Negara Kita Bukan Dipayungi Rahmat Tetapi Korupsi

Oleh : Azura Nasron

Asyik melihat rakyat Malaysia bersorak melihat para atlet negara melakukan aksi-aksi kepakaran mereka. Tahniah buat semua para atlet yang bertungkus lumus membawa nama negara dipersada dunia.

Dalam pertarungan pandemik yang seperti tiada penghujung, melihat kecekalan para atlet memberi semangat pada diri kita semua untuk terus bangun dan terus cuba dan cuba lagi. Namun, jangan kita lupa, disaat kita asyik mengukur berapa banyak emas, gangsa atau perak yang dibawa pulang, pada awal tahun 2021, Malaysia telah jatuh kepada kedudukan ke-57. Dalam apa? Dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) daripada 180 negara yang lain. Nah, mungkin ramai yang masih tidak mengetahui indeks ini. Barangkali kerana ia tidak diumumkan dikacamata televisyen atau kerana ia tidak dikeluarkan sebesar dan sedahsyat sukan Olimpik. Jika ya, apakah reaksi kita sebagai rakyat Malaysia?CPI dikeluarkan oleh Transparency International sebuah badan bukan kerajaan antarabangsa sejak 1995 yang fokus pada persepsi tahap rasuah sektor awam sesebuah negara. Cara ia diukur adalah dengan pengumpulan kajian pelbagai pihak berdasarkan soal selidik ke atas ahli perniagaan dalam dan luar negara dengan penekanan diberikan kepada elemen rasuah dan salah guna kuasa.

Apa itu rasuah? Rasuah di dalam Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) didefinisikan sebagai suapan dimana suapan inilah berlakunya pertukaran wang, hadiah, derma, jawatan, kebesaran, pelepasan, balasan dan sebagainya. Juga yang sering disebutkan adalah korupsi. Akan tetapi korupsi adalah lebih besar daripada hanya yang didefinisikan. Korupsi adalah payung pada permasalahan penindasan. Korupsi adalah barah yang membunuh kemanusiaan.

Menurut Ali Syariati, korupsi adalah ‘agama’. Agama yang palsu, yang kejam, yang menindas, yang menarik hak-hak kemanusian, yang sanggup melakukan hiburan di atas nama nyawa manusia. Itulah negara kita dipayungi agama korupsi. Daripada barisan kerajaan, kepada kepada ahli kabinet, kepada institusi-institusi dibawahnya, semuanya penuh dengan korupsi. Apa itu pula salah guna kuasa? Salah guna kuasa adalah menggunakan kuasa dan kedudukan mereka untuk kebaikan peribadi. Dimana ia berlaku? Di mana sahaja, di dalam perniagaan, pemerintah, sistem pengadilan, media, masyarakat, sektor kesihatan, pendidikan, infrastruktur, sukan, dll. Seterusnya, melibatkan siapa? Sesiapa sahaja, ahli politik, pegawai kerajaan, penjawat awam, ahli perniagaan atau orang awam.

Mari kita lihat dalam isu migran yang sering menjadi kambing hitam sejak dua menjak ini. Isu migran keluar hampir setiap kali politik semasa Malaysia menjadi hangat. Apakah isu migran habis setakat itu? Adakah isu migran selesai setakat duduk satu rumah beramai-ramai, tanpa dokumen, penduduk asing tanpa izin dan kerja kilang? Tidak. Isu migran lebih kompleks dan rumit dari itu.

Antara isu korupsi yang tidak seelsai sehingga kini adalah, isu kem Wang Kelian, dimana negara dikejutkan dengan penemuan 147 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, di sempadan Malaysia-Thailand. Sehingga kini kita masih lagi dalam ketidaktahuan tentang siapa yang memulakan kem, siapa yang membenarkan mereka masuk, mengapa kem itu dirahsiakan, siapakah yang memberi arahan untuk menghapuskan kem tersebut sebelum siasatan, mengapa ada kubur dan kes kematian yang begitu tinggi, apakah ada isu jenayah disitu, mengapa lokasi dimusnahkan? Kes ini berlaku pada tahun 2015. Sewaktu itu Timbalan perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri adalah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Di mana pada tahun yang sama, adiknya sendiri sedang berbincang untuk menyediakan satu sistem pengurusan bagi 1.5 juta pekerja Bangladesh, yang Malaysia berhasrat membawa masuk bekerja di negara ini.

