Terperangkap di Bario, Rinai merasakan kehidupannya umpama kerbau tertambat – dikongkong dan dikawal oleh penduduk kampung. Bermula dengan babak Ritap menghalang Rinai berbual-bual dengan Hanafi yang merupakan pelancong asing di bumi Bario, babak ini menjadi petunjuk keseluruhan filem Tegkang yang bergulat seputar isu pegangan hidup masyarakat suku kaum Kelabit, kepercayaan, kehendak dan impian, kehidupan masyarakat berkomuniti serta hak Orang Kurang Upaya (OKU). Memilih budaya suku kaum Kelabit, Josh Nawan mendatangkan sebuah filem yang sebenarnya pada pendapat saya agak berbeza daripada filem-filem “eksotik” yang lain. Sengaja saya letakkan pembuka-penutup kata pada kata eksotik kerana melihat budaya suku kaum berbeza ini sering dianggap “unik” dan “aneh”. Persoalannya, apakah ia “unik” atau ia sebenarnya berada di luar pengetahuan kita semua? Dalam menonjolkan budaya konon eksotik tadi, filem berkepanjangan 101 minit ini mengetengahkan kehidupan masyarakat yang tanpa sengaja memberi makna kepada sebuah terma sosiologi: Politik Keprihatinan (Politic Of Care).

Secara ringkas, Politik Keprihatinan menggagaskan pengagihan semula sumber dan sokongan sosial universal untuk menangani ketidaksamaan sosial. Antara contoh kemudahan yang bertepatan dengan definisi ini termasuklah pusat jagaan orang tua serta rumah anak yatim. Namun, ini merupakan contoh-contoh besar yang dapat dilihat. Sistem sokongan sosial yang lainnya termasuklah kemudahan tandas OKU, lif, sistem pengangkutan awam, laluan taktil atau blok pandu serta khidmat penjagaan paliatif. Rinai lakonan Michelle Lungan ialah seorang gadis buta yang dirahsiakan kebutaannya sejak kecil. Menariknya kebutaan Rinai tidak disedari oleh Hanafi (bahkan penonton sendiri) sehingga babak Rinai tidak memberikan apa-apa reaksi kepada cahaya kilat kamera milik Hanafi meskipun terdapat tanda-tanda yang diselitkan oleh pengarah. Rahsia yang disimpan rapi oleh penduduk kampung justeru membawa kepada dua mesej penting dalam filem ini: 1) suasana mesra orang buta yang sengaja dicipta demi Rinai 2) sekatan kepada peluang yang lebih cerah buat Rinai serta masyarakat lainnya.
Suasana Mesra Orang Buta dalam Filem Tegkang
Bung Rosli melalui eseinya Mengapa OKU Harus Bangkit membangkitkan persoalan suasana hidup yang kondusif dan bermakna untuk OKU. Melalui banyak esei beliau, Bung Rosli menegaskan bahawa OKU tidak memerlukan simpati yang berlebihan melainkan sistem sokongan sosial yang manusiawi dan makna manusiawi itu mestilah mengambil kira OKU sebagai “manusia” bukan sebagai makhluk tidak sempurna yang mesti ditolong.
