A Samad Ismail: Dari Wartawan Ke Negarawan

Peranan dwifungsi dari golongan wartawan sebelum merdeka dahulu sebagai penulis, dan sebagai ahli politik, lahir dari sifatnya sebagai jurubicara membela nasib bangsanya… Tulisannya dimaksukan memperkuat dan memperjelas, menyaring dan melaungkan percakapannya atau pidatonya atau agitasinya… Mereka terpaksa membangkitkan rakyat daripada tidur lena, mempertajam kesedaran mereka dan mencetuskan keinginan mereka untuk mengubah nasib mereka. – A. Samad Ismail

A. Samad Ismail adalah seorang tokoh yang sangat penting dalam sejarah intelektual dan kesusasteraan Melayu, terutamanya di Singapura dan Malaysia. Beliau dilahirkan pada 18 April 1925 (1924 menjadi tarikh rasmi di atas dokumen kerana kebiasaan pada ketika itu di mana keluarga akan mengisytiharkan anak mereka lahir setahun awal supaya dapat memasuki dunia pekerjaan awal dari sepatutnya, hal ini telah disahkan oleh anak A Samad Ismail sendiri) dan dikenali luas sebagai seorang wartawan, penulis, dan pemikir yang mempunyai pengaruh besar terhadap perkembangan pemikiran dan budaya di Malaysia dan Singapura.

Samad, anak kepada seorang guru yang berdarah Jawa, mendapat pendidikan di sekolah Melayu dan Inggeris di Singapura. Selepas menamatkan Senior Cambridge pada tahun 1940, beliau memulakan kerjaya sebagai pemberita dan penterjemah di Utusan Melayu. Di sini, beliau berpeluang bekerja di bawah tokoh wartawan, Abdul Rahim Kajai. Kerjaya kewartawanannya diselubungi gejolak politik. Semasa pendudukan Jepun, beliau menjadi wartawan. Selepas Inggeris memerintah semula, beliau pernah ditahan selama enam bulan kerana dianggap berbahaya kepada kepentingan penjajahan.

Pak Samad adalah seorang nasionalis dan pejuang kemerdekaan yang aktif dalam politik dan akhbar. Beliau merupakan salah seorang pengasas Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura pada tahun 1954. Setelah berpindah ke Kuala Lumpur pada tahun 1959, beliau menjadi Pengarang yang pertama bagi akhbar Berita Harian. Kemudian, beliau dinaikkan pangkat sebagai Pengerusi Urusan bagi kumpulan akhbar The New Straits Times pada tahun 1974.

A. Samad Ismail Seorang Intelektual Politik

Di samping kewartawanan, Pak Samad juga menulis cerpen, novel dan mengulas karya sastera. Beliau adalah tokoh terkenal sebaris Keris Mas dan Usman Awang dan merupakan guru yang awal bagi keduanya itu dalam lapangan persuratkhabaran. Secara keseluruhannya, Pak Samad dikenali sebagai wartawan-sasterawan yang mahir menulis dalam kedua-dua Bahasa Melayu dan Inggeris, dan karyanya didorong oleh semangat untuk memajukan pemikiran, budaya, dan perjuangan bangsa.

Pak Samad memenuhi ciri-ciri utama intelektual politik kerana beliau sentiasa menunaikan peranan sebagai penyemak kuasa dan pembentuk kesedaran awam melalui penulisan dan kewartawanan beliau. Pak Samad dilihat sebagai seorang pemikir yang berterusan mencabar hegemoni mereka yang berkuasa di peringkat institusi dan wacana, serta berterusan menulis, bercakap, dan mengajar idea-idea yang tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa.

Beliau tidak hanya aktif sebagai wartawan, malah turut menghasilkan novel, cerpen, dan esei. Beliau sedar bahawa banyak cabaran dan peluang masyarakat melangkaui batas satu disiplin tunggal, justeru pendekatan pelbagai disiplin adalah lebih berkesan dalam menangani isu-isu yang kompleks dan berbilang aspek ini. Secara tidak langsung, ini menunjukkan Samad menggabungkan bahan faktual (berita dan penyiasatan) dengan karya kreatif untuk mencapai tujuan kritikan sosial yang lebih mendalam.

Kepedulian A. Samad Said terhadap Bahasa

Antara aspek intelektual A. Samad Ismail yang menonjol adalah caranya melihat masalah bahasa. Kepedulian A. Samad Ismail terhadap isu bahasa jauh melangkaui dimensi teknik kebahasaan. Beliau melihat bahasa sebagai tunjang utama dalam pembentukan pandangan dunia, dan nilai-nilai rakyat, serta sebagai alat paling penting untuk mencapai pembebasan di peringkat ekonomi, politik, sosial, dan intelektual.

