Hai Anis: Membongkar Kejahatan Pedofil

Bercakap tentang trauma peribadi adalah hal yang maha menakutkan. Trauma bukan sahaja meninggalkan kesan sementara, namun mengubah cara fikir, cara bertindak sekali gus cara menjalani kehidupan. Trauma adalah satu perkara yang tidak mahu diucapkan lagi oleh mana-mana individu sekali pun. Kalau boleh, mahu ditanam jauh di negara yang tak mungkin dicapai. Atau dikunci dalam sebuah peti besi, dilempar jauh ke lautan yang dalam. Tidak mahu dibuka, apa lagi diceritakan kembali. Ia mahu dilupakan dan tidak lagi disebut-sebut. Dalam kecelaruan dan keresahan mengurus emosi dan kehidupan, Azura Nasron memilih untuk bercakap tentangnya. Mahu satu alam tahu tentang hal zalim yang dilakukan syaitan yang sedang berjalan – menumpang tubuh dengan manusia: hamba kepadanya.

Azura Nasron (Gambar: Engage Media)

Dalam filem pendek Azura berjudul Hai Anis, Azura memilih isu antunan seksual (sexual grooming) untuk dipentaskan. Hai Anis ialah sebuah filem pendek yang boleh dikatakan ringkas, yang bercerita tentang seorang remaja yang masih bersekolah menengah namun terjerat ke dalam permainan cinta Azhar, seorang lelaki dewasa. Melalui aplikasi telefon pintar, Anis rancak berbalas cinta dengan kekasih hati yang malangnya mahu mengambil kesempatan terhadap dirinya. Filem yang membawakan isu antunan seksual ini sekali gus membawakan mesej keselamatan siber serta hak individu dalam dunia digital.

Tayangan filem Hai Anis (Gambar: Engage Media)

Apa yang menarik ialah Azura membawakan sebuah senario yang sudah tentu sering berlaku di alam siber yang kelihatan tidak bermasalah malah diraikan oleh kebanyakan remaja bawah umur. Dalam konteks ini, percintaan seorang remaja dengan orang dewasa dianggap normal apa lagi ia digula-gulakan lagi dengan kenyataan bahawa “cinta tidak mengenal usia”. Malahan, kalau ditinjau-tinjau usia orang tua kita yang sudah berkahwin ada yang berbelas tahun jaraknya. Namun, apakah di era ini, seorang remaja di alam persekolahan wajar bercinta dengan orang dewasa sementelah mereka masih di bangku persekolahan?

Babak dalam filem Hai Anis (Gambar: Engage Media)

Antunan seksual sering berlaku tanpa disedari oleh mangsa. Secara ringkas, antunan seksual ialah proses mendekati mangsa bagi membina hubungan emosi dengan tujuan mengurangkan penolakan untuk melakukan hubungan seksual. Dalam masa yang sama, pemangsa akan mengajar mangsa untuk berasa “selamat” melakukan hubungan terlarang itu. Oleh hal yang demikian, dalam kebanyakan kes antunan seksual, pemangsa adalah dalam kalangan ahli keluarga mangsa sendiri oleh sebab rasa kepercayaan yang telah disuntik ke dalam diri kanak-kanak atau remaja. Lagi pula, logik sekiranya kita sebagai kanak-kanak percaya kepada ahli keluarga masing-masing.

Ini yang berlaku kepada Anis. Sebagai seorang remaja, material dan kesenangan sering kali menjadi pengikat antara mereka dengan orang dewasa. Dalam Hai Anis, Azhar memberikan kasih sayangnya serta menggunakan material demi membina hubungan emosi dengan Anis. Azhar memberikan suntikan semangat dan dalam masa yang sama memberikan hadiah seperti bunga dan rantai tangan. Ini mudah sekali mengukuhkan lagi jambatan emosi antara Anis dan Azhar. Sesudah itu, Azhar menggunakan kuasa lelakinya yang ampuh dalam dunia patriarki ini untuk mengawal Anis. Azhar bertindak mengawal media sosial Anis. Nah, sekali lagi, Anis terjerat ke dalam percintaan dewasa yang memangsakan. Apa lagi dengan kecanggihan teknologi semisal AI seperti Deepfake dan apa lagi aplikasi yang lain, Azhar boleh mengugut Anis. Ini sekali lagi mengukuhkan jambatan emosi antara mereka berdua. Selepas menyuntik rasa percaya, Azhar mengawal emosi Anis dengan ugutan pula.