…misalnya kehidupan seharian OKU penglihatan telah diasak. Rumah-rumah sewa semakin mahal. Brickfields pula sudah menjadi jalan sehala. Tiada tempat-tempat berlonggok. Ada tongkat yang patah ketika melintas jalan ke kedai runcit. Segala jenis bas dan lori terlalu laju…. Nyawa terpaksa dipertaruhkan semasa menuju kedai di saat perut mahu menyuap nasi.[1]
Senario ini menggambarkan bahawa sistem pembangunan sosial Malaysia tidak mengambil kira kehidupan OKU sekali gus tidak menyediakan persekitaran yang memungkinkan OKU menjalani gaya hidup “normal” serta sifar bantuan. Dalam Tegkang, kehidupan Rinai boleh dikatakan dipandu oleh sistem sokongan sosial yang meletakkan Rinai sebagai “watak utama” dalam merencana sebuah gaya hidup yang mesra orang buta. Sedari awal filem, Rinai tidak digambarkan sebagai orang buta sebagaimana yang berada dalam bayangan kita semua. Cuba fikirkan, apakah imej orang buta yang berada dalam fikiran kita sekarang? Orang buta di kawasan pedalaman biasanya serba-serbi mesti ditolong dan tidak mampu berdikari oleh sebab ketidakcukupan serta stereotaip kawasan luar bandar yang miskin serba-serbi. Ini tidak ada pada Rinai. Sekarang, fikirkan bagaimana agaknya masyarakat desa Bario dalam filem ini menjadikan kebutaan Rinai ini sebagai sesuatu yang “normal” dan menjadikan Rinai membesar menjadi seorang yang mandiri.
Pertama sekali, kawasan yang serba-serbi memberi petunjuk sesuai dengan keperluan dan keupayaan Rinai. Harus diingat, ketidakupayaan OKU menjadi tegar apabila dikukuhkan oleh sistem pembangunan yang tidak mahu melenturkan ketidakupayaan itu tadi. Dengan erti kata lain, OKU menjadi serba-serbi “tidak mampu” oleh sebab sistem pembangunan yang tidak mesra OKU. Sebagai contoh, laluan berkerusi roda yang curam dan tidak memungkinkan OKU berkerusi roda melaluinya. Apakah OKU tadi tidak berupaya atau prasarana yang menyebabkan ketidakupayaan? Ini belum kita bincangkan akan persekitaran Malaysia yang langsung tidak mesra pejalan kaki. Begitu juga dengan hal-hal kecil seperti braille pada menu makanan restoran – keadaan seperti ini menyebabkan OKU mesti selalu ditolong. Atau mesti mempunyai alat bantu bagi memudahkan urusan harian mereka, namun, bagaimana pula dengan OKU berpendapatan rendah? Dalam Tegkang, penduduk kampung meletakkan loceng angin atau wind chime pada laluan bagi menandakan Rinai sudah sampai di persimpangan jalan. Dengan kemudahan sedemikian, Rinai mampu berdikari dan melakukan kebutuhan peribadinya sendirian – inilah yang memaknai politik keprihatinan sebagaimana disebutkan sebentar tadi.

Kedua, Rinai dicukupkan dengan pendidikan sesuai dengan keadaannya. Ini bermakna masyarakat sekelilingnya turut menguasai ilmu cara hidup Rinai. Dalam satu babak, Rinai (si buta) menawarkan dirinya untuk menjadi penunjuk jalan untuk Hanafi (si celik) bagi melihat matahari terbit. Malah, Rinai mampu menuding jari ke arah matahari terbit secara spesifik. Lebih menakjubkan, Rinai peka terhadap arah pelangi (tegkang)! Kepekaan Rinai ini bukanlah berpunca daripada kebiasaannya menjadi buta, tetapi asuhan masyarakat yang mendidiknya sesuai dengan kemampuan diri. Ini sama sekali bukan kerana Rinai terang hati sebagaimana yang sering dicanang-canang di meja ceramah dan motivasi, tetapi pendidikanlah yang mencukupkannya. Semasa membuat kraf, Rinai boleh mengenal pasti warna manik tanpa diberitahu, apakah kerana Rinai terang hati? Tentu sekali tidak. Rinai diajar sedari kecil akan “rasa” warna yang dipilih. Meskipun ia tidaklah logik pada kaca mata orang celik seperti kita, tetapi babak ini cukup menggambarkan bahawa OKU mesti dididik dengan cara yang sesuai dengan keupayaan mereka. Maka, ini membawa kepada persoalan berikutnya, apakah pendidikan kita sudah cukup inklusif dan memberdaya OKU? Atau OKU sekali lagi dipukul rata dan dicampakkan ke aliran kemahiran?

