Melawan “Buku-Buku Yang Membunuh Manusia”

Pada 21 Disember 2024, pihak Biblio Press telah mengadakan Diskusi Buku “Bagaimana Buku Mengubah Hidup Saya: Antologi Esei 12 Bibliofil” bersama 12 orang penulis di MPH The Exchange TRX pada pukul 11.00 pagi sehingga 1.00 petang. Buku tersebut merupakan sebuah antologi esei yang menghimpunkan esei-esei daripada 12 orang penulis dengan 12 adunan cerita dan pengalaman yang memberi pengaruh besar terhadap hidup mereka. Ada buku yang merawat duka; ada buku yang menemani fasa mendewasa; ada buku yang mengubah hidup; ada buku yang menyebabkan jatuh cinta pada buku. 

Salah seorang penulis yang terlibat dalam projek antologi esei tersebut ialah Ahmad Muziru Idham yang merupakan ahli Jurnal Sang Pemula bersama-sama 11 orang lagi penulis lain, iaitu Ajwad Shafie, Furqan Abid, Emmy Hermina Nathasia, Hanz Jamaludin, Iman Danial Hakim, Jessica Tay, Safawati Safwan, Sajida Zulkafli, Jejaka Buku dan Hadi Muss. 

Gambar : Kedai Buku Bibliophile

Sesi tersebut dimulakan dengan alu-aluan program daripada moderator acara, iaitu Syafiq Izzuddin yang mengalu-alukan kehadiran peserta dan mempromosi buku “Bagaimana Buku Mengubah Hidup Saya: Antologi Esei 12 Bibliofil”. Kemudian acara diteruskan dengan penceritaan tentang perjalanan projek buku oleh penyelenggara, Hanz Jamaludin yang disusuli dengan penceritaan pengalaman menyunting buku tersebut oleh editornya, Ahmad Muziru Idham. Seramai 6 orang daripada 12 penulis buku telah menghadiri sesi tersebut menceritakan keunikan pengalaman masing-masing dalam pembacaan buku dan sebab-musabab buku tertentu telah mereka pilih untuk dikongsikan kepada pembaca dalam esei-esei mereka.

Sepanjang sesi tersebut, terdapat audien yang bertanyakan soalan meminta pandangan daripada panel mengenai wujudnya seruan di Amerika Syarikat oleh kelompok tertentu yang menyenaraikan “buku-buku yang membunuh manusia” dan digantikan dengan “buku-buku yang memanusiakan manusia”. Saudara Ahmad Muziru Idham menjawab persoalan tersebut dengan mengutarakan pandangan bahawa sememangnya wujud sebilangan buku-buku yang menyingkirkan manusia daripada naluri kemanusiaan, seperti buku-buku yang mempromosi idea neoliberalisme, rasisme, patriarki, xenofobia, dan sebagainya. Buku-buku sebegitu menyebabkan pemikiran manusia menjadi semakin kurang jiwa kemanusiaannya lantas cara fikir, sikap dan pandangan awam mereka merosakkan nilai-nilai kemanusiaan dalam masyarakat. Jadi, Ahmad Muziru Idham mengatakan bahawa tugas masyarakat kini adalah untuk keluar daripada kepompong pemikiran yang mempromosi idea-idea sedemikian dengan membaca dan menghasilkan pula buku-buku yang mempromosi idea-idea kemanusiaan bagi membawa wacana tandingan dan melawan idea “buku-buku yang membunuh manusia”.

Sesi diskusi buku tersebut selesai pada pukul 1.00 petang dengan sesi autograf penulis bersama para pembeli buku Bagaimana Buku Mengubah Hidup Saya: Antologi Esei 12 Bibliofil.

Gambar : Kedai Buku Bibliophile