengangkutan awam seperti Komuter. Flat ini mempunyai 11 tingkat dan satu blok mempunyai sekurang-kurangnya 24 buah rumah. Ia menjadikan sebuah blok yang mempunyai kadar kepadatan penduduk yang tinggi.

Sewaktu PKP dikuatkuasakan, terdapat segolongan politikus mencadangkan untuk berbasikal di rumah. Tetapi, dengan ruang yang kecil di kawasan yang begitu padat, bagaimana keluarga-keluarga yang mempunyai anak-anak yang ramai untuk duduk bersama-sama dalam beberapa bulan boleh berbasikal di rumah? Basikal pun mungkin tiada.

Rumah kami berada di tingkat 8 dan antara satu-satunya rumah yang tiada jeriji besi yang dipasang di pintu dan tingkap. Kemungkinan tuan rumah ini tidak mempunyai duit yang mencukupi ketika membeli rumah ini, justeru dia tidak memasang pagar besi yang selalunya akan dipasang di setiap rumah tanpa mengira flat, kondominium, atau rumah atas tanah. Namun begitu, tuan rumah ini aku boleh katakan banyak akal, kerana dia gantikan jeriji besi itu dengan memasang sebuah CCTV di luar berdekatan dengan pintu masuk yang sebenarnya tidak berfungsi pun.

Maka, jikalau ada orang ingin mencuri atau ingin masuk ke dalam rumah tanpa kebenaran lalu ternampak kamera tersebut, maka mereka akan membatalkan niat tersebut kerana memikirkan muka mereka akan dirakam dalam CCTV tersebut. Apa yang aku garap di sini adalah secara psikologinya, fungsi memasang jeriji besi dan memasang CCTV itu adalah untuk menjaga keselamatan. Tapi, kedua-dua cara itu juga boleh gagal jika pencuri tersebut nekad untuk mencuri – contohnya – dengan memotong jeriji besi tersebut atau memecahkan kunci mangga ataupun dengan memecahkan CCTV tersebut atau memotong wayarnya. Secara kasarnya tuan rumah ini berjaya secara pksikologi kerana ramai jiran-jiran kami berkata, “Oh, rumah yang ada CCTV tu eh”, jika kami memberitahu tinggal di unit yang mana.

Setiap hari pada waktu awal pagi, ketika bersiap untuk pergi ke kerja, aku akan memasak di dapur untuk makan pagi. Apabila aku membasuh pinggan dan memandang ke bahagian bawah di tempat pembuangan sampah, akan ada seorang pakcik tua menyelongkar sampah-sarap tersebut untuk mencari barang-barang terpakai yang masih boleh digunakan. Mungkin barang-barang itu untuk dijual atau dibawa balik ke rumah. Hal ini berlaku setiap hari. Bukan pakcik tua itu sahaja, malah kadang-kadang seorang perempuan tua juga akan menyinggah tempat pembuangan sampah itu pada awal-awal pagi ketika semua orang masih lena tidur. Selama dua tahun aku menyaksikan situasi ini di waktu pagi di Desa Mentari.

Jikalau difikir dengan lebih mendalam, hal ini menunjukkan bahawa kemiskinan di tengah bandar Selangor ini sangat parah dan kritikal sehingga ada manusia terpaksa mencari barang-barang terpakai di tong sampah. Namun begitu, sikap yang diambil oleh sesetengah pihak adalah terus menuduh mereka ini sebagai malas atau tidak ingin berusaha.

Situasi sebegini sebenarnya pernah aku lalui di Yaman ketika aku belajar di sana selama tiga bulan sebelum perang di antara puak Sunni dan Houthi tercetus. Situasinya sama, namun lebih parah kerana setiap hari akan ada beberapa manusia yang mencari-cari sesuatu di bahagian tong sampah tanpa mengira waktu pagi atau petang. Aku akan menyaksikan kejadian ini sewaktu aku berjalan kaki hendak ke kelas.

Negara Yaman ialah negara dunia ketiga, iaitu negara yang rakyat miskinnya sangat ramai dan pembangunannya sangat perlahan akibat perang yang belaku. Jadi, jika situasi yang sama berlaku di tanah air Malaysia yang konon dikatakan sebagai “developed country” yang digembar-gemburkan oleh para politikus dan para akademik, mengapa masih ada manusia yang mengorek-ngorek sampah? Atau sebenarnya para politikus dan ahli akademik ini tidak pernah turun untuk memahami masalah-masalah yang berlaku ini secara kritis?