Dalam masa yang sama, pendidikan bermakna yang diperoleh Rinai turut dibantu oleh masyarakat yang turut sama menormalisasi keupayaan Rinai dalam diri mereka. Sebagai contoh, watak Sina Runa yang dimainkan oleh Pun Ratu Aran yang berbual-bual dengan Rinai dengan cara memberi penjelasan dan gambaran apa yang ada di hadapannya. Misalnya, dalam babak awal, Rinai mengalami kesukaran untuk menganyam tikar mengkuang, perhatikan bagaimana Sina Runa tidak membimbing Rinai dengan memegang tangannya namun bercerita dan memperincikan keadaan tersebut kepadanya. Dalam situasi ini, Sina Runa tidak memandang Rinai sebagai OKU yang tidak berdaya, sebaliknya, mengadaptasi keupayaan Rinai bagi mengajar Rinai sesuai dengan keupayaan. Secara realiti, proses pemberdayaan OKU mesti diikuti dengan didikan kepada masyarakat bukan OKU. Setidaknya, seluruh anggota masyarakat mesti fasih berbahasa dengan bahasa isyarat serta sedar akan peri pentingnya inklusiviti kepada OKU. Paling tidak, letakkan alt text pada poster info grafik dan gambar yang dimuat naik di laman internet!

Ketiga, adanya sistem sokongan yang mapan. Filem Tegkang menonjolkan sistem sokongan dalam skala yang kecil namun wajar diketengahkan. Sistem sokongan sosial yang baik mampu memberi dampak yang besar dalam kehidupan OKU. Bukanlah bermaksud untuk sentiasa dibantu, namun, bagi melengkapi sebuah sistem pembangunan sosial yang mapan. Melalui Tengkang, watak-watak seperti Guruq, Sina Runa dan Ritap menjadi model contoh masyarakat yang peka orang buta. Secara harfiahnya, komitednya Guruq, Sina Runa dan Ritap ini adalah disebabkan oleh terhutang budi dengan bapa Rinai dan pada masa yang sama dikuatkan lagi dengan keteguhan masyarakat suku kaum Kelabit yang berpegang teguh kepada janji. Namun, dari satu sisi yang lain, ini mencerminkan sebuah masyarakat peka dan memahami keperluan OKU. Walaupun Rinai seorang yang OKU penglihatan, namun Rinai mempunyai pekerjaan menganyam kraf mengkuang serta manik. Dalam skala kecil, Rinai dilengkapi dengan pendidikan, peluang pekerjaan serta mampu berdikari sendiri. Inilah yang mesti dicukupkan kepada OKU. Pembangunan, pendidikan serta sistem sokongan mestilah dapat membantu OKU berdikari serta mencapai kemajuan yang selayaknya buat diri mereka.

Sebenarnya, sekiranya mesti saya ulaskan semuanya di sini, nescaya sebegitu banyaknya hal-hal seputar OKU yang tidak beres dan mesti kita bincangkan.
Keterbatasan Orang Buta dalam Filem Tegkang
Dalam membahaskan Tegkang sebagai sebuah filem yang menjadi dokumen politik keprihatinan serta kepandaian masyarakat dalam mengurus orang buta, filem ini turut menggaris bawah keterbatasan OKU. Rinai yang sedari kecil diberi asuhan mengikut acuan serta kemampuan dirinya rupanya tidak sedar bahawa dia buta. Melalui watak Hanafi, masyarakat desa Bario disedarkan bahawa Rinai mempunyai peluang yang lebih cerah meskipun Rinai OKU penglihatan. Tidak dapat dinafikan bahawa peluang di bandar memang lebih cerah berbanding di desa, namun ini adalah disebabkan oleh sistem pembangunan yang kurang efisien dan ini pastinya membuka ruang perbincangan yang lebih panjang.