Babak Azhar memberikan hadiah kepada Anis (Gambar: Engage Media)

Azura dengan bijak menggunakan contoh yang ringkas oleh sebab kanak-kanak dan remaja tidak berjaya melihat bahaya di sebalik perkenalan dan percintaan dewasa-remaja ini. Antunan seksual ini dirancakkan lagi dengan akses terhadap pendidikan seksual yang terhad. Apa lagi, pendidikan seksual dianggap tabu dan mempromosikan zina. Maka, lelaki dewasa semacam Azhar boleh memanfaatkan keadaan ini. Mengambil contoh watak Azhar dan Anis, ini boleh berlaku:

  1. Azhar sudah membina rasa percaya Anis terhadapnya
  2. Anis berpendapat bahawa Azhar akan melindunginya
  3. Azhar menggunakan peluang untuk “mengajar” Anis dengan alasan ini merupakan keperluan pendidikan
  4. Azhar mengambil kesempatan ini untuk melakukan hubungan seksual terhadap Anis
  5. Anis terpaksa tutup mulut oleh sebab malu dan menganggap ini juga kesalahan dirinya

Tanpa faham yang jelas, masyarakat akan menganggap ini merupakan perlakuan suka sama suka tanpa mengambil kira faktor antunan seksual yang boleh berlaku berbulan malah bertahun lamanya. Antunan seksual juga boleh berlaku dengan cara seseorang remaja atau kanak-kanak diajar menonton porno, membaca cerita porno serta digula-digulakan dengan jihad agama – ini yang berlaku kepada kanak-kanak mangsa pedofil GISB. Jangan anggap remeh, antunan seksual tidak berlaku dengan sekejap, ia memakan masa yang lama malah tidak disedari oleh mangsa.

Melalui filem pendek yang dihasilkan dengan kerjasama Engage Media, Freedom Film Network ini, pendidikan kepada kanak-kanak tentang antunan seksual boleh diajar sementelah antunan seksual boleh dikatakan satu proses “evil in disguise”. Orang dewasa baik lelaki atau perempuan tidak datang kepada kanak-kanak lalu menyuakan alat kelamin, namun mereka bermula dengan gula-gula dan aiskrim. Selepas diajarkan sentuhan selamat, kanak-kanak dan remaja perlu disedarkan dengan antunan seksual. Sayangi kanak-kanak, lindungi mereka.

Azura Nasron pada 12 Februari 2025, ditahan oleh pegawai polis di pejabat SUARAM atas sebab memasuki Kementerian Dalam Negeri (kawasan larangan) tanpa pas kebenaran. Untuk makluman, Azura yang merupakan Pengurus Program SUARAM bersama Sevan Doraisamy telah menunggu selama dua jam setengah untuk mendapatkan pas tersebut. Azura yang bersolidariti dan membantu keluarga tahanan SOSMA semasa proses mogok lapar beberapa hari yang lalu diberitahu bahawa pegawai polis akan datang untuk menghantar notis 111, namun, kehadiran mereka adalah untuk menahan Azura dan Sevan Doraisamy selaku pengarah eksekutif SUARAM. Azura dan Sevan akan membuat kenyataan pada hari ini (13 Februari 2025). Jurnal Sang Pemula bersolidariti bersama Azura dan Sevan dan mengecam perbuatan menangkap tanpa waran yang dilakukan. Penindasan terhadap pembela hak asasi manusia ini tidak boleh diterima dan dianggap mencabuli hak kebebasan asas di Malaysia. Sekali lagi, Jurnal Sang Pemula berdiri teguh bersama Azura, Sevan dan SUARAM dan semua pembela serta aktivis hak asasi manusia yang berdepan dengan penindasan serta intimidasi daripada pihak atasan.