Sesudah saya membaca buku And Once Again Abu Dzar yang ditulis oleh Ali Syariati, saya terdengar hembusan nafas perlawanan sosial yang kuat dan detak kencang nyali jeritan Abu Dzar yang menggegarkan. Sosiologis ulung Iran itu begitu halus menintakan kisah, sehingga saya merasakan sedang melihat Abu Dzar dengan muka tajamnya mengherdik para penguasa dan kapitalis yang senang-lenang mempergunakan kuasa dan mengumpulkan harta daripada jerih usaha rakyat jelata yang rata-ratanya miskin kedana.
Abu Dzar yang juga dikenali sebagai sebagai Abu Dzar al-Ghifari itu ribuan tahun lampau adalah bersendirian dalam perlawanannya membela orang miskin sesudah kewafatan baginda Nabi SAW kerana di sekelilingnya adalah terdiri daripada orang-orang yang ingin menegakkan kekuasaan dan mengumpulkan harta benda. Bukanlah tradisi para Nabi untuk hidup bersenang-lenang di atas singgahsana pemerintahan dan membolot kekuasaan ketika para rakyat jelatanya bergelimpangan hidup melarat dan kemiskinan. Dalam kalam Ali Syariati itu, terngiang di telinga saya akan gema suaranya:
“Sekiranya engkau bina istana ini dengan hartamu sendiri, ia adalah pembaziran; tetapi sekiranya engkau menggunakan harta rakyat, ia adalah pengkhianatan!”
Gegaran suara itu tidak kunjung luntur. Suaranya harus ditarik dan dipanjangkan sehingga ke sekarang kerana launganya itu harus menyedarkan para pemerintah yang kerjanya mempertarungkan kuasa dan mempergunakan harta demi kepentingan mereka. Suara itu akan terus relevan sehingga kiamat sekalipun kerana memang lumrahnya penguasa yang jarang sekali benar-benar hendak menjaga kepentingan rakyat jelata.
Cerita politik kekuasaan ini bukanlah sekadar cerita politik era moden sekalipun, malahan sekiranya dibuka cerita-cerita pemerintahan Arab-Muslim semenjak dinasti Umayyah, Abbasiyah, dan Uthmaniyyah sekalipun, banyak sekali kisah-kisah gelap era pemerintahan yang bolot-membolot kuasa dan penimbunan harta yang menggunung tetapi tidak pun sampai kepada rakyat jelata. Sebab itulah apabila Syed Hussein Alatas dalam Rasuah: Sifat, Sebab Dan Fungsi menceritakan sejarah kejatuhan tamadun Romawi purba dan China kuno, jelas sekali bahawa korupsi penguasa ini adalah punca kepada kejatuhan tamadun yang telah berdiri ratusan malah ribuan tahun lamanya.
Tetapi, sehingga ke ribuan tahun lamanya pun, tidak sangka bahawa sejarah itu takdirnya adalah perulangan yang membawa kita kepada kitaran yang sama. Kita berhadapan dengan nasib yang serupa. Sewaktu era pandemik yang menelan ribuan nyawa ini, kita masih melihat betapa penguasa kita masih tetap bergelut kuasa, jatuh-menjatuhkan, dan tawar-menawar harta benda demi mencari sokongan untuk mempertahankan kerusi kekuasaan. Nasib rakyat seperti tunawisma yang terbiar di tengah gurun sahara dan tidak ada sesiapa yang hendak mempedulikannya kerana harga dirinya hanyalah setitis air yang tercelup ke dalam dataran pasir yang gersang.
Sedangkan kita maklum bahawa era pandemik ini benar-benar menguji nasib masyarakat sekeliling yang tidak sekadar kehilangan harta benda, malahan nyawa menjadi taruhan. Agak menghairankan apabila penguasa seperti tidak melihat perkara ini sebagai sesuatu yang serius, sehinggakan hampir tidak ada satu pelan yang konkrit pun dapat kita lihat daripada pihak kerajaan dalam membentangkan penyelesaian pandemik ini dengan tuntas. Tapi dalam masa yang sama perjalanan politik penuh dengan strategi tipu muslihat yang penuh korup melihatkan korban harta yang banyak demi mencari sokongan politik. Ternyata kuasa itu telah membodohkan manusia.
Akhirnya kita belum mampu lagi melihat bagaimana penguasa berusaha untuk menguruskan (1) kadar ekonomi negara berada dalam keadaan tidak stabil, (2) pihak pelabur asing yang mengeluhkan tentang SOP kerajaan yang tidak konsisten menyebabkan sumber pelaburan mereka terjejas; (3) sektor kesihatan yang semakin tenat, (4) pendidikan anak-anak yang terbaikan, (5) nasib ramai orang yang kehilangan kerja, (6) kes depresi dan bunuh diri yang mencanak naik, (7) penderaan rumah tangga yang bertali arus, ( 8 ) kematian ahli keluarga yang tidak henti-henti, (9) bilangan kes positif COVID-19 yang terus membimbangkan, (10) kadar vaksinasi yang masih lembab, dan seribu satu masalah lagi yang menyebabkan kita rasa seolah-olah hidup dalam sebuah negara yang tidak ada kerajaan.