Walaupun masyarakat desa Bario tadi melengkapkan kehidupan Rinai sebaiknya, harus diingat lagi, ini merupakan pandangan serta aturan hidup orang celik terhadap orang buta. Nah, inilah krisis pembangunan sosial yang tidak mengambil kira apa kata OKU. Contoh mudah sahajalah, apabila akronim OKU yang pada awalnya dibaca sebagai “Orang Kurang Upaya” ditukar dan digunakan secara rasmi kepada “Orang Kelainan Upaya”, apakah ini yang sebenar-benar diharapkan oleh OKU? Apabila kata “kurang” itu tadi diganti dengan “kelainan”, OKU senantiasa perlu beradaptasi dengan kepincangan pembangunan yang serba serbi kurang tadi dengan upaya “lainnya”.
Ketika Rinai berkeras mahu keluar dari Bario, ia mendapat tentangan daripada Guruq yang selama ini menjadi penjaga utama Rinai. Ketakutan Guruq dan Ritap bagi melepaskan Rinai kepada Hanafi menunjukkan bahawa adanya kegusaran bahawa OKU seperti Rinai tidak mampu hidup berdikari tanpa bantuan. Soalnya mengapa ini berlaku? Mengapa OKU dianggap tidak mampu berdikari sesuai dengan kehendak sendiri dan mesti ditolong? Jawapannya ialah ketiadaan pembangunan sosial yang mapan serta sistem sokongan yang benar-benar mampu menjadikan kehidupan OKU lebih adil dan saksama. Perhatikan bagaimana kita kurang sekali melihat OKU di ruang awam – kerana apa? Kerana pembangunan sudah sekian lama meminggirkan OKU. Bayangkan sekiranya Rinai ke Kuala Lumpur sendiri – sistem pengangkutan awam semisal MRT yang tidak mesra pejalan kaki, laluan taktil yang sekejap ada sekejap tiada (kalau ada pun malah dijadikan parkir motor pula), keangkuhan masyarakat kereta di jalan raya dan kenderaan yang belum mesra orang buta, lalu bagaimanakah Rinai hendak hidup? Dan pada akhir filem, Rinai yang keluar ke bandar akhirnya boleh membaca braille dan mempunyai tongkat sebagai alat bantu. Ia membuka kepada satu persoalan yang baru; bagaimanakah nasib OKU desa yang tidak bernasib baik seperti Rinai?
Filem Tegkang pada hemat saya bukanlah sebuah filem yang bebas cela serta menggambarkan kehidupan OKU seutuhnya, namun, filem ini membuka ruang wacana yang lebih luas tentang nasib OKU serta pembangunan sosial yang menjadi dukungan kepada masyarakat terpinggir. Pada akhirnya, masyarakat mesti sedar akan peri pentingnya inklusiviti dalam masyarakat. OKU mesti dipandang dengan pandangan manusiawi. Manusiawi bukanlah bermaksud simpati namun melihat OKU sebagai mereka yang bersifat dengan sifat manusia yang sama; ada kebijakan, ada kehendak, ada nafsu serta hak sebagai manusia berdaya. Ini termasuklah dengan cara yang pernah dicadangkan oleh Bung Rosli bahawasanya pendidikan tentang ketidakupayaan ini mesti menjadi sebuah disiplin ilmu yang diajarkan secara formal di institut pendidikan.
Beberapa tahun lalu, saya sudah melontarkan pandangan betapa munasabahnya bagi mewujudkan sebuah pengajian atau fakulti khusus di peringkat universiti iaitu Disability Studies. Namun, fakulti ini tidak akan berkesan jika sebuah kementerian berkaitan OKU tidak wujud. Faculty of Disability Studies tersebut akan dikawal selia oleh kementerian utama, iaitu kementerian OKU.
OKU tidak cukup sekadar diajarkan dengan kemahiran bekerja di KFC, membaca Al Quran Braille atau bahasa isyarat tetapi pembangunan mestilah ikut sama memenuhi keperluan terbeza ini agar mereka mampu menjalani kehidupan dengan adil dan bermaruah.
[1] Gelap Mata: Percikan Renungan Seorang OKU Penglihatan – Rosli Ibrahim




