Pak Kadok Yang Bodoh Atau Raja Yang Zalim?

Cerita Jenaka Melayu bukan sekadar berfungsi sebagai hiburan pada khalayak bahkan ianya mampu menyampaikan pengajaran dan kritikan terhadap masyarakat. Cerita Jenaka seperti Pak Pandir, Pak Kaduk, Si Luncai dan lain-lain jika hanya dilihat secara permukaan, kita hanya menumpukan perhatian kepada betapa dungunya dan tamaknya watak-watak ini.Ada beberapa sisi yang kita tidak renungkan atau biarkan tanpa diulas seperti struktur kekuasaan pada masyarakat dahulu dan relevannya dengan keadaan semasa.

Mari kita lihat bersama-sama Cerita Pak Kaduk. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat menyatakan bahawa Pak Kaduk adalah orang yang malang kerana kebodohannya. Acapkali juga nilai murni yang diucapkan untuk cerita ini ialah jangan bersikap tamak dan berfikir dahulu sebelum membuat keputusan. Malah muncul juga peribahasa yang menggambarkan cerita ini seperti “menang sorak kampung tergadai” dan “bagai kaduk naik junjung” sedangkan jika kita telusuri ceritanya, terdapat banyak persoalan yang mesti kita utarakan.

Kritikan kepada raja selaku orang yang berkuasa dalam cerita Pak Kaduk amatlah jelas sekali hatta pada permulaan cerita Pak Kaduk yang berbunyi:

“Sebermula, maka adalah sebuah negeri bernama Cempaka Seri, rajanya bernama Indera Seri. Maka baginda itu cukup lengkap seperti adat istiadat kerajaan yang lain-lain juga, akan tetapi adapun tabiat baginda itu terlalulah suka menyabung dan berjudi, sehingga menjadi amalan pada baginda itu. Dengan hal demikian, habislah sekalian rakyat seisi negeri itu menjadi asyik leka dengan berjudi juga pada setiap masa; tiada sekali-kali mengambil bena kepada mendirikan syariat Nabi Sallahu ‘alayhi wasallam, kerana raja-raja dan orang besar-besaranya terlalu amat suka mengerjakan pekerjaan maksiat itu.”

Cerita rakyat seperti ini walaupun bukan kisah yang benar-benar terjadi namun ia mengambarkan kesedaran sosiopolitik orang Melayu telah terbit sejak dulu lagi. Demikian juga ia menggambarkan situasi rakyat biasa yang berhadapan dengan rajanya ketika itu. Apabila raja menggulakan Pak Kaduk agar menukar ayam sabungannya dengan mengatakan Si Kunani itu tidak bertuah, Pak Kaduk percaya kepada raja. Mari kita fikir semula situasi ini. Jika dikatakan Pak Kaduk itu bodoh kerana mudah percaya kepada raja, maka mengapa tiada yang mempersoal sikap tamak raja kerana memperdaya Pak Kaduk? Seperkara lagi, jika Pak Kaduk seorang yang bukan bodoh dungu sekalipun, adakah dia mempunyai pilihan untuk mengatakan tidak kepada raja?

Terdapat perkara yang menggangu pemikiran saya hanya dengan beberapa perenggan cerita Pak Kaduk ini. Dalam beberapa perenggan menggambarkan ketidakpedulian masyarakat terhadap penindasan yang berlaku di hadapan mereka. Malah penindasan terang-terangan disambut dengan sorakan.

“Hatta, demi dihat oleh baginda dengan sekalian orang besar-besar dan rakyat tentera hina-dina sekalian akan hal Pak Kaduk ini, semuanya tertawa bersama-sama. Maka adapun akan Pak Kaduk, demi ia melihat sekalian mereka itu habis tertawa, ia pun tercengang pula kerana pada sangkanya mereka menumpang kesukaan dirinya itu. Kemudian, apabila ia menoleh kepada tubuhnya, baharulah diketahuinya akan dirinya bertelanjang bulat itu. Aduhai! Pak Kaduk pun pucatlah warna mukanya oleh kemaluan yang amat sangat, lalu ia berkejar lari dengan bersungguh-sungguh hatinya, langsung pulang terus ke rumahnya. Maka baginda pun berseru dengan nyaring suaranya, “Inilah malang Pak Kaduk, ayamnya menang, kampung tergadai!” Maka baginda dengan sekalian yang ada di dalam medan sabung itu pun kembalilah masing-masing ke rumahnya.

Saya kira perkara yang sama masih berlaku sehingga sekarang dalam masyarakat Melayu. Berapa ramai yang menyuarakan kepedulian tentang segala bentuk penindasan yang berlaku di keliling mereka? Golongan bawahan tentunya tidak ada masa memikirkan semua ini kerana sibuk mengerah tenaga untuk kelangsungan hidup. Kadang-kadang mereka tidak sedar pun bahawa mereka sebenarnya ditindas.

Golongan atasan dan pertengahan pula pada masa kini tidak mahu memegang tanggungjawab untuk menuntut hak atau mempertahankan golongan yang tidak bernasib baik. Masing-masing sibuk mengisi tembolok sendiri malah kadangkala mengeluarkan kenyataan yang tidak sensitif dengan keadaan masyarakat. Malah, wakil-wakil rakyat yang dipilih dan amatlah diharapkan dalam banyak perkara untuk menyampai hasrat bukan mahu menolong bahkan menindas lagi pun ada. Belum lagi dengan perangai buruk ponteng sidang dengan alasan-alasan bodoh seperti terlalu penat dan sejuk. Keluhan dan rintihan rakyat tidak mereka dengari. Maka akhirnya, kita yang memilih untuk tidak bersuara inilah yang membiarkan ramai Pak Kaduk melarat di negara ini tanpa ada pembelaan.