Aku masih ingat dua tahun lepas selepas 9 Mei 2018, terdapat satu pilihan raya kecil yang diadakan di daerah Seri Setia kerana ADUN yang sebelumnya telah meninggal dunia. Selepas berminggu-minggu berkempen, maka telah menanglah calon dari Pakatan Harapan iaitu Halimey Abu Bakar. Sewaktu pilihan raya diadakan, beliau sangatlah rajin untuk turun ke Desa Mentari dan berkempen. Tetapi, selepas menang dan selama dua tahu aku hidup di situ, boleh kira berapa kali sahaja dia turun ke kawasan Seri Setia dan Desa Mentari untuk meninjau masyarakat di situ.

Ada satu insiden lucu, iaitu sewaktu majlis untuk memberikan barang-barang sekolah kepada anak-anak miskin di Desa Mentari. Halimey muncul bersama-sama gengnya kelambatan sedangkan anak-anak sekolah dan ibu-bapa mereka sudah menunggu hampir sejam kerana gembira mendapat barangan percuma. Beliau memberi ucapan dan hanya memberi barang-barang kepada dua tiga anak-anak sambil gambarnya ditangkap sedangkan anak-anak yang datang itu aku kira lebih 20 orang. Namun begitu, itulah politikus; hanya datang sebagai tanda bukti yang menunjukkan bahawa dia turun berjumpa masyarakat lalu dia pergi meninggalkan majlis tersebut bersama kereta mewahnya entah ke mana tanpa mengenali dan berdialog dengan terperinci dengan masyarakat di situ.

Begitulah ramai sikap para politikus di negara ini yang aku boleh simpulkan. Itulah pengajaran yang aku belajar mengenali para politikus tanpa mengira parti mana sekalipun; hanya tahu lantang bercakap ketika berkempen, selepas menang, hanya muncul seperti biskut chipsmore.

Setelah beberapa bulan kami duduk di sana, maka aku dan rakan rumahku memulakan kelas tuisyen percuma Desa Mentari yang dinamakan Mentari Mengajar. Kami bekerjasama dengan NGO yang aktif dalam menggerakkan komuniti di situ iaitu MyPJ. Pada awal kelas tuisyen ini diadakan, anak-anak yang hadir ramainya dari kaum Melayu dan hanya beberapa sahaja dari kaum India. Untuk pengetahuan, kawasan Desa Mentari ini ramainya diduduki oleh kaum India dan Melayu.

Namun begitu, setelah beberapa kelas diadakan, anak-anak India sudah tidak ingin hadir lagi kerana mungkin kelas didominasi oleh anak-anak Melayu, jadi mereka berkemungkinan tiada keyakinan untuk duduk bersama dengan anak-anak Melayu. Perasaan mereka itu sah, kerana sekolah juga diasingkan antara kaum Melayu, Cina dan India. Jadi, mana mungkin mereka biasa dengan percampuran ini jikalau sudah diasingkan dari peringkat awal persekolahan lagi.

Makanya, kami merasakan sangat rugi dan sedih kerana tidak mampu untuk berkenalan dan mengajar anak-anak India kerana mereka adalah kaum yang lebih ditindas lebih lama dan selalu disenyapkan.

Satu perasmian untuk kelas dalam talian Desa Mentari telah diadakan selepas berbulan-bulan PKP dikuatkuasakan. Apabila berbincang untuk mempersiapkan perasmian tersebut, antara perkara yang ditekankan adalah perlunya ada wakil dari anak-anak India ketika perasmian berlangsung untuk menunjukkan perwakilan yang adil antara kaum Melayu dan India. Ini hanyalah kerana ada YB yang hadir untuk merasmikan majlis tersebut. Kami mengeluh dalam hati, kerana kami yang mengajar ini sedar bahawa memang tiada anak-anak India yang datang kelas tuisyen percuma itu.

Ya, memang ada tapi pada awalnya sahaja dan selepas itu sudah tiada. Maka, mengapa perlu sampai bersusah-payah untuk mencari anak-anak India untuk hadir perasmian itu jikalau hanya sekadar untuk memuaskan pandangan para politikus yang malah jarang sekali turun padang. Mengapa kita tidak akui sahaja bahawa kita memang ada masalah perpaduan, dan tunjukkan situasi sebenarnya yang berlaku di bawah ini kepada para atasan di sana agar mereka tidak duduk dalam dunia fantasi yang kononya Malaysia ini tiada masalah perkauman.