Pak Samad menegaskan bahawa Bahasa Melayu mesti menjadi bahasa pembebasan yang dapat memperjuangkan keadilan sosial dan memajukan pembangunan ekonomi untuk semua. Beliau sangat prihatin terhadap interaksi antara pembangunan bahasa dengan pelbagai faktor kemasyarakatan, terutamanya peranan bahasa dalam:

  1. Kewartawanan: Beliau percaya bahawa personaliti dan watak sesuatu bahasa harus dikaji seiring dengan personaliti dan watak kewartawanannya. Kewartawanan yang baik mesti menggunakan bahasa untuk melaporkan isu-isu sistemik dan “lebih besar” dalam masyarakat, serta mengungkapkan nada penentangan terhadap ketidakadilan.
  2. Sastera: Beliau berpendapat sastera tidak boleh terpisah daripada aspirasi arus perdana rakyat dan perkembangan bahasa, kerana pilihan bahasa dalam penulisan adalah pilihan politik yang mencerminkan sikap pengarang terhadap nasib bangsa.

Pak Samad bersikap progresif dan menentang tradisionalisme linguistik yang melampau, iaitu kecenderungan untuk memelihara ketulenan dan formaliti bahasa tetapi mengabaikan keberkesanan bahasa sebagai alat untuk penghasilan ilmu dan pemikiran kritis.

Pak Samad tidak bersikap konservatif dan eksklusif (tidak mahu bahasa lain), sebaliknya menyokong dwibahasa/pelbagai bahasa. Pak Samad percaya bahawa bahasa adalah alat untuk menimba ilmu, bukan untuk dipuja. Samad menentang formalisme bahasa yang berlebihan dan obsesi terhadap ketulenan yang mengabaikan kecekapan dan pengisian intelektual.


Bahasa bukanlah untuk dipuja; bahasa ialah untuk diperalatkan oleh manusia untuk menambah dan memperdalam pengetahuannya. Bila saya mengatakan bahawa saudara harus belajar bahasa lain, tidaklah saya eratkan bahawa saudara harus memuja bahasa itu.

Beliau menekankan peranan kritikal golongan elit termasuk para birokrat dan pemimpin untuk menyumbang kepada pembangunan bahasa. Elit tidak seharusnya mengabaikan isu ketidakcapaian bahasa yang berpunca daripada status sosioekonomi seperti yang disinggungnya dalam novel Kail Panjang Sejengkal (1967).

Pak Samad merumuskan, bahasa pembebasan hanya mungkin dicapai dengan tiga prasyarat: kewartawanan yang terlibat secara aktif mendendangkan suara rakyat (tanpa disekat oleh pemerintah), lingkungan sastera yang berdaya maju (memperjuangkan aspirasi rakyat), dan keinginan untuk fasih dalam lebih daripada satu bahasa. Beliau menekankan kita harus mengelakkan daripada meromantikkan bahasa, sehingga boleh menjadi buta terhadap realiti dan keadaan material yang menghalang kefasihan bahasa.

Kemanusiaan A. Samad Ismail

Pak Samad secara konsisten menampilkan sisi kemanusiaan dan semangat kemajmukan yang mendalam, berakar umbi dari pandangan universalistik dan etika moral yang tinggi, terutama dalam merespons ketegangan kaum pasca-kolonial di Malaysia. Pandangan beliau berkenaan multikulturisme selaras dengan definisi Henry Giroux, multikulturisme bukan sekadar bilangan pluraliti budaya, tetapi mewujudkan ruang konsensual di mana semua komuniti dapat berinteraksi, berkembang mengikut rentak sendiri, dan mengiktiraf identiti masing-masing.

Pak Samad menyedari bahaya ketegangan etnik dan beliau menentang nasionalisme yang sempit atau chauvinistik. Nilai-nilai kemanusiaan sejagat menjadi landasan moral beliau. Beliau percaya bahawa penyelesaian kepada polarisasi kaum memerlukan kanta moral imperatif yang melangkaui polarisasi afektif (emosi) dan politik. Ini menuntut komitmen kepada keadilan sosial, kesaksamaan, dan maruah insaniah bagi setiap individu.

Semangat kemanusiaan Pak Samad terangkum dalam seruan untuk biophilia (cinta kepada kehidupan dan segala yang hidup, seperti yang diungkapkan oleh Fromm), yang mendorong keinginan untuk memupuk pertumbuhan bersama dalam komuniti, bukan manipulasi untuk mengekalkan dominasi satu kumpulan. Beliau berpandangan bahawa usaha untuk mendefinisikan diri (self-definition) dan budaya tidak seharusnya terhad kepada mencari identiti yang bersatu, tetapi lebih penting, mesti berakar pada keadilan sosial.

