Dalam wacana arus perdana, perempuan sering diraikan sebagai simbol kemajuan, lebih ramai dalam politik, lebih lantang di media, lebih kelihatan di pentas kuasa. Namun di ruang yang lain yang lebih senyap dan lebih mendalam, wujud satu bentuk agensi perempuan yang jarang diperiksa: perempuan sebagai pelaksana ideologi, pengukuh autoritarianisme, dan agen pendisiplin moral. Mereka hadir bukan sebagai mangsa, tetapi sebagai enforcers; mengawal, mengatur, dan menormalkan ketundukan melalui bahasa kelembutan yang kita kenal sejak kecil.
Fenomena ini bukan kebetulan. Ia adalah sebahagian daripada struktur ideologi Islamisme di Malaysia, suatu projek epistemik yang memusatkan kebenaran, moral dan kuasa kepada sebuah tafsir tunggal tentang agama. Dalam kerangka ini, perempuan tidak sekadar “turut serta”; mereka memainkan peranan yang amat strategik. Mereka adalah wajah yang melunakkan paternalisme, suara yang membuat dominasi kedengaran seperti kasih sayang, dan agen yang menjadikan penindasan kelihatan seperti satu kewajiban moral.
Islamisme di Malaysia tidak beroperasi sebagai gerakan politik semata-mata. Ia adalah rejim epistemik yakni satu cara melihat dunia yang meletakkan Islam (dengan definisi yang disempitkan) sebagai pusat ketamadunan, moraliti dan undang-undang. Maznah Mohamad menceritakan bagaimana proses Islamisasi telah mewujudkan “divine bureaucracy”: struktur pentadbiran yang menuntut kuasa bukan melalui kecekapan undang-undang, tetapi melalui aura kesucian. Bila kuasa dijustifikasikan sebagai “agama”, ia hampir mustahil untuk dipersoal.
Di sinilah perempuan muncul sebagai pelengkap kepada logik ini.
Bagi negara, kehadiran perempuan konservatif memberikan legitimasi moral yang tidak boleh diganti oleh suara lelaki. Perempuan menjadi “bukti” bahawa polisi konservatif walaupun menindas adalah selaras dengan fitrah, kerukunan keluarga, dan tradisi bangsa. Pelibatan perempuan dalam projek patriarki negara bukan bukti kemajuan gender, tetapi strategi untuk menormalkan hierarki. Perempuan dijadikan buffer antara kekerasan negara dan masyarakat: suara yang lembut, tetapi mengabsahkan kekerasan negara atas warganya.
Autoritarianisme Feminin: Ketika Penindasan Datang Dengan Senyuman
Dalam kerangka inilah kita mula memahami fenomena yang saya istilahkan sebagai autoritarianisme feminin apabila kuasa menindas disampaikan dalam nada lembut, melalui bahasa kasih sayang, melalui wajah yang tidak mengancam.
Ia bukan sekadar representasi perempuan dalam politik. Ia ialah:
Perempuan sebagai perantara ideologi, perempuan sebagai penyebar moraliti konservatif, perempuan sebagai pengabsah kekuasaan negara atas tubuh dan kehidupan perempuan lain.
Peranan ini sangat berkesan kerana ia menggunakan emosi, rasa bersalah, dan sosialiasi budaya sebagai alat kawalan. Kita mendengar suara mereka seperti kita mendengar suara ibu atau nenek: “sabar”, “taat”, “jangan melawan”, “syurga isteri di bawah redha suami.”
Inilah kuasa yang paling sukar ditentang kerana ia tidak kelihatan seperti penindasan kerana dibalut dengan kelembutan dan kesantunan.
Bukti Empirik: Dari ‘Doraemon Voice’ ke Seruan Memukul Isteri
Faris Ridzuan dan Faizal Musa dalam artikel “Hit Me Baby One More Time?”—Patriarchalism, Literalism and Androcentrism on the Rise in Malaysia menceritakan dengan jelas bagaimana fenomena ini telah bertapak dalam institusi negara. Contoh yang mereka angkat bukan terpencil, tetapi mencerminkan pola yang lebih luas:
- Siti Zailah, bekas Timbalan Menteri dari PAS, mengeluarkan nasihat agar suami boleh menggunakan sentuhan “lembut tetapi tegas” untuk mendidik isteri.
- Rina Harun, Menteri Hal Ehwal Wanita ketika itu, meluluskan poster kerajaan yang meminta perempuan bercakap dengan “suara Doraemon” agar tidak memarahi suami.
Setiap kali isu ini tercetus, masyarakat menganggapnya sebagai “kekhilafan individu”. Tetapi analisis Faris dan Faizal menunjukkan bahawa ini adalah tanda penaklukan institusi yang mentadbir hal ehwal perempuan oleh ideologi konservatif. yang memegang kuasa institusi bukan sahaja gagal melawan naratif patriarki, mereka mengukuhkannya. Artikel ini dengan jelas menunjukkan bahawa sebahagian besar aktor yang senyap seribu bahasa terhadap keganasan domestik pada masa itu adalah Islamis-Islamis moderat.
Di sini agen perempuan konservatif tidak berfungsi sebagai benteng terhadap patriarki, tetapi sebagai pelaksana dan pengukuh patriarki yang paling efektif.
Kenapa Perempuan Konservatif Lebih Berkesan Daripada Lelaki Konservatif?