Disebabkan itu, kita wajar merenungi semula bagaimana kita harus bereaksi terhadap segala yang terjadi di sekeliling pada hari ini. Barangkali kita dibungkam untuk terus garang di jalanan sewaktu penguasa sentiasa mencari akal untuk menekan meskipun cita pemerintahan mereka sendiri masih suram. Tapi semangat perlawanan Abu Dzar al-Ghifari boleh terus bertiup dalam diri kita untuk tidak terus duduk diam.
Semua permasalahan yang disenaraikan di atas itu adalah sesuatu yang tidak boleh didiamkan dan dibiarkan sekadar kepada penguasa untuk menguruskan. Dua tahun melalui tempoh pandemik cukup mengajarkan kita bahawa akhirnya kita juga yang perlu membantu sesama sendiri untuk keberlangsungan hidup. Saya terkenangkan antara puisi SN A. Samad Said yang bertajuk Di Atas Padang Sejarah, dalam salah satu baitnya:
“di atas padang sejarah pantang kita memungkiri janji
setiap tapak dan langkah mengisi rindu demokrasi
dari kita amat padu maruah senandung setulus hati
melunturkan wewarna zalim, menyuburkan kuning berseri
kita tenaga jati gah berjuang demi keadilan
kita terbang sederas sinar julang panji kebenaran”
Sebab itu ada masalah di sini sekiranya kita masih lagi bersikeras dengan minda feudalistik kita yang masih melihat penguasa sebagai pembawa panji kebenaran yang dilihat akan sentiasa membawa perlindungan kepada masyarakatnya, yang sebagai balasan, meminta ketaatan melulu daripada kita kepadanya. Melewati abad ke-21, lebih lagi pula negara moden kita lahir daripada kantung kolonialisme, kita perlu lebih sedar bahawa era feudalistik yang memandang penguasa sebagai tingkat sosial tertinggi itu sudah sepatutnya menemui titik akhir.
Pada era demokrasi, penguasa itu sendiri adalah orang yang lahir dan membesar daripada kejiranan kita, yang kemudian kita lantik daripada peti undi untuk memegang tampuk pemerintahan negara. Maka kita berhak untuk terus menyuarakan isi hati kita, lebih-lebih lagi pada era pandemik ini yang kita dapat lihat ketidakcekapan mereka dalam urus tadbir negara. Cuma lebih perit lagi apabila kerajaan yang kita ada hari ini pula bukan lahir daripada pilihan kita, tetapi dibentuk daripada pengkhianatan demokrasi yang tidak kunjung henti.
Maka, merenungi baris puisi SN A. Samad Said, “di atas padang sejarah pantang kita memungkiri janji”, wajar kita cermati sesungguh hati bahawa sejarah yang kita lalui semalam adalah ingatan yang menyuburkan nilai untuk kita hidup berkeadilan dan tidak mungkir dengan janji untuk membina halaman sejarah yang lebih bermaruah. Suatu kepantangan untuk sejarah dijadikan alat tunggangan bagi memperkukuh kekuasaan seperti yang lazim dipergunakan oleh cendekia penguasa, justeru sejarah yang berlaku semalam tidak luput daripada ingatan agar esok dapat menghimpun takdir yang lebih mencerahkan.
Nyali perlawanan Abu Dzar al-Ghifari yang disegar bugarkan semula oleh Ali Syariati telah menyuburkan semula nafasnya yang perlu kita hirup pada hari ini, demi menggapai keberaniannya melawan jiwa hamba yang cuba dibangunkan oleh penguasa pada zamannya untuk membentuk minda feudalistik. Menekuni Ogos 2021 pada era pandemik ini, saya fikir pemaknaan kemerdekaan itu tidak lagi berkisar soal pembebasan daripada minda tertawan atau apa-apa yang berbangkit daripada persoalan pascakolonialisme.
Sebab realitinya, kemerdekaan yang kita kecap hari ini cumalah sekadar kemerdekaan daripada kolonialisme, tetapi kebebasan kita sendiri diperangkap walhal semua antara kita merasai sengsara hari-hari kurungan dan pandemik yang tidak berkesudahan tatkala penguasa tidak melihatnya sebagai kebajikan yang perlu diutamakan.
Jika tidak, tidak akan ada lagi kita mendengar cerita-cerita percaturan politik di belakang merebut kekuasaan, ketidaktelusan dalam proses vaksinasi, ketiadaan perancangan yang jelas untuk mengurus pandemik, perlanggaran SOP daripada penguasa sendiri, layanan kasta antara elit dan marhaen dalam isu perlanggaran SOP, dan pelbagai lagi cerita-cerita yang boleh dilingkungkan dalam aspek minda feudalistik yang masih memerangkap nafas kemerdekaan negara kita yang masih berbau busuk ini.




