Angkat Palang, Perangi Penindasan

Memalangi Penindasan (Gambar: Gerakbudaya)

Sejujurnya, saya sudah biasa membaca esei Khuzairey. Dari laman sosial sehingga halaman bercetak, pemikiran dan idea yang dikedepankan saudara Wan Khuzairey sering saya baca dan dibahaskan. Apa lagi, datang dari kumpulan bacaan yang sama, suara Khuzairey, gemanya, hampir sama dengan rakan-rakan yang lain. Fikrah ini dibawakan oleh Khuzairey dalam Memalangi Penindasan terbitan Gerak Budaya. Menjadi kebiasaan Khuzairey membawakan isu kemiskinan, sejarah, pendidikan serta isu intelektualiti dalam eseinya. Dalam masa yang sama, Khuzairey tanpa jemu membawakan topik sastera. Namun, secara ringkas, tema yang mewarnai keseluruhan kumpulan esei ini ialah kemiskinan dan penindasan terhadap golongan marjinal.

Memalangi Penindasan dipersembahkan dengan tujuh sub topik iaitu Darihal Kemiskinan, Agama Transformatif, Sejarah Alternatif, Pendidikan Kritis, Korupsi dan Elit, Sastera: Membicara Realiti Masyarakat serta Intelektual Emansipatif. Melalui tujuh sub topik ini, sebenarnya, Khuzairey memandu buku ini ke arah yang sama iaitu keberpihakan kepada mereka yang tertindas atau boleh saya katakan golongan miskin. Awal buku ini, Khuzairey membawakan isu yang sering berlaku iaitu hiburan berbasis kemiskinan atau disebut sebagai poverty porn. Secara ringkas, berhibur dengan kemiskinan ini ialah satu fenomena me-rancangan-realiti-kan kemiskinan. Malah, dalam konteks yang lebih meluas, kita melihat masyarakat menggunakan kemiskinan sebagai kandungan kreatif. Dalam makalah ini, Khuzairey mendatangkan contoh rancangan Mikrofon Impian, yang mana pesertanya terdiri daripada masyarakat yang terjatuh ke kelas sosial paling bawah dalam masyarakat. Mereka ini datang daripada masyarakat yang miskin.

Khuzairey membawakan satu persoalan yang penting dalam membahas kemiskinan iaitu apakah program seperti ini mahu membantu membasmi kemiskinan atau mengaut keuntungan?

Saya datangkan satu contoh ketara yang boleh saya katakan diketahui oleh kita semua, kerja-kerja memberi bantuan oleh Ebit Lew. Atau boleh sahaja kita katakan, rancangan realiti Bersamamu. Lalu ketika kita didatangkan dengan kandungan hiburan kemiskinan seperti itu, apakah sebenarnya yang kita fikirkan?

  1. Apakah kita dan si miskin itu sendiri memahami alasan sebenar mereka dihimpit kemiskinan?
  2. Apakah kita menyedari ketidak adilan yang berlaku tanpa menuduh miskin malas, tak mahu berusaha dan kurangnya permohonan kepada Tuhan?
  3. Apakah kemiskinan yang ditunjukkan memisahkan kita dari menganggap kemiskinan hanya berkenan kepada satu-satu bangsa sahaja?

Sekiranya jawapan kita “tidak”, maka rancangan-rancangan ini hanyalah sebahagian daripada usaha mengaut keuntungan dan masih berpegang pada tali kapitalisme. Maka, rancangan realiti yang tidak berakar dengan anti-kapitalisme hanyalah sebuah poverty porn yang tidak membantu masyarakat untuk keluar daripada kemiskinan secara total dan hanyalah berlegar soal nasib individu serta sebagai “bahan syukur” anggota masyarakat yang lain.

Dalam memperihalkan kemiskinan, Memalangi Penindasan tidak ketinggalan merekodkan perempuan dalam kemiskinan. Melalui esei Wanita dalam Persimpangan Penindasan, Khuzairey turut membawakan persoalan bagaimana perempuan secara khusus berhadapan dengan kemiskinan. Jelas sekali, perjuangan wanita tidak tertinggal dalam mengkehadapankan persoalan kelas. Ini mengingatkan saya kepada esei-esei yang ditulis oleh Anis Sabirin dalam Peranan Wanita Baru. Dalam saking banyaknya esei yang ditulis oleh Anis, sasterawan ini tanpa gagal membawakan isu kemiskinan dari sudut pandang seorang wanita. Misalnya, seorang wanita terpaksa melacur oleh sebab kekangan pendidikan yang menyebabkan individu tersebut memilih jalan pelacuran. Apa lagi, dalam dunia patriarki ini, genitnya tubuh wanita menjadi modal untuk menjual diri. Ini semua berawal daripada kemiskinan (dan patriarki) yang akhirnya menyebabkan wanita jauh ketinggalan dari segi ekonomi dan pendidikan.