Terdapat beberapa sebab struktural:
1. Mereka memiliki kredibiliti moral yang diambil-alih daripada pengalaman wanita sendiri.
Suara perempuan memberi ilusi empati. Bila perempuan sendiri berkata “taat itu mulia”, ia lebih meyakinkan.
2. Mereka menggerakkan paternalisme melalui bahasa penjagaan.
Arahan untuk patuh dibungkus dengan istilah agama, kasih sayang keluarga, dan naratif kesusahan perempuan itu sendiri.
3. Mereka menjadi wajah “kebenaran agama” yang tidak boleh dibantah oleh progresif.
SIS dan kumpulan feminis Islam lain sering dituduh “liberal” atau “tidak sah” kerana tidak memakai tudung atau tidak berlatarkan pendidikan Timur Tengah. Sebaliknya, perempuan konservatif mendapat keabsahan automatik sebagai “ahli agama”.
4. Mereka menutup jurang antara negara dan masyarakat.
Perempuan sebagai jurucakap moral membuatkan dasar negara yang keras mendenda, penguatkuasaan moral, kawalan tubuh, kelihatan seperti bentuk perlindungan terhadap moraliti publik, institusi keluarga dan maruah bangsa.
Dalam semua poin ini, perempuan menjadi pelincir ideologi yang memudahkan penindasan beroperasi tanpa bantahan besar.
Mengapa Progresif Lemah Dalam Ruang Ini
Sisi yang jarang diakui: gerakan progresif sering takut menonjolkan perempuan secara strategik. Keengganan ini berpunca daripada budaya “hormat”, kebimbangan dilihat agresif, atau fetish terhadap moderasi. Lelaki progresif pula mengambil sikap “supportive but silent” yang akhirnya memundakkan beban kepada perempuan tanpa sokongan struktural. Seringkali juga tidak memberikan ruang seluas-luasnya untuk perempuan berperanan di garda utama, di pentas-pentas utama walaupun perempuan bilangannya bukan sedikit yang berada dalam gerakan progresif.
Sementara itu, gerakan Islamis memberi perempuan ruang seluas-luasnya untuk menjadi suara hadapan terutama sekali gerakan sayap paling kanan dan paling agresif. Tidak ada segan, tidak ada apologetik. Mereka tahu perempuan menjadi senjata moral yang lebih ampuh dalam pertarungan ideologi. Dan perempuannya memang amat berdaya dan yakin diri dengan peranan mereka dalam ruang ini.
Progresif kalah bukan kerana kurang argumen.
Mereka kalah kerana kurang strategi dan keyakinan diri serta solidariti sesama progresif. Dan juga kerana internalisasi patriarki dan misogini terlalu menebal dan tidak mahu dinyahkan secara sedar dan konsisten. Dan ruang progresif adalah ruang yang punya prestij intelektualnya yang mana hierarki lelaki akan diutamakan secara sedar dan tanpa sedar dalam kesedaran sesama progresif, mentaliti ‘boys club’ tetap kekal.
Kebenaran Yang Kita Tidak Mahu Akui
Kita sering menganggap penyertaan perempuan dalam politik sebagai tanda kemajuan.
Tetapi realitinya lebih rumit:
Tidak semua perempuan dalam politik adalah kemenangan feminisme.
Tidak semua kuasa perempuan membebaskan.
Tidak semua suara lembut adalah suara rahmah dan suara kasih sayang yang substantif.
Apabila perempuan menjadi pelaksana ideologi yang menafikan hak perempuan lain, apabila bahasa kesabaran menjadi topeng kepada autoritarianisme moral, apabila kasih sayang digunakan sebagai senjata kawalan, kita sedang menyaksikan autoritarianisme feminin yang semakin menguat dalam politik Malaysia. Seperti yang kita saksikan pada hari ini, aktivis perempuan Islamis kanan sentiasa mendesak dengan lantang agar tindakan undang-undang baik oleh penguatkuasa atau jabatan agama dikenakan kepada perempuan dan lelaki yang dilihat melanggar moral dan melakukan dosa peribadi; doxxing dan mobilisasi kepanikan moral publik sentiasa menjadi senjata untuk mencapai agenda pengawalan moral dan meluruskan moral publik. Negara ini yang ada undang-undang dan perlembagaan yang menjamin hak sivil setiap warganegara diperlakukan seolah-olah macam hak-hak ini tidak wujud dan tidak sah kerana tidak mengikut hawa nafsu mereka untuk meluruskan semua orang mengikut apa yang mereka percaya, yakni moral publik mesti dikawal dan diluruskan mengikut wahyu Ilahi mengikut tafsiran mereka. Etika dalam menjaga hak sivil yang dibicarakan dalam fiqh kewarganegaraan itu semua tidak ada.
Penutup: Kuasa yang Berbisik
Autoritarianisme biasanya dibayangkan sebagai jeritan, ancaman, atau kekerasan. Tetapi dalam konteks Malaysia, sebahagian besar kuasa bergerak dalam bentuk yang lebih halus: nasihat, bimbingan, bahasa lembut, retorik keibuan, dan seruan agama.
Di sinilah letaknya bahaya.
Kerana penindasan yang dibungkus sebagai kasih tidak nampak sebagai penindasan.
Dan selagi kita tidak mengakui peranan perempuan sebagai aktor ideologi dalam rejim Islamisme dan autoritarianisme, kita akan terus gagal memahami bagaimana negara membentuk, mengawal, dan mengatur kehidupan perempuan melalui suara perempuan yang lain.