Bagi aku, praktis ini harus diberhentikan bermula dari kita sendiri yang menggerakkan aktiviti kemasyarakatan ini supaya orang di atas yang memegang kekuasaan itu sedar bahawa inilah masalah besar masyarakat.

Seterusnya, antara perkara paling penting yang aku belajar di Desa Mentari adalah berkenaan dengan permasalahan sistem pembuangan sampah yang sangatlah tidak mesra penduduk dan tidak bersistematik sebenarnya. Bagaimana para politikus di atas sana boleh bersenang-lenang di pejabat mereka yang selesa dan bersih sedangkan di Desa Mentari yang begitu padat dengan manusia ini sangat kotor kerana tiada sistem yang membantu mereka membuang sampah dengan mudah.

Bayangkan setiap blok ada 11 tingkat; dan setiap tingkat tiada satu tempat atau bekas disediakan untuk penduduk membuang sampah mereka untuk dibawa ke tempat utama pembuangan sampah di bawah. Mereka harus membawa sendiri ke bawah dan berjalan sedikit jauh untuk membuang sampah. Jadinya, terdapat penduduk yang memilih untuk buang dari atas rumah, atau melonggokkan sampah di hujung setiap tangga. Lif juga selalu bermasalah kerana kadang-kadang ia tidak berfungsi, jadinya untuk membawa sampah turun ke bawah adalah satu perkara yang susah. Tambahan lagi, mereka ini kebanyakannya kerja dari pagi hingga ke petang dan ada juga sehingga malam. Apabila balik dengan ruang yang sempit, mereka penat untuk memikirkan lagi masalah sampah. Bukankah lebih baik jikalau terdapat satu sistem yang memudahkan sudah tentu kawasan Desa Mentari ini boleh bersih.

Juga, kos penyelenggaraan yang dibayar tiada gunanya kerana tiada orang yang membersihkan kawasan-kawasan tempat letak kenderaan dan tempat-tempat yang perlu dibersihkan. Sudahnya, dituduhlah orang-orang miskin ini malas dan pengotor sedangkan sistem yang dibina di kawasan sekeliling mereka itu tidak membantu mereka untuk menjadi manusia lebih baik.

Tetapi, jika boleh dibandingkan dengan kondominium yang mahal, tempatnya adalah begitu bersih dan cantik. Hal ini demikian kerana sistem pembuangan sampah di situ tersusun dan teratur dan juga akan yang membersih kawasan dalam bangunan dan luar bangunan. Jadinya, kita mahu salahkan siapa dalam perkara ini? Orang yang membuat bangunan itukah? Atau kapitalis yang hanya tahu mengaut untung? Kerana untuk kawasan orang miskin dibuatnya dengan caca merba sahaja asalkan boleh hidup selepas itu dibiarkan begitu sahaja.

Lalu datanglah para agamawan politikus untuk memberikan bantuan lalu mengherdik orang-orang miskin ini kerana tidak menjaga kebersihan. Benar, kebersihan tidak menggunakan duit namun adakah orang kaya juga mampu membersihkan rumah sebesar istana mereka kalau bukan orang miskin yang melakukannya?

Akhir sekali, setelah mengamati kesemua situasi yang berlaku ini, aku ingin mengambil pelajaran dari buku Paolo Freire melalui bukunya “Pendidikan Kaum Tertindas”. Paolo berkata, dialog yang kritis dan membebaskan, yang didahului oleh tindakan, harus dilakukan dengan kaum tertindas pada setiap tahap perjuangan pembebasan mereka. Isi dialog itu dapat beragam sesuai dengan keadaan sejarah serta tahap di mana kaum tertindas memahami realitas.

Tetapi untuk menggunakan monolog, slogan-slogan dan pernyataan-pernyataan sebagai ganti dialog adalah sama saja artinya dengan mencoba membebaskan kaum tertindas dengan mencoba membebaskan kaum tertindas dengan menggunakan perangkat penjinak.

Usaha pembebasan kaum tertindas tanpa penglibatan mereka dalam pemikiran tentang pembebasan itu, sama ertinya dengan memperlakukan mereka sebagai barang-barang yang harus diselamatkan dari sebuah bangunan terbakar. Sama halnya dengan menggiring mereka ke dalam perangkap populisme dan menjadikan mereka sebagai massa yang gampang diperdayakan.

Oleh Syazwani M.