Mencari Titik Temu-Penyatuan Melalui Perkongsian Pengalaman

JEJAKA bersolidariti bersama mangsa-mangsa banjir dengan memulakan misi bantuan amal banjir yang melanda beberapa negeri di Semenanjung Malaysia pada hujung tahun lepas. Usaha yang dikendalikan awalnya dengan panggilan sukarelawan untuk membersihkan rumah mangsa terlibat, pengagihan bakul bantuan dan bantuan psikologi pasca banjir, akhirnya membuahkan semangat kekitaan dikalangan mereka.

“…. Pengurusan yang diketuai oleh pihak JEJAKA sangat terpuji. Walaupun pihak mereka mengendalikan sukarelawan dalam bilangan yang ramai, misi bantuan banjir masih berjalan dengan lancar. Makanan disediakan untuk sarapan pagi, tengah hari dan juga makan malam. Ubat-ubatan juga diberi untuk para sukarelawan untuk menjaga kesihatan setelah siap membersihkan kawasan yang tercemar dengan air banjir. Secara keseluruhan, misi bantuan banjir yang dikendalikan oleh pihak JEJAKA layak mendapat pengiktirafan.” – Dhia Rezki

Panggilan solidariti oleh JEJAKA disahut oleh ratusan anak-anak muda daripada pelbagai latarbelakang yang mencari ruang untuk menghulurkan bantuan dan bersama dengan komuniti.
Ini merupakan satu peluang untuk kita membuka tirai bicara berhubung sisi kemanusiaan komuniti seksual minoriti yang tidak jauh beza dengan manusia lainnya. Menguak tirai sejarah lampau menyaksikan komuniti seksual minoriti lebih sering bersolidariti bersama dengan komuniti terpinggir di dalam masyarakat.

Di United Kingdom misalnya, pada tahun 1980-an pekerja lombong arang batu terkesan berat akibat penutupan industri tersebut secara besar-besaran oleh Perdana Menteri ketika itu. Bukan setakat pekerja lombong dan keluarga mereka, pekan-pekan yang bergantung harap kepada sumber ekonomi arang batu telah hilang sumber pendapatan, malah dipinggirkan oleh kerajaan. Kumpulan yang menamakan diri mereka, ‘Lesbians and Gays Support the Miners’ or LGSM mengumpul dana di pub dan kelab bagi menyara pelombong dan keluarga mereka.

Pakatan yang dijalin oleh kempen antara komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan kumpulan buruh British terbukti menjadi titik perubahan penting dalam perkembangan isu LGBT di United Kingdom.

Di Malaysia sendiri, usaha gerakan dan pemberdayaan komuniti banyak dikepalai oleh komuniti seksual minoriti. Gerakan pemberdayaan buruh (salah satu komuniti minoriti rentan yang terjejas akibat ekonomi), kutipan dana untuk menampung kos sara hidup komuniti pelarian (refugees) dan migran, pejuang hak sivil dan politik yang dimanifestasikan dalam pelbagai cara dan kaedah, di ruang awam dan ruang domestik.

Titik temu yang menyatukan sebuah komuniti minoriti atau terpinggir dan komuniti terpinggir atau minoriti lainnya adalah pengalaman yang dikongsi. Orang ramai lebih cenderung mengharapkan sokongan dikalangan komuniti terpinggir. Pelombong di United Kingdom itu telah ditindas oleh kerajaan, pihak media dan polis – satu hal yang sangat tidak asing bagi komuniti LGBT.

Tindakan LGSM bersetia kawan merupakan sebuah sejarah besar dalam komuniti seksual minoriti. Walau komuniti ini sangat rentan terhadap diskriminasi, mereka bangkit dan turun padang membantu mereka yang dalam kesusahan. Sama halnya dengan usaha murni yang dilancarkan oleh JEJAKA.

Semoga kita lebih berlapang dada melihat sisi manusia orang yang berbeza daripada kita dan fokus mencari titik kesamaan untuk saling hidup bersama.

P/S: Korang boleh search movie/semi documentari bertajuk “Pride” (2014)
Jejaka adalah kumpulan sokongan untuk pemuda gay dan biseks untuk mewujudkan ruang selamat penerimaan diri dan bimbingan rakan sebaya.
Penulis berterima kasih kepada JEJAKA, terutamanya Numan Afifi dan Titania atas bantuan mereka dalam menyiapkan tulisan ini.