Majlis 100 Tahun Pramoedya Ananta Toer di Gerakbudaya—kedai buku kecintaan Kementerian Dalam Negeri ini—bukan sekadar peringatan. Ia adalah perlawanan yang belum pernah benar-benar berakhir. Perlawanan terhadap lupa, terhadap pembungkaman, terhadap tangan-tangan kuasa yang menulis sejarah dengan tinta penguasa, menghapuskan yang tidak tunduk, membisukan yang tidak searah. Hari ini, kita bukan sekadar berbicara tentang seorang sasterawan, tetapi menggulati seorang manusia yang sepanjang hidupnya bergulat dengan mesin-mesin negara yang tidak henti cuba mendiamkannya. Namun, Pram tidak tunduk. Kita mengambil semangatnya—seorang yang mengangkat pena bukan untuk mencari keindahan semata-mata, tetapi untuk mencatat luka, menelanjangkan ketidakadilan dan kegilaan dunia yang dipacu oleh ketamakan serta kerakusan kuasa.
Di acara 100 Tahun Pram, saya berkesempatan membaca tulisan Bapak Soesilo Toer—adik Pram—yang baru sahaja menginjak usia 88 tahun pada 17 Februari lalu. Tajuk kecilnya—Kemanusiaan Pramoedya Ananta Toer dari Mata Soesilo Toer—tetapi maknanya melampaui batas halaman. Saat membacanya, ingatan saya melayang ke pertemuan kami di Malang pada 2019 atas usaha Nursyuhaidah Razak, ketika saya dan teman-teman dari Jurnal Sang Pemula dibimbing oleh guru kami, Dr. Azhar Ibrahim, menelusuri politik dan ragam keagamaan, belajar dari teman dan ulama di Indonesia, mengutip serta mempelajari dari serpihan sejarah yang pernah cuba dipadamkan apinya. Tetapi sejarah, seperti sungai liar, sentiasa mencari jalannya. Orang boleh membendung arus, boleh menutup mata, boleh memadam nama—tetapi sungai akan tetap mengalir, membawa ingatan yang enggan ditenggelamkan.
Kalau kemanusiaan tersinggung, semua orang yang berperasaan dan berfikiran waras ikut tersinggung, kecuali orang gila dan orang yang berjiwa kriminal, biarpun dia sarjana.” – Pramoedya Ananta Toer
Di sinilah kita berdiri—di antara kewarasan dan kegilaan, di antara keberanian dan ketakutan. Pram tahu, dan kita juga tahu, bahawa dunia ini tidak pernah benar-benar berpihak kepada mereka yang berbicara jujur. Pulau Buru adalah bukti- walaupun jasadnya Pram dipenjara, pemikirannya tetap bebas. Buku-bukunya yang dibakar adalah buktinya. Penindasan yang berterusan terhadap mereka yang berfikir terlalu banyak, yang bertanya terlalu dalam, yang menulis terlalu lantang—semua itu masih berlaku, di sini dan di pelusuk dunia yang lain.
Tahun 2025- saya melihat sekeliling dan bertanya—apakah yang benar-benar berubah sejak pasca PRU-15? Kuasa masih berputar dalam lingkaran yang sama. Retorik masih dimainkan di pentas yang sama, hanya kibaran warnanya yang berganti. Tetapi yang lebih ironi adalah bagaimana mereka yang dahulunya berbicara tentang kebebasan kini melabuhkan diri dalam kekuasaan, di mana kedudukan menggoncang kesetiaan, dan prinsip menjadi barang dagangan.Pram, hingga nafas terakhirnya, tidak pernah tunduk kepada kekuasaan. Dia tahu harga yang harus dibayar. Tetapi hari ini, aktivis menjadi birokrat itu bukan lagi kejutan, suara-suara lantang hanya tinggal gema yang hambar, dan idealisme semakin murah nilainya di pasaran kepentingan. Terkadang saya bertanya—mungkin benar, tempelak Wan Khuzairey dalam Hari Berebut Pram—mungkin ini semua sekadar ritual kosong untuk menenangkan rasa bersalah kita sendiri?
Namun, di tengah semua itu, ada sesuatu yang tetap hidup—sesuatu yang terus berdenyut meskipun dunia cuba menyisihkannya. Saya pulang dari majlis ini dengan semangat untuk menulis—bukan sekadar romantisme, tetapi satu tanggungjawab. Ketika menulis ini, saya mengingat kata-kata Dr. Sharifah Syahidah, “Semoga pulang ke halaman, harus lebih rajin menulis.” Juga Dr. Okky Madasari, yang bersama-sama bukan hanya membaca Pram, tetapi menghidupkannya dalam kerja mereka. Kerana buku dan pemikiran harus sentiasa di hadapan—bukan sekadar nostalgia, bukan sekadar pemberontakan palsu yang akhirnya dijinakkan oleh basa-basi dan dihamba feudalisme.
Kalau kita percaya bahawa sastra adalah bagian dari demokrasi, maka kita harus menjaga sastra itu tetap hidup. Karena demokrasi tanpa sastra, tanpa kebebasan berpikir, adalah demokrasi yang semu.” – Dr. Okky Madasari
Bukankah itu yang sedang kita saksikan hari ini? Demokrasi yang semu. Satu kebebasan yang hanya wujud di atas kertas, tetapi tidak dalam realiti kehidupan rakyat.
Kerja keabadian Pram bukanlah hanya tentang sastera. Ia adalah kerja yang menolak untuk membiarkan dunia dikuasai oleh mereka yang melihat manusia sebagai nombor, yang mengukur nilai seseorang berdasarkan kegunaannya kepada sistem. Ia adalah kerja yang menuntut kesetaraan—bukan sekadar dalam erti gender, tetapi dalam erti kemanusiaan yang paling asas—hak untuk menjadi, hak untuk berbicara, hak untuk tidak tunduk.
Pram tahu bahawa dunia ini tidak akan pernah benar-benar adil. Tetapi dia juga tahu bahawa selagi ada yang menulis, selagi ada yang membaca, selagi ada yang menolak untuk tunduk—suara-suara yang telah cuba dibungkam akan terus bergema
Dan hari ini, kita di sini bukan sekadar untuk mengenang 100 Tahun Pram. Kita di sini untuk memastikan bahawa suara itu tidak pernah hilang.
Tonton rakaman acara 100 Tahun Pramoedya Ananta Toer di Facebook Gerakbudaya: https://www.facebook.com/share/r/1FLyMDfhGU/