Bukan itu sahaja, kemiskinan juga boleh menyebabkan kanak-kanak perempuan dikahwinkan dalam usia yang muda. Apa lagi, tanpa peraturan yang adil kepada kanak-kanak, perkahwinan bawah umur berlaku tanpa sekatan. Membesarkan anak perempuan justeru memerlukan wang untuk “keperluan tambahan” seperti tuala wanita pakai buang yang memerlukan belanja bulanan, pakaian dalam serta pakaian menutup aurat bagi perempuan muslim. Ini semua keperluan yang mesti disediakan oleh ibu bapa. Apa lagi, kanak-kanak yang sudah menginjak remaja memerlukan ruang peribadi seperti bilik sendiri apa lagi remaja perempuan. Dari segala keperluan yang mesti disediakan ini, ada kemiskinan yang menambah kusut kepala ibu dan bapa. Dan kalau-kalau tidaklah tercapai akal pemikiran mereka untuk memilih jalan penyelesaian yang lebih baik, perkahwinan kanak-kanak ialah langkah akhir yang boleh dipilih.

Dalam masa yang sama, agama-kapitalis juga mengejar perempuan. Saya teringat perbincangan dengan rakan tentang telekung musafir. Pada waktu itu, media sosial sedang haru biru bergaduh tentang telekung terbang dan ringan. Di pasaran sekarang, telekung begitu banyak jenisnya. Mahu yang kapas, mahu yang lycra, yang putih, yang berwarna, yang bercorak atau apa. Dari semurah-murah hingga semahal-mahal telekung yang buat ibu-ibu teringin. Kewujudan telekung yang pelbagai menunjukkan adanya permintaan daripada para pelanggan. Mengapa saya ceritakan ini dan apakah perkaitannya dengan telekung musafir tadi? Oleh sebab adanya permintaan, maka semakin banyak inovasi yang memudahkan. Lalu seketika ada hal yang memudahkan ini, maka, datanglah lagi hal-hal yang mahu menyusahkan. Dipersoalkan pula aurat perempuan di dalam telekung. Inikan peluang keemasan? Selepas telekung musafir jadi perdebatan, maka ditambahkan pula kemasan lace pada telekung agar tidaklah ia terbang-terbang ditiup kipas. Dan dengan ciri baru “anti terbang”, berganda-gandalah harga sebuah telekung musafir yang dijual. Dikempenlah tiada yang salah berhabis wang demi ibadat kepada Tuhan. Begitulah perempuan berada di persimpangan patriarki, kapitalisme, agama dan neo-liberalisme.

Setebal 244 muka surat, karya ini turut membawakan wacana agama yang berpegang kepada keberpihakan. Antara tokoh agama yang dibawakan ialah Kiyai Ahmad Dahlan dengan wacana keberpihakan dengan surah Al Maun. Surah yang dibahaskan dalam sebuah buku bertajuk Teologi Neo Al Maun karangan Zakiyuddin Al Baidhawi ini membawa satu mesej utama iaitu Al Quran bersifat anti kapitalis dan sepenuhnya berpihak kepada orang miskin. Kiyai Ahmad Dahlan dalam syarahnya mengajarkan kepada murid untuk memahami Al Quran dengan kerangka fikir yang jelas serta berpegang kepada prinsip keberpihakan.

Berkelulusan pendidikan, Khuzairey turut berbicara persoalan pendidikan dalam kumpulan esei ini. Sub topik ini ialah sub topik yang paling menarik menurut saya. Sebegitu banyak sekali saranan ke arah pendidikan emnansipatif dan berpihak kepada masyarakat tertindas. Wacana emansipatif perlu diterapkan dalam pendidikan negara. Sudah tentu, gagasan Paulo Freire dibawakan dalam esei-esei Khuzairey. Freire yang terkenal dengan teori pendidikan kritis ini membawakan gagasan bahawa pendidikan seharusnya membawa keluar masyarakat dari penindasan. Dan untuk keluar, masyarakat perlu mempunyai kesedaran kritis dan mempunyai semangat menentang penindasan. Namun begitu, ketika kita menyarankan hal-hal terkait pendidikan ini, saya fikir, esei Sekolah itu Apa Ya? tidak wajar berhenti pada dua perenggan akhir itu. Saya tuliskan kembali dua perenggan akhir yang ditulis oleh Khuzairey:

Kita perlukan sistem pendidikan yang akarnya ditentukan oleh masyarakat atas dasar memanusiakan manusia. Sistem yang menjadikan pendidikan sebagai alat emansipatoris dan kemanusiaan. Kurikulum yang dibentuk sentiasa mengangkat masalah yang sedang dialami oleh masyarakat, seterusnya dapat memberdayakan masyarakat, bukannya mengecilkan lagi mereka. Dialog antara masyarakat dengan sistem pendidikan memperlihatkan kohesi dan koheran untuk membaiki kekurangan. Itulah pendidikan yang sebenar.

Jika diberikan peluang, saya mahukan anak-anak kecil itu tidak dianggap sebagai komoditi yang disediakan untuk mengejar keuntungan sehingga mengabaikan orang sekelilingnya. Saya mengharapkan dia memahami bahawa pendidikan itu penting bagi mewujudkan manusia yang benar-benar manusia.

Pada pendapat saya, esei ini sayang sekali tergantung begitu sahaja. Kenyataan ini sudah tentu bersifat idealis sekali. Dengan prinsip kemanusiaan, pendidikan wajar didasarkan dengan prinsip memanusiakan manusia, namun, kurikulum manusiawi yang bagaimana harus kita perkenalkan? Namun, perca-perca ini hampir tercantum dalam esei Bahasa Melayu sebagai Alat Pendidikan Kritis. Sayang sekali, jahitannya belum cukup kemas. Bahasa ialah senjata ampuh bukan sahaja dalam mendidik masyarakat malah melawan penindasan. Dalam esei-esei Azhar Ibrahim, Bahasa dan Tantangan Intelektualisme, dapat difahami fungsi bahasa sebagai alat emansipasi serta permasalahan bahasa itu sendiri. Menurut Azhar Ibrahim, fungsi bahasa Melayu bukan sahaja alat komunikasi, estetik, bernilai warisan semata, tetapi sebagai ranah yang memberi makna kehidupan, pengertian kemanusiaan utuh, saluran kreatif dan kritis untuk membangunkan bangsa. Bahasa yang dibicarakan ini bukan sahaja bercakap tentang semiotik dan keindahannya, namun lebih dari itu. Malah, ketika berbincang tentang bahasa, dibahaskan bagaimana pemilihan perkataan itu bersifat emansipasipatif atau menindas. Perhatikan pemilihan perkataan dalam mata pelajaran sejarah kita pada hari ini. Contohnya “Pemberontakan Tani”. Fikirkan, mengapakah perkataan “pemberontakan” dipilih ketimbang “perjuangan”? walhal kata “berontak” itu membawa konotasi yang negatif?

Selain daripada persoalan-persoalan yang sempat saya bawakan diri sini, Memalangi Penindasan turut membawakan isu terkait rasuah yang menghalang kemajuan negara. Khuzairey juga mencubit para intelektual yang masih tidur dari berbicara soal masyarakat yang tertindas. Intinya melalui esei-eseinya, mesejnya jelas bahawa kita semua perlu berpihak kepada yang tertindas dan melihat kemiskinan dalam ruang yang lebih luas serta tidak semata-mata menyalahkan individu.

Namun, ketika saya membaca kumpulan esei ini, boleh saya katakan, setiap esei mempunyai potensi untuk dikembangkan lagi dengan memberikan contoh yang terperinci serta dekat dengan masyarakat. Tidak dinafikan, Khuzairey mempunyai kecenderungan untuk menggunakan contoh sedia ada daripada tokoh-tokoh yang dipilih. Contohnya, contoh-contoh dalam esei Mari Bercerita Soal Rasuah, tidaklah saya katakan ini tidak boleh atau salah, namun, kalau saya seorang pembaca yang tidak ramah wacana, saya tentunya sukakan contoh yang lebih dekat dengan saya.

Apa pun, Memalangi Penindasan membawakan satu seruan bahawa suara yang tertindas harus didengar dan diangkat. Mesti dibicarakan agar mereka tidak terus terpinggir dan hilang dari masyarakat. Dalam masa yang sama, sejarah tak boleh senget dan mengajak kepada perpecahan. Bersama-sama kita mengangkat palang, menyekat penindasan.