Sebagai seorang wartawan, Pak Samad menggunakan media cetak sebagai alat untuk pendidikan awam. Beliau memahami isu-isu konkrit antara kaum dan mengambil pendekatan untuk menyebarkan idea-idea kesaksamaan, hidup bersama secara damai, dan maruah manusia. Beliau menggesa perubahan orientasi daripada polarisasi afektif kepada orientasi berpusatkan isu (issue-centric orientation), yang bermaksud fokus perlu beralih daripada sentimen perkauman kepada masalah struktur, diskriminasi, dan ketidakadilan yang sebenar.

Suratkhabar-suratkhabar juga dapat melenyapkan tembok-tembok yang memisahkan golongan-golongan pembaca mereka dari golongan-golongan pembaca yang lain dengan menekankan dan menyongkak titik-titik persamaan antara golongan-golongan dan kaum-kaum di negara ini, mentafsirkan masalah satu golongan kepada satu golongan yang lain, dan memperkenalkan hasrat dan harapan hidup satu golongan pada golongan yang lain, supaya dengan demikian, tenaga dan sikap satu golongan dapat dipadukan dengan tenaga dan sikap satu golongan yang lain, untuk melenyapkan kepincangan-kepincangan dalam masyarakat baik ia berupa kepincangan politik atau ekonomi ataupun sosial, hingga masalah yang terkhusus pada satu golongan menjadi masalah yang dirasakan oleh tiap golongan.

Melalui karya fiksyen dan bukan fiksyen, beliau secara kritis mengupas isu-isu ini, mendorong rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu, untuk membina masyarakat yang adil dan harmoni bersama-sama kaum lain. Kepercayaan Pak Samad adalah bahawa orang Melayu harus memenangkan negara baharu dengan menunjukkan daya tarikan nilai-nilai Melayu (bertolak-ansur, semangat muhibbah dan belas ihsan) dalam terma yang lebih universal.

Kupasan di atas adalah berdasarkan buku ‘An idea Away: The Humanist Politics of A. Samad Ismail’ (2025) terbitan SIRD.

Penerbitan buku ‘An Idea Away: The Humanist Politics of A. Samad Ismail’ sempena 100 Tahun A. Samad Ismail

Strategic Information and Research Development Centre (SIRD) di bawah Malay-Indonesian World Series telah menerbitkan buku ‘An Idea Away: The Humanist Politics of A. Samad Ismail’ oleh Muhammad Ilyia Kamsani, hasil beliau meladani cerpen dan novel Pak samad di bawah bimbingan Dr. Azhar Ibrahim, timbalan ketua Jabatan Pengajian Melayu National University of Singapore (NUS). Gerakbudaya dengan kerjasama Nusantara Bergerak dan Jurnal Sang Pemula telah mengadakan perbincangan berkenaan gagasan A. Samad Ismail yang dirakamkan dalam buku ini sekaligus meraikan 100 tahun kelahiran A. Samad Ismail di Gerakbudaya, Petaling Jaya.

Majlis dimulakan dengan pengenalan oleh Dr. Azhar Ibrahim, penulis kemudiannya membentangkan gagasan Pak Samad dalam hal bahasa dan kuasa. Saudara Ilya sebagai pengarang ‘An Idea Away’ membawa hadirin melihat sisi kemanusiaan dan semangat kemajmukan Pak Samad dan mengakhirinya dengan puisi yang dikarangnya khas setelah meneliti sosok bernama A. Samad Ismail.

Kita sekarang melaungkan Bahasa Melayu adalah benteng identiti Melayu, hilang Bahasa maka hilanglah Melayu. Namun Pak Samad tidak mengambil kesimpulan yang dangkal begitu. Banyak aspek yang perlu diperhatikan dan beliau menghuraikannya dengan sangat teliti

If we read Pak Samad’s work, we can really see that he actually loves people. He loves people so much, and that’s what contributes to his humanistic outlook on the world. He is willing to mentor whoever comes to him because he loves people.

Seorang hadirin juga mengingatkan bahawa Pak Samad adalah antara penulis Perlembagaan Rakyat 1947, hakikat ini menunjukkan beliau adalah seorang intelektual politik yang sangat hebat dan harus diapungkan idea politiknya. Saudara Ilya bersetuju dengan pandangan tersebut dan menyatakan “If I can go back to the past, the place that I want to visit the most is Utusan office when Pak Samad was still there. Because many interesting figures visit him in the office like Soekarno, Lee Kuan Yew and many more. I can meet with these figures just by sitting in the Utusan office. It manifests his influence on the regional politics during that time.”

Seorang hadirin yang lain, juga seorang bekas wartawan menyatakan, dia bersetuju jika Pak Samad digelar negarawan, gelaran yang banyak diberikan hanya kepada bekas perdana menteri atau orang politik yang menjawat jawatan tertentu. Pak Samad sememangnya layak dikenang sebagai negarawan sejati atas pendirian dan kerja-kerja yang dilakukannya.