Pada bulai Mei 2021, Zahid Hamidi telah didakwa menerima wang suapan sebagai upah mengekal dan/atau melanjutkan kontrak syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) antara tahun 2014 hingga 2018. UKSB adalah sebuah syarikat yang dilantik oleh Kerajaan sebagai kontraktor bagi melaksanakan kerja-kerja pembekalan dan perkhidmatan untuk Kementerian Dalam Negeri. Dia dituduh berlakunya korupsi sebanyak SGD14.71 juta, RM3.125 juta, US dollar AS$15, 000 dan matawang Euro berjumlah 5,000 Euro.

Perkara-perkara ini mungkin tidak sama, malah ini bukan teori konspirasi politik, tetapi mustahil ia tidak berkait, tidak mungkin isu-isu ini berdiri dengan sendirinya melaikan ada tangan-tangan korupsi-al yang menjadi punca kepadanya. Lalu, kesanya apa pada orang bawahan, pada kita? Kesannnya pada buruh migran yang dipergunakan, dipijak dan dibunuh, dan kita diperbodohkan tentang kesalahan migran tetapi buta dengan tangan para koruptor?

Nah, kata Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran dalam ucapan pembukaan pendakwaan; ‘Ahmad Zahid telah mengambil kesempatan dari kedudukannya untuk mengaut kekayaan.’ Apakah ini bukan korupsi yang menaungi negara ini? Apakah ini bukan salah guna kuasa?Sebetulnya Malaysia sudah bergerak jauh dalam menangani isu rasuah. Antara dua perkara yang besar adalah perubahan Badan Pencegah Rasuah kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia. Perubahan ini menyebabkan akta rasuah diperketatkan.

Kedua adalah penubuhan mahkamah yang spesifik untuk menangani isu rasuah. Namun mahkamah ini baru di tahap mahkamah sesyen. penubuhan Mahkamah Khas Rasuah pada peringkat lebih tinggi masih dalam perbincangan. Perkara ini sangat penting dalam menangai masalah rasuah ini. Ia bertujuan untuk mempercepatkan tunggakan kes di mahkamah dan tidak membiarkan lebih banyak kes-kes tertunggak.

Bagaimanapun, Malaysia adalah negara separuh jalan. Banyak perkembangan dan perubahan namun, banyak lagi kelompongan yang harus dilihat. Banyak sekali kes-kes rasuah yang didakwa akhirnya digugurkan. Daripada kes Musa Aman, kepada kes Tengku Adnan, kepada yang terbaru penasihat undang-undang UMNO Mohd Hafarizam Harun atas tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta dan bagaimana Najib, peroleh kembali aset yang disita bernilai RM114 juta selepas pendakwa raya pendakwaan tidak memohon untuk memfailkan rayuan. Ini jelas, melawan korupsi itu bukan hanya dengan mempunyai suruhanjaya atau mahkamah, kerana kelompongan yang ada masih terlalu jelas. Kelompongan-kelompongan ini tidak terhad pada permasalahan undang-undang tapi daripada pelbagai pihak lain.

Makanya masyarakat, para akademik, agamawan semuanya harus terus cakna dan menjadi semak dan imbang. Kita harus lantang membicarakan isu korupsi dan terus menerus mempersoalkan kekuasaan. Kita harus berjuang dan menuntut ketelusan daripada pentadbiran. Ketulusan informasi dan data adalah penting untuk mengetahui siapa, mengapa, apa, bagaimana dan berapa banyak kontrak dan wang yang disalurkan untuk sesuatu perkara. Sungguh, mencari dan menerima maklumat adalah hak asasi manusia yang dapat bertindak sebagai perlindungan terhadap rasuah, dan meningkatkan kepercayaan kepada pembuat keputusan dan institusi awam. Ketelusan mampu menyediakan maklumat, dan dapat memberikan masyarakat akses dengan mudah, difahami dan digunakan oleh warga negara.

Tanpa ketelusan, tanpa informasi sampai bila-bila kita tidak akan tahu apa yang terjadi pada kes Wang kelian. Malah, tidak mustahil untuk ia berlaku lagi. Di dalam artikel ini yang dibincangkan baru satu isu migran dari ribuan isu lain dan ribuan masalah korupsi daripada ratusan pemimpin. Negara yang sedang tenat hari ini memerlukan rahmat, bukan korupsi.

Jangan lagi jadikan korupsi sebagai agama rasmi negara ini. Krisis sedia ada hari ini sudah jelas terpampang, mungkin saja kita semua penat dan akan kalah, tapi kita bukan pencundang yang pasrah, kita harus terus keluar dan jihad melawan korupsi.